Khamis, 24 Mac 1994/13 Syawal 1414H
Jam 00.01 minit...masuk hari baharu. Dalam kegelapan malam di ketinggian kebiasaannya ‘Flight Level 310’ (31,000 kaki) atau lebih, sebuah pesawat B747 MAS menyusur merentasi 2 benua. Dalam kabin yang tenang, di antara para penumpang, terdapat 12 anggota ‘Special Air Service (SAS)’ - pasukan elit Tentera Darat British dan 3 pakar ‘terowong (potholing)’ daripada Army School of Adventure Training di Ripon.[1] Mereka diatur gerak untuk menyertai pasukan RAF MRS dalam Op Gully Heights. Sementelah membabit SAS, pergerakan mereka berlangsung dalam suasana penuh rahsia.[2]
Seperti kumpulan MRS yang berlepas pada 15 Mac 1994, pesawat mereka juga meninggalkan Lapangan Terbang Heathrow, London, pada jam 10.00 malam (waktu tempatan). Mereka dijangka tiba di Kota Kinabalu pada jam 22.50 malam (waktu tempatan)[3] setelah menyambung penerbangan dari Lapangan Terbang Subang.
Di tebing Sg Penataran
Seperti biasa, selepas pada jam 6.30 pagi, Lt Zainal Abidin bersama anak buahnya melaksana rutin harian. Tidak lama kemudian, mereka mula mendaki bagi menyusur Sungai Penataran. Semasa pergerakan, kedengaran bunyi nyaring yang tidak asing bagi anggota platun - bunyi enjin Turbomeca Artouste IIIB turboshaft. Namun kelibat pesawat kecil itu tidak kelihatan akibat litupan hutan yang tebal. Anehnya, bunyi tersebut kini semakin kerap kedengaran di kawasan pencarian mereka. Keadaan ini membuat beliau berfikir:
“Mungkin pihak markas atasan telah dimaklumkan tentang penemuan barangan semalam, dan pihak TUDM kini mempergiatkan usaha mencari dengan memperkecilkan skop pencarian di kawasan ini.”[4]
Semangat platun melonjak. Mereka yakin berada di trek yang betul, menuju ke lokasi 5 anggota British tersebut. Namun demikian, perjalanan tidak semudah disangka. Mereka terpaksa menempuh “...sungai berbatu dengan bongkah sebesar rumah.”[5] Kesukaran laluan menyebabkan L/Kpl Mohd Azlin bin Saliman tergelincir lalu menghempap dua lagi anggota di bawahnya ketika mendaki tebing curam. Lt Zainal Abidin segera mengarah anak buahnya membantu ketiga-tiga mangsa.
L/Kpl Mohd Azlin mengalami kecederaan terseliuh pada kakinya dan sukar bergerak seperti biasa. Apabila malam mula menjelma dan keadaan gelap, Ketua Platun memutuskan agar mereka bermalam di situ. Keletihan membuat mereka tidur di atas bongkah-bongkah batu dan berbumbungkan langit. Malam itu, seperti biasa beliau menghantar sitrep kepada Markas Taktikal mengenai kecederaan tiga anggotanya. [6]
Kevin’s Cave
Sebelum sang suria menyinari ufuk timur, Lt Kol Robert Neill dan empat pendaki telah bangun dengan penuh harapan agar kedengaran sesuatu bunyi yang asing - bukan kicauan unggas atau deruan sungai. Bunyi yang boleh menyelamatkan mereka.
Kevin’s Cave - lokasi lima anggota ekspedisi yang hilang. Sumber: Google
Angkasa
389 ‘Alpha’ & ‘Bravo’
Selepas solat subuh, pada lebih kurang jam 5.40 pagi dua buah pesawat Alouette III masing-masing dengan nama panggilan Angkasa 389 ‘Alpha’ dan Angkasa 389 ‘Bravo’ berlepas dari dispersal No 5 Skuadron untuk penerbangan lebih kurang 40 minit ke Kota Kinabalu. Tugasan mereka ialah membawa beberapa anggota untuk tinjauan di Low’s Gully. Angkasa 389 ‘Alpha’ dikendali oleh Kapt Kamarudin bersama Sjn Wan Shaharuddin bin Wan Mat.[7] Pesawat kedua pula, M20-17, dikendali oleh Kapt Mohamad Izhar bin Hassan TUDM bersama Sjn Salleh.[8] Mereka mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada lebih kurang jam 6.30 pagi.
Kedua-dua kru Alouette III tidak perlu menunggu penumpang. Penumpang utama, iaitu Mej Jen John Foley (bawah) selaku Komander Pasukan British (Commander British Forces) di Hong Kong sudah berada di situ. Beliau dikerumuni oleh para wartawan. Beliau tiba dari Hong Kong pada 23 Mac 1994. Selaku komander yang dipertanggungjawab oleh ‘Assistant Chief of Defence Staff (Operations),’[9] Tentera Darat British, untuk mengawasi Op Gully Heights, beliau turun padang untuk mengetahui perkembangan operasi dan memberi bantuan jika perlu. Kemudahan untuk beliau membuat tinjauan udara dipermudah, apatah lagi beliau dan Brig Jen Hussin sama-sama alumni Royal Military Academy Sandhurst - ‘Old Boys.’
Pada mulanya, Kapt Kamarudin ditugas untuk membawa Mej Jen John Foley bersama Lt Kol Tony Schumacher dan Kpl Hugh Brittan. Bagaimanapun, pesawat beliau mengalami masalah. Lantaran itu, ketiga-tiga penumpang menaiki pesawat Kapt Mohamad Izhar. Pesawat berlepas pada lebih kurang jam 6.45 pagi. Mej Jen John Foley memberitahu kapten pesawat yang beliau mahu melihat kedudukan Low’s Gully secara menyeluruh sebelum meninjau jurang tersebut. Ekoran itu, juruterbang mengarah pesawat ke Gunung Kinabalu.
Di ketinggian ini, pengawalan pesawat menjadi ‘sloppy’ - pesawat tidak lagi responsif serta merta apabila mengaplikasi cyclic atau collective cyclic dan collective![10] Sebaik melepasi cabaran ini, juruterbang menurun pesawat di utara gunung. Dari situ, pesawat menyusuri jurang Low’s Gully. Kehadiran mereka disambut:
“...Dalam sekelip mata, dinding batu di kedua-dua sisi mereka kelihatan seolah-olah sedang bergerak ke atas dengan pantas: satu arus angin turun yang luar biasa, menerjah menuruni jurang, telah menolak mereka ke belakang dan ke bawah.”[11]
Dalam keadaan begini, Mej Jen John Foley dan kapten pesawat ternampak pancaran cahaya.
*****
Di Kevin’s Cave, sebaik
sahaja Mej Foster, L/Kpl Cheung Yiu Cheung (Kevin) dan
Pbt Lam Wai Ki (Victor) meletak haversack mereka di atas bongkah batu di
tengah sungai pada jam 7.15 pagi, terdengar bunyi yang ditunggu-tunggu. Sebuah
helikopter terbang tinggi di atas mereka. Sudah mereka begitu teruja. Lantas,
Kevin mengguna alat ‘flash light’ kamera Mej Foster ke arah pesawat.
Victor pula mengguna ‘headlamp’ memancar SOS mengguna ‘morse code.’[12] Lt Kol Robert Neill yang
masih berada dalam beg tidur dan Pbt Chow Wai Keung dalam gua, bergegas keluar
apabila mendengar bunyi enjin Turbomeca itu. Tetapi pesawat tersebut hilang
daripada penglihatan mereka!
Namun, mereka tidak berputus asa. Kelima-lima mereka berada di luar gua penuh dengan harapan mereka akan diselamatkan. Kedinginan angin memaksa Lt Kol Neill dan Pbt Chow masuk semula ke dalam gua.
Kapt Mohamad Izhar
membuat pusingan 180º. Tetapi apakan daya. Awan mula menyelimut lokasi pancaran
tersebut. Tidak apa yang boleh dilakukan, hanya terbang ke Kpg Bundu Tuhan. Beliau
mendapati Kapt Kamarudin yang membawa Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike
Elesmore (B) berada di situ. Sebaik mendarat, Mej Jen John Foley diberi
taklimat oleh PW Alastair Haverson tentang perkembangan pencarian anak buahnya.
Mej Jen John Foley memberitahu Ketua MRS mengenai pancaran cahaya .
Sedang taklimat berjalan, Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B) mengambil peluang untuk melaku tinjauan udara di kawasan jurang dan Kpg Melangkap Kappa. Objektif utama Flt Lt Mowbray ialah mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan ‘landing point (LP)’ pesawat Nuri berhampiran dasar jurang - kawasan yang masih belum dicapai oleh 16 RAMD.
Untuk melaksana tugasan ini, beliau merancang agar anggota SAS diturun melalui kaedah ‘winching’ daripada pesawat Nuri. Setelah berada di dasar jurang, anggota SAS akan menumbang pokok dengan bahan letupan bagi memboleh Nuri mendarat kemudian. Selain itu, Flt Lt Mowbray turut meninjau lokasi bagi penubuhan markas baharu berhampiran padang bola di Kpg Melangkap Kappa, bersebelahan Markas Taktikal No 16 RAMD.
Setelah membentang rancangan tersebut, si perancang berbincang dengan Kapt Kamarudin yang memberitahunya tiada sebarang halangan. Pesawat dengan empat ‘person on board (POB)’ itu berlepas menuju ke Low’s Gully.
Pada jam 10.20 pagi, deruan enjin yang nyaring akhirnya kedengaran oleh kelima-lima subjek SAR di dasar jurang. Kali ini, Lt Kol Robert Neill masih berada di dalam beg tidurnya, sementara Pbt Chow terlantar lemah akibat sakit belakang dan tidak keluar dari gua. Mej Foster, L/Kpl Cheung dan Pbt Lam yang masih berada di kawasan lapang segera memancarkan cahaya flashlight kamera dan headlamp ke arah langit. Namun, seperti sebelum ini, isyarat mereka tidak dikesan oleh pesawat.
Dua kekecewaan dalam jarak masa yang singkat!
Selesai meninjau dan merakam foto lokasi untuk winching, pesawat mendarat di Kampung Melangkap Kappa. Berdasarkan hasil pemerhatiannya, Flt Lt Mowbray memutus untuk menjadi Dewan Masyarakat kampung itu sebagai Markas Hadapan SAS. Seterusnya, mereka berlepas pulang ke Kota Kinabalu, melalui ruang udara Low’s Gully.
Setelah menurun penumpang dan mengisi semula bahan api, Kapt Kamarudin berlepas pulang ke Labuan, manakala Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B) bergegas ke Hotel Hyatt, Kota Kinabalu, bagi menghadiri sidang akhbar yang disampaikan oleh Mej Jen John Foley.
Sementara itu, Kapt Mohamad Izhar pula berlepas dari Kampung Bundu Tuhan ke Kota Kinabalu bagi menurun tiga penumpangnya. Selepas mengisi bahan api, beliau menerus penerbangan ke Kem Lok Kawi untuk bermalam di sana. Hari itu beliau mencatat 4.40 jam.
Sidang Akhbar
Dalam sidang akhbar tersebut, Mej Jen John Foley menegaskan bahawa operasi pencarian akan diteruskan walaupun kemajuannya perlahan. Beliau menegaskan: “Kami akan terus mencari selagi harapan untuk menemui mereka yang hilang masih ada.” [13]
Beliau turut mengumum bahawa 12 anggota penyelamat baharu akan diatur gerak ke Low’s Gully dengan serta-merta. Pasukan itu akan memula pencarian dari air terjun di dasar jurang ke kawasan yang telah dicapai oleh penyelamat 16 RAMD.[14]
Mej Jen John Foley dan Brig Jen Hussin semasa siding akhbar. Sumber: Richard Connaughton
Ketibaan SAS
Jam 10.50 malam - ketibaan 12 anggota SAS dan tiga ‘cave holers’ di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Mereka disambut oleh antara lain Lt Kol Tony Schumacher, Flt Lt Richard Mowbray, Lt Cdr Mike Elesmore (B) dan Lt Kdr Cliff Williams.
Sebaik melepasi pemeriksaan imigresen, pasukan penyelamat tersebut dibawa terus ke Outward Bound Sabah, kira-kira 18 kilometer dari lapangan terbang. Langkah ini diambil bagi mengelak kehadiran anggota SAS dihidu oleh pihak media. Di situ, Lt Cdr Mike Elesmore (B), yang pernah bertugas di pusat berkenaan, diberi kemudahan untuk menjadikan salah satu ruang sebagai markas kecil operasi.
Dalam taklimat malam itu, Lt Cdr Elesmore mencadang agar pencarian dilakukan dari bawah ke atas. Kaedah ini, menurutnya, dapat mengurang masalah bekalan, berbeza dengan laluan dari atas yang pernah ditempuhi oleh Lt Kol Robert Neill - yang memerlukan dua hingga tiga hari perjalanan sebelum sampai ke kawasan tumpuan pencarian. Walau bagaimanapun, beliau hanya mampu mencadang, bukan mengarah kerana kini beliau seorang pesara. Namun cadangan itu diterima. [15]
Dengan segala persiapan rapi, para penyelamat akhirnya melelapkan mata, menanti terbitnya fajar - permulaan hari yang bakal menentukan nasib lima anggota yang masih hilang di Low’s Gully.
Tetapi tidak untuk Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B). Tugasan mereka masih belum berakhir. Sebaik taklimat berakhir, mereka merentasi kegelapan malam menuju ke Kpg Melangkap Kappa.[16]
Bersambung...in sya Allah...
[1] Richard Connaughton. (1996). Descent
Into Chaos sebelum ini, hlm. 114.
[2] Lt Col Robert Neill & Major
Ron Foster. (1995). SOS. London: Century, hlm. 220; The Straits
Times, New team to search for missing soldiers, hlm. 21; Laporan oleh 372076 Lt
Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission At Low’s Gully sebelum ini.
[3] HQ British Forces, Hong Kong,
OPERATION GULLY HEIGHTS POST OPERATION REPORT, HK 10002/8 J3 OPS bertarikh 7
April 1994, hlm. 3.
[4]
Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi
Menyelamat Low’s Gully sebelum ini, hlm. 63.
[5] Ibid. hlm. 62.
[6] Ibid.
[7] Penjelasan oleh Lt Kol (B)
Kamarudin bin Hassan TUDM melalui telefon pada 16 Oktober 2025.
[8] Laksma (M) Dato’ Mohamad Izhar bin
Hassan (B), Buku
Harian Penerbangan Pemandu.
[9] HQ British Forces, Hong Kong sebelum ini, hlm. 1.
[10] Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’
Mohamad Ishar bin Hassan (B) melalui telefon pada 16 Oktober 2025.
[11] Lt Kol Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS. London: Century, hlm. 224
[12] Ibid. hlm. 115.
[13] The Straits Times, New team to
search for missing soldiers, 25 Mac 1994, hlm. 21.
[14] Ibid. hlm. 225.
[15] Lt Kol Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 226.
[16] Ibid., hlm. 229.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan