Pengikut

Isnin, 13 Januari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 4

Sambungan dari SINI

Terperangkap

25 Mac 1950...

Selepas bersarapan pagi, Lt M Hassan meneliti peta. Beliau berbelah bagi laluan mana yang akan diambil untuk balik ke Kpg Pulai kerana ada dua pilihan. Pilihan pertama melalui Kuala Betis; pilihan kedua pula ialah  mengguna laluan sebelum ini, iaitu menyusur tebing Sg Semur. Faktor yang diambil kira untuk laluan Kuala Betis ialah tempoh pergerakan. Laluan ini dijangka  mengambil masa selama tiga hari.[1] Tempoh perjalanan bukan masalah kritikal sebaliknya mereka sudah kehabisan bekalan. Manakala pilihan kedua  hanya mengambil lebih kurang empat jam untuk meredah lapan batu.[2] Setelah berbincang dengan anggota platun, Lt M Hassan membuat keputusan untuk mengguna laluan sebelum ini, iaitu menyusur Sg Semur. Keputusan beliau ini setelah mengambil kira mereka kehabisan bekalan dan selamat dilalui yang sama selari dengan rumusan Sjn Wan Yaacob sebelum ini.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, seboleh-bolehnya Lt M Hassan mahu kesemua mereka, iaitu SC dan para penuai, balik ke Kpg Pulai bersama dengan platunnya pagi itu. Namun, pada lebih kurang 9:00 pagi para penuai daun-daun nipah dan payung masih belum selesai tugasan mereka di pagi itu. Tugasan para penuai dibahagi kepada beberapa kumpulan. Ada yang menuai dan mengikat daun-daun tersebut. Ada yang ditugas untuk membawa daun-daun yang sudah diikat ke sungai untuk dimuatkan dalam rakit. Rakit-rakit tersebut akan menyusur Sg Semur ke Kpg Pulai.[3]

Lantaran itu, pada lebih kurang pukul 9:30 pagi,[4] Lt M Hassan dan platunnya bergerak meninggal lokasi tersebut. Tidak lama kemudian, trek yang diikuti membawa mereka di lokasi di mana kedudukannya terdedah di bahagian utara tebing sungai sangat mendedahkan mereka diserang hendap. Tidak jauh dari situ, terdapat sebuah ‘anak bukit’ di tebing sungai. Platun mengikuti trek yang tidak rata di tebing yang sempit di sebelah kiri Sg Semur yang mengalir arah selatan. Apabila mereka tiba di mana lebar sungainya lebih kurang 30 ela, ketua platun mengarah anak buahnya untuk menyeberang sungai. Tetapi sebelum itu, beliau mengarah platunnya untuk berhenti kerana beliau hendak ‘qadha hajat’ (buang air besar.) Setelah selesai, mereka pun meranduk sungai untuk ke tebing sebelah kiri. Untuk pergerakan itu, Lt M Hassan mengarah Pbt Mohd Yassin sebagai ‘scout’ pertama (No. 1) mengganti Pbt Omar yang kini diarah mengambil tempat di belakang sekali (No 26). Lt M Hassan pula di kedudukan ketiga (No 3).[5] Di hadapan Pbt Omar ialah Pbt Wahab (No 25) sementara di hadapannya ialah Pbt Salleh (No 24).[6] Manakala kumpulan markas platun yang terdiri daripada Kpl Jamaluddin  termasuk kumpulan mortar, berada di tengah.[7]

 Tanpa disedari mereka, lebih kurang 250 pengganas komunis telah berkubu sepanjang lebih kurang 350 ela menunggu ketibaan Platun No 12. Ini bermakna ‘zon membunuh (killing zone)’ ialah 350 ela sementara jarak pergerakan platun antara anggota terhadapan dan terbelakang sekali hanya lebih kurang 150 ela sahaja. Ketua pengganas komunis mengatur gerilanya di tiga penjuru. Dia serta kumpulannya di atas bukit sebelah kanan sementara satu kumpulan di kawasan yang agak lapang di tebing sebelah kiri. Kumpulan ketiga pula di atas tebing kiri lorong yang dilalui oleh platun.[8] Kumpulan ketiga ini “...sekurang-kurangnya mempunyai 10 laras senjata otomatik termasuk 4 pucuk mesin-gun...”[9] Dalam kedudukan yang strategik ini, jarak musuh dengan platun hanya lebih kurang 10-30 ela sahaja.[10] Gerila kini hanya menunggu isyarat daripada ketua mereka untuk menyerang.

Gerila komunis tidak perlu tunggu lama. Pada lebih kurang pukul 10:00 pagi, apabila ketua pengganas komunis pasti kesemua 26 anggota platun telah berada dalam zon membunuh, dia menarik seutas tali sebagai isyarat kepada gerilanya untuk menyerang hendap wira-wira tersebut.[11] Apa lagi...‘bang...bang bang’ bak ‘bertih digoreng.’ No 12 Platun terperangkap. Kedudukan mereka digambarkan oleh pakar ketenteraan sebagai “hopeless position.”[12]

Dalam keadaan begitu getir, anggota platun bertempiaran mencari perlindungan. Namun, bukan semua sempat menyelamatkan diri. Laungan “Allah....Allah...Allah” mengatasi tembakan bertubi-tubi yang memekakkan telinga. Tidak diketahui siapa yang pertama gugur. Tembakan bertali arus itu telah mengorban 10 wira negara termasuk Lt M Hassan, Ketua Platun. Beliau tidak sempat menembak pistolnya untuk membalas tembakan musuh. Beliau tersungkur apabila sebutir peluru menembusi kepalanya![13] Beberapa anggota lagi tercedera.

Keadaan topografi pula menyukar wira-wira mencari perlindungan. Dalam keadaan yang begitu getir, mereka yang selamat masing-masing mencari perlindungan di mana-mana tempat termasuk di sebalik timbunan daun mati di pangkal buluh.[14] Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid berlindung dalam parit (anak sungai) yang cetek dilindungi oleh rumpun buluh. Dari situ, mereka membalas tembakan terhadap musuh.

Sementara itu, dalam keadaan kelam kabut Pbt Nordin yang melihat Ketua Platun gugur, melompat dengan senjatanya ke dalam sungai yang kedalamannya mencecah lehernya. Beliau seterusnya menyelam ke tunggul kayu di tengah sungai dan berpaut di situ. Kedudukan beliau mendedahkannya kepada musuh dari kiri tebing sungai dan juga di lereng bukit di kanan sungai; paling hampir dengan beliau sekali ialah musuh di kiri. Beliau melihat musuh menghala mesingan ke arahnya. Sudah pasti beliau menjadi sasaran mudah kepada musuh. Tindakan yang mampu diambil hanyalah menyelam setiap kali musuh menembak ke arahnya. Dalam keadaan begini, beliau tidak dapat membalas tembakan ke arah musuh. Terfikir olehnya sudah pasti musuh akan merampas senjata sama ada beliau KIA atau WIA; itulah objektif utama musuh. Pbt Nordin sama sekali tidak akan membenar senjatanya jatuh ke tangan pengganas komunis. Beliau nekad menyelamat senjatanya. Lalu, beliau menyelit senjatanya di celah akar tunggul kayu tersebut daripada dihanyutkan air.[15]

Di mana sekali pun para wira 3 RAM cuba berlindung, mereka tetap terdedah kepada muncung laras senjata musuh. Mereka yang menjadikan pokok untuk berlindung, terdedah kepada musuh di kiri kanan  tebing sungai dan juga di lereng bukit. Menyusup ke tebing sungai bak masuk mulut buaya kerana musuh menunggu di seberang sungai. Oleh kerana kedudukan sangat dekat membolehkan mereka melihat pergerakan musuh dengan jelas. Dari pemerhatian mereka, hanya seorang yang berpakaian seragam lengkap dengan “...topi berbucu tiga serta bintang tiga warna merah.”[16] Mereka yakin dia adalah ketua pengganas komunis, iaitu ‘Ketua Tertinggi Komunis Malaya Utara.’[17] Tidak seperti ketua mereka, lain-lain gerila komunis hanya memakai pakaian pekebun sayur, penoreh getah dan seluar pendek sahaja. Bersandar kepada pakaian gerila komunis, memang sah mereka adalah rekrut baharu. Serang hendap ini merupakan fasa terakhir sukatan pelajaran.

Dalam keadaan begini, tindakan para wira terhadap komunis sangat terbatas. Mereka hanya mampu menembak dalam keadaan meniarap. Menembak dalam keadaan berlutut atau berdiri menempah maut. Sememangnya kedudukan wira yang terselamat sangat getir sekali. Kpl Jamaluddin terfikir mengapa tiada sebarang arahan daripada Lt M Hassan. Timbul persoalan: adakah Ketua Platun telah terkorban? Dalam keadaan tidak menentu ini, beliau yakin Lt M Hassan telah terkorban. Lantaran, keselamatan anggota platun terletak di bahunya. Beliau menyedari masih ada anggotanya terselamat kerana mendengar tembakan. Bagaimanapun, Kpl Jamaluddin tidak mengetahui keadaan anak buahnya; berapa masih selamat dan keadaan mereka. Ekoran itu beliau memerintah tidak menembak musuh secara semberono bagi menjimat peluru.

Bersambung....In sya Allah

 

[2]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur, The Straits Times, 18 April 1950, hlm. 6. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/ newspapers/digitised/article/straitstimes19500418-1.2.89 (diakses pada 12 April 2024).

[3]              Ibid., hlm. 78.

[4]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[5]              Haji Mubin Sheppard, Ambush at the River Bank, The Straits Times, 24 April 1967, hlm. 13.

[6]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair sebelum ini, hlm. 152.

[7]              Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur sebelum ini, hlm. 84.

[8]              Ibid., 93.

[9]              Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun. Kuala Lumpur: Pustaka Budiman Sdn. Bhd., hlm. 284.

[10]            Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[12]            Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[13]            Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[14]            Airtimes, video

[15]            Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 292.

[16]            Ibid., hlm. 287.

[17]            Ibid., hlm. 299. 

Tiada ulasan: