Pengikut

Khamis, 7 Januari 2021

Op Selamat Sawadee: Celaka Punya Komunis

 

A

nggota pasukan keselamatan tidak gentar menentang pengganas komunis semasa operasi memburu dan membunuh petualang negara. Malahan mereka berkobar-kobar untuk menghapus musuh yang memporak-perandakan tanah air. Namun demikian, yang menjadi igauan mereka semasa melaksanakan operasi ialah musuh halimunan, iaitu jerangkap samar! Pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan jerangkap samar yang diguna sepenuhnya oleh musuh; periukapi dalam istilah pengganas komunis. Kemahiran ini diperoleh oleh gerila komunis sebelum melancar kebangkitan semula insurgensi di Semenanjung setelah dipengaruhi oleh kemaraan pergerakan komunis di Indo-China.

Kemahiran musuh tidak terbatas kepada jerangkap samar sahaja. Mereka turut mempelajari teknik menembak pesawat. Jika jerangkap samar menjadi igauan pemburu petualang negara, kru Nuri@Burung Besi pula dihantui apabila mereka sedia maklum bahawa mereka pula dijadikan bahan buruan pengganas komunis.  Musuh negara  menjadikan kerja kuda@workhorses ATM tersebut sebagai sasaran mereka. Kemahiran ini dibuktikan apabila mereka telah berjaya menembak jatuh sebuah Nuri, FM1715, yang telah mengorbankan kesemua 11 anggota pasukan keselamatan dalam pesawat tersebut semasa Op Gubir II pada 26 April 1976.

Memetik buku kecil (booklet) propaganda musuh, ‘Perjalanan Yang Cemerlang 1930-1980’ yang tahap kebenarannya dipertikaikan, dengan bangganya menyatakan: “Dlm pertempuran2 menembak kapalterbang pd akhir tahun2 70an, kita menembak jatuh  helikopter musuh 7 buah dan menembak rosak 13 buah.” Menembak jatuh helikopter musuh 7 buah? Tipikal propaganda musuh!

Kepakaran terbaharu ini dipergiatkan semasa Op Selamat Sawadee. Operasi ini adalah operasi bersama antara Malaysia dan Thailand yang dilancarkan pada 24 April 1978 hingga 5 Julai 1980. Objektif operasi ialah: “untuk memusnahkan Kompeni Ke-3 Rejimen ke-12, Kompeni ke-3, 4, 20 dan 25 PKM-ML dan PKM-KR yang berkonsepkan rondaan secara sistematik pada waktu siang dan serang hendap pada waktu malam dalam lingkungan jarak 1000 meter dari pangkalan PK.” Kawasan operasi di sekitar kawasan Betong di selatan Thailand dan Kroh serta Banding, Perak.

Sudah semestinya aset TUDM yang memainkan peranan penting dalam perlaksanaan operasi tersebut ialah Nuri. Di awal pelancaran operasi, masing-masing 1-2 Nuri dan helikopter gempur Alouette III diatur gerak ke Kroh, Perak (kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu). Bandar kecil ini merupakan penempatan Combined Task Force Headquarters (CTFHQ) di pihak CTFQdiddi Malaysia manakala Betong menempatkan CTFHQ di negara Gajah Putih. Di pihak Malaysia, pelaksanaan operasi ini dipertanggungjawabkan kepada No 2 Briged Infantri Malaysia (2 BIM). TUDM pula diwakili oleh Pegawai Bantuan Udara Briged (PBUB) yang  mengetuai Pusat Operasi Bantuan Udara Briged (POBUB). Peranan PBUB adalah sebagai penasihat kepada Panglima 2 BIM membabitkan keperluan bantuan udara dan menyaring permohonan perkhidmatan pesawat. Nama panggilan untuk POBUB ialah ‘Baton One’.

Ketaasuban musuh dipamerkan apabila mereka menembak Nuri selama empat hari berturut-turut.

Hari Pertama: 13 Ogos 1978

Kejadian pertama berlaku kepada  Lt (U) Zainal bin Piee dan kru iaitu Lt M Yahya Haron dan Sjn Hamzah de Souza  semasa giliran mereka membuat detasmen di Kroh mulai 13 Ogos hingga 16 Ogos 1978. Mereka diperuntukkan  pesawat Nuri FM1725. Pada  13 Ogos 1978, jam 1630 mereka telah diberi tugasan pertukaran pasukan Meriam. Selain pengangkutan trup, misi ini juga membabit membawa masuk dan keluar meriam Pack Howitzer 105 mm dan peluru ke penempatan meriam  di dua lokasi, iaitu LP Foxtrot dan LP Tango. Tugasan ini dilakukan melalui kaedah underslung. Sebelum berlepas, mereka telah diberi taklimat keselamatan oleh Pegawai Risik di CTFHQ. Taklimat ini merangkumi laporan perisikan mengenai musuh, frekuensi radio trup dan tekanan terhadap kedudukan anggota pasukan keselamatan bagi mengelak  helikopter gempur tertembak mereka. Selain itu, maklumat mengenai keadaan muka bumi seperti ketinggian LP, laluan approach dan berlepas serta halangan di sekeliling LP diberikan juga.  Oleh kerana LP-LP tersebut dikategorikan selamat, justeru penerbangan Nuri tidak memerlukan helikopter gempur mengiringinya.

Sebaik sahaja taklimat berakhir, mereka berlepas dengan pesawat Nuri FM1725. Bersandarkan kepada muatan, Lt (U) Zainal Piee merancang penghantaran bermula ke LP Foxtrot dan seterus ke LP Tango. Pada pengiraannya, penerbangan ke LP Foxtrot memerlukan empat sorti.

Lokasi LP Foxtrot terletak di atas rabung berketinggian lebih kurang 1000 kaki dengan  arah barat laut-tenggara di mana kawasan barat ditanam dengan pokok getah dan disahkan selamat. Sorti pertama hingga ketiga berjaya dilaksanakan tanpa berhadapan dengan sebarang masalah. Untuk sorti keempat, Lt (U) Zainal Piee telah mengambil muatan peluru seberat 2300 lb. Beliau berlepas dari Kroh dan menerbangkan pesawatnya  pada ketinggian lebih kurang 1500 kaki supaya berada di bawah awan yang berketinggian 2700 kaki.

Seperti sebelum ini, sebaik sahaja melihat LP, Lt (U) Zainal Piee telah mengarahkan Lt M (U) Yahya Haron untuk menghubungi trup di LP dan di waktu yang sama, beliau memulakan fasa approach untuk mendarat. Dalam fasa ini, kapten pesawat memberi fokus sepenuh mengendalikan pesawat untuk mendarat manakala tangan kanan Lt M (U) Yahya Haron memegang ‘speed selector levers’ di samping mengawasi mengawasi instrumen suhu dan tekanan (temperatures and pressures [Ts&Ps]) di panel instrumen. F/Sjn Hamzah de Souza pula mula membuka pintu kargo.

Apabila pesawat berada lebih kurang 500 ela dan di ketinggian 200 kaki dari LP, tiba-tiba Lt M (U) Yahya Haron mendengar: “Alpha Charlie, Alpha Charlie, musuh tembak Alpha Charlie...cabut...cabut.” Trup yang sedang menunggu Nuri dengan muatan yang tergantung di bawah perut pesawat telah dikejutkan “bang...bang...bang.” Musuh yang sedia menunggu berhampiran dengan LP telah melepaskan tembakan ke arah pesawat tanpa disedari oleh kru. Lt M (U) Yahya Haron seterusnya: “Kapten, kita kena tembak.”

“Oh...Oh. Celaka punya komunis”, luah Lt (U) Zainal Piee. Setelah memastikan semua instrumen menunjukkan normal, lantas beliau mengambil tindakan untuk menarik ‘collective lever’ dan menolak ‘cyclic’ ke hadapan untuk melajak (overshoot). Beliau seterusnya membuat  keputusan untuk terbang balik ke Kroh sambil menghubungi POBUB. “Baton One...Capung 480 Juliet. Aircraft being shot. Proceeding back to Kroh.” Mereka selamat mendarat  dengan peluru meriam masih tergantung di bawah pesawat. Semasa membuat pemeriksaan terhadap pesawat di Kroh. Sebaik sahaja mendarat, pemeriksaan ke atas pesawat mendapati dua butir peluru menembusi bahagian fiuslaj Nuri.  Kejadian ini memaksa tugasan ditangguhkan pada hari itu sementara Lt (U) Zainal Piee dan kru terbang balik ke Butterworth untuk FM1725 dibaiki. Mereka bermalam di Butterworth.

Malam itu, tidak seperti kebiasaannya di mana beliau akan berbual dengan rakan-rakan di anteroom, Mes Pegawai, Lt (U) Zainal Piee terus beredar ke biliknya. Insiden hari itu berterusan bermain dalam fikirannya; “Esok terbang balik ke Kroh. Komunis sudah tentu menunggu ketibaan Nuri.” Dalam memikirkan ancaman petualang negara, beliau terlelap apabila beliau reda ini semua adalah ketentuan-Nya dan perlu tawakal kepada-Nya. Ini merupakan satu jihad menentang musuh yang tidak percaya kepada sebarang agama.

Kru FM1725. Dari kiri: Kol Zainal bin Piee TUDM (B), Lt Kol Yahya bin Harun TUDM (B), Allahyarham PW U I Hamzah de Souza (B)

Bersambung...


 

Tiada ulasan: