Sambungan
dari SINI
SOS
Jumaat, 25 Mac 1994/14 Syawal 1414H
Sg Penataran. Selepas sarapan pagi, Lt Zainal Abidin mengarah pasukannya mula bergerak. Namun, rentak pergerakan agak perlahan disebabkan tiga anggota mengalami kecederaan. Mereka diletak bersama Sarjan Platun di bahagian belakang. Di celah hutan tebal itu, mereka tiba-tiba terdengar bunyi nyaring enjin Turbomeca Artouste jelas di udara seolah-olah pesawat itu betul-betul di atas kepala mereka. Namun, kanopi hutan yang rapat menelan sepenuhnya kelibat pesawat.
Kevin’s Cave. Hari kedua puluh di gua; jam 7.30 pagi. Sebaik sahaja sinar pertama sang suria menembusi celah batu, lima subjek pencarian itu sudah terjaga. Harapan mereka hanya satu - kemunculan helikopter...talian hayat! Buat pertama kali, cuaca begitu cerah. Langit biru membentang luas di hadapan pintu gua - suatu pemandangan yang seolah-olah memberi isyarat penyelamat bakal tiba. Namun, tatkala jarum jam mencecah 8.00 pagi, langit kekal membisu. Tiada deruman enjin. Tiada bayang pesawat.
Kekecewaan Lt Kol Robert Neill dicatat dalam diarinya. Beliau menganggap pihak berkuasa Malaysia masih belum melancarkan operasi mencari. Nada yang sama terakam dalam catatan Mejar Foster - luahan marah dan kecewa. Beliau mempersoal sama ada pihak berkuasa Malaysia sudah memulakan operasi, dan jika sudah, adakah mereka telah memaklum UK bahawa lima anggota British tersebut tidak ditemui. Kemarahan itu menebal hingga terlintas di hatinya - andai mampu, mahu sahaja dibakar seluruh hutan yang mengurung mereka.[1]
Sungguh jauh terlencong tanggapan mereka!
Kota Kinabalu. Pada jam 6.00 pagi di Kota Kinabalu, sejumlah anggota SAS mula bergerak dari Outward Bound Sabah menuju ke Kampung Bundu Tuhan dengan kenderaan.[3] Manakala sekumpulan lagi bergerak ke Kpg Nahandang Melangkap.[4] Sementara itu, Kapt Mohd Izhar bersama Sjn Salleh - masih mengguna nama panggilan ‘Angkasa 389 Bravo’ - berlepas dari Kem Lok Kawi ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Di situ, mereka mengambil dua anggota SAS untuk dibawa ke Kpg Nahandang Melangkap.[5]
Pesawat berlepas pada lebih kurang jam 6.45 pagi. Sementelah cuaca begitu elok pagi itu, Kapt Mohamad Izhar mengendali pesawatnya ke Low’s Gully supaya dua anggota SAS dapat meninjau kawasan yang mereka akan beroperasi nanti. Ketika pesawat berada pada ketinggian kira-kira 7,000 kaki, jam menunjukkan 7.15 pagi.[6] Dari kokpit, Kapt Mohd Izhar terlihat sesuatu pergerakan di dasar jurang.
Pada saat yang sama, di dasar jurang - 7.15 pagi - lima anggota yang hilang mendengar bunyi yang tidak asing lagi kepada mereka. Tatkala Alouette III melintas di atas, Mej Foster segera memancar cahaya dari flashlight kamera untuk menarik perhatian juruterbang. Mereka melihat pesawat itu berlegar sebentar sebelum berpaling arah. Permulaan hari baharu di hidang dengan kekecewaan!
Dengan nada kecewa, Lt Kol Robert Neill menulis dalam diarinya:
“Helikopter kedengaran. Harapan sentiasa ada, tetapi Chow dan saya tidak bergerak dari beg kami. Kami sudah terlalu kerap melakukannya sebelum ini. Salah satu penerbangan kelihatan berada di atas kepala. Tidak boleh terlalu yakin, kerana kekecewaan itu menyakitkan. Helikopter itu telah beredar semula. Semua orang mendengar dengan penuh tumpuan.”[7]
*****
Flt Lt Richard Mowbray dan
Lt Cdr Mike Elesmore (B) menunggu ketibaan dua anggota SAS di Kpg Nahandang Melangkap.
Setelah berbincang dengan mereka, Flt Lt Richard Mowbray mendekati kapten
pesawat. Sebagai seorang anggota tentera, Kapt Mohamad Izhar tertanya-tanya
bila melihat kelengkapan yang dibawa oleh kumpulan penyelamat British yang
baharu. Mereka dilengkap dengan gogal penglihatan malam (night vision goggle)
alat komunikasi yang canggih, kelengkapan yang jarang sekali dilihat digunakan
selain oleh pasukan infantri elit. Dengan nada ingin tahu, beliau menyoal salah
seorang daripada mereka tentang unit asal mereka. Jawapan yang diterima ringkas
namun padat dengan makna: “SAS” - pasukan elit British yang terkenal dengan
ketangkasan dan ketepatan dalam operasi khas.
Flt Lt Mowbray bertanya kepada Kapt Mohamad Izhar sama ada pesawatnya masih mempunyai bahan api yang mencukupi. Jika ya, beliau mahu membawa dua anggota SAS itu untuk melaku tinjauan udara di jurang berkenaan. Setelah meneliti bacaan tolok bahan api, Kapt Mohamad Izhar mengangguk – bahan api mencukupi, namun pesawat kecil itu hanya mampu membawa dua orang tambahan. Mendengar jawapan itu, Flt Lt Mowbray berundur diri. Beliau berpesan kepada Kapt Mohamad Izhar supaya “...Terbang ke lokasi yang kita pergi semalam - ke bahagian yang sama di jurang itu. Tunjukkan lubang winch dan kontur 2,000 meter.”[8]
Dengan pesanan itu, pesawat dengan ‘four POB (person on board)’ berlepas meninggal padang kecil kampung itu menuju semula ke jurang yang tersembunyi di perut Gunung Kinabalu, tempat misteri yang menyimpan nasib pasukan pendaki yang masih belum ditemui. Seperti yang dialami kelmarin (24 Mac), Kapt Mohamad Izhar ternampak pancaran cahaya dan kelibat seseorang ketika pesawat melintasi kawasan berkenaan. Kali ini, beliau nekad untuk mengesah sama ada individu itu daripada 16 RAMD atau lima orang yang mereka cari. Lantaran itu, beliau memusing sambil menurun pesawatnya bagi mendapat pengesahan visual.
Ketika proses mengolah gerak itu, kapten pesawat ternampak ‘SOS’ dengan batu-batu putih di atas bongkah batu berwarna gelap di tebing sungai. Walaupun sudah lebih tiga dekad berlalu, Kapt Mohamad Izhar masih ingat dengan jelas melihat “Foster yang tinggi orangnya berseluar pendek tanpa baju dan dua anggota Cina melompat-lompat sambil melambai-lambai tangan.”[9] Beliau lalu memancar lampu pesawat sebagai isyarat bahawa mereka telah ditemui.[10] Sah. Lima anggota yang hilang masih hidup.
Tiba-tiba pesawat berhadapan dengan tiupan angin kencang. Bimbang keadaan menjadi tidak terkawal, Kapt Mohamad Izhar memutus untuk terbang balik ke Kpg Nahandang Melangkap. Di waktu yang sama, beliau cuba menghubungi markas melalui radio, namun gagal - kedudukan pesawat yang rendah di curang yang tinggi menghalang capaian isyarat.[11]
Pesawat mendarat pada jam 10.15 pagi. Sebaik mendarat, Kapt Mohamad Izhar melapor: “Kami nampak beberapa orang di atas batu di dalam jurang itu. Mereka masih hidup. Mereka telah menanda isyarat SOS pada bongkah batu. Mereka terkandas di antara dua air terjun yang curam pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut.”[12] Suasana di lokasi itu berubah daripada agak suram ke kegembiraan. Dengan penemuan itu, episod 10 hari (15-25 Mac) pencarian ternoktah.
Bersambung...in
syaa Allah...
[1] Lt Kol Robert Neill &
Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 228; Laporan oleh 372076
Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 2; Penjelasan
oleh PW U II Sandiran a/l Gopal (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 24 Oktober
2025. Dua penulis tersebut mencatat Kpg Melangkap Kapa sebagai Markas Hadapan penyelamat
British yang turut menempat elemen 16 RAMD. Sebaliknya dalam laporan Lt Gabriel
mencatat Kpg Nahandang Melangkap sebagai lokasi aktiviti dalam operasi ini
selain Kpg Bundu Tuhan. Sementara itu, PW U 1 Gobiraja a/l Ayayoo (B) memberitahu mereka dimaklum
semasa taklimat di Markas 5 BIM, Lok Kawi, pos hadapan ialah di Kpg Nahandang Melangkap.
Di situ telah disedia bahan api untuk pesawat dan juga rangsum untuk dihantar
kepada pasukan pencari daripada 16 RAMD. Jarak antara Kpg Melangkap Kapa dan Kpg
Nahandang Melangkap hanya lebih kurang 8-9 km.
[2] Lt Kol Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 229.
[3] HQ British Forces, Hong Kong,
OPERATION GULLY HEIGHTS sebelum
ini, hlm. 3; Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue
Mission sebelum ini, hlm. 2. Lt Gabriel mencatat mengambil lapan anggota
SAS di Kpg Bundu Tuhan ke Kpg Nahandang Melangkap.
[4] Lt Kol Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS
sebelum ini, hlm. 229.
[5] Ibid.
[6] Richard
Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum
ini, hlm.
116.
[7] Lt Kol Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 230.
[9] Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’
Mohamad Ishar bin Hassan (B) melalui telefon pada 16 Oktober 2025.
[10] Lt Kol Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 231.
[11] Ibid.
[12] Keratan akhbar tanpa nama akhbar, tarikh, dan halaman bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” daripada ‘Scrap Book’ No 7 Skuadron, PU Kuching.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan