Pengikut

Ahad, 23 Mac 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 13

Sambungan dari SINI (klik)

 Lebih kurang pukul 6:00 petang...

 Kpl Jamaluddin dan lain-lain tawanan terdengar tiupan tetuang. Isyarat kepada gerila komunis supaya gerila-gerila bersiap sedia untuk beredar dari situ.[1] Apabila hampir 6:30 petang, para tawanan diberitahu mereka boleh menggunakan rakit-rakit yang membawa daun-daun nipah dan payung untuk balik ke pangkalan, iaitu Kpg Pulai.[2] Dalam perkiraan keadaannya, ketua komunis penuh yakin Kpl Jamaluddin akan mengambil 3-4 jam untuk tiba di pangkalannya; lebih kurang 10:00-11:00 malam. Tempoh masa itu memberi ruang mereka beredar dari situ dengan selamat.

*****

 Lebih kurang pukul 6:30 petang...

 Kini tiba masanya Kpl Jamaluddin dan lain-lain tawanan meninggalkan lokasi yang telah meragut nyawa ketua dan rakan seperjuangan mereka. Selaku anggota yang terkanan, beliau mengarah supaya Pbt Md Sharif, Pbt Osman dan Pbt Ahmad yang berada atas strecer dinaikkan ke atas rakit-rakit tersebut. Mereka diawasi oleh beberapa gerila komunis. Seterusnya, mereka semua (termasuk pemungut daun-daun) menaiki rakit-rakit dan mula menyusur sungai yang akan membawa mereka ke Kpg Pulai.[3]

Komunis beraya sakan apabila rakit-rakit itu mula menyusur sungai. Ketua komunis sudah pasti gembira kerana usahanya melatih ‘rekrut’  telah terbukti berhasil. Tetapi dia lupa ‘kejayaannya’ tidak sama sekali mematah semangat waja anggota 3 RAM. Walaupun keadaan tidak memihak mereka, Kpl Jamaluddin dan anak buahnya terus berjuang bermati-matian sehingga dapat membunuh beberapa gerila komunis. Kini penghuni kawasan tragis tersebut hanyalah Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid serta 15 mayat. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak nampak satu sama lain kerana jarak antara mereka agak jauh. Kesunyian ini membuatkan Pbt Wahab bukan hanya lapar tetapi begitu dahaga. Beliau tiada pilihan kecuali merangkak ke tebing sungai untuk minum. Kegelapan mula menyelimuti kawasan dan sepi sesepinya.  apa tah lagi malam kian menjelma. Dalam keadaan begitu, Pbt Wahab dan Pbt Abdul Rashid hanya berserah kepada Maha Pencipta.

*****

Kpl Jamaluddin dan anak buahnya, kecuali Pbt Nordin yang diberi makanan oleh komunis, begitu lapar dan dahaga kerana sepanjang hari mereka hanya bersarapan pagi sahaja. Walaupun dahaga, mereka tidak mahu mengambil risiko minum air sungai. Pengalaman mengajar mereka kecederaan boleh membawa maut  jika  minum air. Dalam pada itu, keadaan menjadi lebih sedih apabila Pbt Ahmad menghembus nafas terakhirnya![4] Mereka selamat tiba di Kpg Pulai pada lebih kurang pukul 9:00 malam.[5] Seterusnya, Kpl Jamaluddin dan anak buahnya serta dibantu oleh tujuh anggota mengusung tiga strecer balik ke pangkalan Kompeni D berhampiran.

Keadaan di pangkalan Kompeni D menjadi gempar apabila pengawal dan mereka yang berada di pangkalan apabila melihat sekumpulan manusia menghampiri kem dengan hanya berseluar dalam atau bersarong pelekat. Bukan itu sahaja mereka mengusung 3 strecer. Apabila tiba di bilik pengawal, penghuni kem terkejut dan riuh rendah adalah Kpl Jamaluddin bersama saki baki Platun No 12 dan tujuh anggota SC. Sebaik berada dalam kem, keadaan bertukar kepada kesedihan apabila Pbt Osman dan Pbt Ahmad pula menerima panggilan Ilahi![6] Dengan itu, serangan pengganas telah meragut nyawa 18 anggota pasukan keselamatan. Wira-wira yang KIA ialah:

Platun No 12:

1.         1134    Lt M    Hassan bin Haji Yassin

2.         4082    LKpl    Othman bin Abd Samad

3.         4100    LKpl    Mohd Rasul bin Osman

4.         4015    Pbt       Mohd Yunus bin Haji Tahir

5.         4018    Pbt       Ismail bin Rasol

6.         4059    Pbt       Ahmad bin Mohd Jan

7.         4132    Pbt       Md Isa bin Ahmad

8.         4359    Pbt       Ibrahim bin Awang

9.         4403    Pbt       Daud bin Ismail

10.       4411    Pbt       Omar bin Deris

11.       4016    Pbt       Mohd Yasin bin Haji Ali

12.       4045    Pbt       Mustaffa bin Sulaiman

13.       4123    Pbt       Wahab bin Sidek

14.       4397    Pbt       Osman bin Yacob

15.       4103    Pbt       Md Sharif bin Abd Manaf

16.       4067    Pbt       Kassim bin Mohd Amin

17.       4057    Pbt       Hussin bin Haji Yusof

Polis 

 1.              SC 545 Latif bin Ariffin

 Bersambung...insyaAllah...

 


[1]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur sebelum ini, hlm. 28.

[2]              Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 296.

[3]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[4]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, hlm. 150.

[5]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur sebelum ini, hlm. 28.

[6]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, hlm. 150.

  

Tiada ulasan: