Sambungan dari SINI
Berpecah
23 Mac 1994/11 Ramadan 1414H...
Seperti dirancang, Neill dan anggotanya mula bergerak menuju Low’s Peak sekitar jam 3.00 pagi. Namun, seperti sebelumnya, pergerakan kumpulan itu tidak lancar. Pendakian sejauh kira-kira 1 km dari Panalaban ke Sayat-Sayat mendedah tahap sebenar kecergasan fizikal Neill, Foster, Mann dan tiga anggota Cina yang semakin tertekan oleh kekurangan oksigen dan keletihan.
Di puncak, dalam kesejukan yang mencucuk tulang dan berkongsi ruang dengan lain-lain pendaki lain, termasuk dari Jepun, United Kingdom dan Australia, mereka akhirnya menyaksi sinar mentari menyingsing di ufuk timur.[1] Namun, mereka tidak sempat lama menikmati keindahan ciptaan-Nya itu. Pada ketinggian 13,435 kaki, Foster, Page, Mann, Cheung, Chow, dan Lam mula menunjuk simptom awal sakit ketinggian - pening, loya dan kelemahan fizikal yang ketara. Keadaan itu memaksa mereka segera menuruni puncak.
Sebaik sahaja turun, Brittan, Mayfield, Shearer, dan Page pergi ke Sayat-Sayat dan menunggu ketibaan kumpulan Neill. Sementara itu, Neill bersama lima anggota lain meneroka rabung gunung serta kawasan dataran tinggi. Ketika melihat jurang yang menjunam sedalam 3,000 kaki, ketiga-tiga anggota kaum Cina - melalui Cheung -memberitahu Mann bahawa mereka tidak mahu meneruskan ekspedisi ini. Jurang itu menjadi peringatan jelas bahawa ekspedisi ini bukan lagi soal ketahanan fizikal semata-mata, tetapi soal hidup dan mati. Namun, Mann enggan menjadi perantara dan menyaran mereka menyampai hasrat itu sendiri kepada Neill. Keputusan Mann itu telah menutup satu-satunya saluran suara yang mereka ada.
Apabila
kumpulan Neill tiba berhampiran Sayat-Sayat, tiga anggota Cina menjalani
latihan memanjat batu dan abseiling di bawah pengawasan Mayfield selama hampir
dua jam. Selesai latihan, kumpulan Mayfield mengambil beg galas mereka dan
bergerak ke Easy Valley sebagai permulaan menakluki
jurang Low’s Gully. Sementara itu, Neill mengarah anggota kumpulannya untuk
meninggal bekalan di situ dan kembali ke Panalaban dengan bag galas kosong untuk
malam terakhir di situ.
Cheung sekali lagi meminta Mann menyampaikan hasrat mereka untuk tidak meneruskan ekspedisi. Kali ini, Mann akur dan menyampaikannya kepada Neill. Namun jawapan ketua ekspedisi itu tegas dan tidak bertolak ansur - sebarang keputusan mesti disampaikan terus kepadanya, bukan melalui orang perantara.[2] Sejak hari itu, ekspedisi ini terbahagi kepada dua kumpulan: Kumpulan A - kumpulan hadapan/perintis terdiri daripada Brittan, Mayfield, Shearer, dan Page. Kumpulan B pula diketuai Neill bersama Faster, Mann dan tiga anggota Hong Kong. Menjelang malam, tanpa disedari oleh semua pihak, ekspedisi ini tidak lagi bergerak sebagai satu pasukan.
*****
24 Mac 1994/12 Ramadan 1414H...
Mann bersama tiga anggota Cina tiba di lokasi RV pada jam 1.15 tengah hari - jauh lebih awal daripada jangkaan. Hanya selepas itu, Neill dan Foster muncul. Ketibaan mereka disambut dengan satu hakikat yang membingungkan: tiada seorang pun daripada kumpulan perintis berada di situ! Semasa meninjau di situ, mereka menemui nota yang ditulis oleh Brittan supaya mengikuti petanda yang diperbuat daripada batu.
Tanpa pengetahuan Neill, pada masa yang sama kumpulan perintis telah bergerak sejurus selepas sarapan pagi untuk menebas laluan meredah satu jalur semak tebal menggunakan parang, bagi memudahkan pergerakan kumpulan utama kemudian. Selepas hampir empat jam bertungkus lumus, mereka menemui satu lokasi yang sesuai untuk RV kedua. Lokasi itu dinamakan ‘Alphabet Rock.’ Namun, disebabkan tumpuan penuh terhadap tugasan tersebut, kumpulan perintis terlepas waktu RV dengan Neill. Menyedari keadaan itu dan disebabkan keletihan, mereka mengambil keputusan untuk menunggu ketibaan kumpulan ketua ekspedisi dan bermalam di situ sahaja. Bagi memudah pengecaman dari jauh, Mayfield memasang panel kanvas berwarna merah sebagai penanda.[3] Panel ini membuahkan hasil apabila kumpulan belakang melihatnya. Neill pula, tanpa mengetahui kedudukan sebenar kumpulan perintis, membuat keputusan yang sama - bermalam di RV pertama.
Dua keputusan yang dibuat secara berasingan, di dua lokasi yang berbeza, menjadi permulaan kepada satu rantaian peristiwa yang bakal mengubah perjalanan ekspedisi ini sepenuhnya.
*****
25 Mac 1994/13 Ramadan 1414H...
Terdiam Neill dibuatnya. Kini giliran Mann pula terkejut apabila ketua ekspedisi bersetuju dengan hasratnya. Beliau dan Foster dengan membawa separuh belakan akan mengiringi Mann ke Alphabet Rock. Di sana nanti, kedua-dua pegawai itu akan meninggalkan bekalan yang dibawa dan balik ke RV pertama. Apabila tiba di satu bongkah batu besar, Neill memutuskan untuk tidak menerus penurunan ke RV kedua atas alasan keselamatan anggota Hong Kong. Dengan itu, kedua-dua pegawai tersebut mendaki semula ke penempatan mereka bersama beg galas kosong. Sementara itu, Mann yang juga meninggalkan peti berwarna kuning yang ditempah khas untuk kamera video, mula menurun ke penempatan kumpulan perintis.[5] Dengan penyertaan Mann dalam kumpulan perintis, kedua-dua kumpulan mempunyai lima anggota.
*****
26 Mac 1994/14 Ramadan
1414H...
Pada jam 7.00 pagi, Mann mendaki ke lokasi Neill. Beliau memaklum ketua ekspedisi bahawa kumpulan perintis menunggu mereka di RV Alphabet Rock. Beliau juga meminta kebenaran supaya kumpulan perintis menerus pergerakan untuk merintis laluan untuk mereka. Neill yang kesihatannya mula merosot, dipercayai berhadapan dengan ‘viral fever,’ tiada halangan terhadap permohonan itu. Dengan itu, Mann bergerak semula ke Alphabet Rock dan tiba pada jam 9.00 pagi. Kali terakhir beliau bertemu Neill sepanjang tempuh ekspedisi. Ketua ekspedisi dan kumpulannya pula mula bergerak dan tiba di RV Alphabet Rock pada jam 11.00 pagi. Sekali lagi, ketua ekspedisi mendapati kumpulan perintis tiada di situ. Oleh kerana Neill masih berhadapan dengan masalah kesihatan, mereka bermalam di situ.
*****
Sejak
RV pertama lagi, kumpulan perintis terpaksa berulang kali menunggu ketibaan
kumpulan Neill, sesuatu yang semakin membosankan mereka. Justeru, apabila Mann
tiba berseorangan di Alphabet Rock pada jam 9.00 pagi dengan membawa
kotak kamera videonya, mereka membuat keputusan untuk menerus pergerakan tanpa
menunggu ketua ekspedisi itu, yang ketibaannya masih tidak menentu.
Laluan seterusnya memerlukan tiga abseiling merentasi cerun curam dan anak sungai mengalir di bawahnya. Semasa tinjauan di kawasan tersebut, mereka menemui sebuah gua yang boleh memuatkan kelima-lima mereka. Dengan penemuan itu, mereka membuat keputusan untuk bermalam di situ dan menunggu ketibaan kumpulan di belakang.
*****
27 Mac 1994/15 Ramadan 1414H...
Pada jam 9.00 pagi, Mayfield mendaki ke Alphabet Rock untuk melaporkan perkembangan terkini dan tiba kira-kira jam 9.45 pagi. Beliau menekankan bahawa bekalan makanan semakin berkurangan, dengan harapan Neill akan membatalkan ekspedisi. Namun, sebaliknya yang berlaku - Neill tetap nekad untuk meneruskan objektifnya.
Ekoran keputusan itu, Mayfield memaklumkan bahawa kumpulannya akan menuruni ke dasar Low’s Gully dan menunggu ketibaan Neill. Ketua ekspedisi itu yakin mereka akan membuat RV di situ sebelum malam. Mayfield, yang skeptikal terhadap keupayaan Neill serta faktor bekalan, menegaskan kumpulannya hanya akan menunggu mereka sehingga pagi esok, 28 Mac, sebelum meneruskan pergerakan.[6]
Sebelum kembali ke penempatan mereka, Mayfield meminta empat utas tali untuk kegunaan abseiling bagi mengurang beban yang terpaksa dipikul oleh Neill. Kumpulan perintis kemudiannya mara sehingga tiba di satu jurang granit yang amat curam. Dari tepi jurang itu, mereka menyedari bahawa apa yang disangka sebagai penghujung rabung sebenarnya hanyalah rabung palsu - di sebaliknya terbentang penurunan yang hampir menegak yang dalam, sehingga dasar jurang langsung tidak kelihatan. Satu cabaran yang begitu getir dan penuh dengan risiko - hidup atau mati!
Keadaan ini memaksa penilaian segera dibuat. Mereka berdepan dua pilihan: pertama, melaksanakan abseil ke dasar jurang - berisiko tinggi tetapi menjimatkan masa dan bekalan, sekali gus memasti kesinambungan misi penawanan Low’s Gully; atau kedua, meredah hutan tebal menuju kaki gunung tanpa kepastian tempoh, sedangkan bekalan semakin berkurangan dan gagal mencapai objektif ekspedisi!
Setelah menilai risiko dan implikasi logistik, keputusan dibuat untuk melaksanakan abseil. Kesemua anggota perintis akhirnya selamat mencecah dasar jurang, dan pergerakan operasi dapat diteruskan. Semenjak penurunan selepas Alphabet Rock, mereka telah melakukan 12 siri abseiling dengan ketinggian sekitar 1,800 kaki dan mengambil masa kira-kira lima jam untuk mencecah dasar Low’s Gully.[7] Kini mereka berada pada tahap kritikal tanpa boleh lagi berundur. Pilihan yang ada hanya satu - maju ke hadapan. Seperti yang dijanjikan, mereka menunggu ketibaan kumpulan Neill.
*****
28 Mac 1994/16 Ramadan 1414H...
Selepas tiga kali abseiling mengguna tali yang ditinggalkan oleh kumpulan hadapan, Neill akhirnya tiba di penempatan kumpulan perintis sebelum itu. Apabila menilai kecuraman cerun yang menanti di hadapan, ketua ekspedisi itu menyedari bahawa mereka telah melepasi titik tidak boleh berundur - sebarang percubaan untuk berpatah balik kini bukan lagi satu pilihan ekspedisi. Pergerakan seterusnya hanya boleh diteruskan dengan bantuan Mayfield.
Sementara menunggu, Foster membuat tinjauan kawasan melalui abseil, manakala Cheung menemui sebuah gua yang sebelum itu dijadikan tempat berlindung oleh kumpulan perintis. Mereka berehat di situ sementara menunggu ketibaan bantuan, dan gua tersebut kemudiannya dinamakan Kevin’s Cave, sempena nama gelaran Cheung selaku penemunya.
Setelah lama menunggu, pakar abseiling masih tidak kelihatan. Neill - sebagai ketua yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan ekspedisi serta mengambil kira tahap kesihatannya sendiri - membuat penilaian muktamad bahawa kumpulannya kini terperangkap di lokasi berketinggian kira-kira 6,000 kaki.
*****
Perjalanan
kumpulan perintis tidak begitu lancar. Mereka berhadapan dengan pelbagai
halangan. Keadaan bertambah mencabar apabila hujan mula turun pada 1 Mac 1994.[8]
Dinding granit dan bongkah batu menjadi licin manakala sungai dengan arus deras
mulai melimpah. Selain itu, mereka juga berhadapan pendakian bukit yang curam
dan licin. Kecelakaan pertama melibatkan Shearer apabila jatuh dari ketinggian
60 kaki semasa abseiling. Beliau terselamat kerana jatuh atas beg galasnya
namun mengalami kecederaan parah pada kakinya. Kecederaan ini menjejaskan lagi
pergerakan mereka.
Mereka tiba di satu kawasan tinggi untuk bermalam. Bagaimanapun, kawasan itu tidak boleh memuat kelima-lima mereka. Justeru, Mann dan Mayfield bermalam di satu kawasan di bawah. Pagi-pagi keesokan hari, 6 Mac, mereka menaiki bukit dan melihat tiga rakan mereka masih belum bersedia untuk bergerak. Tidak sedia menunggu mereka, Mann dan Mayfield menerus perjalanan mengikuti satu trek. Apabila tiba di persimpangan, mereka mengambil arah timur sebelum menukar arah ke utara menyusur anak sungai membawa ke Sg Panataran. Sementara itu, Brittan, Shearer dan Page yang bergerak 30 minit kemudian, mengambil arah ke barat. Dengan itu, kini kumpulan perintis telah terpisah.
Kumpulan Brittan akhirnya tiba di Kpg Melangkap Tamis pada lewat petang 11 Mac 1994. Penduduk kampung itu terkejut kemunculan tiga orang ‘mat saleh’ dalam keadaan tidak terurus dan kebuluran setelah enam hari tidak makan manakala seorang cedera. Tipikal hospitaliti orang Malaysia, selepas memberi rawatan awal kepada Shearer dan makan dengan apa yang termampu, mereka bermalam di situ. Keesokan hari, 12 Mac, mereka seterusnya di bawa ke Travellers’ Rest di Kota Kinabalu.
Brittan kemudiannya menghubungi syarikat penerbangan bagi mengesahkan sama ada kumpulan Neill telah berlepas ke Hong Kong pada 9 Mac seperti dijadualkan. Pengesahan negatif itu mendorong beliau terus ke Ibu Pejabat Taman Kinabalu untuk menemui Eric Wong, Warden taman berkenaan. Wong nyata terkejut apabila Brittan bertanya tentang Neill. Beliau tersedar bahawa ketua ekspedisi itu sebelum ini telah memaklum akan melapor diri kepadanya pada 4 Mac - namun kini sudah 18 hari berlalu tanpa sebarang khabar. Menyedari keseriusan keadaan, Wong segera menempah sebuah helikopter bagi melaksana tinjauan udara bersama Brittan dan Page di kawasan Low’s Gully pada pagi 13 Mac.
*****
Sementara
itu, Mann telah jatuh setinggi 40 kaki dan dua jarinya cedera parah akibat
terkena parang yang dibawanya. Mayfield membalut luka itu dan memaksa Mann
untuk menerus perjalanan. Bagi meringan bebanan, setelah mengambil pasport,
kamera dan cenderahati yang dibeli kedai
Taman Kinabalu, Mann meninggal beg galas dan lain-lain peralatan. Mereka tiba di
Kpg Melangkap Kappa. Kini giliran penduduk kampung
tersebut terkejut melihat dua orang mat saleh muncul di kampung mereka.
Kesakitan luka Mann berkurangan apabila dirawat secara tradisional. Mereka
diberitahu tiga rakan mereka tiba di Kpg Melangkap Tamis 11 Mac. Selain itu,
mereka tertidur kerana keletihan. Mereka digerak oleh wanita yang mereka
pakaian. Sementelah kebetulan ada sebuah kenderaan yang akan pergi ke Kota
Kinabalu. Tanpa berlengah, mereka menumpang kenderaan tersebut dan diturun
berhampiran Travellers’ Rest. Dengan itu, kesemua anggota kumpulan perintis
selamat melaksana ekspedisi.

Pada pagi 13 Mac, sebuah helikopter Sabah Air yang membawa Eric Wong bersama Brittan dan Page berlepas ke Low’s Gully.[9] Namun, mereka gagal mengesan kumpulan yang dicari walaupun Neill dan anggotanya cuba menarik perhatian pesawat tersebut. Helikopter itu akhirnya berpatah balik ke Kota Kinabalu. Kegagalan mengesan sebarang petunjuk dari udara membawa kepada kesimpulan yang membimbangkan - kumpulan ketua ekspedisi, yang dipercayai kehabisan bekalan, telah hilang!
[2] Ibid., hlm. 62.
[4] Rich Mayfield with Bob Mann.
(1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 128.
[5] Ibid., hlm. 128.
[6] Ibid., hlm. 141; Lt
Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 94.
[7] Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu
Escape sebelum ini, hlm. 149.
[8] Richard Connaughton. (1996). Descent
Into Chaos sebelum ini, hlm. 77.
[9] Rich Mayfield with Bob Mann.
(1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 241.
