Sambungan dari SINI (klik)
Semasa sesi indoktrinasi berjalan, rakit-rakit yang membawa 18 pemungut serta muatan daun-daun nipah dan payung dilihat menyusur sungai di lokasi pertempuran. Tanpa sebarang tentangan, pemungut-pemungut tersebut ditahan dan dibawa ke markas komunis. Pemeriksaan ke atas mereka hanya menghasilkan alatan memotong daun-daun tersebut seperti parang dan kapak. Mereka juga dikumpul bersama dengan lain-lain tawanan.
Sebelum dibebaskan, ketua komunis mengarah Sjn Jamaluddin dan anak buahnya untuk mengumpul mayat-mayat. Dengan dibantu oleh tujuh anggota SC, mereka melaksana tugasan yang menyayat hati. Mana tidaknya, daripada 27 anggota yang terdiri daripada 26 anggota Platun No 12 dan seorang SC sebagai pengiring, 15 mayat yang hanya berseluar dalam bergelimpangan berhampiran sepanjang trek. Musuh bukan sahaja merampas senjata dan peralatan anggota, malah turut mengambil pakaian seragam.
Anggota rondaan Platun No 12 yang KIA dalam pertempuran tersebut ialah: (1) 1134 Lt M Hassan bin Yassin; (2) 4087 L/Kpl Othman bin Abu Samad; (3) 4100 L/Kpl Mohd Rasul bin Othman; (4) 4045 Pbt Mustaffa bin Sulaiman; (5) 4018 Pbt Ismail bin Rasul; (6) 4016 Pbt Mohd Yassin bin Hj Ali; (7) 4057 Pbt Hussain bin Hj Yusof; (8) 4067 Pbt Kassim bin Amin; (9) 4123 Pbt Wahab bin Sidek; (10) 4132 Pbt Md Isa bin Ahmad; (11) 4359 Pbt Ibrahim bin Awang; (12) 4403 Pbt Daud bin Ismail; (13) 4411 Pbt Omar bin Deris; (14) 4015 Pbt Mohd Yunus bin Hj Taha; (15) SC 545 Latif bin Ariffin.[1]
Dengan sedihnya Kpl Jamaluddin bersama dengan anggota lain-lain mengumpul mayat-mayat tersebut dan diletakkan di satu kawasan yang agak lapang. Tumpuan seterusnya ialah membantu anggota yang cedera. Anggota yang cedera ialah: (1) 4103 Pbt Md Sharif bin Abd Manaf; (2) 4397 Osman bin Hj Yaacob 4059; (3) Pbt Ahmad bin Mohd Jan;[2] (4) 4056 Pbt Wahab bin Hamid; (5) 4358 Pbt Abdul Rashid bin Wahab. Pbt Md Sharif mengalami perutnya terburai akibat dijamah peluru musuh. Pbt Osman pula cedera bahu dan dadanya.[3] Pbt Wahab cedera pada kedua-dua paha akibat ditembusi peluru manakala dan buku lali kirinya pula terkena serpihan grenad tangan.[4] Pbt Abdul Rashid juga cedera pada kaki.
Mengambil kira hanya 10 anggota yang tidak cedera (tiga anggota RAM dan tujuh SC), Kpl Jamaluddin membuat keputusan untuk membawa balik Pbt Md Sharif, Pbt Osman dan Pbt Ahmad untuk mendapat rawatan dengan seberapa segera. Ini bermakna Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid terpaksa ditinggalkan. Kpl Jamaluddin memberitahu Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid keputusannya. Beliau berjanji mereka akan diselamatkan nanti. Bagi mengurangkan kesakitan, mereka berdua dibiarkan berada di tempat kejadian. Seterusnya Kpl Jamaluddin bersama anggotanya dan SC mengimprovisasi apa jua bahan hutan untuk membuat tiga strecer.
*****
Sebelum pukul 6:00 petang, Kpl Jamaluddin dan lain-lain tawanan kecuali
pemungut daun-daun nipah dan payung terkejut mendapat arahan daripada ketua
komunis. Dia mengarah mereka menanggal pakaian mereka kecuali seluar dalam dan
‘kain pelikat’ (sarong)! Sudah tentu mereka terkejut. Apabila ditanya mengapa,
jawapannya mudah sahaja...untuk merekalah! Dalam keadaan yang tidak memihak
kepada mereka, mahu tidak mahu mereka terpaksa akur. Ekoran itu, mereka semua
melondehkan pakaian seragam mereka. Mereka tidak terbayang akan meredah hutan
dengan hanya memakai kain pelikat dan seluar dalam berwarna hijau yang dibekal
oleh Kuatermaster.
Jawapan ketua komunis itu juga menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran mereka apabila melihat 15 mayat rakan seperjuangan mereka hanya berseluar dalam. Pengecualian diberi kepada mereka yang cedera, iaitu Pbt Md Sharif, Pbt Osman, Pbt Ahmad, Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid.[5] Mungkin timbul perasaan kesian terhadap lima anggota itu, komunis tidak melondehkan mereka, wallahualam. Dengan itu, selain harta rampasan senjata, inventori peralatan komunis menyaksi pertambahan meliputi “...puluhan pasang uniform serta sejumlah besar alat-alat kelengkapan tentera seperti tali pinggang, tali batung, baju hujan, bocong air, dan bekas nasi. Alat-alat kelengkapan ini boleh menampung satu platun tentera baru.”[6]
*****
Bersambung...In
syaa Allah...
[1] Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu
Diraja 1933-1968, hlm. 150.
[2] Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran
Sungai Semur sebelum ini, hlm. 31.
[3] M. Daim, Serang
Hendap Sungai Semur: Askar Melayu menyerahlah! sebelum ini.
[4] Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran
Sungai Semur sebelum ini, hlm. 53-55.
[5] Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan
Tanahair sebelum ini, hlm. 153.
[6] Abdullah CD.
(2023). Memoir Abdullah CD: Bahagian Kedua sebelum ini, hlm. 100.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan