Sambungan dari SINI (klik)
“Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali”
Apabila
diberitahu, Mej Garnett bergegas menyambut ketibaan
anak buahnya. Perasaannya bercampur baur: gembira dan sedih. Gembira kerana
melihat sebahagian daripada Platun No 12 yang tidak diketahui untung nasib
mereka semenjak malam 24 Mac 1950 setelah terputus hubungan disebabkan masalah
set radio.[1]
Sedih kerana di hadapannya tiga mayat terlantar atas strecer dan tiga anggota
cedera. Beliau menentukan anggota yang cedera diberi rawatan. Menyedari anak
buahnya dan anggota SC dalam keadaan kelaparan, beliau mengarah supaya
menyediakan makanan kepada wira-wira tersebut. Dek terlalu letih, kesemua
mereka hilang selera sebaliknya minum sepuas-puasnya.[2]
Seterusnya, tiba giliran Kpl Jamaluddin melaporkan apa yang berlaku. Laporan itu meliputi pengesahan Lt M Hassan dan 16 anggota platun telah terkorban serta seorang SC turut KIA. Sementara itu, dua WIA masih hidup ketika beliau bergerak dari lokasi pertempuran. Bagi melengkap laporan, anggota SC pula melapor bahagian mereka. Beliau turut memberitahu mereka tidak tahu apa yang berlaku kepada kumpulan Sjn Wan Yaacob dan lapan anggotanya.
Seperti yang dijangka, anggota kompeni yang paling sibuk malam itu ialah operator radio. Laporan ini perlu dihantar kepada Markas Batalion di Pengkalan Chepa. Turut terkandung dalam mesej ialah ketiga-tiga jenazah akan dibawa balik ke Pengkalan Chepa untuk disemadikan. Sebaik menerima mesej ini, Pegawai Bertugas bergegas memberitahu CO, iaitu Lt Kol W.O. Walton. CO memberitahu Mej Garnett bahawa beliau akan pergi ke Kpg Pulai keesokan pagi (26 Mac 1950) dan seterusnya ke lokasi pertempuran. Seterusnya, Lt Kol W.O. Walton meminta bantuan Bilik Gerakan GOC memohon pesawat untuk membawa tiga jenazah dari Gua Musang ke Pengkalan Chepa. Permohonan ini dipanjangkan ke AOC (Air Operation Centre). Lulus Semua komunikasi antara kedua-dua pihak terpaksa mengguna ‘Morse code’ dan kaedah ini mengambil masa. Ini kerana penggunaan ‘audio’ tidak memuaskan di waktu malam. Malam itu, bilik-bilik operasi di Pengkalan Chepa, Briged dan GOC sibuk sekali.
Sementelah AOC akan menghantar sebuah pesawat untuk membawa balik ketiga-tiga wira Bn 3 RAM, Lt Kol W.O. Walton mengarah Mej Garnett untuk membawa mayat-mayat tersebut ke Gua Musang pada awal pagi. Beliau dan rombongannya akan bertolak ke Kpg Pulai selepas semua urusan pengebumian selesai. Sebagai CO, kehadiran beliau untuk memberi perkhidmatan terakhir kepada anak buahnya memainkan peranan penting selari dengan Prinsip Kedua Prinsip Peperangan, iaitu Mengekal Morel.’[3]
Disebabkan anggota polis turut terlibat, berita ini dipanjangkan kepada Ibu Pejabat Polis Persekutuan, Bluf Road, Kuala Lumpur (Bukit Aman). Mesej ini pula dipanjangkan ke Kontinjen Polis di Kota Baru. Terkejut Ketua Polis Negeri Kelantan (KP Kelantan) diberitahu sembilan anggotanya hilang. Ekoran itu, beliau membuat keputusan untuk turut pergi ke lokasi serta mengarah Ketua ‘Jungle Squad’ bersiap sedia untuk diatur gerak ke Kpg Pulai keesokan pagi. Turut menyertai rombongan ialah David W. Yates, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Negeri Kelantan. Pergerakan ini dikoordinasi dengan pihak 3 RAM.
*****
26 Mac
1950...
Rakyat Persekutuan Tanah Melayu terkejut dengan tajuk utama akhbar ‘The Straits Times’: ‘21 DIE IN KELANTAN AMBUSH. Patrol Kills 5 Bandits in Attack By 250.’ Bersandar kepada laporan awal Ibu Pejabat Polis, akhbar tersebut melaporkan: “...17 men of the 3rd Bn., the Malay Regiment and four policemen were killed, while four soldiers were wounded. Two soldiers and nine police are reported missing.”[4] Mana tidaknya. Komunis begitu rakus membunuh anggota pasukan keselamatan. Hanya baru sebulan berlalu sebelum pertempuran di Sg Semur, komunis telah membunuh 25 insan dalam Peristiwa Bukit Kepong, Johor, pada 23 Februari 1950 masih segar dalam ingatan. Peristiwa tersebut telah menyaksikan 25 insan terkorban yang terdiri daripada 14 anggota polis, lima Polis Bantuan, dua suri rumah, dua kanak-kanak dan dua penduduk kampung.[5] Kini (25 Mac 1950), 21 anggota pasukan keselamatan lagi gugur!
*****
Kpg
Pulai...
Pagi itu, Mej Garnett turut mengiringi L/Kpl 4087 L/Kpl Othman bin Abu Samat dan 3386 Pbt Mohd Sabri bin Panjang Harun serta tiga jenazah ke tebing Sg Galas di mana sebuah bot sedia menunggu untuk membawa muatan tersebut ke Gua Musang.[6] Setiba di Gua Musang, lain-lain anggota Bn 3 RAM yang berpangkalan di situ, mengusung jenazah-jenazah tersebut ke landasan terbang di masa sebuah pesawat sedia menunggu. Seterusnya, tiga WIA dan jenazah-jenazah diterbangkan ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, berhampiran pangkalan Bn 3 RAM. Ketibaan WIA dan KIA disambut oleh CO, pegawai-pegawai dan anggota pasukan, wakil-wakil Kerajaan Negeri dan polis.
Seterusnya, L/Kpl Othman dan Pbt Mohd Sabri dihantar ke Hospital Kota Bharu untuk rawatan selanjutnya. Manakala tiga jenazah tersebut dibawa ke surau pangkalan untuk urusan sebelum pengebumian. Tugasan ini dipikul oleh Guru Agama pasukan, Tuan Hj Ibrahim Yusoff.[7] Setelah dimandi, dikafan dan disolat, jenazah-jenazah tersebut disemadi di Tanah Perkuburan berhampiran dengan pangkalan pasukan.
Bersambung...in sya Allah...
[1] Penjelasan Lt Kol Yaakop bin Jaafar (B) kepada penulis melalui telefon pada 11 Mac 2025. Beliau temu bual Pbt Salleh bin Nahu, iaitu operator radio Platun No 12, pada 8 Oktober 2002.
[2] Zakaria Zalleh. (2007). Limpahan
Darah di Sungai Semur, hlm. 132.
[3] In Command, Ten Principles of War. Lihat https://www. incommand.co.uk/ten-principles-of-war (diakses pada 20 Mac 2024).
[4] The Straits Times, 21 DIE IN KELANTAN AMBUSH.
Patrol Kills 5 Bandits in Attack By 250, 27 March 1950, hlm. 1.
[5] Prof. Khoo Kay Kim dan Adnan Hj.
Nawang (Penyunting). (1984. Darurat 1948-1960. Muzium Angkatan Tentera:
Kuala Lumpur, hlm. 116-117.
[6] The Straits Times, Wounded, Lay Among Dead For Two
Days, 28 March 1950, hlm. 5.
[7] Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan
Tanahair sebelum ini, hlm. 151.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan