Pengikut

Jumaat, 21 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 10

Sambungan dari SINI (klik)

 

 ‘SC’ datang membantu


Lokasi: RV...

Tugasan pemungut daun nipah dan daun payung yang diawasi oleh  Sjn Wan Yaacob dan 15 anggota SC hampir siap. Pada lebih kurang pukul 10:30 pagi, mereka terdengar tembak-menembak bertubi-tubi. Sjn Wan Yaacob yakin tembakan itu adalah pertempuran antara Platun 12 dengan musuh. Beliau nekad membawa anggotanya untuk membantu Lt M Hassan. Lantas, beliau mengarah anak buahnya bersiap sedia untuk bergerak dengan segera. Selain itu, beliau mengarah pemungut daun supaya kekal di lokasi sehingga mereka kembali.

Seterusnya, Sjn Wan Yaacob serta anak buahnya berkejar ke lokasi pertempuran. Mereka tiba di situ sejam kemudian. Setiba di sana, beliau mengatur taktik  untuk mengalih perhatian musuh yang sedang bertempur dengan Platun No 12. Beliau mengarah   kumpulan Bren gun yang terdiri daripada tujuh orang anggota menyeberang sungai. Kumpulan beliau yang terdiri daripada lapan anggota memberi tembakan perlindungan (covering fire) semasa kumpulan Bren gun menyeberang sungai. Masalahnya mereka tidak ketahui musuh menyedari kehadiran mereka.

Ketika kumpulan tersebut menyeberang sungai, musuh menembak bertalu-talu mereka dari arah selatan tebing sungai; hanya tiga orang SC yang berjaya menyeberang sungai. Empat lagi anggota yang tidak sempat menyeberang sungai. Lantaran itu, kesemua mereka membalas tembakan. Pertempuran berlaku lebih kurang 20 minit sebelum kumpulan tersebut kehabisan peluru.[1] Manakala kumpulan Sjn Wan Yaacob terus memberi tembakan perlindungan. Namun demikian, tembakan perlindungan daripada Sjn Wan Yaacob tidak berterusan kerana kumpulan beliau turut menjadi sasaran musuh dari belakang.

Dalam keadaan ini Sjn Wan Yaacob tidak dapat membantu kumpulan Bren gun. Justeru, beliau membuat keputusan untuk membawa kumpulannya cuba menyerang kedudukan musuh dengan bergerak ke bahagian rusuk kiri bukit. Namun demikian, pergerakan tidak begitu lancar kerana hutan tebal.[2]  Apabila tiba di lokasi yang difikir sesuai,  beliau mengarah anggotanya hanya tembak apabila melihat. Jangan tembak semberono sahaja bagi menjimat peluru. Arahan ini membawa hasil. Mereka melihat seorang musuh bersenjata Bren gun. Saat yang ditunggu-tunggu. Senjata kumpulan Sjn Wan Yaacob memuntahkan peluru terhadap musuh itu membuatkan dia tersungkur.

*****

Sementara itu, musuh yakin kumpulan Bren gun SC kehabisan peluru kerana tiada lagi tembakan ke atas mereka. Seperti yang sudah dijangka, musuh mengarah tujuh anggota SC tersebut untuk menyerah diri.[3] Anggota SC tiada pilihan. Mereka akur perintah tersebut kerana sekadar menentang secara fizikal sudah pasti membawa maut. Komunis memungut senjata mereka. Seterusnya, mereka diarah dan diiringi ke markas komunis di atas bukit.

Sjn Wan Yaacob dan lapan anggotanya di bawah lindungan-Nya. Kedudukan mereka tidak dapat dikesan oleh musuh. Pada pukul 2:30 petang, tiada lagi kedengaran tembakan baik daripada anggota Platun No 12 atau pun musuh, Sjn Wan Yaacob yakin pertempuran telah berakhir. Beliau tidak tahu untung nasib tujuh anggotanya. Mana mungkin beliau bersama lapan anggota bersamanya serta jumlah peluru yang terbatas, terus menentang musuh. “Aku mesti lapor kepada pihak atasan secepat mungkin.” Itu yang bermain dalam fikirannya. Apabila malam menjelma dan percaya musuh telah beredar, Sjn Wan Yaacob membawa anak buahnya meredah hutan balik ke pangkalan SC di Kpg Pulai. Mereka tiba pada awal pagi keesokan hari, 26 Mac 1950.[4]

Bersambung...In syaa Allah...


[4]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini. 

Tiada ulasan: