Sambungan
dari SINI
Terperangkap
25 Mac
1950...
Selepas bersarapan pagi, Lt M Hassan meneliti peta. Beliau berbelah bagi laluan
mana yang akan diambil untuk balik ke Kpg Pulai kerana ada dua pilihan. Pilihan
pertama melalui Kuala Betis; pilihan kedua pula ialah mengguna laluan sebelum ini, iaitu menyusur
tebing Sg Semur. Faktor yang diambil kira untuk laluan Kuala Betis ialah tempoh
pergerakan. Laluan ini dijangka
mengambil masa selama tiga hari.[1]
Tempoh perjalanan bukan masalah kritikal sebaliknya mereka sudah kehabisan
bekalan. Manakala pilihan kedua hanya
mengambil lebih kurang empat jam untuk meredah lapan batu.[2]
Setelah berbincang dengan anggota platun, Lt M Hassan membuat keputusan untuk
mengguna laluan sebelum ini, iaitu menyusur Sg Semur. Keputusan beliau ini
setelah mengambil kira mereka kehabisan bekalan dan selamat dilalui yang sama
selari dengan rumusan Sjn Wan Yaacob sebelum ini.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini,
seboleh-bolehnya Lt M Hassan mahu kesemua mereka, iaitu SC dan para penuai,
balik ke Kpg Pulai bersama dengan platunnya pagi itu. Namun, pada lebih kurang
9:00 pagi para penuai daun-daun nipah dan payung masih belum selesai tugasan
mereka di pagi itu. Tugasan para penuai dibahagi kepada beberapa kumpulan. Ada
yang menuai dan mengikat daun-daun tersebut. Ada yang ditugas untuk membawa
daun-daun yang sudah diikat ke sungai untuk dimuatkan dalam rakit. Rakit-rakit
tersebut akan menyusur Sg Semur ke Kpg Pulai.[3]
Lantaran itu, pada lebih kurang pukul
9:30 pagi,[4] Lt M Hassan dan platunnya bergerak meninggal lokasi tersebut.
Tidak lama kemudian, trek yang diikuti membawa mereka di lokasi di mana
kedudukannya terdedah di bahagian utara tebing sungai sangat mendedahkan mereka
diserang hendap. Tidak jauh dari situ, terdapat sebuah ‘anak bukit’ di tebing
sungai. Platun mengikuti trek yang tidak rata di tebing yang sempit di sebelah
kiri Sg Semur yang mengalir arah selatan. Apabila mereka tiba di mana lebar
sungainya lebih kurang 30 ela, ketua platun mengarah anak buahnya untuk
menyeberang sungai. Tetapi sebelum itu, beliau mengarah platunnya untuk
berhenti kerana beliau hendak ‘qadha hajat’ (buang air besar.) Setelah selesai,
mereka pun meranduk sungai untuk ke tebing sebelah kiri. Untuk pergerakan itu,
Lt M Hassan mengarah Pbt Mohd Yassin sebagai ‘scout’ pertama (No. 1) mengganti Pbt Omar yang kini diarah mengambil tempat di belakang sekali (No 26). Lt M Hassan pula
di kedudukan ketiga (No 3).[5] Di hadapan
Pbt Omar ialah Pbt Wahab (No 25) sementara di hadapannya ialah Pbt Salleh (No
24).[6] Manakala
kumpulan markas platun yang terdiri daripada Kpl Jamaluddin termasuk kumpulan mortar, berada di tengah.[7]
Tanpa disedari mereka, lebih kurang
250 pengganas komunis telah berkubu sepanjang lebih kurang 350 ela menunggu
ketibaan Platun No 12. Ini bermakna ‘zon membunuh (killing zone)’ ialah 350 ela sementara jarak
pergerakan platun antara anggota terhadapan dan terbelakang sekali hanya lebih
kurang 150 ela sahaja. Ketua pengganas komunis mengatur gerilanya di tiga
penjuru. Dia serta kumpulannya di atas bukit sebelah kanan sementara satu
kumpulan di kawasan yang agak lapang di tebing sebelah kiri. Kumpulan ketiga
pula di atas tebing kiri lorong yang dilalui oleh platun.[8]
Kumpulan ketiga ini “...sekurang-kurangnya mempunyai 10 laras senjata otomatik
termasuk 4 pucuk mesin-gun...”[9] Dalam
kedudukan yang strategik ini, jarak musuh dengan platun hanya lebih kurang
10-30 ela sahaja.[10] Gerila
kini hanya menunggu isyarat daripada ketua mereka untuk menyerang.
Gerila komunis tidak perlu tunggu
lama. Pada lebih kurang pukul 10:00 pagi, apabila ketua pengganas komunis pasti
kesemua 26 anggota platun telah berada dalam zon membunuh, dia menarik seutas
tali sebagai isyarat kepada gerilanya untuk menyerang hendap wira-wira
tersebut.[11] Apa
lagi...‘bang...bang bang’ bak ‘bertih digoreng.’ No 12 Platun
terperangkap. Kedudukan mereka digambarkan oleh pakar ketenteraan sebagai “hopeless
position.”[12]
Dalam keadaan begitu getir, anggota
platun bertempiaran mencari perlindungan. Namun, bukan semua sempat
menyelamatkan diri. Laungan “Allah....Allah...Allah” mengatasi tembakan
bertubi-tubi yang memekakkan telinga. Tidak diketahui siapa yang pertama gugur.
Tembakan bertali arus itu telah mengorban 10 wira negara termasuk Lt M Hassan,
Ketua Platun. Beliau tidak sempat menembak pistolnya untuk membalas tembakan
musuh. Beliau tersungkur apabila sebutir peluru menembusi kepalanya![13]
Beberapa anggota lagi tercedera.
Keadaan topografi pula menyukar
wira-wira mencari perlindungan. Dalam keadaan yang begitu getir, mereka yang
selamat masing-masing mencari perlindungan di mana-mana tempat termasuk di
sebalik timbunan daun mati di pangkal buluh.[14]
Kpl Jamaluddin, L/Kpl
Muhamad dan Pbt Rashid berlindung dalam parit (anak sungai) yang cetek
dilindungi oleh rumpun buluh. Dari situ, mereka membalas tembakan terhadap
musuh.
Di mana sekali pun para wira 3 RAM
cuba berlindung, mereka tetap terdedah kepada muncung laras senjata musuh.
Mereka yang menjadikan pokok untuk berlindung, terdedah kepada musuh di kiri
kanan tebing sungai dan juga di lereng
bukit. Menyusup ke tebing sungai bak masuk mulut buaya kerana musuh menunggu di
seberang sungai. Oleh kerana kedudukan sangat dekat membolehkan mereka melihat
pergerakan musuh dengan jelas. Dari pemerhatian mereka, hanya seorang yang
berpakaian seragam lengkap dengan “...topi berbucu tiga serta bintang tiga
warna merah.”[15] Mereka
yakin dia adalah ketua pengganas komunis, iaitu ‘Ketua Tertinggi Komunis Malaya
Utara.’[xvi] Tidak
seperti ketua mereka, kebanyakan gerila komunis hanya memakai pakaian pekebun
sayur, penoreh getah, singlet dan seluar pendek sahaja. Bersandar kepada
pakaian gerila komunis, memang sah mereka adalah rekrut baharu. Serang hendap ini merupakan fasa terakhir
sukatan pelajaran.
*****
Bersambung...in sya Allah
[4] Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.
[5] Haji Mubin Sheppard, Ambush at
the River Bank, The Straits Times, 24 April 1967, hlm. 13.
[6] Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan
Tanahair sebelum ini, hlm. 152.
[7] Zakaria Salleh. (2007). Limpahan
Darah di Sungai Semur sebelum ini, hlm. 84.
[10] Harry Miller, A Malay
Platoon at
Ulu Semur sebelum
ini.
[12] Harry Miller, A Malay
Platoon at
Ulu Semur sebelum
ini.
[14] M. Daim, Serang
Hendap Sungai Semur: Askar Melayu menyerahlah!, Air Times, 7 Mei 2020.
Lihat https://www.airtimes.
my/2020/05/07/serang-hendap-sungai-semur-askar-melayu-menyara hlah/ (diakses
pada 4 April 2024).