Eh...Eh...Eh...Tak habis-habis mejar pencen ni nak mempromosikan keperwiraan para veteran! Setelah diberi peluang bercerita di ANM, sekarang nak suruh ATM pula mengundang wira-wira yang tak didendang menceritakan pengalaman mereka di pusat-pusat latihan ATM.
From: nor ibrahim sulaiman
To: Tan Sri PAT
Cc: Dato' Zahid Hamidi; PTD ; PTL ; PTU ; KSU KEMENTAH ; VC UPNM
Sent: Friday, 16 March 2012 4:12 PM
Subject: PENGKISAHAN SEJARAH INSURGENSI
To: Tan Sri PAT
Cc: Dato' Zahid Hamidi
Sent: Friday, 16 March 2012 4:12 PM
Subject: PENGKISAHAN SEJARAH INSURGENSI
Assalamualaikum Tan Sri,
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan di atas kesediaan Tan Sri mendengar rentetan saya ketika kita terserempak di Darulaman Golf & Country Club, Darulaman, pada Sabtu, 10 Mac. Sepertimana yang saya tekankan, dewasa ini topik patriotisme hanya hangat dibincangkan ketika menjelang Hari Kemerdekaan dan apabila tercetusnya polimik yang mempertikaikan siapa yang sepatutnya dinobatkan sebagai wira negara. Pada pandangan saya, semangat kecintaan terhadap negara seharus dipupuk sepanjang masa.
Saya bersyukur kepada Ilahi kerana usaha saya untuk menonjolkan peranan TUDM telah terpahat di Arkib Negara Malaysia (ANM) pada 13 Mac. Saya dan PW1 Mohsain (B) telah dijemput sebagai Pengkisah dalam Majlis Pengkisahan Sejarah Darurat - 'Peristiwa Gubir - Pengalaman Anggota TUDM Menentang Pengganas Komunis' yang diadakan di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Walaupun pengkisahan hanya sekadar sepintas lalu disebab kesuntukan masa yang diberikan, ia merupakan langkah pertama. Saya percaya pengkisahan tersebut telah menyedarkan para hadirin, terdiri daripada siswa-siswi IPTA, tentang pengorbanan anggota ATM. Paling penting kepada saya ialah para penyelidik boleh mendapat sedikit-sebanyak fakta tentang peranan TUDM, khususnya helikopter Nuri, ketika Ops Gubir dan Ops Selamat Sawadee di ANM.
Agensi kerajaan tersebut mengabadikan kisah seperti ini untuk rakyat Malaysia yang berminat mengetahui sejarah negara. Persoalannya pula, adakah ATM sendiri yang sedia mengambil langkah agar kisah-kisah pengorbanan para veteran mereka sendiri disebarkan kepada anggota-anggota yang masih berkhidmat? Saya difahamkan ada pegawai berpangkat Lt Kol TUDM sendiri tidak mengetahui tragedi 26 April 1976 dimana sebuah Nuri telah ditembak jatuh dan telah mengorbankan kesemua 11 warga tentera yang berada di dalamnya; apatah lagi mereka yang baru menceburi kerjaya ini! Mungkin tidak salah saya beranggapan bahawa persepsi rakyat hanya arwah Lt Adnan Saidi dan Dato' Kanang sahajalah perwira ATM!
Sekiranya diizinkan membuat cadangan, para veteran yang tidak didendang, seperti mereka yang cacat anggota angkara kedurjanaan pengganas komunis, dan penerima Anugerah Perkasa, diundang menceritakan pengalaman mereka di institusi latihan ATM, seperti KTD, KTU, KTL, UPNM, PLR, maktab turus, dan sebagainya. Apa yang perlu hanyalah 2-3 jam sahaja setiap kali kursus dijalankan, dengan lain perkataan...proses pengkisahan berterusan. ATM sepatutnya mengambil peluang tatkala para veteran masih hidup. Jika tidak, semua pengalaman akan berkubur dengan empunya jasad.
Saya difahamkan Tan Sri peka tentang sejarah ATM. Ini terbukti apabila Tan Sri menyuarakan kesedian untuk mengetengahkan cadangan saya yang telah diajukan semenjak 2009 kepada sebuah agensi di bawah KEMENTAH. Namun sehingga sekarang, respons stereo-type 'dalam perhatian kami' pun tidak diterima. Agensi tersebut, pada pandangan saya, adalah salah satu platform sewajarnya kerana objektifnya adalah untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan remaja.
Saya tidak mewakili sesiapa. Saya sendiri, mungkin para veteran yang lain, akan terharu jika diundang ke majlis yang dicadangkan. Ini kerana ia mencerminkan bahawa ATM mengiktiraf pengorbanan kami.
Akhir kata, sekiranya program ini sudah dan masih dilaksanakan....Syabas dan teruskan. Jika sebaliknya, harap ia mendapat pertimbangan positif daripada pihak Tan Sri. Terima kasih.
MEJAR NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B)
Sekarang serius sikit. Pe tanya sikit...Ada kebenarankah apa yang saya cadangkan? Adakah kita perlu menunggu 'mat saleh' menceritakannya melalui 'History Channel' dan mengaut keuntungan? Masih ingat 'Blackhawk Down'? Bila ditayang saja, baru terkeluar cerita kehebatan pasukan kita yang terlibat menyelamatkan soldadu uncle sam tu. Jangan disalahkan penerbit filem tersebut kerana sudah pasti mereka akan menonjolkan kehebatan tentera mereka. Alangkah sedihnya sekiranya ATM sendiri terpaksa meminta penceramah daripada orang awam hanya untuk menceritakan kisah-kisah operasi yang melibatkan ATM sendiri!!!Bukannya satu perkara mustahil....Kemungkinan itu ada.




















