Pengikut

Ahad, 12 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 12

Sambungan dari  SINI ...    

Kecuali beberapa kubu/pos yang boleh diakses melalui sungai, yang lain memerlukan perkhidmatan udara. Tugasan mobiliti udara dipertanggungjawab kepada TUDM apabila pasukan keselamatan mengambil alih Op Bamboo. Pesawat TUDM yang memainkan peranan utama ialah DHC-4A Caribou yang mengganti Twin Pioneer yang ditamat perkhidmatannya, Alouette III dan Nuri.  Tugasan Caribou ialah menggugur bekalan rangsum dengan paracut manakala Nuri yang juga lebih dikenali sebagai ‘Bamboo Express’ sebagai platform mengangkut anggota PPH dan bekalan segar. Alouette III pula untuk Perkhidmatan Doktor Udara.

 '1, 2, 3, 4 packs away... all chutes deployed'  Kuatermaster Udara memaklumi juruterbang.  
Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)

 Sjn Othman bin Sabirin (memakai bondome) bersama anggota pasukan Hantaran Udara. 
Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)

Saat yang ditunggu-tunggu. Ketibaan Bamboo Express di Pos Gob untuk membawa wira-wira 
ke Lasah, Sungai Siput.  Sumber: Kpl (B) 50186 Mohd Sharif bin Othman   

Alouette III sebagai platform untuk Perkhidmatan Doktor Udara di Fort Kemar. Sumber: Coretan Xnuripilot pada  21 Februari 2012

*****

Walaupun kubu/pos tertentu boleh diakses melalui sungai, namun laluan itu berbahaya. Bot untuk penghantaran ulang bekal berhadapan dengan serang hendap. Itu yang berlaku kepada sebuah bot pada 28 Ogos 1975.

Pada pagi hari tersebut, bot dengan 4 anggota ‘Extra Police Constable (EPC)’ menyusuri Sungai Perak dari Gerik ke Fort Tapong. Kubu ini merupakan Markas Taktikal pasukan VAT 69 yang diatur gerak untuk memburu petualang negara. Anggota tersebut ialah EPC 5272 Wan Marzuki bin Wan Hassan, EPC 5247 Yeop bin Omar, EPC 5244 Mat Alias bin Mat Daud, dan EPC 5261 Mohd Sharif bin Yaacob. Misi mereka ialah menghantar bekalan dan satu dram 44 gelen petrol.  

Pada lebih kurang jam 11:30 pagi, kesepian di laluan Sungai Perak dikejutkan: “bang...bang...bang.” Bot telah diserang hendap. Keempat wira negara telah gugur. Sepertimana yang sudah dijangka, petualang negara telah merampas senapang mangsa dan bekalan dalam bot tersebut. Manakala petrol itu pula dibakar. Tembakan dan letupan dram petrol itu boleh didengar di Fort Tapong.

ASP Mohd Zabri bin Abd Hamid (Allahyarham), pemangku Ketua Kompeni yang ketika itu sedang berada di lokasi serang hendap, percaya tembakan itu berpunca bot yang membawa bekalan untuk mereka diserang hendap. Jangkaannya itu bersandarkan bot tersebut sepatutnya sudah tiba di Fort Tapong.   Lantas beliau telah mengarahkan tiga ‘patrol[1] masing-masing diketuai oleh Insp Mohd Anuar bin Md Zain, Kpl 40100 Hamzah bin Hashim dan Kpl Bakar untuk menyiasat kejadian tersebut.[2]

Masalahnya hari sudah lewat untuk mereka menyiasat. Jadi keesokan pagi, 29 Ogos 1975, ketiga-tiga patrol bergerak dengan menyusur sungai dari Fort Tapong menuju lokasi serang hendap. Tidak lama kemudian, mereka ternampak kawasan terbakar di seberang sungai.[3] Mereka tidak terus meluru ke lokasi sebaik sahaja ternampak bot sebaliknya berhati-hati kerana kemungkinan masih ada saki-baki komunis menunggu kedatangan mereka. Setelah yakin musuh tiada lagi di situ, mereka meranduk sungai. Mujurlah sungai itu cetek dan tidak lebar. Sebaik sahaja tiba di tebing, mereka terpandang 2 mayat dan kesan darah yang banyak. Apa yang mereka lihat sungguh menyayat hati. Sekadar merampas bekalan dan senjata tidak dapat memenuhi nafsu serakah kezaliman petualang negara. Pada musuh, tiada istilah hormat terhadap jenazah.

Satu mayat diikat di bawah bot yang berada dalam air dengan tangannya diikat menggunakan jala. Dan mulutnya disumbat dengan kemaluannya! Penyelamat terpaksa menyelam untuk membuka ikatan dan menaikkan ke tebing. Apabila dibuka baju mayat itu, mereka tidak menemui kesan walau sebutir peluru pun pada mayat itu. Apa yang mereka lihat ialah terdapat beberapa azimat. Mungkin komunis mengambil tindakan untuk melemaskan anggota tersebut kerana peluru gagal membunuh tuan punya badan.

Satu lagi mayat ditemui terdampar di atas bongkah batu dalam sungai berhampiran tempat kejadian.  Dan mayat itu penuh dengan kesan peluru. Menurut  Insp Mohd Anuar, beliau menganggar lebih 100 butir menembusi badan anggota tersebut yang mana 50 butir di dada.[4]    

Selepas itu  Insp Mohd Anuar dan anggotanya menggeledah kawasan itu mencari 2 lagi mayat. Namun gagal menemui mayat-mayat itu. Mereka diketemukan  tempat menyalai ikan dan ikan yang telah disalai. Kekuatan musuh pula dianggar seramai lebih kurang 20-25 gerila musuh telah berkhemah di lokasi serang hendap.[5] Menunggu mangsa. Seterusnya beliau meminta helikopter untuk membawa keluar dua mayat tersebut. Sementara menunggu ketibaan Nuri, mereka seterusnya membersihkan satu kawasan di tebing sungai berhampiran lokasi kejadian untuk pendaratan Nuri itu nanti. Insp Mohd Anuar membuat keputusan bermalam itu di situ dan akan menerus pencarian 2 lagi mayat keesokan hari.

           Selepas itu  Insp Mohd Anuar dan anggotanya menggeledah kawasan itu mencari 2 lagi mayat. Tetapi pencarian gagal menemui mayat-mayat itu. Seterusnya beliau meminta helikopter untuk membawa keluar dua mayat tersebut. Sementara menunggu ketibaan Nuri, mereka seterusnya membersihkan satu kawasan di tebing sungai berhampiran lokasi kejadian untuk pendaratan Nuri itu nanti. Insp Mohd Anuar membuat keputusan bermalam itu di situ dan akan menerus pencarian 2 lagi mayat keesokan hari.

Kebetulan pada hari sebuah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan yang dikendalikan oleh Kapt (U) Ismail bin Saud (Allahyarham) bersama kru, Lt (U) Senin bin Jantan dan Sjn Arumugam sedang melakukan tugasan operasi berhampiran kawasan itu. Mereka telah diarah untuk membuat tugasan bodevac.[6] Tanpa berlengah, mereka mendarat di lokasi dan menurunkan mangsa keganasan pengkhianat negara di Gerik. Kru terbang balik ke Kuantan apabila tugasan hari berjaya dilaksanakan.

Keesokan hari, 30 Ogos 1975, para penyelamat  meneruskan pencarian 2 mayat. Kedua-dua mayat tersebut ditemui setelah apabila penyelamat menyelam di dasar sungai berhampiran dengan lokasi kejadian. Menurut Insp Mohd Anuar, satu mayat “... ada kesan peluru jugalah. Tapi ikan makan, ikan toman kut [agak].”[7] Kedua-dua jenazah tersebut diterbangkan oleh sebuah Nuri ke Gerik pada hari itu juga. Setelah jenazah diterbangkan, ketiga-tiga patrol kembali ke Fort Tapong.

Kezaliman pengganas komunis terhadap jenazah seperti yang diperlakukan kepada mangsa yang disumbat kemaluan dalam mulut bukannya satu insiden yang terpencil. Perlakuan yang sama dialami dalam insiden pengganas komunis menyerang hendap sebuah trak Volvo 2 tan yang membawa anggota 22 RAMD di Kampung Lalang di Daerah Baling pada 29 Oktober 1981. Serang hendap tersebut telah menyaksikan 7 wira negara gugur. Memetik karya Brig Jen Dato’ Dr Mohd Radzi bin Hj Abdul Hamid:

“Anggota pertama iaitu Prebet Md Merdeka, pemandu trak Volvo 2 tan, mayatnya dibogelkan dan diikat pada wiper trak. Telinganya dipotong dan dijadikan kalung rantai dengan menggunakan tali akar pohon letup-letup. Kemaluannya dipotong dimasukkan ke dalam mulut seperti orang sedang menghisap cerut. Kejam.”[8]

Serang hendap terhadap 4 anggota EPC telah memberi kesan hebat kepada Puan Saadiah bt Abdullah, lebih mesra dengan gelaran Makcik Saadiah, isteri EPC 5244 Mat Alias bin Mat Daud. Sebelum kejadian, rutin hariannya ialah pada setiap pagi Makcik Saadiah masak nasi dan membungkusnya untuk dihantar ke IPD Gerik di mana suaminya bertugas. Beliau menghantar makanan tengah hari untuk suami tercinta dengan mengayuh basikal sejauh 5 km dari rumahnya di Kampung Padang, Kuala Kenderong ke IPD Gerik. Setiap hari. Walaupun suaminya telah terkorban, beliau meneruskan rutin harian menghantar makanan kepada anggota IPD yang bertugas. Perlakuan ini  sebagai tanda ingatan kepada arwah suaminya. Setelah 37 tahun, pada 2012 rutin ini terhenti selepas beliau terjatuh basikal dan kesihatan agak merosot. Pada 4 September 2021 di usia 84 tahun, Puan Saadiah bt Abdullah@ Makcik Saadiah menyahut panggilan Ilahi.[9]

Makcik Saadiah dengan basikalnya tiba di IPD Gerik dan memberi nasi bungkus
 kepada anggota bertugas. Sumber: Utusan Malaysia 

Bak kata peribahasa - orang berbudi kita berhahasa. Supt Zahriman Alias memerhati perlakuan Makcik Saadiah semenjak beliau menjawat jawatan OCPD Grik (1995-2000). Apabila diberitahu kisah  Makcik Saadiah, beliau telah menghadiahkan sebuah basikal kepada Makchik Saadiah.[10]  

  Supt Zahriman Alias menyerahkan sebuah basikal kepada Makcik Saadiah di IPD Gerik.
Sumber: Supt (B) Zahriman Alias 

Anak bongsunya, Wan Jelani Alias, menjelaskan perlakuan ibunya: "Selain menzahirkan kasih sayang dan kesetiaan kepada arwah ayah, emak secara tidak langsung tunjukkan bahawa dia sangat menghargai petugas keselamatan, jadi sebab itu bila arwah ayah sudah meninggal pun dia masih menghantar makanan kepada polis di balai berkenaan," [11] 

Apakah yang cuba disampaikan oleh petualang negara yang menzalimi jenazah-jenazah yang mereka bunuh? Adakah untuk mematahkan semangat anggota pasukan keselamatan?

Jika itulah nawaitu mereka, tanggapan mereka begitu jauh meleset. Perbuatan keji mereka sebalik membakar semangat wira-wira negara untuk terus maju memburu mereka walaupun berhadapan dengan pelbagai kemungkinan, wallahualam. 

Memang ada kebenaran ungkapan 'Komunis yang baik adalah komunis yang sudah mati'. 

Sumber: DI SINI

Bersambung...In syaa Allah.


[1]            Patrol adalah unit terkecil dalam pasukan VAT 69 dan mengandungi enam orang anggota.

[2]          Panel Penyelidik dan Penemuramah. (2011). Warisan Darah Perwira - Sang Saka Biru (Jilid 111). Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia. Transkripsi wawancara sejarah lisan DCP Dato’ (B) Mohd Anuar bin Md Zain.

[3]            Panel Penyelidik dan Penemuramah. (2011). Warisan Darah Perwira - Sang Saka Biru (Jilid 1). Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia. Transkripsi wawancara sejarah lisan SM (B) Hamzah bin Hashim.

[6]            PW U I Arumugam a/l Manickam (B), Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.

[7]             Panel Penyelidik dan Penemuramah. (2011). Warisan Darah Perwira - Sang Saka Biru (Jilid 111).

[8]            Brig Jen Dato’ Dr Mohd Radzi bin Hj Abdul Hamid, MC. (2019). Serang Hendap Kampung Lalang. Kem Sungai Buluh: Markas 11 Briged, hlm. 181.

[9]        Sinar Harian. Mak Cik Saadiah sudah tiada. 4 September 2021. Lihat https://www.sinarharian.com.my/ article/159612/EDISI/Mak-Cik-Saadiah-sudah-tiada.

[10]        Zahriman Alias. (2021). 'F Team' Tenggelam Dalam Rahsia - Bahagian 2. Shah Alam: Rabbani Integrated.

[11]         Muhammad Zulsyamini Sufina Suri, My Metro, Tiada lagi makanan dihantar Mak Cik Saadia.  Lihat https://www.hmetro.com.my/utama/2021/09/751142/tiada-lagi-makanan-dihantar-mak-cik-saadiah. Ibid.


Khamis, 9 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 11

Sambungan dari SINI...

Keadaan gerila Chin Peng bak seperti sandwic. Penempatan mereka di sempadan dihimpit oleh dua negara. Kedua-dua negara itu pula agresif memburu untuk memusnahkan mereka. Namun demikian, seperti sandwic masih ada intinya yang tiris. Sama juga gerila komunis. Mereka masih berjaya melepasi sempadan masuk ke Malaysia walaupun sepanjang sempadan negara di kawal oleh pasukan keselamatan. Tetapi kehadiran mereka tetap dapat dihidu oleh pasukan keselamatan yang sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menyambut kedatangan mereka dengan senjata terbuka. Bukan dengan tangan terbuka. Mereka terus diburu baik dalam hutan belantara mahu pun di bandar.

Hutan belantara tidak lagi mampu memberi perlindungan kepada mereka sepenuhnya. Mendapatkan sokongan kaum Orang Asli tidak lagi semudah yang difikirkan. Kerana pasukan keselamatan, khususnya  PDRM telah mengatur gerak anggotanya, Cawangan Khas (SB) dan Pasukan Polis Hutan (PPH) di beberapa pos dalam kawasan Op Bamboo. Satu-satunya operasi yang diwarisi daripada British dan berterusan selama 38 tahun. Operasi tersebut  telah  dilancar pada Oktober 1959[1] semasa darurat (1948-1960) dan berakhir pada 1997.[2] Kawasan operasi ini merangkumi dari permulaan Sungai Perak di sempadan Malaysia-Thailand hingga Kuala Kangsar/Sungai Siput (Utara) dan ke sempadan Perak–Kelantan.

 
Lokasi beberapa kubu dan pos tertentu di Kawasan Op Bamboo. 
Sumber: A. Navaratnam. (2001). The Spear And The Kerambit

 Mengapa British dan disusuli negara memberi perhatian serius terhadap kawasan pedalaman yang dihuni oleh kaum Orang Asli? Apakah signifikannya?

Kerana tindakan agresif pasukan keselamatan semenjak era darurat telah memaksa pengkhianat negara  mencari perlindungan di kawasan pedalaman. Ketika berada di kawasan pedalaman ini, mereka telah mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi Orang Asli supaya membantu mereka mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan maklumat mengenai pergerakan pasukan keselamatan. Selain itu, mereka merekrut Orang Asli untuk diberi latihan ketenteraan supaya kaum ini boleh menyertai pasukan dari kalangan mereka dengan tujuan menentang kerajaan. Bagi mendapat sokongan mereka, petualang negara telah mewujudkan satu unit khas yang diberi gelaran Kumpulan ASAL (ASAL Group) yang memberi makna bahawa komunis mengiktiraf Orang Asli sebagai penghuni asal Tanah Melayu, bukannya sebagai hamba.  Namun objektif sebenar penubuhan kumpulan ini adalah untuk mewujudkan tenaga kerja sebagai porter dan gerila untuk berjuang bersama pengganas komunis.  Di samping itu, kaum ini juga dijadikan  sebagai skrin radar di penempatan musuh.  

Keadaan ini membimbangkan ‘supremo di Malaya, Jen Sir Gerald Templer selaku Pesuruhjaya Tinggi merangkap Pengarah Operasi (Januari 1952-Mei 1954). Beliau  akui faktor Orang Asli mampu menewas musuh dengan menyatakan: “Orang Asli adalah faktor penting semasa Darurat (The aborigines of Malaya was that they had become a vital factor in the Emergency.”).[3] Lantas beliau telah mengarah pembinaan beberapa kubu/pos  di kawasan penempatan Orang Asli yang dianggap paling sukar di dunia untuk diakses. Kubu-kubu tertentu, seperti Fort Chabai, Fort Kemar, Fort Tapung, turut dibina landasan terbang bagi memudahkan pesawat ringan mendarat. Selain itu, kubu/pos dijadikan pangkalan untuk pasukan infantri dan PPH melancarkan operasi dan rondaan, selain mengawal kegiatan Orang Asli.  Turut ditempatkan di barisan hadapan ini ialah staf Jabatan Orang Asli (JOA; kini Jabatan Kemajuan Orang Asli [JKOA]).

Apakah strategi  Jen Gerald Templer? Bagi  memenangi hati dan pemikiran (heart and mind) dalam agenda Perang Saraf atau Perang Psikologi (Psychological Warfare). Di samping itu, beliau telah mewujudkan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Services) dan Hospital Orang Asli Gombak.  

Bersambung...In syaa Allah.

 [1]           Jackson, Robert. (1991). The Malayan Emergency & Indonesian Confrontations: The Commonwealth’s Wars 1948-1966. South Yorkshire: Pen & Sword, hlm. 63. Penulis mencatatkan PK telah melancarkan Op Bamboo di sempadan Kedah-Thailand pada Oktober 1959; juga Kertas kerja oleh Ruslan Iskandar Carey, Paper: Operation Bamboo And Trans-Malayan/Thai Border Problem, (Secret), Senoi Pra’aq, 11.6.1963, hlm. 1. Ruslan adalah Pesuruhjaya Jabatan Orang Asli ketiga menggantikan R.O.D. Noone. Beliau mencatatkan bahawa Op Bamboo dilancarkan pada lewat 1959.

[2]           Dokumen Sejarah Operasi-Operasi PPH/PGA Briged Utara (Ops Bamboo)-(PR)85/9/1/37, tanpa tarikh, hlm. 6, mencatatkan operasi in berakhir pada 19 Disember 1997.

[3]           Holman, Dennis. (1959). Noone Of The Ulu. UK: Travel Book Club, hlm. ix. 

Ahad, 5 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 10

 Sambungan dari  SINI...

Jika pengganas komunis menjangka Op Selamat Sawadee penutup tirai Operasi Bersama antara Malaysia dengan Thailand, jangkaan mereka jauh tersasar! Setelah berehat lebih kurang 5 bulan, kedua-dua negara telah melancar Op Thamal pada 15 Disember 1980 dan berakhir pada 31 Januari 1981. Kawasan operasi masih di selatan Thailand. Kali ini di sekitar kawasan Ban Kabu, Sadao, Kok Mayai, Charok Air Jernih dan Hutan Simpan Koh Mai. Bagi melicinkan perlaksanaan, kawasan operasi dipecahkan kepada sektor-sektor kecil seperti Op 792 Alpha, Op 802 Alpha dan Op 803 Alpha.[1]

Kenyataan Lt Jen Pin Dhamsri, Pengerusi ‘Regional Border Committee’ di Hat Yai 
mengenai kejayaan Op 791 (Op Selamat Sawadee) dalam akhbar The National Echo, 
8 Februari 1979. Sumber: Arkib Negara Malaysia

Sambungan kenyataan  Lt Jen Pin Dhamsri

*****

Kedua-dua negara boleh menarik nafas panjang terhadap pelancaran Operasi Bersama siri Op Daoyai Musnah, Cahaya Bena, Selamat Sawadee dan  Op Thamal. Mana tidaknya, operasi-operasi tersebut “...telah membuahkan hasil yang positif kepada kedua-dua negara, selain dapat membunuh, menawan dan memaksa PGK menyerah diri. Operasi-operasi tersebut juga berjaya mengucar-kacirkan kumpulan-kumpulan induk PGK yang bertapak di selatan Thailand.”[2]

Apabila mengambil kira operasi-operasi yang dilancar di sempadan Malaysia-Thailand, iaitu Op Kota di sepanjang sempadan dari Perlis hingga Kelantan serta Operasi Bersama, secara menyeluruh kejayaan pasukan keselamatan sangat membanggakan. Ya, pengkhianat negara telah mengalami:

Ø  Terbunuh – 118.

Ø  Ditawan – 20.

Ø  Menyerah diri – 278.[3]

Itu di sempadan. Bagaimana pula keadaan dalam negara pula? Adakah petualang negara bebas    menikmati keindahan ciptaan-Nya begitu sahaja?

Bersambung...In syaa Allah.



[1]       Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (edit.). (2008). Tentera Darat 1933-2008.

[2]           Ibid.

[3]          Ibid. 

Rabu, 1 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 9

Sambungan dari  SINI...

Pengisahan Op Selamat Sawadee sebelum ini berlaku dalam hutan dara di sebelah sempadan negara Gajah Putih. Persoalannya, adakah petualang negara  lupakan tindakan ke atas pasukan keselamatan di sebelah Malaysia? Sudah tentu tidak sama sekali. Jangan ingat mereka sukar menyeberang sempadan walaupun pasukan keselamatan yang telah melancar Op Kota pada 21 Februari 1968 bagi mengawasi sepanjang sempadan dari Perlis ke Kelantan.[i] Manakala kawasan operasi Op Selamat Sawadee di sebelah Malaysia bertindih dengan kawasan Op Kota Echo, iaitu kawasan sempadan Perak/Thailand. Tetapi ini tidak menghalang pengkhianat negara membuat huru-hara di kawasan Op Kota Echo.

Perlu diingat peperangan hutan (jungle warfare) jauh berbeza dengan peperangan konvensional. Mana ada ‘barisan hadapan’ dalam peperangan hutan. Di-mana-mana pun adalah barisan hadapan. Mereka membuktikan keangkuhan mereka pada 20 Julai 1979 semasa cuaca amat baik; cerah dan terang.

Pada hari tersebut, 2 buah kenderaan AFV (Armoured Fighting Vehicle) V150, elemen dari Skuadron Bravo, 2 Peninjau yang diketuai oleh 202846 Sjn Mohd Noor bin Chik bertugas untuk mengiring  konvoi pasukan keselamatan untuk laluan Kroh-Baling-Kroh.  Beliau juga sebagai komander AFV, ‘ZA 758,’ sementara 206348 Kpl Ramli bin Abd Rashid[ii] sebagai komander  AFV kedua - ZA 744.

Di era itu, pergerakan pasukan keselamatan dari Kroh ke lokasi tertentu dan sebaliknya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. SOP menghendaki semua pergerakan dari Kroh ke Baling, Klian Intan dan Bukit Berapit dan sebaliknya diiring oleh Pasukan Peninjau. Kecuali dalam keadaan tertentu, pergerakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Konvoi dari Kroh yang bertolak pada jam 8:30 pagi selamat tiba di Baling pada jam 9:00 pagi. Seperti yang telah dijadualkan, pada jam 10:00 pagi kedua-dua AFV V150 bertolak dari Baling mengiringi 4 buah kenderaan untuk laluan Baling-Kroh. Kenderaan terbabit ialah 2 buah Land Rover, sebuah ambulans dan sebuah trak 3 ton Volvo. Sebuah Land Rover kepunyaan 1 Meriam dengan 7 anggota termasuk pekerja awam, En Salleh@Asman bin Omar,  manakala sebuah lagi kepunyaan Bn 19 PPH Senoi Praq dengan 3 orang anggota. Ambulans pula hanya pemandunya, 450764 L/Kpl Razali bin Mohd Noor sahaja.[iii] Sementara trak 3 ton Volvo membawa 5 orang penumpang dari 2 BIM (Briged Infantri Malaysia).[iv]  

Untuk laluan ini, aturan pergerakan didahului oleh Kpl Ramli dengan AFV ZA 744, ambulans, kedua-dua Land Rover, trak 3 ton Volvo dan AFV ZA 758. Pada jam 10:45 pagi, sebaik sahaja  ZA 744 melepasi satu selekoh di Batu 53½, betul-betul di sempadan Kedah/Perak, tiba-tiba: “bang...bang...bang.” Tembakan bertubi-tubi dari di sebelah kiri tebing. Konvoi telah diserang hendap oleh segerombolan pengkhianat negara. Semburan pertama dari petualang negara telah mengorbankan pemandu ambulans, 450764 L/Kpl Razali bin Mohd Noor dan En Salleh@Asman bin Omar sementara 6 tercedera. Walaupun cedera, mereka yang cedera bergegas terjun dari kenderaan masing-masing mencari perlindungan. Termasuk 454038 Prebet Ramli bin Hassan, pemandu trak 3 ton Volvo. 

Lokasi serang hendap di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh, pada 20 Julai 1979
 Sumber: Lt Kol Harun bin Ayob TUDM (B)

Dalam keadaan yang begitu getir, Sjn Mohd Noor menghubungi Kpl Ramli: “contact...wait out.” Transmisi radio ini turut didengar oleh operator detasmen elemen Skuadron Bravo di Kem Kroh. Sebaik sahaja menerima panggilan daripada komandernya, Kpl Ramli cuba membawa kenderaannya berpatah balik. Namun cubaannya gagal kerana jalan raya agak sempit untuk pemandunya, 211929 Tpr Azmi bin Rahmat mengolah gerak (manoeuvre) kenderaan. Lantas, beliau mengarah Tpr Azmi  mengundurkan  kenderaan sementara 933702 Tpr Abu Hassan a/l S Sheikh Daud selaku jurumeriam pula memusingkan 'gun turret' ke arah pengganas komunis.

Sudah ditakdirkan-Nya. Dalam proses kenderaan mengundur dan memusingkan 'gun turret', kenderaan sudah berada dalam ‘zon membunuh.’ “Boom.” Peluru  'anti-tank musuh tepat mengena sasaran - AFV ZA 744.  Lalu terbakar! Ketiga-tiga anggota dalam kenderaan tersebut, iaitu 206348 Kpl Ramli bin Abd Rashid, 933702 Tpr Abu Hassan a/l S Sheikh Daud dan 211929 Tpr Azmi bin Rahmat tidak sempat menyelamatkan diri dan terkorban! Tembak menembak berlaku selama 15 minit.

 Tembak-menembak itu boleh didengar oleh anggota tentera yang berada di Kem Kroh. Mereka juga melihat kepulan asap hitam dari tempat kejadian. Kapt Zainuddin bin Mohd Piah, selaku 2IC (Timbalan Ketua Skuadron) Skuadron Bravo di Kroh, setelah diberitahu oleh operator radio mengenai transmisi radio daripada Sjn Mohd Noor, bergegas mengarah anak buahnya untuk memberi bantuan kepada konvoi tersebut.

Kebetulan pada pagi itu, sebuah Nuri dan 2 buah helikopter gempur tiba di Kroh dari No 3 Skuadron, TUDM Butterworth. Misi Nuri ialah penghantaran ulang bekal kepada trups dengan diiringi oleh helikopter gempur Alouette III. Salah seorang juruterbang helikopter gempur ialah Lt (U) Aziz bin Laji (Allahyarham) dan Sjn Baki bin Muhyiddin (Allahyarham) sebagai jurumesingan. Lt (U) Aziz menghubungi pihak atasan TUDM untuk meminta kebenaran bagi kedua-dua helikopter gempur memberi bantuan kepada konvoi tersebut. Masa terlalu kritikal. Demi semangat setia kawan, Lt (U) Aziz (kiri) membuat keputusan untuk terbang ke lokasi serang hendap.[v]

Kru helikopter gempur Alouette III. Dari kiri: Allahyarham Kapt (U) Aziz bin Laji, 
Allahyarham PW U I Baki bin Muhyiddin (B)

 Allahyarham 450764 L/Kpl Razali bin Mohd Noor gugur diserang hendap di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh  pada 20 Julai 1979. Sumber: Dr Norwani binti Razali 

Selepas lebih kurang 15 minit pertempuran, kedengaran bunyi nyaring enjin ‘Turbomeca Artouste’ helikopter Alouette III yang tidak asing kepada anggota keselamatan mahu pun pengganas menghampiri lokasi itu. “Chow..chow...chow.”[vi] Perintah ketua petualang negara kepada gerilanya. Tembak-menembak berhenti dan mereka menyelinap berundur. Ya, mereka sememangnya gerun dan kecut perut dengan keberkesanan peluru 20 mm HE yang dimuntahkan oleh mesingan MG151 Cannon.











Tidak lama kemudian trup dari Kroh tiba di lokasi untuk memberi bantuan dan membawa mangsa-mangsa ke Kroh. Mereka yang cedera diberi rawatan awal di RSAT Kem Kroh. Selain itu, trup daripada 12 RAMD diatur gerak untuk menjejaki musuh tetapi  gagal mengesan mereka. Tinjauan di lokasi tersebut mendapati kekuatan musuh dianggar 25-35 orang dan terdapat 7 buah kubu. Penemuan kubu-kubu itu bermakna musuh sudah lama bertapak di situ dan memerhati pergerakan konvoi. Dan mereka memilih hari Jumaat..penghulu segala hari! 

Mesej daripada 2 Peninjau kepada penerima-penerima tertentu memaklumkan anggota Peninjau yang terkorban dalam serang hendap di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh,
 pada 20 Julai 1979. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

 Anggota pengiring dari Pasukan Peninjau di Baling. 
Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Kedudukan serang hendap petualang negara di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh,
 pada 20 Julai 1979. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Keadaan AFV ZA 744. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Keadaan AFV ZA 744. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Keadaan AFV ZA 744. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B) 

Lubang kesan peluru anti-tank pada ZA 744. Sumber: Muzium TDM

ZA 744 diabadikan di Muzium TDM, Port Dickson. Sumber: Muzium TDM 

Ya, ramai anggota pasukan keselamatan terkorban dan cacat anggota tubuh badan dalam Op Selamat Sawadee. 7 wira negara terkorban dan 45 tercedera. Namun demikian, operasi ini membuahkan hasil. Kekuatan pengkhianat negara terus menyusut akibat 11 gerila komunis berjaya dibunuh sementara 17 orang menyerah diri dan lima ditangkap. Dan pasukan keselamatan memusnahkan sebuah kem musuh. Kesan operasi ini membuatkan petualang negara bukan sahaja menghadapi masalah logistik, mereka juga hilang sumber perisikan.[vii] 

Bersambung...In syaa Allah

 [i]    Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (edit.). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur: Army Headquarters.

[ii]      206348 Kpl Ramli bin Abd Rashid adalah anggota 1 Peninjau dan ditumpang kepada Skuadron Bravo, 2 Peninjau..

[iii]     Maklumat daripada Dr Norwani binti Razali melalui applikasi WhatsApp pada 3 Jun 2022. Menurut Dr Norwani, arwah bapanya, L/Kpl Razali bin Mohd Noor mengganti rakannya yang sepatutnya bertugas di Kroh. Oleh kerana isteri rakannya baru melahirkan anak, maka beliau telah diarah untuk mengganti rakannya. 

[iv]       Manuskrip daripada Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B) diterima pada 31 Mei 2022. Beliau ketika itu berpangkat Kapten dan menjawat jawatan Timbalan Ketua Skuadron, Skuadron Bravo, 2 Peninjau. 

[v]        Pertemuan penulis dengan Kapt Aziz Laju di Jitra pada 4 Jun 2011. Beliau memberitahu Panglima 2 BIM telah memberi secebis nota penghargaannya untuk disampaikan kepada beliau. 

[vi]        Nor Ibrahim bin Sulaiman. (2011). Coretan Xnuripilot. Jitra: Nor Ibrahim bin Sulaiman. 

[vii]       Royal Malaysian Police. (1983). Annual Police Report 1976-1978.

 

  

Jumaat, 27 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 8

 Sambungan dari SINI...

Pada lebih kurang jam 2:30 petang, Mej Duraisamy menerima arahan supaya skuadronnya berundur dari kem tersebut. Mereka diberi tempoh 45 minit sebelum pesawat pejuang F5E dan CL-41G Tebuan menggempur kem itu. Sebelum berundur, mereka diarah untuk menaikkan satu belon sebagai penanda bagi memudahkan pesawat pejuang mengenal pasti lokasi sasaran. Sebaik sahaja belon dinaikan, mereka seterusnya berlari menuruni bukit.

Tepat masa yang ditetapkan: “boom...boom...boom.” Pesawat-pesawat pejuang menggempur kem tersebut dengan roket dan bom 500 lb.

Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Apabila tiba di tebing anak sungai di kaki bukit dan dalam keadaan kelam-kabut, tiba-tiba: “boom”. Satu letupan yang kuat.  “Allah..Aduh. Celaka komunis.” Jerit Lt Raja Musa (kiri). Beliau telah terpijak jerangkap samar dan mengalami cedera parah di mata kanan dan tumit kaki kanannya. Manakala Kpl Mohsain yang berada di belakangnya terkena satu objek di dada beliau.[1] “Mati aku,” bisik Kpl Mohsain. Lalu beliau memejam matanya dan tunggu untuk rebah tetapi masih tidak rebah. Beliau memberanikan diri untuk membuka matanya. Terkejut dibuatnya apabila melihat objek yang terkena dadanya ialah tapak but Lt Raja Musa.

Beliau melihat Lt Raja Musa meraung kesakitan dan tersandar di sebatang pokok dengan kaki kanannya terkulai dan berlumuran darah. Lt Raja Musa menutup mata kanannya. Lantas Kpl Mohsain menyuntik morfin sebelum membalut kaki dan mata Lt Raja Musa. Mej Duraisamy pula memohon sebuah helikopter untuk membawa keluar Lt Raja Musa yang banyak kehilangan darah. Masalahnya, lokasi itu tidak selamat.  Mereka kesuntukan masa kerana malam hampir tiba. Keadaan ini berbahaya untuk Nuri. Maka, tanpa berlengah Mej Duraisamy mengarah anggotanya mengusung Lt Raja Musa ke satu lokasi yang sesuai untuk Nuri menaikkan mangsa melalui kaedah winching. Saya dan kru yang sentiasa dalam keadaan siap siaga di Kroh, menerima tugasan casevac itu. Kami berlepas ke lokasi berkenaan dengan diiringi oleh sebuah helikopter gempur  berpandukan kepada ‘Grid Reference’ dan komunikasi radio serta suar hasil tembakan pistol ‘Very.’

Sebaik sahaja berada dalam keadaan terapung, Sjn Mohsain menurunkan ‘Strecer Saleh.’ Proses menurun dan menaikkan strecer ada juga cabarannya. Kebiasaannya strecer berpusing-berpusing. Ini yang berlaku semasa strecer dengan Lt Raja Musa terbaring ketika dalam proses dinaikkan. Akibatnya satu dahan pokok telah patah.

“Kapten, satu dahan patah. Terkena seorang komando,” Sjn Mohsain memberitahu saya. Saya tidak ketahui keadaan di bawah sebalik memberi tumpuan kepada misi itu. Sebaik sahaja strecer selamat ditarik ke dalam pesawat, saya berlepas dan, seperti biasa, mendarat ‘Kotak Tee-off, lubang #2’, Kelab Kedah Diraja pada jam lebih kurang 7:00 malam.  Ketibaan Lt Raja Musa di hospital turut disambut oleh Lt M Mohd Ali.[2] Kami berlepas balik ke Kroh dan mendarat pada jam lebih kurang 7:30 malam. Tugasan hari itu dilaksanakan dengan jayanya.

Mej Raja Musa bin Raja Abdul Rahman hilang penglihatan mata kanan dan tumit kaki kanannya. Sumber:  Mej Raja Musa bin Raja Abdul Rahman (B)

Berbalik kepada Mej Duraisamy dan anggotanya. Mereka berhadapan dengan keadaan cemas semasa strecer dalam proses dinaikkan. Dahan yang jatuh akibat ‘downwash’ putaran kipas utama Nuri, terkena ‘pouches’ seorang anggota sehingga menyebabkan sebutir grenad tangan telah tercampak keluar dengan pin keselamatannya tercabut.

“Grenad,” teriak anggota tersebut.

Jeritan ini membuatkan lain-lain anggota bertempiaran mencari tempat perlindungan. Setelah Nuri berlepas dan tiada sebarang letupan, Mej Duraisamy telah mengarah Tpr Rahim bin Ahmad untuk memusnah grenad tersebut. Tpr Rahim merangkak ke arah grenad untuk meletakkan bahan ‘plastic explosive (PE)’ sebelum meletupkannya.[3] Kecemasan ini tanpa disedari kru Nuri.

Oleh kerana malam sudah menjelma, Mej Duraisamy membuat keputusan untuk bermalam di situ dan bergerak semula ke kem komunis keesokan hari.

Bersambung...In syaa Allah.

[1]           Penjelasan daripada Mej Raja Musa bin Raja Abdul Rahman (B) melalui WhatsApp pada 27 Mei 2022.

[2]           Temu bual dengan Lt Kol Mohd Mohd Ali  bin Husin melalui telefon padam25 Julai 2015.

[3]           Penjelasan daripada S/Sjn Rahim bin Ahmad (B) melalui WhatsApp pada 26 Mei 2022.