Pengikut

Sabtu, 20 Julai 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 9)

Sambungan dari SINI

Lari lintang pukang

 

Selasa, 20 Julai 1948/14 Ramadan 1367...

Markas Taktikal Bn 2 RAM, Kuala Lipis...

Lt Kol Bill Blair-Oliphant (CO 2 RAM) dan stafnya tidak menang tangan pagi itu. Sibuk mengenai pengurusan dua jenazah dan mengatur gerak Kompeni D. Kedua-dua jenazah dibawa ke masjid Kuala Lipis untuk dimandi dan dikafan kerana markasnya tiada kemudahan untuk tujuan itu. Kedua-dua jenazah akan disemadi pada hari itu di Kuala Lipis. Namun, CO tidak perlu bimbang kerana penduduk Kuala Lipis memberi kerjasama dalam hal pengurusan pengebumian anak buahnya.

Solat jenazah diimamkan oleh Kadi Kuala Lipas. Selain anggota Islam 2 RAM, anggota polis terutama Jungle Squad dan orang tempatan, turut menjadi jemaah ialah Dato’ Setia Wangsa Mahmud bin Mat, Menteri Besar Pahang; Dato' Setia Raja Abu Samah Bin Haji Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri; dan hampir kesemua penjawat awam di Kuala Lipis.[1] Seterusnya jenazah dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi oleh lebih kurang 20 kenderaan. Turut mengiringi ialah ASP Wallace Kinloch, OCPD, berserta seorang Inspektor bagi mewakili polis. Sama seperti solat jenazah, Kadi Kuala Lipis mentalkin kedua-dua wira Tanah Melayu. Sebelum beredar dan selari dengan budaya tentera di era itu, peniup ‘bugle’ meniup lagu ‘The Last Post’ (klik SINI) sebagai penghormatan terakhir kepada wira tanah air.

The Singapore Free Press, Malay bandit victims buried 22 July 1948, hlm. 5. 
Sumber: National Library Board, Singapura

*****

Pagi itu, pesawat Spitfire dari Pangkalan RAF, Sg Besi, Kuala Lumpur ke Sg Yu. Misi: membedil kawasan serang hendap sebelum pasukan bantuan tiba di situ serta laluan yang akan diambil ke Merapoh dan juga di kawasan Bertam.[2] Sebaik sahaja tiba di kawasan serang hendap, kesunyian alam di kawasan jambatan keretapi dicemar oleh bunyi bunyi   “whoosh....whoosh...whoosh...” Roket-roket meluncur dari ‘rocket pod’
disusuli letupan “boom...boom...boom.”
Tidak cukup dengan roket, mesingan pula memuntahkan berpuluh-puluh peluru 20 mm. Dalam keghairahan juruterbang melepaskan tembakan, beliau cuba mengelak
Land Rover yang tersadai di tepi landasan serta di kiri-kanan landasan.

Seterus sasaran Spitfire ialah Gua Musang. Pengganas komunis yang berada di situ lintang pukang mencari perlindungan. Itu juga yang dialami oleh mereka di Bertam. Mereka sedang menunggu ketibaan pasukan bantuan dari Kuala Krai. Sebaik sahaja penduduk mendengar deruman Spitfire, mereka bergegas ke masjid untuk mendapatkan perlindungan. Mereka yakin kehadiran pesawat tersebut bukan hanya sekadar membuat tinjauan sahaja. Jangkaan mereka memang tepat sekali. Juruterbang Spitfire memuntahkan roket dan peluru 20 mm di tebing Sg Galas berhampiran Bertam yang dipercayai lokasi komunis akan menyerang hendap ketibaan pasukan bantuan.

Di samping itu, Spitfire turut membedil Rumah Pasung Bertam yang dipercayai diduduki pengganas komunis.   Bedilan Spitfire menakutkan komunis. Lintang pukang mereka meninggalkan lokasi serang hendap mencari perlindungan berhampiran dengan masjid. Di mana silapnya, dalam keterujaan itu, juruterbang Spitfire telah turut  membedil masjid di mana penduduk Melayu mendapatkan perlindungan. “Allahhu akbar.”...“Allah.” Jeritan penghuni masjid. Beberapa orang yang berada dalam masjid telah terbunuh dan tercedera.[3] Setelah menyaksi keberkesanan bedilan Spitfire, komunis membuat keputusan balik ke Gua Musang dengan bas yang ada di Bertam.[4]

*****

Tidak lama kemudian, pasukan bantuan yang berkuatan seramai 45 orang tiba dari Pergau. Ketibaan mereka tanpa sebarang tentangan daripada komunis. Apabila mendapati ramai penduduk terkorban dan cedera, D. W. Yates dan kumpulannya turut membantu penduduk Bertam mengurus mereka yang terkorban dan memberi rawatan awal dengan apa yang termampu. Ketua platun menghubungi Markas Taktikal Bn memaklum apa yang berlaku di Bertam. Mereka diarah untuk bergerak ke Gua Musang selepas pengurusan bantuan kepada penduduk Bertam dilaksana.

Seperti yang diarah, setelah tugasan membabitkan penduduk selesai, pasukan bantuan memula perjalanan 35 batu ke Gua Musang.

*****

Kuala Lipis. Pada petang itu, di Markas Taktikal Bn, Mej Hall dan anggota Kompeni D bersiap sedia untuk bergerak ke lokasi serang hendap di Sg Yu. Disebabkan terdapat sedikit masalah logistik, mereka hanya membawa rangsum untuk satu hari sahaja.[5] Turut terlibat ialah Platun No 12 yang diketuai oleh 249 Lt Mohd Nasir bin Yaacob. Sementara itu, antara anggota Platun pula ialah 3032 Pbt Ismail bin Ibrahim[6] dan 3307 Pbt Abdul Manaf bin Sidek.[7]

Dari kiri: Mej Jen C.H. Boucher (GOC, Malaya), Lt Kol M.Y.K. Blair Oliphant (CO 2 RAM), Lt Kol N.F.B. Shaw (CO 2/6 Gurkha Rifles). Sumber: 2 RAMD & Google

*****

Pasukan gabungan yang terdiri daripada 2/6 Gurkha Rifles[8] dan Kompeni D, 2 RAM yang diketuai oleh Lt Kol Shaw bertolak dari Kuala Lipis dengan menaiki trak. Mereka diturunkan di Kpg Chagar Perah. Dari situ, mereka bergerak secara taktikal, iaitu satu kompeni bergerak manakala satu kompeni lagi memberi perlindungan. Ekoran itu, pergerakan tersebut mengambil masa untuk tiba di destinasi.[9]

***** 

Kuala Krai...

Mata-mata yang bertugas di Rumah Pasung Kuala Krai terkejut apabila melihat Insp Ibrahim bersama 12 anggota polis melapor diri.[10] Lantas, Insp Razak (OCPD) menghubungi L.D.E. Cullen (CPO) mengenai ketibaan Insp Ibrahim dan anak buahnya.

*****

Rabu, 21 Julai 1948/15 Ramadan 1367...

Berjalan kaki sejauh 35 batu dari Bertam ke Gua Musang di kawasan hitam apa tah lagi dalam bulan Ramadan, memang satu cabaran kepada anggota Islam pasukan bantuan. Perintah tetap tidak diabaikan. Mereka berhadapan dengan serangan hendap oleh pengganas komunis bila-bila sahaja. Namun, demi tanah air tercinta rintangan yang mungkin menimpa mereka diketepikan. Mereka terus mara walaupun di waktu malam.

*****

Khamis, 22 Julai 1948/16 Ramadan 1367...

Pergerakan D. W. Yates dan pasukan bantuan dipermudah oleh sinaran bulan malam itu. Pada lebih kurang pukul 4:00 pagi, mereka tiba di Gua Musang.[11] Pasukan dipecah kepada dua kumpulan; satu kumpulan menyerang rumah pasung sementara satu kumpulan menyerang dispensari yang merupakan markas komunis.

Pengganas komunis yang meringkuk diselimuti gebar dek kedinginan penghawa dingin  ciptaan-Nya terkejut apabila terdengar  “bang...bang...bang” bertubi-tubi. Sekarang giliran mereka pula menjadi sasaran ‘musuh’, iaitu pasukan keselamatan. Lantaran itu, mereka lari lintang pukang menyelamatkan diri. Ke mana lagi jika bukan Kpg Pulai; sarang komunis yang pada mereka paling selamat.

Apabila sang suria mula memancarkan cahayanya, Gua Musang berjaya dirampas semula oleh 45 anggota pasukan keselamatan yang terdiri daripada satu platun 2 RAM dan Jungle Squad. Mereka berjaya membunuh empat pengganas termasuk tukang jahit dari Bertam.[12] Trup juga ditemukan masing-masing sepucuk Sten gun dan raifal selain peralatan bertanda ‘Malay Regiment.’ Senjata dan peralatan tersebut dipercayai harta rampasan daripada empat mangsa dalam Land Rover semasa serang hendap di Sg Yu pada 19 Julai 1948.[13]

Seperti biasa, Ketua Platun menghantar sitrep kepada Markas Taktikal Bn di Kuala Lipis. “...Gua Musang retaken, over.” Berita yang dinanti-nanti oleh GOC dan CO 2 RAM. Ketua Platun diarahkan untuk tunggu ketibaan pasukan bantuan – Kompeni D dan 2/6 Gurkha Rifles – yang dalam perjalanan ke Gua Musang. Dengan itu, Gua Musang bebas daripada cengkaman komunis.

*****

Kejayaan pasukan bantuan yang kekuatan begitu kecil dari Kelantan membebas Gua Musang dan Merapoh pada 22 Julai 1948 mendapat perhatian Dato’ Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmud, Menteri Besar Kelantan. Dalam ‘Laporan Tahunan untuk tahun 1948’, beliau mencatat: “This small force was intended to be complimentary to the advance of a much larger force from the South, the battalion of Gurkhas under Colonel Shaw which came to their assistance did not reach Gua Musang until 30th July.”[14]

The Straits Times, ‘Gua Musang Relieved', 25 July 1948, hlm. 1.
Sumber: National Library Board, Singapura

*****

 Pasukan yang terlibat dalam pembebasan Gua Musang dan Bertam

Bn 2 Rejimen Askar Melayu   
                          
Jungle Squad

Royal Air Force

*****

Bersambung...in syaa Allah...



[2]              The Straits Times, Spitfires Batter Bandits, 21 July 1948 sebelum ini.

[3]              Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini; Anthony Short. (2000). In Pursuit sebelum ini, hlm. 103.

[4]             Ibid.   

[6]              Tan Sri Dato’ A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 255.

[7]              Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air sebelum ini, hlm. 117.

[8]              Lambang pasukan 2/6 Gurkha Rifles. Sumber: (Militarybadgecollection.com).

[9]              Ibid., hlm. 117.

[10]   The Straits Times, Spitfires Batter Bandits, 21 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/ article/straitstimes19480721-1.2.2 (diakses pada 29 Mei 2024).

[11]            Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini.

[12]            The Straits Times, ‘Gua Musang Relieved', 25 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitized/ article/straitstimes19480725-1.2.5 (diakses pada 29 Jun 2024). 

[13]            The Straits Times, Forces Advancing On Kelantan Bandits sebelum ini.

[14]           Arkib Negara Malaysia. The Annual Report sebelum ini, hlm. 2.

Tiada ulasan: