Pengikut

Jumaat, 5 Julai 2024

Ulu Semur 25 Mac 1950: Kami bukan pengecut...kami askar (bhg 7)

 Sambungan dari SINI

Terperangkap tapi lawan tetap lawan

Masih Isnin, 19 Julai 1948/13 Ramadan 1367...

Pangkalan RAF, Kuala Lumpur...

Pagi itu, sebuah pesawat Spitfire berlepas menuju ke Gua Musang. Misinya ialah untuk membuat tinjauan terhadap pekan terpencil tersebut dan kawasan berhampiran. Apabila berada di ruang angkasa Gua Musang, juruterbang melapor kepada Pusat Operasi Udara tiada sebarang pergerakan di pekan itu.[1]  

    Pesawat pejuang Spitfire. Sumber: War History Online. (Gambar hiasan)

     

Pekan Gua Musang sunyi sepi. Sumber: Lt Col Mohd Azzam bin Hanif Ghows (Rtd)

*****

Kuala Lipis...

Sebaik sahaja menerima kawat daripada Mej Jen C.H. Boucher (GOC), Lt Kol Bill Blair-Oliphant, (CO 2 RAM), menghantar kawat kepada Ketua Platun yang membuat detasmen di Pengkalan Chepa. Beliau mengarah Ketua Platun untuk bergerak ke Gua Musang. Sebelum itu, Ketua Platun dikehendaki berhubung dengan pihak polis. Mereka akan RV di Pergau di mana Jungle Squad sedang menunggu ketibaan mereka. Seterusnya, CO mengarah Mej Raymond Henderson (37 tahun),[2] OC (Officer Commanding/Ketua Kompeni)[3] Kompeni ‘C’ berjumpanya. Beliau mengarah Mej Raymond Henderson bergerak ke Gua Musang pagi itu bersama dengan satu pasukan Jungle Squad.

Sebaik sahaja menerima arahan itu, Mej Raymond Henderson mengarah, supaya platunnya bersiap sedia untuk bergerak ke Gua Musang. Bagaimanapun, kekuatan Platun No 8 yang ada hanya lebih kurang 20 orang sahaja; bersamaan kekuatan dua seksyen.[4] Penglibatan Sjn Osman bak kata ‘bidan terjun.’ Beliau sedang bercuti apabila diarah untuk ‘RTU (return to unit), iaitu beliau dihendaki melapor diri di Kuala Lipis untuk mengganti 645 Sjn Kadir bin Hj Mat Shah yang tercedera sebagai Ketua Platun No 8. Beliau melapor diri pada 17 Julai 1948.[5]

641 Sjn Osman bin Hitam, Ketua Platun No 8, 2 RAM. 
Sumber: Syed Othman Syed Omar 

Pada pukul 9:00 pagi, 4-kenderaan konvoi bertolak dari Kuala Lipis ke Gua Musang. Konvoi terdiri daripada sebuah Land Rover, dua trak tentera dan sebuah trak polis. Kesemua trak tidak bertutup;[6] tiada kanopi kanvas. Kekuatan pasukan bantuan yang diketuai oleh Mej Raymond Henderson ialah lebih kurang 34 orang. Setiap anggota 2 RAM membawa hanya 30 butir peluru; tiada grenad tangan. Mereka terdiri daripada OC, operator radio dan batman (orderli); Sjn Osman bersama 20 orang Platun No 8;[7] dan 10 anggota Jungle Squad.[8] Aturan pergerakan didahului oleh kenderaan Land Rover yang dipandu oleh 2426 Pbt Mohammad Radzi bin Ahmad Damanhuri. Penumpangnya pula ialah Mej Raymond Henderson, 1203 Kpl Ismail bin Zainal, dan 2881 Pbt Ahmad Nazri bin Lob (batman kepada OC).[9]

Trak pertama dipandu oleh Pbt Abdul Ghani bin Kassim dan di sebelahnya ialah Sjn Osman. Antara penumpangnya ialah  2702 L/Kpl Wan Abdul Rahman bin Wan Said, operator radio. Sebagai operator radio, beliau dikehendaki melapor kedudukan mereka kepada Markas Taktikal di Kuala Lipis setiap 30 minit. Oleh kerana itu, beliau sentiasa memakai ‘headphone.’ Sementara itu, L/Kpl Abdul Ghani bin Raof duduk di sebelah pemandu trak kedua.  Antara penumpangnya ialah L/Kpl Hussin bin Pak Su dan 2781 Pbt Ahmad bin Gedim, juga dikenali sebagai Mat Johor.[10] Manakala trak ketiga dipandu oleh Mata-mata Hassan dan penumpangnya ialah anggota Jungle Squad.

Penggunaan landasan keretapi tanpa rel dari selatan seperti Kuala Lipis akan melalui satu-satunya jambatan sempit yang merintangi Sg Yu. Jarak jambatan tersebut dari Kuala lipis ialah lebih kurang 41 batu (66 km) manakala 14 batu (22 km) dari Merapoh. Dari aspek keselamatan, permukaan muka bumi beberapa meter dari jambatan tersebut sangat kritikal kerana terpaksa melalui kawasan sempit. Di sebelah kanan, terdapat bukit tinggi yang curam.  Manakala di sebelah kiri pula tebing tinggi yang dipenuhi belukar kecil serta semak-samun.[11] Di kiri dan kanan landasan pula terdapat parit-parit cetek manakala kayu ‘sleepers’ berselerak. Memang paling sesuai untuk melancar serang hendap! 

Pada lebih kurang pukul 11:00 pagi, konvoi menghampiri jambatan itu. Kedudukan Land Rover berada lebih kurang  50 ela (46 meter) di hadapan trak pertama. Sebaik  sahaja Land Rover di lintasan keretapi menuju jambatan, tiba-tiba: “bang...bang...bang...tut...tut...tut” Tembakan raifal dan mesin-gan. Lebih kurang 50 pengganas komunis melepas tembakan bertubi-tubi ke arah konvoi sebaik sahaja keseluruhan konvoi berada dalam ‘zon membunuh.’ Beberapa butir peluru musuh menembusi Mej Raymond Henderson dan Pbt Ahmad Nazri. Kedua-dua mereka terbunuh di tempat duduk masing-masing. Manakala Pbt Mohammad Radzi yang memandu kenderaan  tercedera di paha membuatkan Land Rover tersadai di luar landasan. Sementara Kpl Ismail pula tercedera di lengan. Mereka berdua tidak terdaya untuk mendapat perlindungan dengan darah membuak-buak mengalir daripada anggota tubuh mereka.

Sjn Osman yang berada di ‘kokpit’ trak, tercedera di lengan tangan akibat ditembusi peluru panas musuh. Namun demikian, beliau dan  Sebaik sahaja mendengar tembakan musuh dan  lain-lain wira dalam tiga trak sempat terjun dari trak masing-masing untuk mendapat perlindungan dengan desingan peluru bersimpang-siur. Kecuali L/Kpl Wan Abdul Rahman. Sementelah sentiasa memakai headphone, kemungkinan beliau tidak dengar tembakan bertubi-tubi itu. Beberapa butir peluru menyinggah tubuhnya dan beliau terbunuh.

Tetapi hendak berlindung di mana? Naluri mereka membawa mereka berlindung di bawah trak dan juga parit cetek di kiri dan kanan landasan. Sjn Osman dan Pbt Abdul Ghani berlindung di bawah trak mereka. L/Kpl Abdul Ghani dan pemandu trak kedua berlindung di kiri trak yang terhenti dekat dengan tebing kiri lintasan keretapi. Anggota yang menerpa ke dalam parit pula terselamat oleh sleepers.[12] Dari tempat perlindungan, trup membalas tembakan. Mereka mendengar jeritan kesakitan yang berkemungkinan peluru trup menyinggahi musuh durjana.  

Dalam keadaan kelam-kabut, mereka tidak mengetahui nasib Mej Raymond Henderson dan mereka yang berada dalam Land Rover. Adakah mereka terbunuh atau cedera? Persoalan ini timbul kerana mereka tidak mendengar apa-apa daripada kenderaan tersebut; baik arahan atau tembakan. Dalam keadaan begini, L/Kpl Hussin dan L/Kpl Abdul Ghani mengarah anak buah mereka berhenti menembak untuk menjimat peluru. Jumlah peluru sangat terbatas. Seterusnya salah seorang daripada dua Pegawai Tidak Bertauliah (PTT) tersebut memberi  arahan supaya trup di kanan landasan menumpu ke arah kiri sementara tumpuan trup di kiri sebaliknya.

Arahan ini membuat pengganas komunis begitu berang. Jawabnya: “boom...boom...boom...” Letupan grenad tangan yang dilontar ke arah trup. Salah satu grenad tangan meletup dekat dengan Pbt Ahmad@Mat Johor. “Allah...” Perkataan terakhir Pbt Ahmad@Mat Johor sebelum dijemput oleh Maha Pencipta.

Dalam keadaan tiada kepastian mengenai nasib Mej Raymond Henderson, kini Sjn Osman secara automatik memikul tanggungjawab bagi menentukan keselamatan anggota-anggotanya. Beliau mengetepikan kesakitan yang dialaminya.

Lokasi serang hendap berhampiran dengan jambatan keretapi yang melintasi Sg Yu. Sumber: Google

Jambatan keretapi yang sempit menyeberangi Sg Yu. 
Sumber: Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB

Bersambung...in syaa Allah...  


[1]  The Straits Times, 300 Bandits Seize 15 Policemen, 20 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/straitstimes19480720-1.2.5 (diakses pada 11 Mei 2024).

[2] The Straits Times, Dead Major Named, 23 July 1948, hlm.  1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/ straitstimes19480723-1.2.17 (diakses pada 15 Jun 2024). Mej Raymond Henderson ditauliah sebagai Pegawai Jangka Pendek dalam pasukan Seaforth Highlanders. Setelah diserap ke Pegawai Jangka Tetap, beliau ditukar ke Royal Army Service Corps. Semasa bertugas di Persekutuan Tanah Melayu, beliau menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Memerintah (2 I/C), Durham Light Infantry, yang tiba dengan Briged Ke-6, Division ke-6. Isteri dan keluarganya terkorban semasa ‘London Blitz’ oleh pesawat Jerman semasa Perang Dunia Kedua.   

[3]     Istilah ‘OC’ terbiasa diguna dalam tentera. Penggunaan ‘OC’ dikekal.

[4]   Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air: Penerima Pingat Keberanian British. Kuala Lumpur: Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, hlm. 115.

[5]      Ibid.

[7]    Mengikut struktur organisasi batalion infantri, satu platun mempunyai tiga seksyen; kekuatan ialah 34 orang, termasuk operator radio. Kekuatan satu seksyen pula ialah 10 orang.

[8] The Straits Times, Spitfires Batter Bandits, 21 July 1948, hlm. 1. Lihat  https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/ article/straitstimes19480721-1.2.2 (diakses pada 22 Jun 2024).

[9]      Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air, hlm. 248   sebelum ini.

[10]    Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini.

[11]    Tan Sri Dato’ A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun. Kuala Lumpur: Pustaka Budiman Sdn. Bhd., hlm. 248.

[12]    Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini.

 

Tiada ulasan: