Pengikut

Khamis, 27 Jun 2019

Pertemuan Baling: Petikan Transkrip pada 29 Disember 1955

Rujuk di SINI. Ini petikan transkrip pertemuan  Tunku dan David Marshall dengan Chin Peng pada 29 Disember 1955...


Chin Peng:        Saya telah menjelaskan adalah mustahil untuk kami menerima perkara  membabitkan siasatan. Saya tiada kuasa untuk menerimanya kecuali ia dilaksanakan tanpa memberi gambaran bahawa kami menyerah diri.

Marshall:            Bagaimana siasatan yang kamu mahu cadangkan?

Chin Peng:      Terus terang saya katakan, jumlah kami adalah kecil, bukan besar. Cadangan saya kepada kamu ialah dari jumlah ini, jumlah tertentu dibenarkan meninggalkan negeri ini dan yang lain-lain bebas kembali ke kediaman mereka masing-masing. Kerajaan boleh melakukan siasatan terhadap mereka, tetapi mereka mesti dibenarkan kembali ke rumah mereka.

Tunku:               Bagaimana kami menghubungi mereka? Kami tidak tahu rumah mereka.

Chin Peng:         Kami tidak akan ambil tindakan seperti yang kami lakukan pada 1945-1948.

Marshall:         Tunku sudah menerima cadangan itu bahawa tiada siasatan terhadap mereka yang mahu ke luar negeri. Mereka boleh terus menaiki kapal.

Tunku:               Berapa ramai mereka yang mahu pergi?

Chin Peng:        Adakah ini sesuatu yang kamu mahu dari saya?

Tunku:              Saya mahu menentukan jika terdapat ramai yang mahu pergi, mungkin mereka yang tinggal di sini tidak perlu disiasat. Sekiranya ramai, iaitu pemimpin dan sejumlah besar pengikut mahu balik ke China, sementara mereka yang mahu menjadi warganegara jumlahnya kecil, saya tidak akan melakukan siasatan. Kita jadikan itu sebagai garisan panduan am. Tiada keperluan untuk melaksanakan siasatan. Syarat yang dikenakan hanyalah mereka perlu melaporkan di mana mereka berada.

Chin Peng:        Melapor kepada polis mempunyai elemen menyerah diri.

Tunku:              Sepertimana yang saya katakan, menyerah diri tidak dapat dielakkan.

Chin Peng:        Kita boleh buat cara begini: benarkan mereka keluar ke pangkuan masyarakat seperti orang biasa. Kemudian Kerajaan boleh menghantar detektif-detektif untuk mengintip mereka.

Tunku:          Ini bermakna jumlah detektif mesti sama dengan jumlah komunis. Kerajaan tidak mampu melakukannya. Adakah jumlah yang mahu pergi ke China besar?

Chin Peng:        Jawapan kepada soalan ini terpulang sama ada P.K.M. diiktiraf.

Tunku:              Tidak. Dalam semua negara, seperti yang kamu sendiri ketahui, di mana berlakunya perjuangan di antara komunis dan nasionalis, mereka  terpaksa berpecah kepada beberapa wilayah. Sebagai contoh, Korea terbahagi dua, Vietnam terbahagi dua. Kita juga tidak boleh wujud bersama. Sekiranya kami menerima ‘tidak menyerah diri’, kita terpaksa membahagi Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Tanah Melayu Komunis dan Persekutuan Tanah Melayu Bukan Komunis. Persekutuan Tanah Melayu terlalu kecil. Jika keadaan ini berlaku, kita sentiasa akan berhadapan dengan masalah dan peperangan. Kamu sudah sedia maklum apa yang saya katakan sebentar tadi – satu parti mesti menyerah diri. Malang sekali, walaupun kamu tidak suka perkataan ‘menyerah diri’, saya perlu berterus terang dengan kamu dan mengatakan kamu mesti menyerah diri.

Menurut Noel Barber, Chin Peng hilang kawalan dirinya apabila Tunku mengatakan bahawa dia mesti menyerah diri kepada kerajaan. Dia menolak kerusinya ke belakang dan terus berdiri serta berkata dalam dialek Kantonis ‘chay yang hao’ yang bermaksud “itu sesuai dengan kami”.[1] Kata-kata ini turut didengar oleh Harry Miller yang berada di lereng bukit di belakang bilik mesyuarat. Kedudukannya membolehkan beliau mendengar perjalanan mesyuarat.[2]




[1]               Barber, Noel. (2004). The War Of The Running Dogs. (William Collins. [1971]). London: Cassel, hlm. 279. Kata-kata ini tidak tercatat dalam transkrip.
[2]           Harry Miller, The Straits Times, The War Goes On! Amnesty to End after ‘Period of Grace’,  30 Disember 1955, hlm. 1.

Khamis, 20 Jun 2019

Liku-Liku Ke Arah Pertemuan Baling 28-29 Disember 1955


Petikan daripada penulisan saya mengenai Pertemuan Baling di SINI...

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) yang berkuat kuasa pada 1 Februari 1948[1] menggantikan Malayan Union telah menyaksikan permulaan fasa negara menuju ke arah berkerajaan sendiri (self-government) dan seterusnya kemerdekaan. Persetujuan ini termaktub dalam mukadimah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, yang ditandatangani pada 21 Januari 1948 seperti berikut:

“AND WHEREAS it is the desire of His Majesty and Their Highnesses that progress should be made towards eventual se1f-government and, as a first step to that end, His Majesty and Their Highnesses have agreed that, as soon as circumstances and local conditions will permit, legislation should be introduced for the election of members to the several legislatures to be established pursuant to this Agreement.”[2]

Klausa pemberian berkerajaan sendiri ini diulangi dalam watikah lantikan Jen. Sir Gerald Walter Templer (Templer) sebagai Pesuruhjaya Tinggi PTM merangkap Pengarah Operasi.[3] Lantikan ini dibuat oleh Sir Winston Churchill, Perdana Menteri United Kingdom (UK) ekoran pembunuhan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi  dalam serang hendap di Batu 56½, Jalan Kuala Kubu-Bukit Fraser semasa dalam perjalanan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951 untuk menghadiri mesyuarat.[4] Kejadian ini sungguh mengejutkan rakyat PTM dan juga kerajaan Inggeris. Insiden ini memberi gambaran tiada sesiapa pun yang selamat daripada keganasan Pasukan Gerakan Komunis (PGK).[5] Watikah lantikan Templer dengan jelasnya menyatakan “...His Majesty’s Government will not lay aside their responsibilites in Malaya until they are satisfied that Communist terrorism has been defeated and that partnership of all communities which alone can lead to true and stable self-government has been established.”[6] Perlantikan ini memberi kuasa penuh kepada beliau untuk mentadbir dan memusnah PGK.[7]

Dasar ini diperkukuhkan lagi oleh Robert Anthony Eden (Eden), Setiausaha Luar Negara semasa melawat PTM pada 2 Mac 1955. Beliau mengulangi lagi bahawa Kerajaan Inggeris hanya akan menentukan hala tuju PTM ke arah pemerintahan sendiri apabila keganasan oleh PGK berjaya ditumpaskan.[8] Selain itu, beliau menggariskan lima langkah menuju ke arah itu:
·               Hapuskan keganasan;
·            Menentukan rakyat berada dalam keadaan bersedia menghadapi penyerapan     dan subversif komunis;
·                Membantu Persekutuan Tanah Melayu daripada ancaman ini;
·             Membangunkan pentadbiran ekonomi yang stabil dan mewujudkan keharmonian di antara semua kaum;
·               Menentukan sistem pertahanan yang utuh.[9] 
  
Bersandarkan kepada arahan tersebut dan keadaan keselamatan begitu meruncing, Templer berpandangan PTM masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) di seluruh PTM sebelum 1958 dan berkerajaan sendiri sehingga 1960.[10] Dalam laporannya kepada  Lennox-Boyd, Setiausaha Negara untuk Koloni, Sir Donald Charles MacGillivray (MacGillivray) yang mengganti Templer,[11] mengakui keadaan menunjukkan PGK tidak mudah dimusnahkan. Dalam rumusannya, beliau menegaskan bahawa darurat tidak akan berakhir dalam masa terdekat selagi majoriti kaum Cina terus menyokong Parti Komunis Malaya (PKM).  Kesediaan mereka ini membolehkan gerila komunis mengekalkan pasukan bersenjata mereka untuk meneruskan perjuangan.[12]

Rakyat PTM menganggap keadaan keselamatan yang diketengahkan Templer hanyalah alasan untuk melengahkan proses menuju ke arah berkerajaan sendiri. Tanggapan ini diperkukuhkan lagi apabila George Crombie dari Pejabat Hubungan Komanwel (Commonwealth Relations Office) dalam notanya pada 18 November 1954 menjelaskan bahawa: “...dasar Koloni kita adalah untuk menggalakkan berkerajaan sendiri secara berperingkat melalui kaedah demokrasi.”[13] Motifnya menjadi lebih jelas apabila beliau menentang Konferensi Afro-Asia (Asian-African Conference) yang akan diadakan di Bandung, Indonesia pada 18 hingga 24 April 1955. Beliau percaya antara topik perbincangan nanti akan membabitkan dasar anti-koloni. Perbincangan itu sudah pasti akan membuat Inggeris dalam keadaan kurang selesa. Keadaan akan memburukkan lagi dengan kehadiran Pandit Nehru, Perdana Menteri India yang begitu anti-koloni dan berpandangan bahawa kolonisme dan komunisme tidak dapat dipisahkan kerana “...They are collective [colonialism and communism], and one leads to another. Both are undesirable.”[14] Selain India, bekas koloni mereka yang akan turut hadir ialah Ceylon (Sri Lanka) dan Pakistan yang juga anti-koloni.[15]

Sementara itu, dasar ini menimbulkan prasangka di kalangan rakyat terhadap kejujuran Inggeris bahawa mereka agak keberatan untuk melepas PTM sebagai sebuah negara merdeka demi menjaga kepentingan ekonomi mereka.[16] Prasangka ini berasaskan kepada kepentingan mereka dalam industri getah asli dan bijih timah. Menurut laporan audit, PTM merupakan penyumbang terbesar di antara koloni kepada  ekonomi UK pasca Perang Dunia II. Sumbangan PTM berjumlah  $268,660,548.98 kepada ekonomi kerajaan Inggeris pada 1947.[17]

Walaupun Inggeris cuba melengahkan proses memberi kemerdekaan, namun mereka terpaksa akur kepada gelombang yang makin giat menuntut kemerdekaan oleh rakyat dengan seberapa segera. Senario ini terbukti apabila Parti United Malays National Organisation (UMNO) yang dianggap oleh Inggeris sebagai mesra-Inggeris, menukar slogan daripada ‘Hidup Melayu’ ciptaan Dato’ Onn Ja’afar yang digunakan semasa menentang Malayan Union kepada ‘Merdeka’.[18] Pertukaran ini adalah di atas cadangan  Pemuda UMNO dalam persidangan UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 25-26 Mac 1951. Alasan pertukaran ialah “...untuk melahirkan pembentukan bangsa dengan hati yang tenang dan bertanggungjawab.”[19] Cadangan ini ditentang oleh Dato’ Onn dengan alasan bahawa rakyat masih belum bersedia untuk mengambilalih menerajui PTM sebagai sebuah negara merdeka.[20] Dalam keadaan begini, kemerdekaan tersebut tidak akan bertahan lama. Namun demikian, undian memihak kepada cadangan Pemuda dan beliau akur dengan keputusan tersebut. Pendirian Dato’ Onn Ja’afar diulangnya pada 13 Jun 1951 semasa mengumumkan penubuhan Independence of Malaya Party (IMP).[21] Parti baharu ini akan mendapatkan kemerdekaan dalam tempoh tujuh tahun.[22]

Slogan baharu UMNO ini mendapat perhatian MacGillivray dan dilaporkan kepada Lennox-Boyd.[23] Laungan ‘Merdeka’ ini sebenarnya bukannya satu yang baharu. Ia mula kedengaran semenjak penubuhan Parti Kebangsaan Malaya Merdeka (PKMM) di Ipoh, Perak pada 17 Oktober 1945. Malah Rang Undang-undang PKMM dengan jelasnya mencatat tujuan utama penubuhannya  ialah “Kemerdekaan   Bangsa   dan   Tanah   Air.” Slogan ‘Merdeka’ menjadi laungan apabila bertemu dengan pendukung mereka.[24]



[1]               The Straits Times, Federation Comes Into Being, 2 Februari 1948, hlm. 1; juga ANM. Formation on the Federation Of Malaya.  Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Februari 1948. Lihat http:// hids.arkib.gov.my/en/peristiwa/-/asset_publisher/WAhqbCYR9ww2/content/persekutuan-tanah-melay u-ditubuhkan/pop_up?_101_INSTANCE_WAhqbCYR9ww2_viewMode=print (diakses pada 11 Disember 2018).
[2]               ANM. The Federation Of Malaya Agreement, 1948.
[3]               Comber, Leon. (2015). Templer and the Road to Malayan  Independence. Singapore: ISEAS, hlm. 5. Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi dan Pengarah Operasi adalah dua jawatan berasingan; Pengarah Operasi bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Kerajaan Inggeris bersetuju untuk melantik Sir Donald Charles MacGillvray sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Lt. Jen. Sir Robert Lockhart sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk membantu Templer.
[4]               The Sunday Times, Sir Henry Gurney Killed-He Drew Bandit Fire, 7 Oktober 1951, hlm.1.
[5]               Ongkili, James P. (1985). Nation-building in Malaysia 1946-1974. Singapore: Oxford University Press, hlm. 79.
[6]               CO 1022/103, Directive to General Sir Gerald Walter Robert  Templer, KCB, KBE, CMG, DSO, ADC, High Commissioner in and for the Federation of Malaya, by the Secretary of State for the Colonies on behalf of His Majesty’s Government in the U.K., 15 February 1952. Dalam Comber, Leon, op.cit., nota hujung, hlm. 17.  
[7]               Comber, Leon, op. cit., hlm. 5.
[8]               FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[9]               The Straits Times, This Is The Way-Eden: He lists Five Steps to Self-Govt., 3 March 1955, hlm. 1. Robert Anthony Eden menjawat jawatan Perdana Menteri pada April 1955-Januari 1957 menggantikan Winston Churchill.
[10]             Comber, Leon, op. cit., hlm. 22 dan nota hujung, hlm. 39. Penulis merujuk kepada CO 1022/86 (3), Minutes of Political Talk with General Templer at Colonial Office, 3 December 1952 dan CO 1022/86, Minutes by J.J. Paskin to Sir T. Lloyd re. Discussions with General Templer and the Chiefs of Staff, 10 December 1952.
[11]             Sir Donald Charles MacGillivray menggantikan Jen. Sir Gerald Templer pada 31 Mei 1952 sehingga 31 Ogos 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
[12]             CO 1030/174, no 9, despatch no 104/55 from Sir D. MacGillivray to Mr Lennox-Boyd on Chinese Support for MCP and MCP Strategy, 28 Jan 1955. Dalam Stockwell, A. J. (1995). Malaya: The Alliance Route to Independence 1953-1957. (Editor). Series B Volume 3. London: HMSO, hlm. 89.
[13]             Note from George Crombie from Commonwealth Relations Office on the Holding of an Afro-Asian Conference, 18 November 1954. Lihat http://www/cvce.eu/obj/note_from_the_commonwealth relations_office_on_the_holding_of_an_afro_asian_conference_18_november_1954-en-28ed9770-3ab f-4aaf-a343-875c230f95ef.html (akses pada 20 Jun 2018).
[14]             The Straits Times, My Message of Hope-by Nehru, 1 January 1955, hlm. 1. Jawapan Pandit Nehru apabila ditanya oleh wartawan di Singapura dalam perjalanan ke Pulau Pinang pada 31 Disember 1954. Beliau ditanya apa yang lebih berbahaya antara kolonialisme atau komunisme.
[15]             Ibid. Bekas koloni-koloni tersebut mencapai kemerdekaan pada: Ceylon-4 Februari 1948; India-15 Ogos 1947; Pakistan-14 Ogos 1947.
[16]             FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[17]             Report on the Audit of the Accounts of the Malayan Union for the Year Ended 31 December 1947 (1950). Dalam Ishak Saat. (2011). Radikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 61.
[18]             Abdul Rahman Abdul Aziz & Mustapa Kassim. (2009). Amanat Presiden: 1946-1951 Dato’ Onn Jaafar. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd, hlm. 5. Dato’ Onn Jaafar menyeru slogan  ‘Hidup Melayu’ dalam penutupan ucapannya semasa Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman pada 1-4 Mac 1946. Kongres ini menyaksikan persetujuan untuk menubuhkan UMNO; dan Ramlah Adam. (2005). Dato’ Onn Ja’afar: Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 163. Slogan ini menjadi cogan kata UMNO ketika itu.
[19]             Ramlah Adam, op. cit., hlm. 170-171. 
[20]             CO 537/1594, Political Report for May 1951 dan MSS/PIJ No. 2247. Dalam Ramlah Adam, op. cit., hlm. 171.
[21]             The Straits Times, Seven Years: Is It Enough?, 14 Jun 1951, hlm. 6.
[22]             The Straits Times, 'We'll Quit with Onn'-Say Top UMNO Members, 14 Jun 1951, hlm. 5.
[23]             CO 1030/174, no 9, despatch no 104/55 from Sir D. MacGillivray to Mr Lennox-Boyd on Chinese support for MCP and MCP Strategy, 28 Jan 1955. Dalam Stockwell, A. J., op. cit., hlm. 94.
[24]             Ishak Saat. Peranan Politik Akhbar Suara Rakyat 1945-48. Kemanusiaan,17 (2010), 65-89,  Universiti Sains Malaysia, hlm. 72. Lihat  http://web.usm.my/kajh/KAJH%2017/KAJ H%20Art% 204 %20(65-89).pdf (diakses 12 Disember 2018); juga Insun Sony Mustapha. (2005). Malay Nationalism Before UMNO: The Memoirs of Mustapha Hussain. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., hlm. 330. Inggeris telah mengharamkan PKMM apabila darurat diisyhtihar pada 18 Jun 1948 dengan alasan ia dipengaruhi oleh komunis.

Khamis, 30 Mei 2019

Pengesahan ANM

Bersambung dari SINI...

Semalam, 29 Mei 2019, saya terima surat pengesahan penerimaan dokumen penceritaan mengenai Pertemuan Baling dari Arkib Negara, Cawangan Negeri Perlis dan Kedah.




Syukur alhamdulillah, Allah telah makbulkan hasrat saya. Tak kisahlah sama ada kajian saya itu diselimuti oleh debu nanti. Janji sekurang-kurangnya bertambah bahan rujukan kepada para pengkaji nanti yang nak membuat kajian yang ada kaitan dengan 1 peristiwa yang merupakan 'turning point' kepada negara tercinta ini, wallahualam.

Terus terang saya katakan. Saya sebenonya lebih menceritakan apa yang berlaku; macam sorang Tok bercerita kepada cucu2nya. Saya tak pandai nak berhujah; maklum saje le saya bukan ahli akademik. Lagi pun, pada saya  'history' kan ke 'his story'....he...he...he. Pokoknya, harapan saya hanyalah agar para pembaca memahami apa yang saya tulis.

Oh ya...Setelah memiokannya, sesiapa yang berminat, saya sedia 'bind' dan kurierkannya. Tapi lewat sikit le kerana 'made-to-order'. Kedai yang buat kulit buku tu masih guna hot press untuk cetak tajuk buku; depa tak guna 'laser printing'.  Ambil masa lebih kurang 3-4 hari.    

Berakhirlah 1 kisah. 

Isnin, 6 Mei 2019

LIKU-LIKU KE ARAH PERTEMUAN BALING: 28-29 DISEMBER 1955

Dah lama bebeno saya tak menulis dalam blog. Bukan kerana malas, sebaliknya saya memerah otak untuk mentransformasikan coretan berkenaan tajuk di atas bermula dengan coretan di SINI dan berakhir di SINI kepada sebuah 'buku'. Sebenonya bukan buku pun tapi lebih kepada format tesis.

Mengapa saya sanggup membuang masa, memerah otak dan duit untuk menulis peristiwa yang kemungkinan ramai orang pun tak minat membacanya? Memang saya tak nafi bahan sejarah kurang diminati oleh segolongan besar rakyat, terutama sekali golongan remaja. Kerana saya merasa bersalah tidak kongsi apa yang saya tahu, walaupun segelumit. Ingat...masih ramai juga yang berminat tetapi mereka tidak didedahkan.

Lagi satu faktor mengapa saya sanggup 'berkorban' masa dan ongkos, ialah kerana nak beri pandangan saya apa yang berlaku di belakang tabir sebelum pertemuan itu berlaku. Pada saya, sekadar membaca transkrip pertemuan itu tidak memadai untuk membuat satu kesimpulan.

Saya rasa tak adil apabila ada terdengar suara yang mengatakan Tunku sepatutnya bertolak ansur dengan Chin Peng semasa mesyuarat itu. Kena faham apa yang mendorong Chin Peng mahukan pertemuan tersebut.

Oh ya...Saya tidak menggunakan istilah Rundingan Baling kerana, pada saya, memang tak ada rundingan lansung. Kedua-dua pihak, Tunku dan Chin Peng, tidak berganjak dengan objektif masing2. Tunku dari awal2 lagi mengatakan tujuan beliau bertemu dengan Chin Peng adalah untuk menjelaskan  syarat-syarat amnesti yang menghendaki PGK menyerah diri dan dengan tegasnya menyatakan beliau sama sekali tidak akan mengiktiraf PKM. Sebaliknya, Chin Peng pula bertegas supaya gomen mengiktiraf PKM dan mereka tidak akan menyerah diri dan akan meneruskan perjuangan mereka ke titisan darah terakhir; menyerah diri tidak sama sekali. Tak kisahlah walaupun Malaya dah kemerdekaan.

Anyway, nawaitu saya ialah untuk menyumbang kajian ini kepada Arkib Negara Negeri Perlis/Kedah dan juga Perpustakaan Kedah. Bahan2 mengenai topik agak kurang di kedua-dua agensi tersebut. After all, peristiwa ini berlaku di Negeri Kedah.

Buku itu siap dibinding pada tengah hari semalam 5.5.19. Jadi, lepas zohor, pergi le ke Arkib dan Perpustakaan untuk menyerahkan masing-masing 1 salinan.



Menyerahkan 1 naskah kajian kepada En. Abdul Jabar, Pengarah ANM Negeri Perlis/Kedah di ANM, Alor Setar

Kapt. Fadhil Abdullah, kapten B787 Dreamliner, Etihad Airways, Abu Dhabi, berhasrat sangat untuk menyumbang kajian saya itu kepada perpustakaan. Saya tabik spring semangat patriotismenya. Jadi, saya catatkan nama beliau dalam surat saya kepada Pengarah Perpustakaan. 

Ada pihak tertentu mencadangkan saya menerbitkannya. Saya agak keberatan kerana, pada pengamatan saya, buku sejarah tidak 'saleable'. Anyway, saya dah hantar 1 salinan kepada DBP untuk mereka mempertimbangkan sama ada untuk menerbitknya. Jika tidak, no problem, dah tak ada rezeki. Jika ya, syukur alhamdulillah. 3 bulan lagi mungkin diberitahu keputusannya. Jika mereka bersetuju, tunggu le 6-9 bulan untuk diterbitkan, wallahualam.

Saya mengambil kesempatan ini untuk semua pembaca blog ini: SELAMAT BERPUASA.

Isnin, 24 Disember 2018

Pemergian Seorang Wira Negara

Malam semalam, jam 2103 Mej Basri PGB forward WhatsApp yang menyatakan Lt Kol Hj Basri Omar PGB sedang sakit tenat dan akan dibedah malam itu juga.

Pagi tadi, bila buka WhatsApp, terima berita yang menyedihkan:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Dato Seri, Dato, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

LAPORAN PESARA PEGAWAI TENTERA  MENINGGAL DUNIA

(a) Nama: Lt Kol Hj Basri bin Omar (B) PGB

(b) Nama Waris: Hjh Zawyiah binti Hj Abd Aziz

(c) Kor : RAJD

(d) Umur: 66 Thn

(e) Tarikh Dan Masa Masuk Hospital: *222100H DIS 18*

(f) Hospital: *HAT TUNKU MIZAN*

(g) Wad : ICU

(h) Tingkat/Katil: Tingkat 5

(i) Jenis Penyakit: Diagnosis awal batu karang dalam buah pinggang. Diagnosis lanjut pada 23 Dis 18 pendarahan dalam perut.

(j). Pada 231700H Dis 18 beliau telah dimasukkan ke wad ICU.

(k). Disahkan Meninggal dunia pada 240020H Dis 18.

(l)  Maklumat urusan pengkebumian akan dimaklumkan kemudian.

Sekian saya memaklumkan.

Kol Zakaria Abdul Rahman
Jabatan Arah Jurutera

Allahyarham Lt. Kol. Basri bin Omar (B) PGB

Jenazah di Masjid Khalid Al-Walid, KEMENTAH untuk disolatkan

Jenazah dibawa keluar dari masjid

Memang saya terkejut. Arwah banyak membantu saya semenjak saya menjadi seorang blogger pada 2009. Beliau sedia menyalur maklumat yang ada kaitan dengan pasukan kesayangannya, RAJD dan satu-satunya warga RAJD yang dianugerah PGB. Malah beliau berjaya meyakinkan Mej. Jen. Mior Safuan (B) supaya menukil pengalamannya semasa Op Gubir II. Nukilan itu menjadi bahan blog, buku dan tesis PhD saya. Arwah turut menghadiahkan dua naskah buku bagi memudahkan kajian saya - Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. Jilid 1 dan 2. Untuk buku kedua saya mengenai Terumbu Layang-Layang, beliau telah menghantar gambar-gambar penglibatan RAJD.

Pertama kali bertemu muka dengan Allahyarham Lt Kol Basri bin Omar PGB (B) di Jitra pada 5 Ogos 2010 

Pada  28 Ogos 2012, Allahyarham Lt Kol Basri, Mej Ishak dan saya diundang ke Majlis Pengkisahan di Perpustakaan Awam, Kangar, di SINI. Acara ini merupakan ulung kali diadakan oleh agensi tersebut yang membabitkan kisah keperwiraan. Beliau datang dengan menaiki keretapi. Masa itu masih tiada ETS. 

Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada 22 Ogos 2017 di Perpustakaan Kangar semasa Majlis Pengkisahan, di SINI. Sama seperti pertemuan pada 2012, beliau menaiki keretapi, tapi dengan ETS dari Kuala Lumpur. Beliau sanggup hadir semata-mata untuk meraikan majlis tersebut walaupun bukannya sebagai ahli panel. Saya masih ingat beliau bertanya sama ada boleh tumpang di bilik saya di Hotel Putra Palace malam itu. Masalahnya saya sudah berjanji dengan Mej Rajasaikaran yang datang dari Melaka semata-mata untuk hadir majlis tersebut. 

Saya sungguh menghargai semangat patriotisme mereka berdua.

Saya sungguh menghargai semangat patriotisme Allahyarham Lt Kol Basri yang sentiasa sedia memenuhi undangan untuk menceritakan pengalaman, jika tiada aral melintang. 

Saya juga terharu apabila beliau begitu gembira dengan kejayaan saya menerima PhD sehingga memaklumkan kepada kumpulan WhatsApp intake mereka. 

Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Leftenan Kolonel Basri bin Omar PGB (B). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang yang soleh dan beriman. Amiin Ya Rabbal Alamiin.



Khamis, 20 Disember 2018

"Guardian Of The Frontier"

Sebentar tadi, saya terima buku berikut daripada Markas TLDM, KEMENTAH.

Terbitan TLDM 2018

Sebenarnya saya telah diundang semasa pelancarannya di KEMENTAH pada 7 Disember 2018 tetapi terpaksa menolaknya kerana komitmen keluarga. Memang saya nak sangat hadir tapi Allah yang menentukannya.

Kad jemputan pelancaran buku

Saya tabik spring kepada TLDM kerana dedikasi mereka kepada semua yang terlibat dalam operasi ini.
Dedikasi kepada mereka yang terlibat

Saya begitu gembira apabila terdapat tandatangan saya dan surat kepada saya...
Surat daripada Allahyarham Brig Jen Ahmad Merican

Dan nama juga tercatat di sini...
Satu penghargaan

Saya tak tahu sama ada buku ini boleh diperolehi oleh peminat2 ketenteraan. Apa pun, TERIMA KASIH kepada TLDM amnya, Lt Kdr Zulhilmi, khususnya.