Pengikut

Khamis, 7 Julai 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 5A

Sambungan dari SINI...

Objektif Op Cahaya Bena II ialah untuk memusnah Rejimen ke-10 yang diketuai oleh Abdullah CD. Dua hari sebelum pasukan keselamatan bergerak ke lokasi yang telah dipertanggungjawabkan, pesawat Tentera Udara Diraja Thai telah mengebom kawasan yang dipercayai lokasi markas Abdullah CD. Keesokan hari giliran meriam dan mortar Tentera Darat Malaysia  TDM) pula membedil sasaran itu. Tujuan pengeboman supaya ‘melembutkan’ ancaman yang akan dihadapi oleh pasukan keselamatan nanti.

Antara unit yang terlibat dalam operasi ini ialah dua kompeni daripada 1 RAMD yang berpangkalan di Kem Mentakab. Dua kompeni tersebut, Kompeni Bravo yang diketuai oleh Kapt  Mohd Azumi bin Mohamed dan Kompeni Delta oleh Kapt Muslim bin Yusuf, ditumpang kepada 8 BIM, Pangkalan Chepa, Kelantan.[1]  TUDM pula turut menyumbang empat buah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan bagi memenuhi keperluan mobiliti udara.

Misi yang dipertanggungjawab kepada dua kompeni 1 RAMD ialah untuk mengesan dan menawan markas Abdullah CD. 1 RAMD ketika berpangkalan di Kem Mentakab. Dalam taklimat kepada kedua-dua Ketua Kompeninya, Lt Kol Abdul Malik bin Ismail, Pegawai Memerintah (CO) mengingatkan mereka supaya berhati-hati terhadap musuh halimunan – jerangkap samar. Pengalaman telah mengajar pasukan keselamatan bahawa petualang negara mengguna sepenuhnya senjata tersebut. Bagi tujuan itu, satu seksyen TPJS (Tim Pemusnah Jerangkap Samar) seramai 10 anggota ditumpangkan kepada setiap kompeni. Di samping itu, CO mengarah mereka supaya mengelak daripada mengguna denai-denai sebaliknya menggunakan lereng-lereng bukit. 

Kedua-dua kompeni bertolak dari Mentakab dengan keretapi dan turun di Kuala Krai, Kelantan. Dari situ, beberapa trak dari 8 BIM sedia menunggu untuk membawa mereka ke Dabong untuk meneruskan pergerakan ke kawasan operasi masing-masing. Laluan ke destinasi memerlukan mereka menyeberang Sungai Golok. Kompeni Bravo menyeberang Sungai Golok yang cetek berhampiran Bukit Bunga.  Seperti yang dijangka, pergerakan agak perlahan kerana mereka perlu berhati-hati daripada ditimpa kecelakaan akibat jerangkap samar. Di samping itu kompeni juga membuat rondaan dan serang hendap. Bak kata pepatah, biar lambat asalkan selamat.

Sememangnya malang tidak berbau. Dalam berhati-hati itu pun, dua orang anggota Kompeni Bravo, 16541 Kpl  Adnan bin Jefferi dan 28468 Pbt Ramli bin Salleh telah tercedera akibat  musuh halimunan.[2] Kpl Adnan telah mengalami cedera di ibu jari kaki kanannya sehingga terpaksa dipotong manakala Pbt Ramli pula cedera di paha dan kaki kanannya. Kedua-dua mangsa telah diterbangkan ke Hospital Kota Bharu untuk rawatan oleh sebuah Nuri.

Sama seperti Kompeni Bravo, setelah bergerak di waktu yang sama membuat rondaan dan serang hendap, pada hari keempat Kapt Muslim tiba di kaki sebuah bukit. Dan diketemukan dengan ‘penjaga’ bukit dalam bentuk dua lubang ranjau berkedalaman empat kaki di lereng bukit. Kedua-dua lubang itu padat dengan buluh rebung yang tajam menunggu mangsa. Berhampiran dengan jerangkap samar itu, trup telah menemui satu saluran air yang diperbuat daripada buluh yang disambung hingga ke atas bukit. Air itu berpunca daripada mata air di lereng bukit. Seharian mereka menjejak saluran air yang panjangnya lebih kurang 250 meter. Di hujung saluran itu membawa mereka satu kawasan yang dipercayai Markas Rejimen Ke-10. Dalam proses penjejakan itu, mereka ditemukan dua lagi lubang ranjau dan dahan-dahan pokok serta lubang-lubang besar kesan bedilan pesawat, meriam dan mortar.

Kapt Muslim membuat keputusan tidak terus masuk ke kem musuh. Sebaliknya mereka bermalam lebih kurang 50 meter di luar kem musuh. Keesokan pagi, dengan  berwaspada mereka mula membuat operasi penggeledahan dan pembersihan terhadap kem tersebut. Penghuni yang mereka temui hanyalah seekor kucing hutan yang jinak. Memang sukar pesawat mengesan kem boleh menempat 200-250 penghuni kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar dan tinggi.[3]

Dengan penemuan kem itu, Kompeni Bravo diarah untuk tidak meneruskan misi mereka ke kem komunis tersebut.

Antara penemuan dalam kem ialah sebuah pondok kecil yang dipercayai kediaman Abdullah CD; bangsal sebagai kediaman anggota bujang lelaki dan perempuan; dapur dan beberapa kawah dan longgokan kayu api; dewan; bengkel mini; gelanggang bola keranjang dan sepak takraw; penjana elektrik berkuasa kecil; surau tetapi tiada sejadah, tasbih atau Al-Quran/surah Yasin;  terowong. Dan bersepah dengan jerangkap samar terutama di kawasan jalan masuk ke kem itu. Ini menyukarkan pergerakan dalam kem itu. Justeru, TPJS membersihkan beberapa laluan selebar dua kaki untuk ke tengah-tengah kem. Anggota diarah untuk mengguna laluan tersebut untuk sebarang pergerakan. Apa yang menakjubkan Kapt Muslim ialah beliau mendapati tiada sebarang kerosakan terhadap infrastruktur dalam kem itu seolah-olah ‘dipayung’ daripada dihujani bom dan peluru!

Susun atur kem Abdullah CD. Sumber: Abdul Rahman Alavi


                                                                        
Terowong yang ditemui di Kem Abdullah CD semasa Op Cahaya Bena II. Sumber Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (B)
Alat mencetak di Kem Abdullah CD semasa Op Cahaya Bena II. Sumber: Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (B) 

Sepanjang 10 hari berada di kem komunis itu, Kompeni Delta tidak berhadapan dengan gangguan musuh. Sebaliknya mereka mengalami gangguan daripada alam mistik yang tidak kurang menakutkan. Anggota yang mandi berbogel di sungai di kaki bukit mengalami dibaling dengan ketul-ketul batu dari tangan ghaib. Kejadian aneh itu berhenti apabila mereka tidak berbogel lagi. Sementara kumpulan yang membuat rondaan melihat kelibat lembaga dalam bentuk ‘manusia’ berpakaian hitam tanpa baju melintasi laluan mereka. Tetapi ia tidak mengganggu mereka meneruskan rondaan. Bukan itu sahaja. Peronda-peronda kerap melihat seekor harimau dari jarak jauh. Yang agak peliknya ialah haiwan itu tidak mengaum dan hilang dari penglihatan begitu sahaja. Harimau jadian?

Kapt Muslim tidak terkecuali daripada mengalami kejadian mistik. Pada satu malam lebih kurang jam 10:00 malam, beliau yang sedang berbaring di ‘hammock’ tiba-tiba dilambung oleh sesuatu kuasa ghaib. Beliau bertanya kepada anggotanya sama ada mereka melihat sesuatu lembaga memasuki khemahnya. Jawapan mereka ialah tiada. Mujurlah itu sekali sahaja sepanjang berada di situ.

Klimaks gangguan berlaku pada malam terakhir mereka berada di kem itu. Pada  lebih kurang jam 10:00 malam, Pbt Jamaludin diserang histeria di khemahnya yang terletak di pinggir perimeter kawasan pertahanan kompeni. Dalam keadaan meracau-racau itu, Pbt Jamaludin dengan suara garau mahu berjumpa dengan ketua pasukan keselamatan, iaitu Kapt Muslim. Permintaan itu disampaikan kepada Kapt Muslim oleh KSM (Kompeni Sarjan Mejar). Lantas  mereka bergegas ke khemah Pbt Jamaludin.

“Assalamualaikum.” ‘Pbt Jamaludin’ dengan matanya tertutup dan duduk bersila memberi salam kepada Kapt Muslim sebaiknya Ketua Kompeni tiba.

“Waalaikumussalam.” Kapt Muslim membalas salam anak buahnya. Juga dalam keadaan duduk bersila menghadap penanya. 

“Siapa ketua di sini?” Pbt Jamaludin mengajukan soalan.

“Saya. Saya bercakap dengan siapa?” Tanya Kapt Muslim.

“Aku wakil ketua penghuni di sini.” Jawab Pbt Jamaludin. Ini bermakna Kapt Muslim sedang  berkomunikasi dengan wakil Abdullah CD. Bagi mendapatkan kepastian, beliau bertanya: “Di mana ketua itu sekarang ini?”

“Dia berdiri di luar khemah.” Jawab  Pbt Jamaludin.

“Kalau begitu, suruh dia tunjukkan dirinya.”  Kapt Muslim mencabar Pbt Jamaludin.

“Mengapa kamu suruh dia tunjukkan dirinya?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Tujuan saya supaya kita boleh berbincang supaya dia meletakkan senjata dan menyerah diri bagi menamat perjuangan sia-sia ini.” Kapt Muslim mengambil kesempatan ‘berunding’ dengan wakil Abdullah CB melalui jasad  Pbt Jamaludin yang disaksikan oleh ramai anggota kompeni.

“Kamu ikhlas? Ketua aku tidak yakin keikhlasan pelawaan kamu. Kamu dan orang-orang kamu hanya mengejar pangkat dan pingat-pingat sahaja. Tetapi percayalah. Satu hari kami akan menamatkan perjuangan kami. Menyerah diri tidak sama sekali.”

“Terpulanglah.” Jawab Kapt Muslim. Beliau seterusnya bertanya: “Mengapa kami diganggu?”

Pbt Jamaludin terdiam buat seketika sebelum menjawab dengan nada marah: “Orang kamu berkelakuan tidak senonoh. Mandi telanjang, ada yang berjudi, tidak menghormati persekitaran hutan dan tidak solat. Kami boleh tembak kamu bila-bila masa jika kami mahu.” Beliau terdiam sebelum mengucap: “Assalamualaikum.” Pbt Jamaludin terus tersungkur dan terbaring di situ. Apabila sedar, beliau terpinga-pinga melihat Ketua Kompeni dan rakan-rakan berada di khemahnya.

Setelah kawasan tertentu berjaya dibersihkan daripada jerangkap samar oleh TPJS, Kapt Muslim memaklumkan Markas Taktikal 8 BIM untuk arahan selanjutnya. Arahan yang diterima ialah untuk menyediakan satu tempat pendaratan (LP) untuk pesawat Nuri. Brig Jen Abdullah bin Samsudin, Panglima 8 BIM akan melawat kem komunis itu dengan pesawat tersebut. Bukan satu tugas yang ringan. Mereka tidak dibekal dengan gergaji bermotor, hanya sebilah parang setiap seorang. Diameter pokok bukan satu peluk orang dewasa tetapi beberapa peluk. Penyelesaian mudah sahaja. Kesepian hutan belantara dikejutkan dengan letupan: “Boom...boom...boom.” Pokok-pokok tersungkur menyembah bumi dek ‘plastic explosive’ digunakan untuk menumbangkan pokok-pokok itu.

Setelah melawat persekitaran kem yang telah dibersihkan, Brig Jen Abdullah membuat keputusan menamat operasi penggeledahan. Beliau akui agak mustahil untuk membersihkan kesemua kawasan daripada jerangkap samar. Keesokan hari, dua buah Nuri berlepas dari Pangkalan Chepa untuk membawa keluar Kompeni Delta dan diturunkan di Dabong. Dari Dabong, mereka menaiki trak ke Kuala Krai sebelum bertolak balik ke Mentakab.

Setelah Kompeni Delta diundurkan, meriam dan mortar memuntahkan peluru ke atas kem itu dalam usaha memusnahkannya. Tetapi tiada kepastian kemusnahannya. Adakah ia masih ‘dipayung’? Wallahualam.

Lt Kol Muslim bin Yusof. Sumber: Brig Jen Dato' Muslim bin Yusof (B)

Adakah ramalan ‘Pbt Jamaludin’ pada  Julai 1977 hanya satu kebetulan sahaja apabila 12 tahun kemudian, 2 Disember 1989, telah termeterainya Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM? Tanpa ayat ‘menyerah diri’? Wallahualam.

Bersambung...In syaa Allah

[1]           Penjelasan daripada Brig Jen Dato’ Muslim bin Yusof (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 29 Jun 2022.

[2]           Senarai anggota pasukan keselamatan yang mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu akibat jerangkap samar semasa Op Cahaya Bena II.

[3]          Abdul Rahman Alavi. (2022). Jejak Pertempuran: Demi Negara. Kem Sungai Besi: UPNM.

 

 












Rabu, 29 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 7

 Sambungan dari  SINI...

Pada malam 19 Jun 1978, mereka semua bertolak dari Kroh dengan kenderaan  dan tiba di Ban Chan Tharat hampir tengah malam. Mereka meneruskan pergerakan ke lokasi sementara di kaki sebuah bukit. Mereka tiba di lokasi tersebut pada awal pagi 20 Jun 1978.

*****

Mej Duraisamy seterusnya mengarah Lt Rajasaikaran memasuki ‘Sektor Bravo’ untuk meluaskan kawasan operasi. Bagi tujuan itu, Lt Basri Asari ditumpangkan kepada Lt Rajasaikaran untuk membantunya jika bantuan meriam diperlukan. Tanpa berlengah, Lt Rajasaikaran dan anggotanya bersama Lt Basri Asari dan timnya bergerak ke sektor terbabit. Apabila dimaklumkan kepada Ketua Skuadron yang mereka telah tiba di lokasi itu, Lt Rajasaikaran telah diarah untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai  untuk penghantaran ulang bekal yang akan digugurkan oleh Nuri. 

Setelah berehat sebentar, pada lebih kurang jam 1:00 tengah hari, Lt Rajasaikaran mengetuai RKK (Ronda Kumpulan Kecil) terdiri daripada 5 anggotanya dan seorang anggota TBPP, bergerak bagi melaksana tugasan seperti yang diarahkan. Anggota terbabit ialah: 25867 L/Kpl Sofri bin Jaafar; 29571 Tpr Mohd Effendi bin Awang Abdullah; 30717 Tpr Mohd Amin bin Hassan;32537 Tpr Minhat bin Abdullah; 930286 Tpr Jasman bin Safar; Pbt Wah Jirat Omar@Abd Kadir (TBPP).[1]

Aturan pergerakan di dahului oleh L/Kpl Sofri diikuti Lt Rajasaikaran, Pbt Wah Jirat, Tpr Mohd Effendi, Tpr Mohd Amin, Tpr Minhat dan Tpr Jasman di belakang sekali. Setelah bergerak hampir 30-40 minit, mereka menghampiri kawasan lapang. “Pelik, kawasan lapang di tengah hutan dara? Ada yang tidak kena,” terfikir Lt Rajasaikaran.

Lt Rajasaikaran memberi isyarat untuk berhenti dan   mengarah anggota berkedudukan sebaris (standard line) untuk menggeledah kawasan tersebut. Mereka menggeledah kawasan itu dengan teliti namun tidak menemui sebarang kesan kehadiran pengganas komunis. Dengan itu, mereka meneruskan rondaan dengan lebih berhati-hati.

Setelah mengenal pasti satu lokasi yang sesuai, RKK berehat sebentar sebelum bergerak semula ke pangkalan. Setelah bergerak hampir 30-40  minit, mereka tiba di lokasi kawasan lapang itu.  L/Kpl Sofri yang masih mendahului pergerakan, tiba-tiba memberi isyarat untuk berhenti dan menunjukkan sesuatu kepada Lt Rajasaikaran. Mereka mendapati terdapat dua beg galas terletak berhampiran sebatang pokok. “Dari mana pula datang beg-beg ini?” Sungguh menghairankan. Kerana penggeledahan sebelum itu tidak diketemukan sebarang beg. Salah satu barang dalam karung itu terdapat sehelai tuala ‘Good Morning’ yang masih basah. Pbt Wah Jirat dengan menggunakan senjata mengambil tuala itu.

Ini membimbangkan Lt Rajasaikaran. “Ah...ini satu tipu helah musuh. Mungkin aku berada dalam zon bunuh,” bermain dalam fikiran.

Lantas Lt Rajasaikaran memberi isyarat kepada semua anggota untuk berkedudukan pelindungan sekeliling (all round defence). Di waktu yang sama beliau telah menghubungi pangkalan terup dengan menggunakan 'walkie talkie' memaklumkan untuk bersiap sedia sebarang kemungkinan.

Naluri beliau tepat sekali. Salah seorang anggotanya,  Tpr Md Amin yang berada di sebelah hujung telah ternampak 2 orang musuh menuju ke arahnya. Dalam keadaan begitu getir, beliau tidak sedia menunggu musuh menembaknya dahulu. Siapa cepat dia selamat. “Bang...bang...bang.” Lantas  beliau lepaskan tembakan dan berlaku tembakan antara kedua-duanya. Lain anggota terus menembak ke hala tembakan musuh itu.

Kekuatan musuh bukan 2 orang itu sahaja. Itu yang dialami oleh komando. Kini mereka berhadapan dengan tembakan bertubi-tubi dari lereng bukit. Mereka telah diserang hendap! Dari kuasa tembakan musuh Lt Rajasaikaran menganggar kekuatan musuh adalah lebih besar dari kekuatan beliau yang hanya 6 orang. Beliau perlu membuat sesuatu supaya musuh tidak ketahui kekuatan RKK. Justeru, Lt Rajasaikaran telah mengarah Pbt Wah Jirat menembak pelancar grenad M79 ke arah musuh di lereng bukit.  (Peluru M79 TBPP memberi kuasa tembakan yang kuat berbentuk semburan apabila di tembak). Beliau juga mengarahkan Tpr Minhat membaling bom tangan ke arah musuh di lereng bukit.  

Pertempuran berlanjutan lebih kurang 7-10 minit. Keadaan begitu getir sekali. Tetapi bernasib baik. Sebaik sahaja menerima mesej daripada Ketua Trup mereka melalui walkie talkie, Kpl Md Isa, Hassan Leong dan beberapa anggota yang berada di pangkalan sementara  lain bergegas ke lokasi yang dimaksudkan. Sebaik sahaja mendengar tembak-menembak, mereka menukar langkah  kepada berkejar ke lokasi pertempuran.

Walaupun keadaan tidak memihak kepada komando, Lt Rajasaikaran dan anggotanya begitu bersemangat menentang musuh. Undur tidak sama sekali. Beliau menghubungi Lt Basri Ashari meminta bantuan tembakan meriam terhadap sasaran yang  telah di daftar.

Lantas Lt Basri Asari membuat ‘fire mission,’ panggilan tembakan. “Boom...boom...boom.” Letupan bertubi-tubi peluru HE 105 mm dimuntahkan oleh meriam Howitzer ke atas sasaran. Bukan sahaja musuh kecut perut dibedil oleh meriam,[2] komando juga dalam keadaan begitu. Mana tidaknya, terdapat peluru meriam jatuh sehampir 20 meter dari kedudukan mereka. Sungguh berbahaya kepada kedua-dua pihak. Ini membuat Lt Rajasaikaran mengarahkan supaya bedilan meriam dihentikan. Apa pun, tembakan tersebut memang amat berkesan.[3] Berkepul asap hitam di lokasi pertempuran sehingga membatas penglihatan buat seketika waktu. Dan tiada lagi tembakan musuh. Mereka sudah berundur.

Lt Rajasaikaran begitu lega apabila mendapati semua anggotanya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala semangat mereka begitu tinggi. Seterusnya beliau telah membahagikan anggotanya kepada 2 Kumpulan Penggeledahan. Semasa penggeledahan, Kumpulan Penggeledahan di lokasi pertempuran ditemukan mayat seorang pengganas komunis dalam keadaan terlentang. Tangan kanannya masih memegang raifal M16 di atas dada sementara jarinya masih terlekat di picu senjata. Pada pengamatan mereka, mangsa seorang remaja dalam usia 17-20 tahun. Laras M16 masih panas. Semua peluru pada kelopak yang terpasang pada senjata habis di tembak, manakala satu lagi kelopak berisi peluru diikat dengan pita perikat bersama kelopak di senjata.

Sementara itu, Kumpulan Penggeledahan yang melaku penggeledahan di kawasan lereng bukit telah menemui sebanyak 8 beg  yang tersusun dan satu kotak hitam berukuran 3 kaki x 2 kaki x 2 kaki. Pemeriksaan ke atas beg-beg itu menemui pakaian persendirian dan makanan dalam tin. Juga terdapat 1 laras 'shot gun' berjenama 'Special Force' dalam salah satu beg itu. Kotak hitam itu pula mengandungi  ubat-ubatan herba bertulisan Cina dan Thai serta akar kayu. Bukan itu sahaja, terdapat juga sehelai seluar dalam wanita berwarna biru.[4]

Mayat dan ‘harta rampasan’ yang mengandungi 2 laras senjata (M16 dan shot gun), 10 beg galas dan satu kotak hitam  diusung ke pangkalan. Sebuah Nuri tiba di pangkalan sementara No 8 Trup untuk mengambil mayat dan harta rampasan melalui kaedah winching untuk diturunkan di Kroh.

Pada keesokan hari, 21 Jun 1978, dua Kumpulan Penggeledahan telah di atur gerak untuk menggeledah lokasi pertempuran dan memburu musuh yang melarikan diri. Setelah menggeledah hampir 30-40 minit, mereka ternampak seorang lagi musuh yang tersandar di sebelah sebatang pokok besar.

Masih hidupkah musuh itu? Dengan berhati-hati, mereka menghampiri musuh itu. Memang sudah mati. Mayat musuh berbadan tegap dalam usia lingkungan 35-40 tahun. Terdapat kesan tembakan dan kecederaan di bahagian badan. Yang menarik perhatian komando ialah terdapat sebatang giginya bersalut emas. Tetapi tiada sebarang senjata atau peralatan mahu pun beg galas. Kemungkinan musuh itu tercedera atau terbunuh semasa pertempuran semalam atau terkena serpihan bom 105 mm HE. Jika cedera, dia ditinggalkan oleh rakan-rakannya kerana keutamaan adalah menyelamatkan diri mereka sendiri.

Sebuah Nuri ditugaskan untuk mengambil mayat itu. Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada saya bersama kru, Lt M (U) Fong Chan Kwee dan Sjn Mohsain bin Hashim yang baru tiba dari TUDM Buttterworth pagi itu untuk giliran kami membuat detasmen di Kroh. Penerbangan Nuri ini diiringi oleh dua buah pesawat helikopter gempur. Mayat dinaikkan melalui kaedah winching.

Lt Rajasaikaran Naguran, Ketua Trup No 8, ‘Zulu’ Skuadron. 

 [1]           Manuskrip daripada Mej Rajasaikaran Naguran (B) yang diterima pada 26 Jun 2022.

[2]          C.C. Chin & Karl Hack (Edit). (2004). Dialogues With Chin Peng: New Light On The Malayan Communist Party. Singapore: NUS, hlm 292. Jawapan kepada soalan apa yang Chin Peng takut terhadap musuh (1968-1989): (1) Senoi Praaq, (2) bedilan meriam & dari pesawat, (3) guguran risalah dan hebahan dari pesawat.

[3]           Temu bual dengan Allahyarham Lt Kol Basri bin Asari (B) di Kuala Lumpur pada 19 Januari 2016.

[4]      Menurut Mej Rajasaikaran terdapat seorang wanita bersama dengan kumpulan musuh yang telah menerima latihan perubatan di Negara Cina.

Rabu, 22 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 14

 Sambungan dari SINI...

Sementara pasukan VAT 69 hanya diatur gerak ke kawasan Op Bamboo untuk operasi khusus sahaja, pasukan Senoi Praaq dari Bn 19 dan Bn 20 PPH pula merupakan pasukan tetap yang diatur gerak ke  operasi ini. Kehadiran pasukan Senoi Praaq telah dapat mengurangkan kegiatan musuh daripada mempengaruhi Orang Asli.  Pasukan ini telah berjaya membunuh petualang dan merampas senjata mereka dalam beberapa kejadian.

Antara contoh kejayaan mereka melibatkan pertempuran dengan musuh berlaku pada 2 Oktober 1977. Kejadian berlaku apabila satu sub-unit daripada Bn 20 PPH telah bertembung dengan segerombolan musuh yang dianggarkan kekuatannya 10 hingga 15 orang. Musuh ketika itu sedang mendapatkan makanan di kawasan Pulau Tujuh, Ulu Perak. Pertempuran ini mengakibatkan dua orang musuh telah terbunuh.[1]

 Pada 14 Disember 1977 pula, pasukan Senoi Praaq telah berjaya membunuh tiga orang musuh. Kejayaan ini hasil daripada maklumat daripada Orang Asli di Pos Terhong yang telah membuat laporan bahawa terdapat satu kumpulan seramai 20 orang pengkhianat negara sedang berehat di satu kawasan lembah berhampiran dengan pos  tersebut. Laporan ini juga menyatakan bahawa musuh akan meninggalkan lokasi tersebut dalam masa beberapa hari lagi.

 Peluang yang tidak boleh berlalu begitu sahaja. Lantas Pegawai Pemerintah Bn 19/20 PPH membuat keputusan menghantar pasukan tambahan untuk operasi memburu dan memusnahkan musuh. Pasukan tambahan ini membabitkan dua platun setiap satu dari Bn 19 dan Bn 20 PPH. Sebuah Nuri dari Butterworth telah ditugaskan untuk mengatur gerak trup ke lokasi terbabit. Kedua-dua platun tersebut diterbangkan dari Kroh ke Pos Terhong pada 13 Disember 1977. Pasukan ini diketuai oleh DSP Syed Zainal Abideen Alsagoff selaku Penolong Pemerintah Bn 19/20 PPH yang berpangkalan di Kroh. Apabila tiba di Pos Terhong, mereka telah meredah hutan sepanjang malam menuju ke lokasi PGK.[2]

 Pada awal keesokan hari, 15 Disember 1977, mereka tiba di lokasi musuh. Seterusnya, DSP Syed Zainal mengatur gerak anggotanya untuk mengepung separuh daripada kawasan musuh. Apabila menyedari musuh sudah sedia untuk bergerak, beliau telah mengarahkan anggotanya untuk menyerang sehingga tercetusnya pertempuran. “Bang...bang...bang.” Pertempuran berterusan selama 15 minit sebelum berhenti. Tipikal taktik musuh yang tahu mereka tidak dapat mampu bertahan lama, mereka bertindak melarikan diri.”

Apabila pertempuran berakhir dan semasa melakukan penggeledahan kawasan tersebut, mereka telah ditemukan tiga mayat musuh, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, lima pucuk raifal jenis  carbine, 47 butir peluru carbine, empat butir bom tangan, sepucuk pistol dan tujuh beg galas.[3]

 Pada 9 Jun 1980 pula, platun dari Bn 20 PPH yang diketuai oleh Insp Gunasegaran a/l Ratinam Gunasegaran selaku Ketua Platun Khas bersama 20 orang anggotanya telah membuat rondaan di kawasan barat Pos Gob. Semasa rondaan, mereka berjaya mengesan pergerakan segerombolan musuh dengan kekuatan yang dianggar 30-40 orang. Walaupun kekuatan PPH hanya 21 orang, Insp Gunasegaran tidak mahu melepaskan peluang. Justeru beliau terus menjejaki musuh. Tidak lama kemudian, beliau nampak 4 orang musuh dari kumpulan pengkhianat negara sedang mendaki bukit. Dengan penglihatan itu, beliau dengan segera telah memberi arahan sewajarnya kepada anak buahnya. Pergerakan mereka penuh berhati-hati.

Dalam berhati-hati itu, seorang musuh telah menyedari kehadiran Insp Gunasegaran. Siapa cepat dia selamat. Itu keputusan Insp Gunasegaran. Tanpa bantuan anggotanya beliau telah melepas tembakan terhadap 2 orang musuh. “Bang...bang...bang.” Tersungkur kedua-dua orang musuh dek tindakan pantas Ketua Platun. Namun musuh tersungkur menyembah bumi, tembakan mereka mengena dada sasaran.  Insp Gunasegaran terus rebah. Perjuangan beliau tidak berakhir di situ. Beliau nekad untuk menentang musuh durjana. Walaupun darah membuak-buak membasahi bumi, namun beliau bangun semula dan terus menembak musuh. Akibatnya seorang lagi musuh tersungkur. Namun, beliau turut tersungkur!

Sjn 62059 Long a/l Pandak, selaku Sarjan Platun, sebaik sahaja melihat komandernya rebah dengan keberanian yang tiada tolok bandingnya tanpa menghiraukan dentuman grenad daripada pelancar grenad M79 dan peluru bersimpang-siur yang dimuntahkan oleh senjata automatik musuh, telah meluru ke Insp Gunasegaran. Seterusnya beliau memikul komandernya ke tempat yang selamat. Musuh yang melihat tindakan Platun Khas yang begitu bersemangat, tiada pilihan melainkan bergegas berundur ke arah ke sempadan Thai.

Selaku Sarjan Platun, Sjn Long mengambil alih sebagai komander Platun Khas. Beliau seterusnya memohon helikopter untuk misi casevac. Sebuah Nuri, FM1736 yang dikendalikan oleh Lt (U) Husain Shah bin Abdul Hamid bersama Lt M (U) Azizan in Ashaari dan Sjn Azhar berlepas dari No 3 Skuadron, TUDM Butteworth dipertanggungjawab melakukan misi tersebut.[4] Tapi apakan daya, ketibaan pesawat agak terlewat. Casevac bertukar kepada bodevac. Insp Gunasegaran banyak kehilangan darah. Namun, walau dalam keadaan begitu  beliau mengingatkan anak buahnya supaya meneruskan perjuangan demi untuk Batalion, Pasukan dan negara.

 Pemergian komander mereka tidak sama sekali melemahkan semangat perjuangan platun yang kini dipimpin oleh Sjn Long. Malah mereka berkobar-kobar mahu membalas dendam terhadap petualang negara yang telah membunuh komander mereka. Dengan kekuatan 20 anggota, mereka terus menjejaki musuh durjana. Pada  20 Jun 1980, lebih kurang jam 6:50 pagi, mereka berjaya mengesan kedudukan musuh. “Bang...bang...bang.” Berlaku pertempuran antara trup dengan musuh. Dalam pertempuran ini, unit PPH ini telah berjaya membunuh dan menawan masing-masing seorang musuh, senjata dan dokumen penting.[5]

Wira-wira negara. Kiri: mendiang Insp 1/8294 Gunasegaran a/l Ratinam Gunasegaran PGB dan mendiang Insp 62059 Long a/l Pandak PGB. Sumber: SAC (B) Norizan bin Murad 
 
 
 New Sunday Times, Orang Asli no longer support Reds, Thai Minister is told, 18 March 1979. 
Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron, PU Butterworth 

Kehadiran anggota PPP Senoi Praaq berjaya mengawal pengganas komunis daripada mempengaruhi Orang Asli. Dalam taklimatnya kepada Tan Sri Ghazali Shafie, Menteri Dalam Negeri dan Jen Lek Neomali, Menteri Dalam Negeri Thailand pada 17 Mac 1979, Supt Ahmad Tajuddin bin Idris, Pegawai Pemerintah Bn 19 PPH Senoi Praaq di Kroh, memberitahu bahawa tindakan kerajaan telah berjaya mempengaruhi Orang Asli di kawasan pedalaman daripada membantu pengganas komunis.[6]

 Bersambung...In syaa Allah

[1]       Mohd Anuar Md Zain. (1989). Roles Of The Senoi Praaq 50. Catatan beliau berlandaskan kepada Operational Records of Bn. 20 PPH, Bidor, rujuk 17/16/3, 15 Oktober 1988.

[2]       Temu bual dengan Supt (B) Syed Zainal Abideen Alsagoff di Ampang, Selangor pada 9 Februari 2014. Menurut beliau ketika itu Bn 19 dan Bn 20 PPH masih satu entiti.

[5]    Sejarah Operasi-Operasi PPH/PGA Briged Utara (Ops Bamboo)–(PR)85/9/1/37, tanpa tarikh. Mendiang Insp 1/8294 Gunasegaran a/l Ratinam Gunasegaran dan Insp 62059 Long a/l Pandak telah dianugerah Panglima Gagah Berani (PGB) pada Jun 1981.

[6]        New Sunday Times, Orang Asli no longer support Reds, Thai Minister is told, 18 March 1968.

Sabtu, 18 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 13

 Sambungan dari SINI...

ASP Mohd Zabri dan anak buahnya sungguh marah terhadap kezaliman pengkhianat negara terhadap jenazah 4 anggota  EPC. Mereka nekad memburu musuh. Lantas  ASP Mohd Zabri mengarah patrol-patrol beliau untuk melakukan rondaan dan memburu kumpulan musuh tersebut yang kekuatannya dianggar lebih kurang 20 hingga 25 orang.

Salah satu patrol itu diketuai oleh Kpl Ismail bin Daud (Allahyarham), lebih dikenali sebagai ‘Ismail Rantai’ bersama lebih kurang 18 orang anggotanya. Walaupun mereka mula memburu agak beberapa hari selepas serang hendap itu berlaku, namun mereka berjaya mengesan musuh pada 3 September 1975.[i] Petualang negara terkejut kerana tanpa diduga, mereka berhadapan dengan komando PDRM bak ‘harimau kelaparan.’ “Boom...boom...boom” tembakan mortar musuh dan “bang...bang...bang.” Berlaku pertempuran antara mereka. Dalam keadaan yang terdesak dan seperti yang sudah dijangka, musuh bergegas cabut menyeberang sempadan meninggalkan harta peperangan.

Pertempuran itu telah mencederakan 2 orang anggota akibat terkena serpihan tembakan mortar. Mujurlah kecederaan tidak begitu serius dan mereka masih mampu  bergerak. Sebaik sahaja pasti musuh sudah beredar, Kpl Ismail Rantai melakukan pemeriksaan di kawasan pertempuran. Mereka telah menjumpai satu laras masing-masing 60 mm dan 40 mm mortar, satu pelancar 4 mm, 60 kg ikan salai, 5 kg beras, 4 bungkus glukosa, 15 tin kecil Milo, 2 tin besar Quaker Oats dan ubat-ubatan serta beberapa dokumen. Selain itu, mereka juga menjumpai senapang patah dan bekalan yang dirampas semasa serang hendap terhadap bot pada 28 Ogos 1975.[ii]

Sebaik sahaja mengetahui pertempuran itu, ASP Mohd Zabri bersama anggotanya pula bergegas ke lokasi pertempuran. Tetapi sudah terlewat kerana pengkhianat negara sudah berada di kawasan selamat mereka – selatan Thai. ASP Mohd Zabri tiada pilihan dan terpaksa menghentikan pemburuan. Pada 4 Ogos 1975, beliau telah mengarah semua patrol bergerak ke Fort Tapong, termasuk 2 orang anggota yang cedera. Malang tidak berbau. Pada kira-kira jam 11:00 pagi, ketika berada di tebing Sungai Kenerong, ASP Mohd Zabri telah terpijak jerangkap samar. “Boom.” Beliau mengalami cedera parah.[iii]

Markas Taktikal di Fort Tapong menghantar mesej untuk mendapatkan helikopter untuk misi casevac yang kini melibatkan tiga orang anggota. Pangkalan skuadron helikopter yang paling hampir ialah skuadron helikopter Alouette III di No 3 Skuadron, TUDM Butterworth. Justeru, tugasan casevac ini dipertanggungjawabkan kepada skuadron tersebut.

Tanpa berlengah, pesawat berlepas menuju ke lokasi. Namun mereka berhadapan dengan masalah. Mangsa-mangsa terpaksa dinaikkan melalui kaedah ‘winching’ kerana ketiadaan tempat untuk mendarat. Itu bukannya masalah. Masalahnya ialah ketebalan kanopi hutan dengan ketinggian pokok melebihi 150 kaki.[iv] Panjang kabel hoist pesawat hanya lebih kurang 80 kaki sahaja!  Ekoran itu, ASP Mohd Zabri telah mengarah Kpl Ismail Rantai dan anggotanya membuat strecer dan mengusungnya ke ‘Point Bravo’, iaitu tempat pendaratan (LP) yang dibina pada Jun 1974. Tugas mengusungnya dipikul oleh patrol Kpl Ismail Rantai dan patrol Kpl Hamzah Hashim.[v] 

Allah lebih menyayanginya. Semasa dalam perjalanan ke Point Bravo, ASP Mohd Zabri telah  menyahut panggilan Ilahi. Sebelum meninggal dunia, beliau sempat berpesan kepada anggotanya supaya:

“....Teruskan perjuanganmu...hancurkan petualang negara, buru 
dan hancurkan mereka...biarpun diriku tiada lagi![vi]. Sumber gambar: SAC (B) Norizan Murad

 Begitu hiba anggota mengusung jenazah ketua mereka. Mereka tiba di destinasi pada lebih kurang jam 3:00 petang. Helikopter Alouette III yang berlegar di ruang angkasa Point Bravo mendarat sebaik sahaja kumpulan VAT 69 tiba di LP itu.  Jenazah ASP Mohd Zabri dan 2 orang mangsa jerangkap samar diterbangkan ke Ulu Kinta.

Isteri ASP Mohd Zabri, Cikgu  Che Manis sedang mengajar di sekolah di Pulau Pinang apabila dimaklumkan untuk balik ke Markas VAT 69 di Ulu Kinta tetapi tidak diberitahu  mengapa. Tetapi beliau boleh mengagak dan sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan. Lantas beliau bergegas balik ke Ulu Kinta. Hujan lebat menyambut ketibaan Alouette III di Kem Ulu. Namun keadaan ini tidak menghalang para penghuni kem, termasuk  Cikgu  Che Manis, berada di padang. Ketika itulah beliau dimaklumkan bahawa suami tercintanya telah gugur![vii]

Dua minggu selepas kematian ASP Mohd Zabri, anggota VAT 69 dibawa keluar dari kawasan operasi. Tugasan itu dipertanggungjawabkan kepada sebuah Nuri. Trup diturunkan di Gerik.

Bersambung...In syaa Allah



[i]           Temu bual dengan SI (B) Ismail bin Daud di Hotel Holiday Villa Alor Setar, Alor Setar, pada 17 September 2015.

[ii]           A. Navaratnam et al. (2001). The Spear.

[iii]          Temu bual dengan SM (B) Hamzah bin Hashim di Perpustakaan Awam, Ipoh pada 5 September  2014.

[iv]          A. Navaratnam et al. (2001). The Spear.

[v]           Temu bual dengan SI (B) Ismail bin Daud sebelum ini..

[vi]          Panel Penyelidik dan Penemuramah et al. (2011). Warisan Darah Perwira

[vii]       The Sun Daily. Late hero gets nation's highest award 40 years after he was killed in action. 2 Disember 2014. Allahayarham disahkan pangkat ASP dan dianugerah  Seri Pahlawan  Gagah Perkasa (SP) pada 6 Jun 2014 secara anumerta sempena hari keputeraan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong. Lihat http://www.thesundaily.my/news/1254692.