Pengikut

Khamis, 23 Januari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 6

 Sambungan dari SINI

Dalam keadaan begini, tindakan para wira terhadap komunis sangat terbatas. Mereka hanya mampu menembak dalam keadaan meniarap. Menembak dalam keadaan berlutut atau berdiri menempah maut. Sememangnya kedudukan wira yang terselamat sangat getir sekali. Kpl Jamaluddin terfikir mengapa tiada sebarang arahan daripada Lt M Hassan. Timbul persoalan: adakah Ketua Platun telah terkorban? Dalam keadaan tidak menentu ini, beliau yakin Lt M Hassan telah terkorban. Lantaran itu, keselamatan anggota platun terletak di bahunya. Beliau menyedari masih ada anggotanya terselamat kerana mendengar tembakan. Bagaimanapun, Kpl Jamaluddin tidak mengetahui keadaan anak buahnya; berapa masih selamat dan keadaan mereka. Ekoran itu beliau memerintah tidak menembak musuh secara semberono bagi menjimat peluru.

Dari kedudukannya, Kpl Jamaluddin nampak dengan jelas gerila komunis di seberang sungai. Peluang ini tidak dilepas begitu sahaja. Beliau yang membawa Sten gun, menembak seorang demi seorang musuh durjana. Tembakannya tepat mengenai sasaran mengakibat beberapa  gerila komunis terbunuh.[1]

Selain itu, Kpl Jamaluddin mengarah kumpulan mortar untuk menembak senjata bantuan tersebut. Kebiasaan platun membawa enam butir bom mortar. Beliau sedia maklum jarak musuh di seberang kiri sungai hanya lebih kurang 50 ela sahaja. Untuk jarak itu, kedudukan ‘tiub’ mortar pada ‘elevation’ 80º-90º (darjah); hampir menegak. Letupan dalam keadaan ini turut membahayakan beliau dan anggotanya kerana lagi tinggi elevation lagi dekat jarak.[2] Dalam keadaan begitu getir, sebagai seorang ketua, Kpl Jamaluddin sedia mengambil sebarang risiko. Ini soal hidup atau mati!

*****

Sebaik mendengar arahan tersebut, dua kru kumpulan mortar yang terdiri daripada 4057 Pbt Hussain bin Yusof dan rakanya menyediakan tiub mortar yang hampir menegak. Disebabkan hanya berlindung di belakang rumpun pokok buluh yang terdedah kepada tembakan musuh, mereka terpaksa mengoperasi tembakan mortar secara meniarap; berlutut dan berdiri bererti menempah maut! Dalam keadaan meniarap hanya tangan anggota yang ‘load’ bom ke dalam tiub akan terdedah. Itu secara teorinya.

Boom...boom.” Letupan dua butir bom mortar.  Dua letupan itu sahaja. Tiada lagi kedengaran letupan mortar kerana kru mortar ditembak musuh yang mengakibatkan Pbt Hussain gugur sementara rakannya cedera.[3] Manakala tembakan mortar jauh tersasar kerana halangan oleh pokok buluh.[4]

Tembakan mortar 2-inci secara meniarap. Sumber: Alamy' (gambar hiasan)

Bersambung...in sya Allah

______________________

[1]              Haji Mubin Sheppard, Ambush at the River Bank, The Straits Times, 24 April 1967, hlm. 13.

[2]              Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Januari 2025.

[3]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[4]              M. Daim,  Serang Hendap Sungai Semur: Askar Melayu menyerahlah!, Air Times, 7 Mei 2020. Lihat https://www.airtimes. my/2020/05/07/serang-hendap-sungai-semur-askar-melayu-menyara hlah/ (diakses pada 4 April 2024).

Tiada ulasan: