Sambungan dari SINI
Dalam keadaan kelam kabut, 4091 Pbt Nordin bin Mat Isa yang melihat Ketua Platun gugur, melompat dengan senjatanya ke dalam sungai yang kedalamannya mencecah lehernya. Beliau seterusnya menyelam ke tunggul kayu di tengah sungai dan berpaut di situ. Kedudukan beliau mendedahkannya kepada musuh dari kiri tebing sungai dan juga di lereng bukit di kanan sungai; paling hampir dengan beliau sekali ialah musuh di kiri. Beliau melihat musuh menghala mesingan ke arahnya. Sudah pasti beliau menjadi sasaran mudah kepada musuh. Tindakan yang mampu diambil hanyalah menyelam setiap kali musuh menembak ke arahnya.
Kedudukan Pbt Nordin menghalangnya membalas tembakan ke arah musuh. Terfikir olehnya sudah pasti musuh akan merampas senjata sama ada beliau KIA atau WIA; itulah objektif utama musuh. Pbt Nordin sama sekali tidak akan membenar senjatanya jatuh ke tangan pengganas komunis. Beliau nekad menyelamat senjatanya. Lalu, beliau menyelit senjatanya di celah akar tunggul kayu tersebut daripada dihanyutkan air.[1] Dalam keadaan ini, beliau bukan sahaja tidak mampu membalas tembakan musuh malah berhadapan dengan kesejukan. Mana tidaknya, beliau menggeletar kesejukan berendam dalam air sungai yang begitu sejuk dek tidak tercemar oleh kerakusan manusia. Dan lapar. Sebelum bertolak dari lokasi RV pagi itu, Lt M Hassan memberitahu mereka hanya perlu mengambil sarapan pagi sahaja kerana mereka boleh makan apabila tiba di pangkalan di Kpg Pulau tidak lama lagi.[2]
Gerila komunis melihat keadaan Pbt Nordin menggigil kesejukan. Lalu seorang komunis dari kaum Cina[3] di atas tebing berdekatan dengan Pbt Nordin, menyergah beliau untuk menyerah diri. Pbt Nordin terpaksa akur atas arahan itu kerana tiada pilihan dan tidak mengetahui apa yang berlaku kepada lain-lain anggota platun. Dengan mengangkat kedua-dua tangan ke atas kepada, beliau diarah ke tebing sebelah kanan. Sebaik tiba di tebing, seorang gerila berang bila mendapati Pbt Nordin tidak bersenjata. Ini membuat dia berang. Lalu dia mencengkam kedua-dua bahu Pbt Nordin serta menggoyang-goyang sambil menjerit: “Mana lu punya senjata?” [4]
Pbt Nordin dikelilingi musuh dan sudah pasti berasa takut. Bagaimanapun beliau masih mampu berfikir dengan waras. Beliau memberi alasan bahawa senjatanya telah tercicir semasa mencari perlindungan. Dan gerila percaya alasan itu! Walaupun tembak-menembak masih berterusan, Pbt Nordin dibawa untuk menemui ketua komunis di atas bukit dengan diiringi oleh seorang gerila komunis. Beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya, hanya bertawakal agar mendapat perlindungan-Nya!
Sememangnya, Allah melindungi Pbt Nordin. Di luar jangkaannya, beliau mendapat layanan baik daripada ketua komunis; terkejut beliau dibuatnya. Mana tidaknya. Ketua komunis bertanya sama ada beliau sudah makan. Bila jawapan beliau belum, dengan tersenyum dia mengarah gerilanya membawa makanan untuk Pbt Nordin tawanan pertama mereka. Makanan itu adalah “...nasi dengan tidak berlauk, Cuma diperah santan kelapa saja (iaitu bolehlah dikatakan nasi lemak). Itulah makanan gerila-gerila komunis tersebut.”[5] Ya, ketua komunis mengguna kaedah psikologi untuk menanam kepercayaan kepada perjuangan komunis.
*****
Bersambung...in sya Allah
[1] Tan Sri Datuk A. Samad Idris.
(1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 292. Penulis (Tan Sri
Datuk A. Samad Idris) menemubual 4091 Pbt Nordin bin Mat Isa di Sungai Serai,
Ulu Langat, Selangor.
[3] Ibid., hlm. 284. Penulis (Tan Sri Datuk A.
Samad Idris) mencatat gerila komunis terdiri daripada kaum Cina; Abdullah
CD. (2023). Memoir Abdullah CD:
Bahagian Kedua. (Cetakan Kedua).
Petaling Jaya: SIRD, hlm. 100. Dia mengesahkan komrad daripada kaum
Melayu turut terlibat dalam serang hendap terhadap Platun No 12 di Sungai Semur
pada 25 Mac 1950.
[4] Tan Sri Datuk A. Samad Idris.
(1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 292.
[5] Ibid.,
hlm. 293.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan