Sambungan
dari SINI
“Kami
tidak akan serah diri”
Di
Kuala Lipis, 19 Kapt Taib bin Jais selaku Penolong Ketua Kompeni (2
I/C),[1] Kompeni C,
dalam keadaan gelisah. Jam sudah melebihi pukul 12:00 tengah hari; masih tiada ‘sitrep
(situation report) iaitu laporan kedudukan
daripada L/Kpl Wan Abdul Rahman, operator radio. Perjalanan itu hanya lebih
kurang tiga jam sahaja dan konvoi dijangka tiba di Gua Musang pada pukul lebih
kurang 12:00 tengah hari.
“Apa
yang berlaku kepada OC? Adakah mereka diserang hendap?” Itu yang bermain dalam
fikiran Kapt Taib. Lantaran itu,
beliau memberitahu CO tentang kegusarannya. Tanpa berlengah CO
menghubungi Markas GOC untuk melapor kebimbangannya. Bagi mendapat kepastian,
Markas GOC menghubungi Pusat Operasi Udara meminta RAF menghantar pesawat untuk
meninjau keadaan konvoi dan jika perlu, memberi bantuan serangan udara.
Setelah
mendapat butiran mengenai konvoi tersebut, sebuah pesawat Spitfire berlepas dari Pangkalan RAF, Sg Besi, Kuala Lumpur,
menuju ke laluan yang diambil oleh konvoi. Apabila tiba di lokasi tersebut,
juruterbang melihat empat kenderaan terbabit. Masalahnya, beliau tahu kedudukan
trup. Keadaan ini menghalangnya membedil musuh. Seterusnya, beliau berlegar di
kawasan serang hendap.
Kehadiran
Spitfire menakutkan pengganas komunis. Mereka
berhenti menembak trup kerana takut tembakan mereka dapat dikesan oleh
juruterbang. Ketakutan musuh menjadi
kegembiraan kepada Sjn Osman dan trup. Sebaik sahaja pesawat tersebut,
beliau mencapai pistol ‘Varey’ untuk menembak suar bagi memudahkan juruterbang
melihat kedudukan mereka. Masalahnya tiada peluru bak kata pepatah Inggeris: ‘so near yet so far’/begitu dekat namun begitu jauh!
Seterusnya,
Sjn Osman memberi isyarat kepada kedua-dua ketua seksyen dan Jungle Squad untuk
‘O group’, iaitu datang ke ‘markasnya’ di bawah trak pertama untuk berbincang,
merancang dan melaksana tindakan yang akan diambil untuk keluar dari perangkap
ini. Beliau perlu berbincang dengan mereka kerana beliau dalam keadaan lemah
akibat kehilangan banyak darah. Ketiga-tiga mereka merangkak dalam parit ke Sjn
Osman. Persoalannya apakah nasib OC dan mereka yang berada dalam Land Rover?
Untuk berlari ke kenderaan tersebut yang berada di kawasan lapang bermakna
menempah maut. Mereka bak sasaran bergerak kepada musuh!
Ekoran
itu, L/Kpl Abdul Ghani menjerit sekuat-kuat hati: “Tuan!...Tuan!”
“Tuan
sudah mati! Baik-lah serah diri!” Laungan ketua pengganas komunis sebagai
jawapan kepada L/Kpl Abdul Ghani.
Jika
musuh mengandai wira-wira tersebut menerima tawaran itu, mereka memang salah
percaturan. Sebaliknya semangat wira-wira itu terus membara. Dengan penuh
semangat, kesemua anggota berteriak: “Kami tidak akan
serah diri.” Diikuti dengan tembakan bertubi-tubi ke arah suara tersebut.[2]
Setelah
berbincang, keputusan dibuat untuk berundur balik ke Kuala Lipis tanpa penghuni
Land Rover. Mereka mengandai kemungkinan OC dan tiga rakan seperjuangan mereka
telah terbunuh. Bagi tujuan itu, ketiga-tiga trak akan berundur keluar dari zon
membunuh. Di situ kenderaan dipusing untuk
meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis. Persoalannya sekarang ialah siapa
yang sedia mengambil risiko sebagai ‘Pemandu Maut’ untuk memandu trak-trak tersebut?
Ada! Bertawakal bahawa ajal dan maut ditentukan Allah dan bukannya pengganas
komunis, L/Kpl Abdul Ghani, Pbt Sharif dan Mata-mata Hassan bersedia bertarung
nyawa untuk memandu trak-trak tersebut. L/Kpl Abdul
Ghani yang kebetulan seorang pemandu akan memandu trak pertama sementara
Pbt Sharif pula trak kedua manakala trak di belakang sekali dipandu oleh
Mata-mata Hassan.[3]
Pesawat
Spitfire masih berlegar-legar dan musuh pula menghenti tembakan. Ketika inilah
ketiga-tiga Pemandu Maut menaiki kokpit trak masing-masing manakala trup pula
memberi tembakan perlindungan (covering fire). Di
waktu yang sama, jenazah Pbt Ahmad@Mat dinaikkan ke atas trak pertama di mana
terdapat mayat L/Kpl Wan Abdul Rahman.
Sudah
ditakdirkan-Nya, ketiga-tiga kenderaan mudah dihidupkan; tidak meragam. Ketiga-tiga
Pemandu Maut terpaksa berpandu kepada dua cermin (side mirrors) bagi menentukan kenderaan tidak keluar dari
landasan yang sempit. Menjenguk kepala di luar tingkap untuk melihat belakang
kenderaan sudah pasti menempah maut. Tidak dapat dibayangkan perasaan Pemandu
Maut ketika itu bagai kata pepatah “telur di hujung tanduk.” Apa tah lagi
perasaan L/Kpl Abdul Ghani yang akan melalui tempoh agak panjang dalam zon
membunuh sementelah kenderaannya di hadapan sekali.
Semasa
kenderaan mula mengundur, anggota yang berada di kiri dan kanan landasan
mengiringinya sambil menembak ke arah musuh. Di waktu ini menyaksikan selaras Bren
gun setiap seksyen dan Jungle Squad
memainkan peranan penting. Tembakan senjata tersebut membuatkan musuh sukar
untuk membalas tembakan wira-wira itu.
Tembakan
ini berterusan sehingga semua kenderaan berjaya keluar dari zon membunuh pada
lebih kurang pukul 4:00 petang. Mungkin pengganas komunis terpinga-pinga
bagaimana trup boleh terlepas daripada sasaran mereka walaupun kedudukan
memihak kepada mereka. Mereka tidak akan percaya bahawa trup dilindungi Allah
Swt! Sebelum kenderaan keluar dari zon membunuh, pesawat Spitfire terpaksa
balik ke Kuala Lumpur kerana bahan apinya menghampiri ‘lama waktu terbang (endurance),’ iaitu pesawat hampir habis bahan api.
Sebaik
sahaja kenderaan dipusingkan, Sjn Osman menaiki kenderaan yang dipandu oleh
L/Kpl Abdul Ghani sementara lain-lain anggota menaiki trak masing-masing. Konvoi,
kini didahului oleh trak ketiga yang membawa anggota Jungle Squad, meneruskan
perjalanan balik ke Kuala Lipis.
Sjn Osman tidak duduk di
kokpit sebaliknya di belakang. Beliau mengambil headset yang
masih berada di kepala L/Kpl Wan Abdul Rahman. Sebagai seorang ketua, beliau
perlu melapor kepada Markas Taktikal di
Kuala Lipis. Beliau ketepikan kesakitan
yang menghantuinya dan dalam keadaan lemah menghantar sitrep.
“Hello zero. This is sunray three two. Over.”[4]
Sebaik sahaja mendengar panggilan itu, operator radio bergegas ke Pegawai Risik
(Intelligence Officer [IO]).
“Tuan...panggilan dari Sunray 8 Platun.”
Operator radio teruja memberitahu IO. Sjn Osman secara ringkas memaklumkan apa
yang berlaku termasuk dua anggota KIA manakala beliau sendiri WIA (wounded in action). Beliau tidak dapat memastikan
keadaan OC dan tiga lagi anggota KIA atau WIA, kemungkinan KIA. Seterusnya
beliau diarah untuk terus ke Hospital Kuala Lipis dan kedua-dua mayat dibawa ke
pangkalan 2 RAM.
Markas
Taktikal sibuk sekali petang itu. Tugasan pertama ialah menghubungi Hospital
Kuala Lipis untuk bersedia menerima seorang wira yang cedera. Selain itu staf
menghubungi Markas GOC memberi maklumat awal. Di samping itu, menghubungi L.
Valpy (CPO Negeri Pahang), ASP Wallace Kinloch (OCPD) tentang ketibaan konvoi
itu nanti.
Konvoi
selamat tiba di Kuala Lipis pada lebih kurang pukul 7:00 malam. Seperti yang
diarah, L/Kpl Abdul Ghani terus pergi ke Rumah Sakit Kuala Lipis un uk menurunkan
Sjn Osman sementara dua lagi trak menuju ke Markas Taktikal. CO (Lt Kol Bill Blair-Oliphant), Kapt Taib (2 I/C Kompeni
C), CPO, OCPD dan anggota 2 RAM dan polis berada di hospital menunggu ketibaan Sjn Osman. Beliau seterusnya disorong ke Bilik
Kecemasan sebelum dimasukkan ke wad. Semasa di wad, beliau memberitahu CO, CPO,
OCPD, IO dan Kapt Taib tentang serang hendap tersebut. Mereka beredar dari wad
untuk balik ke Markas Taktikal. Sjn Osman ditahan di Rumah Sakit Kuala Lipis selama lebih
kurang dua minggu.[5]
Di
Markas Taktikal, mayat 2702 L/Kpl Wan Abdul Rahman bin Wan Said dan 2781 Pbt
Ahmad bin Gedim diturun. Seterusnya, semua trup terbabit berbuka puasa agak
lewat bersama anggota Markas Taktikal. Selepas itu, Jungle Squad balik ke pangkalan mereka.
*****
Berbalik
kepada Kpl Ismail dan Pbt Mohammad Radzi yang berada dalam Land Rover selepas sahaja
tiga trak meninggalkan lokasi serang hendap. Mereka tidak terdaya untuk keluar
daripada kenderaan kerana cedera parah. Demi menyelamatkan diri, kedua-dua
mereka berpura-pura mati. Sejurus kemudian, sekumpulan komunis turun dari
penempatan mereka untuk memeriksa Land Rover. Satu kejayaan kepada komunis
apabila melihat Mej Raymond Henderson mati tersungkur berlumuran darah bersama
tiga anggotanya. Mereka seterusnya merampas senjata, peluru dan apa jua
peralatan seperti ‘haversack’ daripada
penghuni kenderaan tersebut. Kemuncak kejayaan itu dipamerkan dengan tembakan
ke udara sebagai kejayaan menyerang 2 RAM dan membunuh seorang pegawai tinggi
kolonialis sebelum beredar dari situ dan balik ke Gua Musang.[6]
*****
Apabila
yakin musuh sudah jauh beredar, Kpl Ismail turun
dari belakang Land Rover. Walaupun tangannya cedera parah, beliau berjaya
membantu Pbt Mohammad Radzi (pemandu) keluar dari kenderaan. Kemudian beliau
memapah Pbt
Mohammad Radzi lebih kurang 500 ela (460 meter) di belakang kenderaan
tersebut. Beliau tidak bertenaga untuk terus memapah rakannya kerana beliau
sendiri dalam keadaan lemah dengan darah terus mengalir. Ekoran itu, beliau
terpaksa meninggalkan Pbt Mohammad Radzi dalam semak-samun yang padanya
terlindung daripada dikesan berhampiran
landasan untuk mendapatkan pertolongan. Kpl Ismail membuat keputusan untuk
menyusur alur Sg Yu. Sebagai orang lama, beliau sedia maklum kebiasaannya
pengganas berkhemah berdekatan sungai, namun demikian beliau nekad mengguna
laluan itu.[7]
Beliau berserah kepada ketentuan-Nya. Beliau sendiri memerlu air untuk hidup
dan kebiasaannya terdapat penempatan penduduk berhampiran sungai.
Kini,
perasaan Pbt Mohammad Radzi yang diselimuti kesepian dan kelaparan dilamun
seorang yang tidak sedarkan diri. Perlindungan-Nya
ini yang menyelamatkannya.[8]
*****
Markas
GOC di Kuala Lumpur....
Sebaik
sahaja mendapat butiran mengenai serang itu daripada 2 RAM malam itu, Mej Jen C.H. Boucher mengarah Lt Kol Bill Blair-Oliphant
(CO 2 RAM) untuk mengatur gerak satu kompeni awal keesokan pagi untuk misi
mencari dan menyelamat empat anggota yang masih tidak tahu nasib mereka,
memburu dan memusnah musuh dan seterus menawan kembali Gua Musang. Di samping
itu, CO 2 RAM diarah memberitahu
platunnya yang ketika itu berada di Pergau bersama Jungle Squad tidak meneruskan perjalanan ke Bertam
sehingga diberitahu kelak. GOC percaya pengganas siap sedia menunggu ketibaan
pasukan bantuan untuk melancar serang hendap di Sg Galas (riverine ambush). Jika itu berlaku, tidak mustahil banyak nyawa
anggota pasukan akan ‘melayang.’
Seterusnya
GOC menghubungi Lt Kol Shaw, CO pasukan 2/6 Gurkha
Rifles[9]
yang berpangkalan di Kuala Lumpur.[10]
Beliau mengarah Lt Kol Shaw menyedia satu kompeni untuk diatur gerak ke Kuala
Lipis secepat mungkin. Di sana, pasukan itu akan bergabung dengan satu kompeni
daripada 2 RAM. Bagi tujuan itu, Lt Kol Shaw akan mengetuai misi tersebut.
Selain
itu, GOC menghubungi AVM A.C. Sanderson untuk memohon
bantuan udara keesokan hari. Beliau meminta pesawat pejuang membedil kawasan
lokasi serang hendap tersebut sebelum ketibaan pasukan tambahan.
Ya, Mej
Jen C.H. Boucher memberi tumpuan merancang untuk memburu dan memusnah musuh,
dan paling utama membebas Gua Musang daripada genggaman komunis. Tindakan ini
bagi membuktikan bahawa beliau ‘cakap serupa bikin.’ Ini kerana beliau dengan
angkuhnya mengumum sebaik sahaja darurat diisytihar bahawa usaha mematah ancaman
komunis merupakan tugasan yang paling mudah yang pernah beliau hadapi.[11]
*****
Sebaik
sahaja menerima arahan daripada GOC, Lt Kol Bill Blair-Oliphant menghubungi Mej
Hall, Ketua Kompeni D,[12]
yang ketika itu berada di Jerantut melalui HF (high
frequency) radio. CO mengarah Mej Hall membawa balik kompeninya ke
Kuala Lipis. Mereka
bersama 2/6 Gurkha Rifles akan diatur gerak ke lokasi Platun No 8 diserang
hendap untuk operasi SAR dan seterusnya ke Gua Musang keesokan hari (20 Julai 1948).
Seterusnya CO menghubungi Ketua Platun di Pergau dan mengarah pegawai tersebut
tidak meneruskan perjalanan ke Bertam. Mereka dikehendaki meneruskan perjalanan
ke Bertam keesokan hari. “Roger...out.” Respons Ketua Platun terbabit. Arahan
itu seterusnya dimaklum kepada D. W. Yates.
*****
Ciri-ciri
kepimpinan yang dipamerkan oleh Sjn Osman dalam keadaan begitu getir diiktiraf
oleh kerajaan British. Beliau telah dianugerah ‘Military Medal (MM)’
yang diwarta di London Gazette No 38530 bertarikh 1 Februari 1949. Pingat itu diterima
daripada Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi, di King’s House, Kuala Lumpur
pada 21 Februari 1950.[13] Sebagai
penerima MM, beliau menerima elaun $6.00 sebulan.[14]
*****
Empat
anggota pertama Rejimen Askar Melayu yang terkorban setelah darurat diisytihar
pada 19 Jun 1948/13 Ramadan 1367
Lambang Rejimen Askar Melayu (RAM). Sumber: Muzium TDM
v
Mej Raymond Henderson
v 2702 L/Kpl Wan Abdul
Rahman bin Wan Said
v
2881 Pbt Ahmad Nazri bin Lob
2781
Pbt Ahmad bin Bidin
*****
Anggota
Bn 2 RAM yang tercedera
Dari kiri: 641 Sjn Osman bin Hitam, 1203 Kpl Ismail
bin Zainal, 2426 Pbt Mohammad Radzi bin Ahmad Damanhuri (tiada dalam gambar). Sumber:
Lt Kol Dr Syed Othman Syed Omar & JHEV
*****
Pengiktirafan
Kerajaan
Military Medal. Sumber: Wikipedia
641 Sjn Osman bin Hitam. Sumber: Lt Kol Dr Syed Othman Syed Omar
The Straits Times, Bravery Medal for Sergeant, 22
February 1950, hlm. 4. Sumber: National Library Board,
Singapore
Bersambung...in
syaalah Allah...
[1] Istilah ‘2 I/C’ terbiasa diguna dalam tentera. Penggunaan ‘2
I/C’ dikekal.
[2] Tan Sri Hj. Mubin
Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini. Tan Sri Hj. Mubin
Sheppard menemubual L/Kpl Abdul Ghani bin Raof.
[3] Tan Sri Dato’ A.
Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 251.
[4] ‘Zero’ adalah nama
panggilan untuk Markas Taktikal sementara ‘sunray three two’ Ketua Platun No 8.
[5] Syed Othman
Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air, sebelum ini, hlm. 143.
[6] Tan Sri Dato’
A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 252.
[9] Harry Miller, The Straits Times, Holy men fought sebelum ini.
[10] Tan Sri Dato’ A. Samad
Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 254.
[11] Air Commodore Henry Probert MBE MA, The
Start of The Emergency, Journal: Royal Air Force Historical Society,
2000, hlm. 14.
[12] Syed Othman Syed Omar.
(2005). Pahlawan Tanah Air, sebelum ini, hlm. 143.