Pengikut

Sabtu, 13 Julai 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 8)

  

Sambungan dari SINI

“Kami tidak akan serah diri”

Di Kuala Lipis, 19 Kapt Taib bin Jais selaku Penolong Ketua Kompeni (2 I/C),[1] Kompeni C, dalam keadaan gelisah. Jam sudah melebihi pukul 12:00 tengah hari; masih tiada ‘sitrep (situation report) iaitu laporan kedudukan daripada L/Kpl Wan Abdul Rahman, operator radio. Perjalanan itu hanya lebih kurang tiga jam sahaja dan konvoi dijangka tiba di Gua Musang pada pukul lebih kurang 12:00 tengah hari.

“Apa yang berlaku kepada OC? Adakah mereka diserang hendap?” Itu yang bermain dalam fikiran  Kapt Taib. Lantaran itu, beliau memberitahu CO tentang kegusarannya. Tanpa berlengah CO menghubungi Markas GOC untuk melapor kebimbangannya. Bagi mendapat kepastian, Markas GOC menghubungi Pusat Operasi Udara meminta RAF menghantar pesawat untuk meninjau keadaan konvoi dan jika perlu, memberi bantuan serangan udara.

Setelah mendapat butiran mengenai konvoi tersebut, sebuah pesawat Spitfire berlepas dari Pangkalan RAF, Sg Besi, Kuala Lumpur, menuju ke laluan yang diambil oleh konvoi. Apabila tiba di lokasi tersebut, juruterbang melihat empat kenderaan terbabit. Masalahnya, beliau tahu kedudukan trup. Keadaan ini menghalangnya membedil musuh. Seterusnya, beliau berlegar di kawasan serang hendap.

Kehadiran Spitfire menakutkan pengganas komunis. Mereka berhenti menembak trup kerana takut tembakan mereka dapat dikesan oleh juruterbang. Ketakutan musuh menjadi  kegembiraan kepada Sjn Osman dan trup. Sebaik sahaja pesawat tersebut, beliau mencapai pistol ‘Varey’ untuk menembak suar bagi memudahkan juruterbang melihat kedudukan mereka. Masalahnya tiada peluru bak kata pepatah Inggeris: ‘so near yet so far’/begitu dekat namun begitu jauh!

Seterusnya, Sjn Osman memberi isyarat kepada kedua-dua ketua seksyen dan Jungle Squad untuk ‘O group’, iaitu datang ke ‘markasnya’ di bawah trak pertama untuk berbincang, merancang dan melaksana tindakan yang akan diambil untuk keluar dari perangkap ini. Beliau perlu berbincang dengan mereka kerana beliau dalam keadaan lemah akibat kehilangan banyak darah. Ketiga-tiga mereka merangkak dalam parit ke Sjn Osman. Persoalannya apakah nasib OC dan mereka yang berada dalam Land Rover? Untuk berlari ke kenderaan tersebut yang berada di kawasan lapang bermakna menempah maut. Mereka bak sasaran bergerak kepada musuh!

Ekoran itu, L/Kpl Abdul Ghani  menjerit sekuat-kuat hati: “Tuan!...Tuan!”

“Tuan sudah mati! Baik-lah serah diri!” Laungan ketua pengganas komunis sebagai jawapan kepada L/Kpl Abdul Ghani.

Jika musuh mengandai wira-wira tersebut menerima tawaran itu, mereka memang salah percaturan. Sebaliknya semangat wira-wira itu terus membara. Dengan penuh semangat, kesemua anggota berteriak: “Kami tidak akan serah diri.” Diikuti dengan tembakan bertubi-tubi ke arah suara tersebut.[2]

Setelah berbincang, keputusan dibuat untuk berundur balik ke Kuala Lipis tanpa penghuni Land Rover. Mereka mengandai kemungkinan OC dan tiga rakan seperjuangan mereka telah terbunuh. Bagi tujuan itu, ketiga-tiga trak akan berundur keluar dari zon membunuh. Di situ kenderaan dipusing untuk  meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis. Persoalannya sekarang ialah siapa yang sedia mengambil risiko sebagai ‘Pemandu Maut’ untuk memandu trak-trak tersebut? Ada! Bertawakal bahawa ajal dan maut ditentukan Allah dan bukannya pengganas komunis, L/Kpl Abdul Ghani, Pbt Sharif dan Mata-mata Hassan bersedia bertarung nyawa untuk memandu trak-trak tersebut. L/Kpl Abdul Ghani yang kebetulan seorang pemandu akan memandu trak pertama sementara Pbt Sharif pula trak kedua manakala trak di belakang sekali dipandu oleh Mata-mata Hassan.[3]

Pesawat Spitfire masih berlegar-legar dan musuh pula menghenti tembakan. Ketika inilah ketiga-tiga Pemandu Maut menaiki kokpit trak masing-masing manakala trup pula memberi tembakan perlindungan (covering fire). Di waktu yang sama, jenazah Pbt Ahmad@Mat dinaikkan ke atas trak pertama di mana terdapat mayat L/Kpl Wan Abdul Rahman

Sudah ditakdirkan-Nya, ketiga-tiga kenderaan mudah dihidupkan; tidak meragam. Ketiga-tiga Pemandu Maut terpaksa berpandu kepada dua cermin (side mirrors) bagi menentukan kenderaan tidak keluar dari landasan yang sempit. Menjenguk kepala di luar tingkap untuk melihat belakang kenderaan sudah pasti menempah maut. Tidak dapat dibayangkan perasaan Pemandu Maut ketika itu bagai kata pepatah “telur di hujung tanduk.” Apa tah lagi perasaan L/Kpl Abdul Ghani yang akan melalui tempoh agak panjang dalam zon membunuh sementelah kenderaannya di hadapan sekali.

Semasa kenderaan mula mengundur, anggota yang berada di kiri dan kanan landasan mengiringinya sambil menembak ke arah musuh. Di waktu ini menyaksikan selaras Bren gun setiap seksyen dan Jungle Squad memainkan peranan penting. Tembakan senjata tersebut membuatkan musuh sukar untuk membalas tembakan wira-wira itu.

Tembakan ini berterusan sehingga semua kenderaan berjaya keluar dari zon membunuh pada lebih kurang pukul 4:00 petang. Mungkin pengganas komunis terpinga-pinga bagaimana trup boleh terlepas daripada sasaran mereka walaupun kedudukan memihak kepada mereka. Mereka tidak akan percaya bahawa trup dilindungi Allah Swt! Sebelum kenderaan keluar dari zon membunuh, pesawat Spitfire terpaksa balik ke Kuala Lumpur kerana bahan apinya menghampiri ‘lama waktu terbang (endurance),’ iaitu pesawat hampir habis bahan api.

Sebaik sahaja kenderaan dipusingkan, Sjn Osman menaiki kenderaan yang dipandu oleh L/Kpl Abdul Ghani sementara lain-lain anggota menaiki trak masing-masing. Konvoi, kini didahului oleh trak ketiga yang membawa anggota Jungle Squad, meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lipis.

Sjn Osman tidak duduk di kokpit sebaliknya di belakang. Beliau mengambil headset yang masih berada di kepala L/Kpl Wan Abdul Rahman. Sebagai seorang ketua, beliau perlu melapor  kepada Markas Taktikal di Kuala Lipis. Beliau  ketepikan kesakitan yang menghantuinya dan dalam keadaan lemah menghantar sitrep.

Hello zero. This is sunray three two. Over.[4] Sebaik sahaja mendengar panggilan itu, operator radio bergegas ke Pegawai Risik (Intelligence Officer [IO]). “Tuan...panggilan dari Sunray 8 Platun.” Operator radio teruja memberitahu IO. Sjn Osman secara ringkas memaklumkan apa yang berlaku termasuk dua anggota KIA manakala beliau sendiri WIA (wounded in action). Beliau tidak dapat memastikan keadaan OC dan tiga lagi anggota KIA atau WIA, kemungkinan KIA. Seterusnya beliau diarah untuk terus ke Hospital Kuala Lipis dan kedua-dua mayat dibawa ke pangkalan 2 RAM.

Markas Taktikal sibuk sekali petang itu. Tugasan pertama ialah menghubungi Hospital Kuala Lipis untuk bersedia menerima seorang wira yang cedera. Selain itu staf menghubungi Markas GOC memberi maklumat awal. Di samping itu, menghubungi L. Valpy (CPO Negeri Pahang), ASP Wallace Kinloch (OCPD) tentang ketibaan konvoi itu nanti.

Konvoi selamat tiba di Kuala Lipis pada lebih kurang pukul 7:00 malam. Seperti yang diarah, L/Kpl Abdul Ghani terus pergi ke Rumah Sakit Kuala Lipis un uk menurunkan Sjn Osman sementara dua lagi trak menuju ke Markas Taktikal. CO (Lt Kol Bill Blair-Oliphant), Kapt Taib (2 I/C Kompeni C), CPO, OCPD dan anggota 2 RAM dan polis berada di hospital menunggu ketibaan Sjn Osman. Beliau seterusnya disorong ke Bilik Kecemasan sebelum dimasukkan ke wad. Semasa di wad, beliau memberitahu CO, CPO, OCPD, IO dan Kapt Taib tentang serang hendap tersebut. Mereka beredar dari wad untuk balik ke Markas Taktikal. Sjn Osman ditahan di Rumah Sakit Kuala Lipis selama lebih kurang dua minggu.[5]

Di Markas Taktikal, mayat 2702 L/Kpl Wan Abdul Rahman bin Wan Said dan 2781 Pbt Ahmad bin Gedim diturun. Seterusnya, semua trup terbabit berbuka puasa agak lewat bersama anggota Markas Taktikal. Selepas itu, Jungle Squad balik ke pangkalan mereka.    

*****

Berbalik kepada Kpl Ismail dan Pbt Mohammad Radzi yang berada dalam Land Rover selepas sahaja tiga trak meninggalkan lokasi serang hendap. Mereka tidak terdaya untuk keluar daripada kenderaan kerana cedera parah. Demi menyelamatkan diri, kedua-dua mereka berpura-pura mati. Sejurus kemudian, sekumpulan komunis turun dari penempatan mereka untuk memeriksa Land Rover. Satu kejayaan kepada komunis apabila melihat Mej Raymond Henderson mati tersungkur berlumuran darah bersama tiga anggotanya. Mereka seterusnya merampas senjata, peluru dan apa jua peralatan seperti ‘haversack’ daripada penghuni kenderaan tersebut. Kemuncak kejayaan itu dipamerkan dengan tembakan ke udara sebagai kejayaan menyerang 2 RAM dan membunuh seorang pegawai tinggi kolonialis sebelum beredar dari situ dan balik ke Gua Musang.[6]

*****

Apabila yakin musuh sudah jauh beredar, Kpl Ismail turun dari belakang Land Rover. Walaupun tangannya cedera parah, beliau berjaya membantu Pbt Mohammad Radzi (pemandu) keluar dari kenderaan. Kemudian beliau memapah  Pbt Mohammad Radzi lebih kurang 500 ela (460 meter) di belakang kenderaan tersebut. Beliau tidak bertenaga untuk terus memapah rakannya kerana beliau sendiri dalam keadaan lemah dengan darah terus mengalir. Ekoran itu, beliau terpaksa meninggalkan Pbt Mohammad Radzi dalam semak-samun yang padanya terlindung daripada  dikesan berhampiran landasan untuk mendapatkan pertolongan. Kpl Ismail membuat keputusan untuk menyusur alur Sg Yu. Sebagai orang lama, beliau sedia maklum kebiasaannya pengganas berkhemah berdekatan sungai, namun demikian beliau nekad mengguna laluan itu.[7] Beliau berserah kepada ketentuan-Nya. Beliau sendiri memerlu air untuk hidup dan kebiasaannya terdapat penempatan penduduk berhampiran sungai.  

Kini, perasaan Pbt Mohammad Radzi yang diselimuti kesepian dan kelaparan dilamun seorang yang  tidak sedarkan diri. Perlindungan-Nya ini yang menyelamatkannya.[8]

*****

Markas GOC di Kuala Lumpur....

Sebaik sahaja mendapat butiran mengenai serang itu daripada 2 RAM malam itu, Mej Jen C.H. Boucher mengarah Lt Kol Bill Blair-Oliphant (CO 2 RAM) untuk mengatur gerak satu kompeni awal keesokan pagi untuk misi mencari dan menyelamat empat anggota yang masih tidak tahu nasib mereka, memburu dan memusnah musuh dan seterus menawan kembali Gua Musang. Di samping itu, CO 2  RAM diarah memberitahu platunnya yang ketika itu berada di Pergau bersama Jungle Squad tidak meneruskan perjalanan ke Bertam sehingga diberitahu kelak. GOC percaya pengganas siap sedia menunggu ketibaan pasukan bantuan untuk melancar serang hendap di Sg Galas (riverine ambush). Jika itu berlaku, tidak mustahil banyak nyawa anggota pasukan akan ‘melayang.’

Seterusnya GOC menghubungi Lt Kol Shaw, CO pasukan 2/6 Gurkha Rifles[9] yang berpangkalan di Kuala Lumpur.[10] Beliau mengarah Lt Kol Shaw menyedia satu kompeni untuk diatur gerak ke Kuala Lipis secepat mungkin. Di sana, pasukan itu akan bergabung dengan satu kompeni daripada 2 RAM. Bagi tujuan itu, Lt Kol Shaw akan mengetuai misi tersebut.

Selain itu, GOC menghubungi AVM A.C. Sanderson untuk memohon bantuan udara keesokan hari. Beliau meminta pesawat pejuang membedil kawasan lokasi serang hendap tersebut sebelum ketibaan pasukan tambahan.

Ya, Mej Jen C.H. Boucher memberi tumpuan merancang untuk memburu dan memusnah musuh, dan paling utama membebas Gua Musang daripada genggaman komunis. Tindakan ini bagi membuktikan bahawa beliau ‘cakap serupa bikin.’ Ini kerana beliau dengan angkuhnya mengumum sebaik sahaja darurat diisytihar bahawa usaha mematah ancaman komunis merupakan tugasan yang paling mudah yang pernah beliau hadapi.[11]

*****

Sebaik sahaja menerima arahan daripada GOC, Lt Kol Bill Blair-Oliphant menghubungi Mej Hall, Ketua Kompeni D,[12] yang ketika itu berada di Jerantut melalui HF (high frequency) radio. CO mengarah Mej Hall membawa balik kompeninya ke Kuala Lipis. Mereka bersama 2/6 Gurkha Rifles akan diatur gerak ke lokasi Platun No 8 diserang hendap untuk operasi SAR dan seterusnya ke Gua Musang keesokan hari (20 Julai 1948). Seterusnya CO menghubungi Ketua Platun di Pergau dan mengarah pegawai tersebut tidak meneruskan perjalanan ke Bertam. Mereka dikehendaki meneruskan perjalanan ke Bertam keesokan hari. “Roger...out.” Respons Ketua Platun terbabit. Arahan itu seterusnya dimaklum kepada D. W. Yates.

*****

Ciri-ciri kepimpinan yang dipamerkan oleh Sjn Osman dalam keadaan begitu getir diiktiraf oleh kerajaan British. Beliau telah dianugerah ‘Military Medal (MM)’ yang diwarta di London Gazette No 38530 bertarikh 1 Februari 1949. Pingat itu diterima daripada Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi, di King’s House, Kuala Lumpur pada 21 Februari 1950.[13] Sebagai penerima MM, beliau menerima elaun $6.00 sebulan.[14]    

*****

Empat anggota pertama Rejimen Askar Melayu yang terkorban setelah darurat diisytihar pada 19 Jun 1948/13 Ramadan 1367






Lambang Rejimen Askar Melayu (RAM). Sumber: Muzium TDM

v Mej Raymond Henderson

v 2702 L/Kpl Wan Abdul Rahman bin Wan Said

v 2881 Pbt Ahmad Nazri bin Lob

2781 Pbt Ahmad bin Bidin

*****

 Anggota Bn 2 RAM yang tercedera 

Dari kiri: 641 Sjn Osman bin Hitam, 1203 Kpl Ismail bin Zainal, 2426 Pbt Mohammad Radzi bin Ahmad Damanhuri (tiada dalam gambar). Sumber: Lt Kol Dr Syed Othman Syed Omar & JHEV

*****

Pengiktirafan Kerajaan

 

Military Medal. Sumber: Wikipedia

641 Sjn Osman bin Hitam. Sumber: Lt Kol Dr Syed Othman Syed Omar

The Straits Times, Bravery Medal for Sergeant, 22 February 1950, hlm. 4. Sumber: National Library Board, Singapore 

Bersambung...in syaalah Allah...



[1]              Istilah ‘2 I/C’ terbiasa diguna dalam tentera. Penggunaan ‘2 I/C’ dikekal.           

[2]              Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini. Tan Sri Hj. Mubin Sheppard menemubual L/Kpl Abdul Ghani bin Raof.

[3]              Tan Sri Dato’ A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 251.

[4]              Zero’ adalah nama panggilan untuk Markas Taktikal sementara ‘sunray three two’ Ketua Platun No 8.

[5]              Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air, sebelum ini, hlm. 143.  

[6]              Tan Sri Dato’ A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 252.

[7]              Ibid., hlm. 253.

[8]              Ibid., hlm. 254.

[9]              Harry Miller, The Straits Times, Holy men fought sebelum ini.

[10]            Tan Sri Dato’ A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 254.

[11]            Air Commodore Henry Probert MBE MA, The Start of The Emergency, Journal: Royal Air Force Historical Society, 2000, hlm. 14.

[12]            Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air, sebelum ini, hlm. 143.  

[13]           The Straits Times, Bravery Medal for Sergeant, 22 February 1950, hlm. 4. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/straitstimes19500222-1.2.62 (diakses pada 12 Jun 2024).

 [14]           Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air, sebelum ini, hlm. 118.  

 

Tiada ulasan: