Sambungan dari Klik Di Sini
Hari Keempat: 16 Ogos 1978/20 Ramadan 1398H
Di TUDM Butterworth. Pada
pagi itu, sebuah Nuri, FM1725 dan sebuah helikopter gempur diperuntukkan untuk
detasmen di Kroh. Faktor menentukan pemilihan pesawat bagi tujuan itu bersandar
kepada jumlah jam yang ada sebelum ia menjalani penyelenggaraan berjadual.
Giliran detasmen kali ini pula ialah Mej (U) Stephen Ngiau, iaitu Ketua No 3
Skuadron dan Sjn Baki sebagai jurumesingan yang mengendalikan helikopter gempur.
Mereka akan mengganti Kapt (U) Jalil Ghani dan Sjn Baharuddin. Manakala kru
Nuri pula ialah Kapt (U) Chong K.L.
(Ketua Flait Nuri), Lt
M (U) Johan Othman dan Sjn Mohsain yang akan mengganti
kru Lt (U) Zainal Piee.
Semasa berjalan menuju Nuri FM1725
sambil membimbing beg ‘night stop kit’, Lt M (U) Johan Othman sempat berfikir:
“Apakah yang menanti aku nanti!” Kebimbangannya memang ada asasnya. Beliau
sedia maklum petualang negara begitu rakus menjadikan Nuri sebagai bahan
buruan. Ini terbukti apabila si Burung Besi ditembak musuh tiga hari
berturut-turut dan telah mencederakan Sjn Patrick Lee dua hari sebelum itu (14
Ogos 1978). Malahan pada malam tadi (15 Ogos 1978), semasa berbaring sebelum
terlelap, beliau terbayang bahawa beliau
terkorban keesokan hari (16 Ogos) dan kaum keluarganya datang menabur bunga di
atas pusaranya. Di waktu itu beliau masih bujang. “Ah...Lupakan saja itu semua.
Ajal maut di tangan Allah.” Terus terlelap! Namun kebimbangan Lt M (U) Johan
Othman lenyap sebaik sahaja kedua-dua pesawat berlepas ke Kroh.
Tidak lama kemudian, sebuah Nuri yang
dikendalikan oleh Kapt (U) Nor Ibrahim bersama Lt M (U) Adzli dan PW 1 Abdullah
bin Basiron serta Sjn Raju belepas ke Kroh untuk tugasan komunikasi. Pada lewat
pagi hari itu juga, sebuah Nuri ditugaskan membuat tugasan komunikasi khas ke
padang polo berhadapan Hospital Pulau Pinang dan seterusnya ke Kroh sebelum
balik Butterworth. Para penumpang terdiri daripada Brig Jen Mohamed bin Ngah
Said, Panglima Operasi Udara (Pangud) dan rombongan dari Kuala Lumpur, termasuk
Lt Kol (U) Richard Jalleh, Ketua POTU. Nuri ditembak tiga hari berturut-turut
membimbangkan Pangud. Justeru, beliau mahu turun padang untuk meninjau keadaan
keselamatan kawasan operasi yang mengancam keselamatan anak buahnya. Sebelum ke
Kroh, beliau juga mahu melawat anggota pasukan keselamatan yang cedera di
hospital tersebut.
Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada Lt
(U) Mohd Amin bersama Lt M (U) Mohd Som dan Sjn Gregory Charles. Sebelum
pesawat yang membawa Pangud mendarat di Butterworth, kru ‘taxiing’ pesawat FM1723 dari dispersal No 3 Skuadron ke
Pergerakan Udara. Selain Kol (U) Fauzi bin Hussein dan beberapa orang pegawai
kanannya, kru detasmen No 6 Skuadron, TUDM Kuantan yang diketuai oleh Mej (U) Abdullah Mohamed bersama beberapa juruterbang
pesawat Tebuan sedang menunggu ketibaan Pangud. Sebaik sahaja para tetamu tiba,
Nuri berlepas ke Pulau Pinang dengan para tetamu dan disertai oleh Kol (U)
Fauzi, Mej (U) Abdullah Mohamed dan juruterbang Tebuan. Mereka berada di hospital
buat beberapa waktu sebelum berlepas ke Kroh seperti yang dijadualkan.
Di Kroh. Ketibaan
kedua-dua dari Butterworth disambut oleh Kapt Abdul Jalil dan Sjn Baharuddin, Lt
(U) Zainal Piee dan kru. Maklum sajalah,
bos datang untuk mengganti mereka! Mej (U) Stephen Ngiau seterus bertanya
khabar kepada anggota kejuruteraan yang turut membuat detasmen serta anggota
TPU. Seterusnya keempat-empat set kru berjalan ke CTFHQ
yang terletak di atas bukit berhampiran untuk mendengar taklimat mengenai laporan
keselamatan oleh Pegawai Risik 2 BIM, Kapt Mahbob. Manakala Mej (U) Harun bin
Ayub, selaku PBUB pula memaklumkan tugasan mereka hari itu. Lt Kol (U) Su K.C.
yang bermalam di Kroh turut mendengar taklimat tersebut.
Tugasan untuk hari itu untuk kedua-dua
Nuri ialah melakukan ulang bekal ke
beberapa LP tetapi tidak melibatkan LP
Victor. Perlaksanaan tugasan Nuri diiringi oleh helikopter gempur yang
dikendalikan oleh Mej (U) Stephen Ngiau. Mereka berjaya melaksanakan tugasan
sebelum tengah hari. Kapt (U) Chong K.L. seterusnya memberitahu Lt (U) Zainal Piee bahawa beliau (Lt (U) Zainal Piee)
boleh balik ke Butterworth bila-bila masa. Lampu hijau sudah diberi. Namun
mereka membuat keputusan untuk berehat sebelum terbang balik ke Butterworth.
Tetapi kebebasan ini tidak dipanjangkan
kepada kru helikopter gempur. Mereka boleh terbang balik pada lewat petang hari
nanti. Seterusnya, Mej (U) Stephen Ngiau dan Kapt (U) Chong K.L. pergi ke Mes
Pegawai untuk makan tengah hari sementara lain-lain kru berehat di khemah
berhampiran landasan terbang untuk melalikan puasa. Kru Kapt (U) Nor Ibrahim
juga berehat di khemah sebelum berlepas balik ke Butterworth. Sjn Mohsain bersama
anggota kejuruteraan serta TPU mula menyediakan makanan untuk berbuka puasa
nanti. Untuk hari itu, Sjn Mohsain menyedia bahan
untuk cucur kodok tepung. Sambil menggoreng cucur itu, beliau berbual dengan anggota
TPU, iaitu Kpl Shafie, L/Kpl Ismail bin Ahmad dan Tpr Jamian bin Wahab.
Perbualan mereka berkisar pengalaman
sebagai anggota komando dan keluarga. Bab keluarga ini sungguh menggembirakan
L/Kpl Ismail Ahmad. Terpancar senyuman L/Kpl Ismail Ahmad memberitahu bahawa
tidak lama lagi beliau akan bergelar bapa dan akan menimang anak pertama
setelah tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Di LP Victor. Walaupun
LP Victor diserang musuh negara semasa Nuri mendarat untuk mengambil dua
jenazah wira negara semalam, 15 Ogos 1978, rondaan keselamatan di
persekitaran LP tetap dilaksanakan. Pada
pagi itu, Ketua Kompeni mengarahkan 17656 Sjn Abdul Aziz bin Kassim, pemangku Kompeni
Sarjan Mejar (KSM) membawa satu seksyen melakukan rondaan tersebut. Pergerakan seksyen yang terdiri daripada lebih
kurang 10 orang didahului oleh 30633 Pbt Majeni bin Abd Rahman selaku peninjau
pertama.
Pada lebih kurang jam 12:10 tengah hari,
ketika berada di lokasi di GR QG 467296, iaitu lebih kurang 300 meter dari LP,
Pbt Majeni mendapati sebatang pokok melintang di laluan mereka. Semasa beliau
melangkah pokok tersebut: “bang...bang...bang.” Segerombolan musuh menembak
mereka. “Ya Allah”, jerit Pbt Majeni sebelum tersungkur
dek perutnya terkena peluru musuh. Lantas Sjn Abdul Aziz dan lain-lain anggotanya membalas
tembakan terhadap musuh.
Pertempuran tidak lama. Musuh
laknatullah bergerak dalam kumpulan kecil dan guna taktik ‘tembak dan lari’ (hit
and run). Selepas bertembung mereka dengan segera beredar. Sebaik sahaja memastikan
musuh sudah beredar, Sjn Abdul Aziz menyuntik morfin
kepada Pbt Majeni untuk menenteramnya kerana
terlampau sakit. Keutamaan Sjn Abdul Aziz adalah membawa anak buahnya balik ke
pangkalan. Bagi tujuan itu, beliau mengarahnya anggotanya membuat strecer menggunakan hammock dan dahan
pokok. Bukan masanya untuk memburu dan membunuh kerana mereka akan berhadapan
dengan jerangkap samar yang banyak
ditanam oleh musuh. Mereka berhadapan dengan musuh yang memahami kawasan
operasi seperti tapak tangan mereka. Lagi pula beliau hanya diarahkan untuk
melakukan rondaan di persekitaran LP Victor.
Sebaik sahaja mendengar tembak-menembak tersebut, Ketua Kompeni mengarahkan ‘stand- to’. Beliau yang sedia maklum taktik musuh, mengarahkan beberapa anggota untuk membantu seksyen Sjn Abdul Aziz sebaik sahaja tembakan berhenti. Seperti yang dialami sebelum ini, tugasan ini menguji iman mereka. Memang perit mendaki bukit dengan bebanan mengusung Pbt Majeni. Bagaimanapun, mereka tidak tunduk kepada dugaan ini. Ibadah puasa sama sekali tidak diabaikan dalam usaha menyelamatkan rakan seperjuangan. Sebaik mangsa tiba di LP, Ketua Kompeni menghubungi Markas Taktikal 6 RAMD meminta Nuri untuk misi casevac.
Bersambung...In sya Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan