Pengikut

Selasa, 24 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 7A

 Sambungan dari  SINI...

Antara kejayaan Op Selamat Sawadee ialah pasukan komando, Skuadron Zulu yang diketuai oleh Mej Duraisamy a/l Vellaisamy, telah berjaya menawan sebuah kem utama komunis di Sg Lasoh pada 21 Jun 1978. Antara trup terlibat ialah Trup No 8 yang diketuai oleh Lt Rajasaikaran Naguran. Kem tersebut boleh memuatkan lebih kurang 60-70 orang Tetapi penawanan itu terpaksa dibayar  dengan harga yang mahal!

Untuk misi ini, 2 orang FOO, Lt Raja Musa bin Raja Abdul Rahman  dan Lt Basri bin Asari (Allahyarham), serta satu Tim Pemusnah Jerangkap Samar (TPJS) terdiri daripada 10 orang anggota yang diketuai oleh Lt M Mohd Ali bin Husin telah ditumpangkan kepada Mej Duraisamy.

Pada malam 19 Jun 1978, mereka semua bertolak dari Kroh dengan kenderaan  dan tiba di Ban Chan Tharat hampir tengah malam. Mereka meneruskan pergerakan ke lokasi sementara di kaki sebuah bukit. Mereka tiba di lokasi tersebut pada awal pagi 20 Jun 1978. 

21 Jun 1978. Sementara No 8 Trup melakukan operasi menggeledah dan memburu yang mereka bertempur semalam, Mej Duraisamy bersama elemen Markas Skuadron pula meredah menaiki bukit dalam kegelapan dan tiba di destinasi awal pagi. Elemen yang ditumpangkan kepada beliau Tim Pemusnah Jerangkap samar (TPJS) yang diketuai oleh Lt M Mohd Ali dan 10 orang anggotanya serta seorang FOO, ialah Lt Raja Musa bin Raja Abdul Rahman.

***** 

Mej Duraisamy bersama elemen Markas Skuadron seterusnya meredah menaiki bukit dalam kegelapan dan tiba di destinasi awal pagi. Elemen yang ditumpangkan kepada beliau Tim Pemusnah Jerangkap Samar (TPJS) yang diketuai oleh Lt M Mohd Ali dan 10 orang anggotanya serta seorang FOO, ialah Lt Raja Musa bin Raja Abdul Rahman.

Apabila tiba di kem itu, Mej Duraisamy mendapati musuh baru beredar dari kem. Ini terbukti bila mereka menemui bubur kacang dan ayam goreng yang masih panas. Kedudukan kem pula sukar dikesan dari udara kerana ia dilindungi oleh kanopi hutan tebal. Kem ini  dilengkapi dengan dewan makan, gelanggang bola keranjang, tempat rawatan kecemasan dan sebuah pentas. Malahan mereka menemui sebuah motosikal ‘scrambler’ dan alat muzik seperti organ ‘Yamaha’ dan klarinet.[1] Bukan itu sahaja, bekalan air pula disalurkan dari sungai di kaki bukit ke kem dengan menggunakan kuasa penjana elektrik.[2i]

Apabila memasuki kem itu, musuh menyambut para komando dengan ucapan “Selamat Datang Anjing-Anjing Hussein Onn” terpapar pada papan hitam.[3] Mej Duraisamy seterusnya telah mengarah Lt M Mohd Ali untuk  membersihkan jerangkap samar di kawasan kem bagi memudahkan pergerakan dalam kem.

Bagi melaksanakan tugasan, Lt Muda Ali memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan. Antara kumpulan itu diketuai oleh 302175 Kpl Derasid bin Latiff dan terdiri daripada 303847 Spr Madun bin Fadzil dan 303800 Spr Ghazali. Mereka ditugaskan untuk membersih dewan makan di mana terdapat satu almari. Kpl Derashid memasuki dewan itu diikuti oleh Spr Madun manakala Spr Ghazali mengekori Spr Madun.

Jam lebih kurang 11:40 pagi. Apabila Kpl Derasid memegang pintu almari tersebut,  Spr Ghazali ternampak wayar di pintu almari.

“Jangan buka Koperal. Ada wayar.” Menjerit Spr Ghazali. Tetapi...terlambat![4]

Boom.” Satu letupan yang kuat apabila Kpl Derasid menarik daun almari tersebut yang telah mengaktif jerangkap samar. Letupan itu membuat Kpl Derashid melambung ke udara dengan perutnya terburai. Manakala Spr Madun mengalami cedera parah di bahagian mukanya dan rebah di tempat kejadian. Tetapi beliau masih bernafas. Namun beliau telah menghembus nafas terakhir sebelum ketibaan Nuri! Spr Ghazali tidak mengalami sebarang kecederaan. Sebaliknya, Lt M Ali dan L/Kpl Muslim (Allahyarham), anggota komando [5] yang turut berada berhampiran tercedera akibat terkena serpihan jerangkap samar.

Kpl Mohsain bin Mohammed, anggota komando yang berada di luar dewan, segera membalut perut Kpl Derashid. Sebelum Nuri datang membawa beliau keluar, Kpl Derasid menyuarakan kesedihannya kepada Kpl Mohsain: “Siapalah yang nak menjaga isteri dan anak saya!” Sungguh sedih dan pilu!

Mej Duraisamy telah memohon sebuah Nuri untuk membawa keluar kesemua mangsa bagi mendapatkan rawatan. Misi casevac dan bodevac dipertanggungjawabkan kepada saya dan kru, Lt M (U) Fong Chan Kwee dan Sjn Mohsain bin Hashim yang ketika itu membuat detasmen di Kroh. Kesemua tiga mangsa dinaikkan dengan kaedah winching kerana ketiadaan tempat mendarat. Mangsa telah diterbangkan ke Alor Setar. Semasa dalam penerbangan, tiba giliran Kpl Derasid pula menghadap Penciptanya! Lt M Ali menanggal baju celorengnya untuk menutup muka Kpl Derasid. [6]

Nuri mendarat di ‘Kotak Tee-off, lubang #2,’ Kelab Kedah Diraja. Sebaik sahaja ambulans bergerak ke hospital berhampiran, kami berlepas balik ke Kroh.

Dua wira negara terkorban akibat jerangkap samar. Dari kiri: Allahyarham 302175 Kpl Derasid bin Latiff, 303847 Spr Madun bin Fadzil. Sumber: Mej Baharudin bin Noryat (B)


Bersambung...In syaa Allah.

[1]           Temu bual dengan PW II Mohsain bin Mohammed (B) di Simpang Empat, Kedah Darulaman pada 27 Julai 2015.

[2]           Temu bual dengan Mej Raja Musa bin Raja Abdul Rahman (B) melalui telefon pada 3 Disember 2015.

[3]          Nor Ibrahim bin Sulaiman. (2011). Coretan Xnuripilot. Jitra: Nor Ibrahim bin Sulaiman.

[4]          Manuskrip melalui e-mel daripada Mej Baharudin Noryat (B), Kurator Muzium RAJD, Kem Mahkota, Kluang, pada 8 Januari 2021.

[5]              Mesej daripada S/Sjn Rahim bin Ahmad (B) melalui WhatsApp pada 26 Mei 2022.

[6]           Mesej daripada Kol Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (B) melalui WhatsApp pada 24 Mei 2022. Sebagai Pegawai Bertugas di TUDM Alor Setar, beliau telah menunggu ketibaan Nuri. Beliau melihat satu jenazah ditutup mukanya dengan baju celoreng dengan ‘Ali’. Beliau ingatkan mayat itu ialah Lt M Ali kerana beliau mengenai pegawai tersebut. Lt M Ali menjelaskan kepada beliau apa yang berlaku.  

Ahad, 22 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 6

 Sambungan dari SINI

Semenjak termeterainya Perjanjian Kerjasama Sempadan 1977, dua siri Operasi Bersama – Op Daoyai Musnah dan Op Cahaya Bena – telah dilancar pada tahun 1977. Persoalannya: adakah operasi-operasi tersebut berjaya membanteras kegiatan petualang negara? Jawapannya: Tidak! Ini diakui oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti yang tercatat dalam buku terbitannya - ‘Tentera Darat 1933-2008.’ Petikan: “Operasi-operasi terdahulu telah gagal untuk memusnahkan secara menyeluruh semua kumpulan PGK yang bertapak di selatan Thailand.”[i]

Soalan seterusnya: Kenapa? Kerana salah satu faktor kegagalan tersebut ialah tempoh kedua-dua siri Operasi Bersama itu agak pendek. Dengan kata mudah, operasi tidak berterusan. Situasi begini memberi masa untuk musuh mengkonsolidasi kedudukan mereka dan membina semula infrastruktur di lokasi yang lebih selamat.[ii]

Jadi, apa tindakan bagi mengatasi kepincangan ini? Ya, kedua-dua negara bersetuju untuk melancar Operasi Bersama untuk tempoh yang panjang. Justeru, pada 24 April 1978 Op Selamat Sawadee telah dilancar dan berakhir pada 5 Julai 1980.  Objektif operasi ialah “...untuk memusnahkan Kompeni Ke-3 Rejimen ke-12, Kompeni ke-3, 4, 20 dan 25 PKM-ML dan PKM-KR yang berkonsepkan rondaan secara sistematik pada waktu siang dan serang hendap pada waktu malam dalam lingkungan jarak 1000 meter dari pangkalan PK.”[iii] Kawasan operasi di sekitar kawasan Betong di selatan Thailand dan Kroh serta Banding, Perak.

Perlu diingat, petualang negara juga mengambil iktibar daripada Operasi-operasi Bersama tersebut. Mereka menyaksi peranan Nuri sebagai ‘workhorse’ bagi menjayakan operasi tersebut. Jadi menghairankan mereka nekad menjadikan Nuri salah satu sasaran utama mereka. Lagi pun, mereka telah berjaya menembak jatuh sebuah Nuri yang mengorbankan kesemua 11 anggota keselamatan yang berada dalam pesawat malang itu di kawasan operasi Gubir pada 26 April 1976. Keazaman itulah yang terpaksa dihadapi oleh kru Nuri semasa Op Selamat Sawadee!

 Pengganas komunis mempunyai kelebihan. Musuh mereka ‘menceroboh’ padang permainan mereka. Maka bila-bila masa mereka boleh menyerang penempatan anggota keselamatan. Tetapi mereka tidak mengambil kesempatan itu. Mengapa? Kerana  mereka menunggu ketibaan Nuri. Ini terbukti dalam beberapa insiden di mana  mereka telah menembak Nuri semasa pesawat dalam fasa ‘approach’ ke tempat mendarat (LP), terapung atau berlepas. Malahan dalam satu insiden, mereka telah menembak Nuri dari beberapa sudut LP berkaitan.

Keghairahan petualang negara telah berjaya menembak dua orang anggota komando yang bertugas sebagai anggota 'Tim Penyelamat Udara (TPU) dalam pesawat dalam 2 insiden berasingan. L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh terkorban dalam pesawat manakala  L/Kpl Ismail bin Ahmad menyahut panggilan Ilahi dalam penerbangan ke Hospital Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, dua orang kuatermaster udara Nuri, PW U I Mohsain bin Hashim (B) dan PW U II Patrick Lee (B), cedera akibat dicium peluru panas musuh.

Ancaman terhadap kru Nuri mendapat perhatian serius oleh pihak atasan TUDM. Selain prosedur Nuri diiringi oleh sebuah helikopter gempur ke LP, Panglima Operasi Udara telah memberi arahan supaya 2 buah helikopter gempur Alouette III mengiringi Nuri ke LP tertentu. Sebelum penerbangan dilakukan, meriam 105 mm Howitzer dikehendaki membedil sasaran yang telah didaftar di kawasan itu. Nuri pula akan memasuki fasa approach apabila mendapat lampu hijau dari helikopter gembur setelah pesawat tersebut memuntahkan peluru 20 mm di laluan si Burung Besi.

Itu adalah arahan. Tetapi dalam keadaan tertentu, kapten pesawat perlu membuat keputusan berlandas kepada budi bicaranya. Seperti yang dialami oleh Kapt (U) Musa bin Hassan pada 4 Jun 1978. Beliau dan kru, Lt M Mohamed Mansor bin Md Zain dan F/Sjn Rahman bin Ros (Allahyarham) yang ketika itu membuat detasmen di Kroh, telah diberi tugasan casevac pada waktu malam; bersendirian! Mangsa merupakan seorang anggota komando yang cedera parah akibat terpijak jerangkap samar. Kapt (U) Musa boleh menolak tugasan itu kerana ia selari dengan arahan.

Tetapi misi ini melibatkan nyawa seorang wira negara yang bermatian menentang golongan anti-agama. Kelewatan mangsa mendapat rawatan sewajarnya dengan segera berkemungkinan keesokan hari misi bukan lagi casevac sebaliknya bodevac...mengeluarkan mayat! Lantas Kapt (U) Musa membuat keputusan untuk melaksanakan tugasan tersebut walaupun bertentangan dengan arahan dan terpaksa meredah kegelapan malam diburukkan lagi dengan angin kencang. Mangsa dinaikkan melalui kaedah winching. Dalam keadaan begitu, Nuri bak kata istilah Inggeris...‘sitting duck.’ Sebaik sahaja mangsa berada dalam pesawat, mereka berlepas ke Alor Setar. Mangsa diturunkan di kawasan parkir Stadium Darul Aman. Oleh kerana sudah lewat malam, mereka bermalam di Alor Setar dan terbang balik ke Kroh keesokan hari.

Kisah secara terperinci beberapa insiden kru Nuri diburu telah diabadikan dalam buku “Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan (2020)”[iv] dan “Imbauan Buku Log Penerbangan (2021).”[v]

*****

Bagi menghadapi ancaman ini, kapten pesawat mempelbagai kaedah penerbangan untuk melaksanakan tugasan. Salah satu teknik yang sering diguna ialah ‘muslihat’ (deception) disusuli penerbangan taktikal rendah (low level tactical flying). Tidak menghairankan sekiranya terdapat penumpang yang baru makan mengalami makanan keluar semula apabila kapten pesawat secara tiba-tiba menjunamkan pesawat dari 3000 kaki ke 1000 kaki. Seterusnya terbang lebih kurang 50 kaki dengan kelajuan lebih kurang 100 knots (185 km/jam) naik-turun atas kanopi hutan mengikut kontur permukaan bumi.

Saya masih ingat satu penerbangan di mana seorang pegawai kanan TUDM mengikuti saya ke satu LP. Sebelum beralih sebagai juruterbang pesawat pejuang, beliau adalah seorang juruterbang Alouette III. Kira-kira orang lama dalam operasi helikopter. Sebaik sahaja mendarat semula di Kroh, beliau telah mengajukan soalan kepada saya: “Nor, siapa ajar kamu terbang macam itu?”

“Nak hidup, Tuan.” Isu mati di situ!

Bersambung...In syaa Allah.


[i]              Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (edit.). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur: Army Headquarters.

[ii]              Col Sharom bin Hashim (Editor-in-Chief). (2001). The Malaysian Army’s Battle Against Communist Insurgency in Peninsular Malaysia 1968-1989. Kuala Lumpur:  Army Headquarters.

[iii]          Ibid.

[iv]          Mejar Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) PTU. (2020). Nuri@Burung Besi Dalam KenanganAlor Setar: Mejar Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) PTU.

[v]           Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B). (2021). Imbauan Buku Log Penerbangan. Alor Setar: Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B).

Isnin, 16 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 5

 Sambungan dari SINI...

Tidak sempat pengganas komunis menarik nafas panjang, 3 bulan kemudian kedua-dua negara telah melancar satu lagi operasi bersama. Kali ini siri Op Cahaya Bena. Objektif utama operasi ialah memusnah infrastruktur dan bekalan musuh, menyekat hubungan musuh dengan penduduk tempatan, menurunkan tahap morel musuh sehingga mereka menyerah diri dan memutuskan hubungan antara unit musuh.[i] 

Op Cahaya Bena I dilancar pada 4 Julai 1977 hingga 16 Ogos 1977 di kawasan Betong. Sasaran ialah Rejimen ke-12 PKM yang bersarang di sana. Abdullah CD, ‘CO (Commanding Officer)’ Rejimen ke-10 PKM tidak terlepas daripada skrin radar pasukan keselamatan. Tiga hari kemudian, 7 Julai 1977,  Op Cahaya Bena II telah dilancar di kawasan Waeng, penempatan unit musuh itu. Operasi tersebut berakhir pada 16 Julai 1977.

Kiri: Kawasan operasi Op Cahaya Bena I. Kanan:  Kawasan operasi Op Cahaya Bena II. Sumber: Tentera Darat 1933-2008

Bagaimana pun, musuh juga sudah membuat persediaan awal. Kali ini, taktik yang diguna dijelaskan oleh Suriani binti Abdullah: “...Pasukan Gempur Ke-15 mengambil taktik berundur secara berputar sambil mengembangkan perang periukapi.”[ii] (‘Periukapi’ istilah untuk ‘jerangkap samar’). Mengambil kira faktor ini, pasukan keselamatan akui mereka akan berhadapan dengan kecederaan akibat jerangkap samar.[iii]

Anggota pasukan keselamatan mendengar pesanan Mej Jen Datuk Mahmood Sulaiman (Allahyarham), Panglima 2 Div/GOC sempena  pelancaran Op Cahaya Bena I di hutan Gerik, Perak pada Julai 1977. 
Sumber: Utusan Malaysia, 27 September 2011

   Ya. Itu yang dialami oleh seorang anggota Kompeni Charlie, 3 Renjer yang berpangkalan di Taiping, Perak. Mej Robert Rizal Abdullah PGB, Ketua Kompeni Charlie (OC), begitu gembira bila diberitahu oleh CO bahawa 3 Renjer akan diatur gerak ke Betong, Thailand. Rejimen tersebut merupakan salah satu unit yang dipilih untuk menyertai Op Cahaya Bena I. Bagai bulan jatuh ke riba. Berita yang sudah lama dinanti-nantinya.

Misi Mej Robert Rizal  ialah memburu musuh yang dipercayai mengusaha kebun sayur sejak setahun sebelum itu. Bagi membantu pencarian lokasi kebun itu, seorang ‘Agen Khas Kerajaan’ (Special Government Agent [SGA]) ditumpang kepada kompeninya. SGA tersebut adalah seorang remaja lelaki berumur 15 tahun berketurunan Melayu Pattani. Dek kemiskinan, beliau berjaya diumpan oleh petualang negara untuk bekerja di kebun sayur itu. Menurut SGA itu, kekuatan anggota lebih kurang 30 orang sementara jadual kerja mereka ialah dari jam 6:00 pagi hingga 6:00 petang. Masalahnya, remaja itu tidak tahu lokasi tersebut kerana matanya ditutup semasa berulang-alik ke kebun.

Mej Robert Rizal  dan anggotanya bersama 3 orang TBPP serta SGA meredah hutan dara dan sekunder menuju ke kawasan yang diperuntukkan kepada beliau. Pada awalnya, pergerakan mereka agak perlahan. Keadaan ini disebabkan anggota TBPP sukar menyesuaikan dengan rentak anggota keselamatan ATM melakukan operasi. Kesemua anggota bersama Mej Robert Rizal, termasuk TBPP memikul 6-hari bekalan yang boleh bertahan sehingga 8 hari. Kebiasaannya anggota 3 Renjer  hanya mengambil teh/kopi bersama biskut untuk sarapan pagi manakala makan tengah hari dan malam memadai dengan nasi sama ada berlaukkan daging, ikan atau sayur dalam tin. Sebaliknya, anggota TBPP ambil 3 ‘heavy meals’ setiap hari. Jadi, TBPP kehabisan bekalan pada hari ketiga. Mej Robert Rizal  sedia maklum memohon mendapatkan bekalan di luar jadual ulang bekal yang telah ditetapkan mungkin tidak dilayan.  Permohonan mendapatkan perkhidmatan Nuri diluar jadual ialah penerbangan seperti casevac/medevac/bodevac. Bagi mengatasi masalah ini, Mej Robert Rizal  dan anggotanya terpaksa berkongsi bekalan dengan anggota TBPP. Kesannya melengahkan pergerakan. Mujurlah akhirnya TBPP dapat menyesuaikan dengan  rentak operasi Kompeni Charlie.

Selain itu, Mej Robert Rizal  berhadapan dengan masalah komunikasi dengan TBPP. Mereka tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris. Keadaan bak kata bidalan ‘seperti ayam dengan itik.’ Kedua-dua pihak mempunyai masalah berkomunikasi. Memang satu cabaran!

Mej Robert Rizal  memilih satu lokasi yang difikirkannya sesuai dijadikan pangkalan kompeni. Keesokan pagi, beliau bersama 3 anggotanya dan SGA tetapi tanpa diiringi oleh TBPP membuat rondaan untuk mengesan lokasi kebun tersebut. Bukan beliau tidak ajak TBPP ikut bersama tetapi mereka agak ‘berat’ mengikuti rondaan tersebut. Bagi Mej Robert Rizal  tanpa mereka lebih mudah beliau melaksana rondaan. Pada lebih kurang jam 11:00 pagi beliau melihat seorang berpakaian hijau di bawah sebatang pokok betik, lebih kurang 600 meter ke bawah sebuah lembah. Bukan itu sahaja, 2 orang yang masing-masing memikul guni besar sedang mendaki bukit. Sah beliau telah menemui kebun sayur yang dicarinya itu.  

Tetapi terfikir Mej Robert Rizal. Empat menyerang 30 musuh? Itu menempah maut! Tanggapannya jumlah musuh itu bersandarkan kepada maklumat SGA. Beliau memerlukan trup tambahan dan beberapa senjata sokongan kompeni, iaitu mesingan kegunaan am (GPMG) 7.62 mm, selaras pelancar grenad M79 dan mortar 60 mm untuk menyerang musuh. Justeru beliau telah mengarah 2 anggotanya balik ke pangkalan.

Trup tambahan tiba di lokasinya. Namun demikian, sebelum melancar serangan Mej Robert Rizal  menghubungi Markas Taktikal 3 Renjer memohon bantuan meriam untuk membedil kebun sayur itu. Beliau diberitahu bantuan Bateri Meriam agak lewat kerana pasukan berkenaan telah beredar dari penempatan meriam di Betong balik ke Kroh. Ia akan mengambil beberapa jam untuk meriam diatur gerak semula ke penempatan asal.  Mereka kini hanya menunggu panggilan pasukan meriam. Satu penyeksaan.

Pada jam lebih kurang 6:00 petang, penungguan berakhir. Bateri Meriam menghubungi Mej Robert Rizal  memberitahunya mereka sudah siap sedia. Lantas beliau memberi ‘grid reference’ kebun sayur tersebut. Tetapi tidak terdengar ‘boom’; letupan peluru 105 mm Howitzer. Hari hampir gelap. Beliau kesuntukan masa. Tidak boleh tunggu bedilan meriam. Lantas beliau mengambil tindakan untuk membedil kebun itu dengan mortar, pelancar grenad dan GPMG: ‘boom...boom...boom...bang...bang...bang.’ Seterusnya beliau mengarah platun penggempur menyerang sasaran.[iv]

Tetapi, tidak kedengaran tembak-menembak. Sasaran mereka tanpa penghuni. Musuh telah meninggalkan semenjak pagi lagi. Pergerakan 3 musuh yang dilihatnya pada jam 11:00 pagi sebenarnya sedang meninggalkan kebun sayur. Sungguh menghampakan! Keesokan pagi, mereka telah menggeledah lokasi itu. Mej Robert Rizal  mendapati banyak kelongsong peluru bertaburan. SGA memberitahunya pengganas komunis tidak melepaskan peluang untuk menembak Nuri yang terbang rendah ketika melakukan penerbangan ke beberapa lokasi di sebelah sempadan Malaysia. Ini kerana kedudukan kebun sayur itu berhampiran dengan sempadan di kawasan operasi Gubir.

Semasa proses penggeledahan, mereka telah menemui 10 jerangkap samar.  Malang tidak berbau. Seorang anggota Mej Robert Rizal telah terpijak jerangkap samar. Seperti biasa, sebuah Nuri telah ditugas untuk membuat penerbangan casevac. Hasrat Mej Robert Rizal untuk menjejaki musuh terhenti apabila beliau diarah balik ke Kroh sebelum bertolak balik ke Taiping. Selain itu, beliau telah diarah untuk membawa bersama SGA balik ke Taiping. Semasa di Taiping, 

SGA tinggal di rumah kelaminnya selama lebih kurang 2 minggu. Seorang pegawai SB datang mengambil remaja itu untuk dihantar balik ke kampungnya dengan keretapi. Menurut  Mej Robert Rizal, beliau difahamkan SGA tersebut akhirnya telah dibunuh kerana mengkhianati pengganas komunis.[v]

Kekecewaan terlepas peluang membunuh 3 petualang negara diburukkan lagi seorang anggota cedera akibat periukapi musuh sungguh mengecewakan Mej Robert Rizal! Namun demikian, kekecewaan beliau terubat apabila Kompeni Delta telah berjaya membunuh dua orang petualang negara dalam satu serang hendap.

Mej Robert Rizal bersama anggotanya dan TBPP semasa Op Cahaya Bena I.
 Sumber:  Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)

Anggota Kompeni Charlie, 3 Renjer menikmati juadah tengah hari sebelum meneruskan 
memburu musuh durjana semasa Op Cahaya Bena I. Sumber:  Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)

Anggota Kompeni Charlie, 3 Renjer berehat sebentar sebelum meneruskan memburu 
musuh durjana semasa Op Cahaya Bena I. Sumber:  Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)

*****

Nasib yang sama turut menimpa Bn 11 PPH yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan: satu-satunya pasukan PPH yang terlibat dalam Op Cahaya Bena II. Markas Taktikal Batalion 11 ialah di Ban Tapao, Weang. Pasukan itu telah mengalami 2 anggotanya tercedera akibat jerangkap samar. 

Pada pagi 10 Julai 1977, Ketua Kompeni ‘B’ Kompeni telah mengarah Platun 7 pergi ke lokasi Platun 8 yang jaraknya lebih kurang 100 meter. Tujuan arahan tersebut ialah untuk kedua-dua platun membuat perancangan rondaan bersama. Ketua Kompeni mengingatkan supaya tidak mengguna trek ke lokasi Platun 8.

Apabila tiba di lokasi Platun 8, Konst Jamaluddin bin Pawan dan Konst Khalid bin Hashim telah diarah balik ke lokasi Platun 7 untuk mengiring Platun Sarjan Platun 7 pergi ke lokasi Platun 8. Beliau dikehendaki menyertai rondaan bersama itu nanti. Pada jam 8:00 pagi ketika Konst Jamaluddin dan Konst Khalid melalui denai, tiba-tiba: ‘boom.’ Konst Jamaluddin telah terpijak jerangkap samar. Kaki kanan Konst Jamaluddin bin Pawan cedera parah dari buku lali ke bawah dan luka seluruh bawah kaki kanan hingga ke paha serta di sebelah kelopak mata kiri. Manakala Konst Khalid hanya mengalami cedera ringan di tangan kiri akibat terkena serpihan senjata halimunan tersebut.[vi]

Misi casevac membawa mereka keluar dipertanggungjawabkan kepada saya yang membuat detasmen di Pengkalan Chepa. Untuk Op Cahaya Bena II, 4 buah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan telah diatur gerak ke Pengkalan Chepa pada 6 Julai 1977. Kedua-dua mangsa telah diterbangkan ke Kota Bharu untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Catatan Buku Log Penerbangan. Jul 10. Self/Lt  Yeow/FSjn Mano.
 Gading 13 KB-BM-S. Padi-KB. Sumber: Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B)

Ringkasan kejadian anggota Bn 11 PPH yang cedera akibat jerangkap samar
 semasa Op Cahaya Bena II. Sumber: SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin 

Senarai anggota pasukan keselamatan yang mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu akibat jerangkap samar semasa Op Cahaya Bena II Sumber: SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin 

Bersambung, in syaa Allah...

[i]           Dokumen daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.

[ii]          Suriani Abdullah. (1999). Rejimen Ke-10 Dan Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher. Suriani binti Abdullah@Eng Ming Chin adalah anggota Jawatankuasa Pusat PKM dan isteri Abdullah CD, Pengerusi PKM dan juga pemimpin Rejimen Ke-10.

[iii]          Dokumen daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.

[iv]          Robert Rizal Abdullah PGB. (2008). My Adventure. Taiping: Robert Rizal Abdullah PGB.

[v]           Perbualan dengan Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB melalui telefon pada 13 Mei 2022.

[vi]          Dokumen daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.

Selasa, 10 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 4

 Sambungan dari SINI...

Kebebasan bermaharajalela yang PKM kecapi setelah anggota PPH berundur dari Betong tidak lama. Hanya lebih kurang 6 bulan sahaja! Kebebasan berakhir apabila kerajaan Seni Pramoj, Perdana Menteri, digulingkan pada Oktober 1976 oleh tentera. Penggantinya, Thanin Kraivichien yang anti-komunis, membuka lembaran baharu terhadap kerjasama ketenteraan antara pasukan keselamatan kedua-dua negara.

Ketegasan rejim Thanin Kraivichien membanteras aktiviti pengganas komunis diterjemah apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk melancar Operasi Bersama pada Januari 1977 walaupun Perjanjian Kerjasama Sempadan masih belum ditandatangani. Op Daoyai Musnah I telah dilancar di kawasan timur Sadao pada 14 Januari 1977 hingga 5 Februari 1977.  

Pada 4 Mac 1977, ‘General Border Committee’ telah bersidang di Bangkok. Malaysia diwakili oleh Tengku Ahmad Rithauddeen selaku Menteri Luar Negeri. Beliau dan rakan sejawatnya, Dr. Upadit Pachariyangkut telah menandatangani Perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand terhadap Kerjasama Sempadan (Agreement between the Government of Malaysia and the Government of Thailand on Border Co-operation).

Dalam perjanjian ini, pihak Thai dengan rasminya tidak membenarkan pasukan keselamatan Malaysia berpangkalan di Betong seperti sebelum ini. Terma ini dijelaskan dalam Artikel III, perenggan 3 yang mencatat:   “...no Security Forces of one country will be stationed in the territory of the other. The Security Forces taking part in the operations will return to their respective home bases at the conclusion of each particular operation.”[i]

Selain itu, istilah hot pursuit juga tidak wujud lagi. Bagaimanapun, masih ada kelonggaran semasa melaksana operasi kategori ‘Operasi Unilateral,’ iaitu operasi yang melibat satu pihak sahaja. Perjanjian tersebut dengan jelasnya bersetuju: “In the event of a contact with the enemy, the Security Forces of either country can effect border crossing.” Dengan mematuhi syarat-syarat tertentu. Lebih kurang sama seperti hot pursuit. Sebenarnya, semakan semula perjanjian 1970, pihak Thai menentang terma hot pursuit ini. Alasan mereka ialah  “...it was of very limited value to Thailand.”[ii] Dengan kata mudah, tidak memberi faedah kepada mereka. Mungkin pasukan keselamatan Thai tidak akan berhadapan dengan masalah mereka memburu pengganas komunis yang merentas sempadan ke Malaysia semasa pertembungan!

Sumber: The Straits Times, 6 Jun 1976

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, kini tiba giliran pengganas komunis yang berada di kawasan selatan Sadao berhadapan dengan serangan pasukan keselamatan kedua-dua negara.  Operasi Bersama, Op Daoyai Musnah II telah dilancar pada 14 Mac 1977 hingga 19 April 1977.

Selain pesawat Nuri dan helikopter gempur Alouette III, pesawat Canadair CL-41G Tutor, lebih dikenali sebagai Tebuan, turut diatur gerak dari No 6 Skuadron, TUDM Kuantan ke TUDM Butterworth untuk menjayakan operasi tersebut. Pada pagi 28 Mac 1977, formasi dua buah Tebuan telah ditugaskan untuk memusnah tempat persembunyian pengganas komunis di sempadan Malaysia/Thailand. Pesawat pertama dikendali oleh Kapt (U) Umran bin Ghauth (Allahyarham, kapten pesawat) dan Lt M (U) Rodzali bin Daud sebagai juruterbang kedua dengan nama panggilan ‘Mission 803 Alpha’ manakala pesawat kedua ‘Mission 803 Bravo.’

Untuk misi itu, setiap pesawat dimuatkan sejumlah 38 batang roket (Folding Fin Air Rockets) dan dua Gatling minigun diisi penuh peluru 7.62 mm. Pada hari itu pesawat tidak membawa bom 500 lb Mk 82 seperti hari-hari sebelum ini. Bukan apa, bimbang bom ‘tergugur’ di luar sasaran yang kedudukannya berada di pinggir hutan dan bersebelahan dengan kebun getah. Lain pula cerita jika bom merosakkan harta benda atau kehilangan nyawa. Panjang cerita nanti dan jenuh hendak menjawab!

Apabila tiba di sasaran dan berpandukan bom asap warna merah yang digugurkan oleh sebuah helikopter Alouette III yang berperanan sebagai ‘Forward Air Controller (FAC)’ kedengaran  “whoosh...whoosh...whoosh”. Roket meluncur keluar dari pod roket dan ikuti “boom...boom...boom.” Letupan roket di sasaran apabila setiap Tebuan melepaskan kesemua 38 roket secara sekali gus (salvo) dari paras 1,500 kaki. Seterusnya pesawat-pesawat membuat persediaan untuk memuntahkan peluru 7.62 mm Gatling minigun. Proses persediaan memerlukan pesawat dinaikkan. Lantas ‘joystick’ ditarik di waktu yang sama menolak pendikit kuasa (throttle) ke tahap maksimum. Tetapi pesawat enggan bertindak seperti yang sepatutnya. 

Kapt (U) Umran dan Lt M (U) Rodzali  mengimbas panel instrumen. Masalah...enjin buat hal di paras rendah pula.  Putaran enjin menurun manakala suhunya pula agak tinggi. Dalam keadaan begitu sesiapa pun tidak boleh mempertikai sekiranya mereka ‘eject.’ Satu-satu pilihan yang sukar dibuat oleh juruterbang pesawat pejuang. Eject pula di hutan belantara yang merupakan padang permainan pengkhianat negara. Jika mereka tertangkap oleh pengganas komunis, terbayang dalam minda Lt M (U) Rodzali ‘sambutan’ yang mereka akan  diterima nanti. Wira-wira yang memuntahkan roket untuk memusnahkan mereka!

Sejurus kemudian, pesawat-pesawat yang berada di ruang angkasa berhampiran terdengar panggilan: "Mayday! Mayday! Mayday! Mission 803 Alpha, partial engine failure, diverting to Alor Setar." Panggilan kecemasan dibuat oleh Lt M (U) Rodzali.

 Berpantang maut sebelum ajal. Dengan kuasa-Nya, tiba-tiba enjin kembali hidup dan disahkan apabila instrumen RPM enjin memaparkan putaran enjin makin meningkat. Tetapi kuasa tidak pada paras sepenuhnya. Sekadar membolehkan pesawat  terbang tahap mendatar sahaja.  Better than nothing, janji boleh terbang balik. Tetapi  Kapt (U) Umran tidak sedia mengambil risiko. Justeru, beliau membuat keputusan untuk terbang Alor Setar yang merupakan landasan terbang paling dekat dari lokasi mereka ketika itu. Mereka diiringi oleh Mission 803 Bravo.

Masalah belum berakhir. Pesawat masih berat dengan bahan bakar masih banyak. Sudahlah itu, kedua-dua minigun pods masih penuh dengan muatan peluru. Mereka tidak boleh menggugurkan pods tersebut. Tetapi semuanya sudah diatur-Nya. Walaupun kelajuan pesawat terbatas, pesawat mendarat dengan selamat di Alor Setar tanpa sebarang masalah. Selari dengan prosedur langkah keselamatan, enjin pesawat dimatikan di landasan sebaik sahaja mendarat kerana pesawat masih mempunyai minigun yang ‘masih hidup (live).’ Dalam keadaan begini,  risiko terjadi tembakan tidak boleh diketepikan.

 Mengimbau kembali insiden ini, Jen Tan Sri Rodzali Daud TUDM (Bersara) menyatakan: “Walaupun insiden ini sudah berlalu lebih 44 tahun, namun ia merupakan satu-satunya pengalaman yang saya tidak dapat lupakan. Saya bersyukur kepada Maha Pencipta yang memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pengalaman ini untuk para pembaca.”[iii]

Juruterbang No 6 Skuadron, TUDM Kuantan. Lt M (U) Rodzali bin Daud (barisan hadapan: 1 dari kiri) dan Kapt (U) Umran bin Ghauth (barisan tengah: 4 dari kiri). Sumber: Jen Tan Sri Rodzali bin Daud TUDM (Bersara)


Bersambung....


[i]           Agreement between the Government of Malaysia and the Government of Thailand on Border Co-operation 1977.

[ii]              The Straits Times, KL Gives Up Gives Up Right Of  'Hot Pursuit', 6 Jun 1976.

[iii]          Manuskrip diterima daripada Jen Tan Sri Rodzali bin Daud TUDM (Bersara) pada 28 November 2020. Jawatan terakhir beliau ialah Panglima Tentera Udara (PTU).