Pengikut

Sabtu, 1 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 7

 Sambungan dari  SINI...

Menyerah diri? Tidak sama sekali

 Dalam pada itu, terdengar jeritan: “Selendar Melayu! Slendar!”[1] Seorang komunis sambil menembak dengan mesingan menyuruh Kpl Jamaluddin dan anak buahnya menyerah diri. Bukan sahaja jeritan supaya trup menyerah diri, malahan kedengaran pengganas bersorak riuh rendah atas kejayaan mereka. Menyerah diri? Begitu rendah tanggapan komunis terhadap semangat juang Askar Melayu. Serah diri? Ketua mereka gagal membuat perkiraan keadaan (appreciation) faktor yang tidak dapat dilihat anggota RAM - ‘semangat.’ Sudah tentu tidak sama sekali!

Tanpa diduga oleh pengganas komunis, Kpl Jamaluddin dengan lantangnya menjerit: “Gua tak mau surrender. Gua mahu lawan sama lu.”[2] Marah dengan ‘kedegilan’ anggota platun, komunis melepaskan tembakan bertubi-tubi. Tidak cukup dengan tembakan senjata, musuh yang berada di lereng bukit melontar grenad tangan. “Boom...boom.” Sememang mereka di bawah lindungan-Nya. Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid terselamat daripada serpihan grenad tersebut. Ini membuatkan semangat mereka berkobar-kobar untuk menentang musuh. Lalu mereka menghala senjata masing-masing ke arah gerila komunis yang jelas kelihatan. Mereka tekad satu peluru satu musuh. Bagi menjimatkan peluru, dengan berhati-hati mereka menarik picu senjata. Kewaspadaan mereka tidak menghampakan. Mereka melihat peluru-peluru  yang melungsur dari aras senjata  menepati sasaran. Akibatnya beberapa orang musuh terbunuh.[3]

*****

Sama seperti lain-lain anggota, ketiga-tiga anggota di belakang, iaitu 4411 Pbt Omar bin Deris (belakang sekali),  4123 Pbt Wahab bin Siding dan 3999 Pbt Salleh bin Nahu membalas tembakan musuh. Apabila mendengar jeritan komunis supaya menyerah diri, Pbt Wahab yang berada di hadapan Pbt Omar mengalih tenangan Stengannya ke arah jeritan tersebut. Dalam berbalas tembakan itu, malang sekali peluru musuh singgah di paha kiri. Darah panas mengalir dari pahanya namun sama sekali tidak melemahkan semangat beliau.

Dalam pada itu dan tanpa mengetahui keadaan rakannya di hadapan, iaitu  Pbt Salleh, Pbt Wahab  memberitahunya supaya membantu Pbt Omar di belakang yang ketika itu terus menerus menentang musuh. Tetapi apakan daya, tidak lama kemudian tiada  lagi kedengaran tembakan Pbt Omar.  Pbt Omar telah gugur![4]

“Si Loh! Si Loh!”[5] Kedengaran jeritan pengganas komunis di belakang. Jeritan itu mengesahkan bahawa Pbt Omar telah menyahut undangan-Nya! Seterusnya Pbt Wahab melihat tiga komunis turun dari tebing menuju ke arah mayat Pbt Omar untuk mengambil senjata dan peluru arwah. Walaupun menanggung kesakitan, Pbt Wahab tekad tidak melepaskan peluang keemasan ini. Dengan berhati-hati, beliau menenang Stengannya ke arah gerila-gerila komunis. Apabila mereka berada lebih kurang 22 ela (20 meter), beliau menarik picu senjatanya yang menyembur kesemua 32 butir peluru 9 mm dalam kelopak. Semburan itu menepati sasarannya. Ketiga-tiga gerila terus tersungkur dan menggeletar sebelum nyawa mereka melayang. 

 Tetapi Pbt Wahab terpaksa bayar dengan harga yang mahal atas kejayaannya. Seorang komunis melontar sebutir grenad tangan ke arah dan meletup berhampirannya. Serpihan grenad terkena pada buku lali kaki kirinya. Kini kaki kirinya cedera parah dan kesakitan yang dihadapinya membuatkan beliau tidak berdaya lagi untuk menentang musuh![6] Dalam keadaan begini, beliau percaya musuh akan menangkapnya bila-bila masa sahaja. Ingatan ini membuatkan beliau merasa gerun kerana beliau bertindak zalim terhadap tawanan mereka sebelum dibunuh. Kezaliman ini termasuk memotong kemaluan dan badan yang diperlakukan terhadap anggota RAM dalam serang hendap di Jelebu, Negeri Sembilan.[7]

Dalam pemikiran Pbt Wahab mungkin komunis hanya menyeksa terhadap tawanan, iaitu yang masih hidup; tidak diapa-apakan terhadap mayat. Sekiranya sebaliknya berlaku kepada mayat, beliau nekad untuk ‘membawa’ komunis bersamanya jika itu yang berlaku. Bagi tujuan itu, beliau mencampak Stengannya tidak jauh dari kedudukannya. Beliau yang dalam kedudukan meniarap menyembunyi sebutir grenad tangan berhampirannya dan berpura-pura mati. Dan berdoa kepada Maha Pencipta untuk mendapat perlindungan-Nya!

4123 L/Kpl Pbt Wahab bin Siding (B) (Allahyarham) menunjukkan kesan parut pada buku lali kaki kanannya (kiri) dan paha  kirinya (kanan) sambil diperhatikan oleh Mej Yaakop bin Jaafar. Sumber: Mej Yaakop bin Jaafar

*****

Sebaik sahaja trup diserang, 3999 Pbt Salleh bin Nahu yang berada di kedudukan ketiga di belakang, membalas tembakan dengan senjata Stengannya. Kesemua 32 butir peluru 9mm dalam kelopak habis disemburnya. Ketika memasukkan kelopak baharu (reload), beliau terasa panas di pahanya. Sebutir peluru menembusi paha kanannya dan darah bersembur keluar. Namun demikian, kecederaan yang dialaminya tidak membataskan beliau untuk terus menentang musuh durjana sehingga kesemua peluru habis diguna. Bagaimana pun, sekali lagi peluru musuh menemui sasarannya. Kali ini sebutir peluru menembusi  tangan kirinya pula.

Darah terus mengalir dari tangan dan paha Pbt Salleh. Beliau berasa lemah dan tindakannya mula terbatas. Namun demikian, kecederaan tersebut tidak sama sekali mematah semangat juang Pbt Salleh sebaliknya terus berkobar-kobar menentang musuh. Lantaran itu, beliau perlu mengeluarkan kelopak yang kosong untuk dimasukkan kelopak ketiga. Beliau berhadapan dengan kesukaran untuk mengeluarkan kelopak tersebut. Tetapi lawan tetap lawan. Bagi mengatasi halangan ini, beliau terpaksa menggunakan gigi bagi menarik ‘bolt’ pada bahagian kanan senjata.[8]

 Kegigihan Pbt Salleh berjaya memasukkan kelopak ketiga. Lalu beliau menarik picu Stengan. Malangnya, senjata beliau menghadapi ‘stoppages[9] ketika peluru ketiga meluncur dalam laras. Beliau tidak dapat menentang takdir-Nya yang bahawa perjuangannya berakhir di situ. Sama seperti rakannya Pbt Wahab, beliau berdoa agar Allah melindungi dan reda apa yang ditakdirkan-Nya.

*****

Bersambung...in sya Allah



[2]              Ibid., hlm. 288.

[3]              Ibid.

[4]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair sebelum ini, hlm. 152.

[5]              Ibid., hlm. 153.

[6]              Ibid., hlm. 153.

[7]              Ibid., hlm. 153.

[8]              M. Daim,  Serang Hendap Sungai Semur: Askar Melayu menyerahlah!, Air Times, 7 Mei 2020. Lihat https://www.airtimes. my/2020/05/07/serang-hendap-sungai-semur-askar-melayu-menyara hlah/ (diakses pada 4 April 2024).

[9]              Ibid.

 

Tiada ulasan: