Sambungan dari SINI
Sama seperti dua rakannya, Kpl Jamaluddin kehabisan peluru Stengannya. Tetapi ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus menentang musuh durjana. Lantas beliau merangkak ke arah seorang anggota yang terkorban untuk mengambil senjatanya. Musuh pula buat kali keempat menyeru supaya wira-wira menyerah diri.[1] Tetapi tiada sebarang jawapan. Kpl Jamaluddin mendengar suara musuh di tebing di atasnya. Lantas, beliau melontar sebutir grenad tangan ke arah suara itu; “boom.” Daripada jeritan kesakitan musuh, beliau yakin lontarannya menepati sasarannya.[2]
Jam menunjukkan lebih kurang pukul 2:30 petang. Sudah empat jam pertempuran berlaku bagaimanapun musuh masih gagal menumpas kedegilan Kpl Jamaluddin. Keadaan ini membuatkan musuh sangat geram dengan seorang anggota RAM ini. Selagi kumpulan ‘rumpun buluh’ tidak dimusnah, komunis sedar usaha untuk memungut ‘harta perang’ akan gagal. Keadaan ini membuatkan ketua pengganas seboleh-bolehnya menawan wira RAM ini. Dengan itu, tumpuan mereka sekarang ialah menembak ke arah Kpl Jamaluddin di rumpun buluh. Di samping itu, beberapa orang pengganas komunis di atas tebing dengan berhati-hati bergerak untuk mengepung kedudukan Kpl Jamaluddin.
Keadaan sungguh getir. Kpl Jamaluddin tidak menembak membuta tuli untuk menjimatkan peluru. Beliau mengarah L/Kpl Muhamad supaya memerhati sebarang pergerakan musuh di tebing sungai. Namun demikian, semak samun di rumpun buluh penempatan mereka membatas penglihatan mereka. Tiba-tiba seorang gerila melompat dari tebing ke atas L/Kpl Muhamad. Kecederaan yang dialaminya membuatkan beliau tidak mampu untuk melawan. Dalam keadaan kelam kabut ini, seorang lagi gerila pula melompat ke atas Kpl Jamaluddin. Beliau cuba melawan tetapi gerila itu mengacu senjatanya kepada Kpl Jamaluddin. Manakala beberapa gerila bergegas mengatasi ketiga-tiga wira tersebut.
Dengan tertawannya ketiga-tiga wira tersebut, iaitu Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid, pertempuran empat jam itu berakhir. Mereka dibawa menemui ketua komunis di atas bukit. Sebelum bergerak, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid diberi rawatan.[3] Selain mereka bertiga, empat lagi anggota termasuk Pbt Wahab turut dibawa ke atas bukit. Di sana, Pbt Nordin yang anggota pertama ditawan, akhirnya bertemu semula dengan saki baki rakan seperjuangannya.
*****
Bersambung...in sya Allah
[1] Harry Miller, A Malay
Platoon at
Ulu Semur sebelum
ini.
[2] Haji Mubin Sheppard, Ambush at
the River Bank sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan