Pengikut

Rabu, 6 Oktober 2010

Jerangkap Samar (Booby Trap)..Bhg 3

Pembaca...Antara warga Jurutera yang terkorban dan cacat anggota yang terpaksa ditanggung badan sehingga akhir hayat angkara jerangkap samar yang tidak mengenal kawan atau lawan...  


 

Mejar Baharudin Noryat...Terima kasih. 
Kepada yang tercedera....Jasamu tetap dikenang. Kepada mereka yang terkorban...Al-Fatihah.

Selasa, 5 Oktober 2010

Jerangkap Samar (Booby Trap)..Bhg 2

Sambungan dari sini...

Selain daripada jerangkap samar yang menggunakan arus kuasa bateri yang mungkin
daya tahan akan hilang dalam tempoh tertentu dan mungkin sukar untuk diperolehi
dalam kuantiti yang besar, PGK juga menggunakan perangkap artificial yang lebih
ringkas, mudah dengan menggunakan sumber tempatan yang senang diperolehi tetapi
berkesan iaitu ranjau atau punjis.



Suis‐suis jerangkap samar berasaskan kefungsian elektrik yang diubahsuai mengikut citarasa pereka dalam pelbagai fungsi.

Ranjau jenis ini digunakan tentera Vietcong semasa menentang tentera Amerika dan
digunakan juga oleh PGK.

RAJD sebagai Rejimen Bantuan Tempur Tentera Darat, banyak membantu dalam operasi-operasi menentang insurgensi komunis. Penglibatan utama RAJD dalam operasi-operasi ini adalah membersih/memusnahkan jerangkap samar, membina tapak pendaratan helikopter di samping membina penempatan-penempatan rakyat di kawasan-kawasan tertentu sebagai operasi gerak saraf bagi mengelak rakyat memberi sokongan kepada Parti Komunis Malaya(PKM). Antara operasi utama yang disertai oleh RAJD merangkumi:

Op Naga
Op Kota
Op Cahaya Bena I dan II
Op Selamat Sawadee
Op Daoyai Musnah I dan II
Op Seri Aman
Op Indera
Op Ukur
Op Pagar
Op Gerakan Sedar
Op Gerakan 802
Op Setia Khas
Op Tak Sin
Op Gubir

Operasi Naga dilancarkan pada tahun 1976-1977 adalah salah satu operasi dalaman. RAJD terlibat secara aktif menanam jerangkap samar (askar tanam ubi) bagi mengekang pengganas komunis menggunakan sesuatu kawasan. Telah dilaksanakan di Negeri Perak dan Kedah bersempadankan Thailand.

Operasi Kota dilancarkan oleh Tentera Darat pada 21 Februari 1968. Meliputi kawasan
perbatasan dari Negeri Perlis ke Kelantan. Beberapa operasi khas lain telah dilancarkan merangkumi Op Tedung, Op Banding dan Op Gubir. Kesemua operasi ini telah melibatkan terup RAJD terutama dalam kegiatan membersih/memusnahkan jerangkap samar pengganas komunis (PGK).

Operasi Daoyai Musnah I - Merupakan operasi gabungan bersama Royal Thai Army. Dilancarkan pada 14 Januari 1977. Terup RAJD turut terlibat dalam operasi ini. Dilaksanakan di kawasan Sadao, selatan Thailand. Operasi ini disusuli Op Daoyai Musnah II bagi meneruskan kecemerlangan Op Daoyai Musnah I.

Operasi Selamat Sawadee - Dilaksanakan di kawasan Betong di Selatan Thailand. Dilancarkan pada tahun 1978. Manakala Op Cahaya Bena I dan II pula adalah operasi bersama yang dilancarkan di sekitar kawasan Weang. Pengganas Komunis di sekitar Selatan Thailand agak kreatif dalam membuat jerangkap samar berbanding di kawasan lain, ini mungkin disebabkan mereka mendapat ‘teknologi’ dari Vietnam yang amat terkenal dengan pembikinan jerangkap samar buatan sendiri ketika itu. Anggota RAJD sentiasa terus mendalami ilmu dan kemahiran mengenai pembaharuan yang berlaku dalam bidang pembersihan/pemusnahan
jerangkap samar.

Di Sarawak, RAJD terlibat dalam Op Seri Aman bagi menentang kegiatan pengganas
yang diterajui oleh Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU). Pasukan-pasukan RAJD
di bawah perintah Markas RAJD 1 Div bersama-sama dengan unit-unit Tentera Darat
lain telah bekerjasama menjayakan operasi ini.



Bersambung...

Ahad, 3 Oktober 2010

Jerangkap Samar (Booby Trap)..Bhg 1

Pembaca...Berikut adalah sumbangan daripada Mej Baharuddin, Kurator Muzium RAJD, berkaitan dengan'Jerangkap Samar'. Sepertimana yang saya cadangkan kepada Lt Kol Basri Omar di sini , beliau telah memanjangkan cadangan tersebut kepada Baharuddin untuk menceritakan sedikit sebanyak 'apakah itu jerangkap samar'....

SEJARAH
Mengikut sejarah yang diceritakan tetapi tidak ada rujukan sebenar. Dikatakan ianya
berlaku dalam tahun 50an di United Kingdom. Asal nama “Booby Traps” adalah diambil
daripada nama orang yang pertama terkena perangkap ini yang bernama Booby iaitu
seorang anggota polis yang telah terkena atau terpijak jerangkap samar yang dipasang
oleh Tentera Merah Ireland (IRA - Irish Red Army).

Semasa peperangan Vietnam dalam tahun 60an tentera Vietcong telah menggunakan
jerangkap samar secara meluas dalam konsep peperangan gerila dan berjaya
melemahkan semangat tentera Amerika dan seterusnya menjadi salah satu penyebab
kekalahan tentera Amerika di Vietnam.

Begitu juga Pengganas Komunis (PGK) yang meniru taktik ala Vietcong sekitar tahun
1968 hingga 80an telah berjaya mengwujudkan suasana keresahan dan ketakutan ke
atas pasukan keselamatan. Walaupun berjaya dikekang oleh pasukan keselamatan,
sedikit sebanyak mereka berjaya juga melemahkan keberanian pasukan keselamatan
dalam setiap operasi yang dilaksanakan dengan jumlah kematian dan kecederaan yang
agak tinggi.

DEFINISI JERANGKAP SAMAR
Pertama - Sebuah perangkap yang direka dan dirancang untuk membunuh atau mencederakan mangsa yang terpijak atau cuba mengusik atau cuba menyelamatkannya. Dijadikan umpan dalam pelbagai bentuk tanpa disedari oleh mangsa. Merupakan muslihat musuh untuk mencedera dan melemahkan semangat serta melambatkan pergerakan pasukan keselamatan.

Kedua - Jerangkap samar adalah satu muslihat berbentuk alat atau objek yang mengandungi bahan letupan atau lain-lain bahan yang direka dan diletakkan dengan teliti sebagai perangkap. Bertujuan mencedera dan melemahkan semangat serta melambatkan pergerakan pasukan keselamatan.

KOMPONEN JERANGKAP SAMAR
Bateri - Menggunakan bateri size D yang dibalut dengan tar agar tahan lama
sehingga 6 bulan.
Kabel - Menggunakan kabel hitam merah yang mudah diperolehi dikedai menjual
alatan elektrik kerana kabel jenis ini mempunyai rintangan yang rendah.
Peletus - Menggunakan peletus komesial atau yang diubah suai menggunakan mentol
lampu. Berfungsi untuk meletupkan cas jerangkap samar.
Cas - Cas utama mengandungi bahan letupan yang dicampur dengan serpihan logam,
kaca atau bahan2 yang akan memberi kesan kecederaan yang teruk ataupun
membawa maut.
Suis - Peranti mengaktif kuasa letrik yang biasanya direka secara improvise. Suis ini
diperbuat daripada bahan yang mudah di perolehi seperti penyepit baju, buluh, plastik, kertas keras dan sebagainya.

Gambar Jerangkap Samar yang digunakan oleh Pengganas Komunis (PGK)...

Cas Suis Kabel dan Peletus Bateri


Gambar Jerangkap Samar yang digunakan oleh Vietcong...


Gambar Jerangkap Samar yang digunakan oleh pasukan keselamatan dalam Operasi
Naga sekitar tahun 70an...


Suis‐suis jerangkap samar berasaskan kefungsian elektrik yang diubahsuai mengikut citarasa pereka dalam pelbagai fungsi...
Terkini: Saya telah menghubungi pegawai Arkib Negara Malaysia (ANM) terbabit berkaitan coretan ini. Beliau bersetuju kisah terkorbannya arwah Kpl Mat Aznan SP ada merit untuk disiarkan dalam program 'Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS)'. Namun demikian, beliau tidak dapat memproseskan kisah tersebut disebabkan kesuntukan masa. (Insiden berlaku pada 3 Oktober 1993). Untuk makluman, ANM sedia menimbangkan sesuatu peristiwa, terutama yang boleh menyemarakkan semangat patriotisme, bagi disiarkan dalam program HIDS. Tetapi mereka memerlukan masa untuk membuat penyelidikan. Sesiapa yang fikir sesuatu insiden perlu diketengahkan...sila hubungi mereka.

Bersambung...

Sabtu, 2 Oktober 2010

Serang Hendap...Baling-Kroh


Pembaca...Sekiranya anda pergi melawat Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negri Sembilan, jangan lupa membaca "MONUMEN KROH/KROH MONUMENT"... 

 

Pada 29 September 2010, saya telah pergi ke Simpang 4 Kangkong untuk bertemu dengan tuan punya 'Haji Ramli Nasi Kandar'. Pemergian kali ini bukan untuk makan nasi ayam kampung tetapi untuk mendengar cerita beliau tentang insiden serang hendap sepertimana yang tercatat pada 'Monumen' di atas. 454038 Pte Ramli Bin Hassan (gambar kanan) mula berkhidmat sebagai seorang pemandu trak 3 x ton semenjak 9 September 1972. Pada 20 Julai 1979, beliau ditugaskan untuk membawa anggota RAMD ke Kroh. Konvoi yang mengandungi 1 x  ambulan,1 x 3 ton trak dan 2 x Land Rovers sudah berada di pekan Baling pada jam 0700. Mereka menunggu  pasukan Peninjau untuk mengeskot mereka ke Kroh. 

Pada jam lebih kurang 0900, konvoi meninggalkan Baling dengan dieskot oleh 2 x 'Commando V150' dari  pasukan 'Bravo' Skuadron, 2 Rejimen Peninjau. Susunan pergerakan  konvoi didahului oleh kereta perisai Commando V150 - ZA 744, diikuti ambulan, 2 x Land Rovers, 1 x 3 ton dan Commando V150. 
Ketika tiba di satu selekoh sebelum sekatan jalan raya yang dikendalikan oleh anggota tentera, tiba-tiba konvoi diserang hendap. Sasaran pertama pengganas komunis (KP) ialah ambulan. Oleh kerana jalan itu sempit untuk Commando  V 150 membuat pusingan, dreber Commando terpaksa mengundurkan  kenderaannya dan gunner pula memusingkan 'gun turret' ke arah PK. Sebelum sempat membalas tembakan, PK telah berjaya menembak kenderaan tersebut dengan senjata 'anti-tank'. Commando V 150 tersebut telah terbakar dan mengorbankan ketiga-tiga anggota di dalamnya. (Gambar ZA744). 

Lain-lain anggota terus terjun dari kenderaan masing-masing untuk mendapatkan perlindungan. Menurut Ramli, beberapa anggota dalam Land Rover turut tercedera. 

Tembak-menembak ini turut didengar oleh anggota tentera yang berada di Kem Kroh, termasuk Lt (U) Xxxx Xxx Xxxx, juruterbang Alouette gunship. Pada pagi hari tersebut, beliau dan gunnernya, arwah Sjn Baki, berlepas dari No 3 Skn, TUDM Butterworth, untuk tugas eskot kepada Nuri di kawasan Ops Selamat Sawadee, Kroh. Xxxx dan seorang pegawai pasukan Meriam, menceritakan yang mereka nampak kepulan asap dari tempat kejadian. Xxxx telah menghubungi pihak atasan TUDM untuk meminta kebenaran bagi beliau memberi bantuan kepada konvoi tersebut tetapi respons tidak diterima dengan segera. Justeru, tanpa kelulusan, beliau membuat keputusan untuk terbang ke lokasi serang hendap tersebut. Dengan initiatif sendiri, beliau telah mengarahkan Baki menembak ke arah pokok getah yang dipercayai kedudukan PK. 

PK sungguh bernasib baik kerana gunship hanya menggunakan peluru 20mm 'ball', bukannya 'HE'. Buat seketika waktu, TUDM kehabisan 20mm HE dan sementara menunggu sebuah C130 Hercules terbang ke Portugal untuk memperoleh stok HE, gunship terpaksa mengguna peluru 'ball' sahaja. Sudah pasti kesannya tidak seperti HE. Menurut seorang mantan pegawai Cawangan Khas PDRM, PK sungguh gerun dengan tembakan gunship kerana ianya lebih tepat. Ini pula cerita seorang mantan warga tentera, 28212 Sjn Aris Bin Md Isa (x-3rd Renjer) yang hampir terkena padah HE, kepada  anaknya '...Ayah saya ckp, HE bullet dr gunship meletup mcm bom bila kena sasaran. Sbb itulah bandits/PK cukup gerun dgn Aloutte gunship kita'. 

Kehadiran dan tindakan Xxxx menembak ke arah PK telah menyelamatkan anggota tentera yang terperangkap. Mereka yang terselamat mendengar arahan ketua PK '...chow...chow'.  Akibat serang hendap ini, 3 warga tentera dan 2 orang awam terkorban. GOC ketika itu, Mej Jen Dato' Jamil Ahmad, ingin mengucapkan penghargaan kepada Xxxx di atas tindakan beliau walau pun tanpa sebarang arahan. Disebabkan 'communication breakdown', beliau tidak sempat berjumpa dengan Xxxx.

Lain pula resepsi yang diterima Xxxx apabila beliau selamat tiba di No 3 Skn. Bukannya pujian, tetapi 'sergahan' oleh Skuadron Ekskutif berkenaan kerana tindakan beliau terbang dan menembak tanpa kebenaran. Menurut Xxxx '....I felt so disheartened'. Keadaan 'terselamat' apabila Skuadron menerima surat utusan penghargaan dari Mej Jen Dato' Jamil Ahmad, yang mengucapkan terima kasih kepada Xxxx terhadap tindakan beliau. Kemungkinan besar ramai lagi akan menjadi mangsa PK sekiranya Xxxx patuh menunggu dan menunggu arahan. (Sila klik di sini untuk maklumat ciri-ciri Cannon 20mm yang digunakan oleh Alouette Gunship).

Inilah dilema yang dihadapi oleh juruterbang....Dibuat salah...Tak buat salah!

Kapt Xxxx Xxxx, Mej Izam & Kapt Muhammad Zuraiman (Muzium TD), Saudara Hj Ramli & Katon Tin-Ton...Terima kasih. 


Kepada mereka yang terkorban dan arwah Sjn Baki...Al-Fatihah.

Khamis, 30 September 2010

Hari Ini Dalam Sejarah...3 Okt 1993

29 September 2010...Saya telah menghantar 2 e-mel berikut berkaitan dengan coretan ini.

Pertama:

Kepada PTD, PAT dan Pak Menteri, salinan kepada 'Whoever you may be (ruangan komen di sini)'...

Sekiranya terbolos saringan 'gate-keepers'...jengok-jengoklah'!

Kedua:


Kepada Arkib Negara Malaysia (ANM) dengan harapan insiden tersebut mempunyai 'merit' untuk disiarkan dalam program "Hari Ini Dalam Sejarah". Saya telah menalifon pegawai terbabit tetapi difahamkan beliau sedang mengikuti kursus...

Pertama sekali...SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN.

Bersama ini dikepilkan coretan saya berkenaan seorang wira negara, Korperal MAT AZNAN BIN AWANG SP, yang terkorban di Somalia ketika unit beliau,  19 RAMD Mekanis, membuat operasi untuk menyelamatkan krew helikopter 'Blackhawk' kepunyaan tentera Amerika Syarikat. (Hollywood telah memfilemkan cerita ini bertajuk "Blackhawk Down" tanpa menunjukkan pasukan sebenar yang menyelamatkan mereka). Kejadian ini berlaku pada 3 Oktober 1993. 

Arwah Kpl Mat Aznan telah dianugerahkan darjah tertinggi negara Malaysia tercinta ini - Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP). 

Sepertimana yang dicatatkan dalam coretan, kisah ini telah diceritakan dengan terperinci oleh Lt Kol Dr Syed Othman bin Syed Omar (B). Utusan Malaysia juga telah menyiarkan insiden tersebut dalam rencananya di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1003&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive.

Pada pandangan saya, pengorbanan arwah sepatutnya diingati kerana pasukan kita telah melaksanakan tugas dengan cemerlangnya dan sangat membanggakan  ketika berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 

Apa kata anda? Terima kasih.

Respons dari KEMENTAH?....Macamlah anda tak tahu! ANM?...Mungkin. Tak cuba...Tak tahu.

Rabu, 29 September 2010

Dilupa Jangan

Pembaca...Ketika seorang pegawai dari 6 RAMD datang ke rumah berkaitan pusara arwah Lt M Abd Hamid Bin Ismail dalam coretan di sini, beliau telah bertanya kepada saya sekiranya terdapat lagi pusara wira-wira di Kedah dan Perlis. Pada pemahaman saya, unit tersebut akan menyelenggara pusara penerima anugerah SP & PGB yang terkorban. Mereka ada senarai penerima anugerah tersebut tetapi kemungkinan tidak dapat mengesan pusara wira-wira berkenaan.

Beberapa hari kemudian, saya telah menghubungi mantanPW2 Mohsain, Trup Semboyan Skn Bantuan, RGK, bertanyakan di mana arwah Lt Kol Ahmad Rashid PGB disemadikan. Ketika berjumpa di sini, beliau memberitahu saya bahawa beliau mengenali arwah dan keluarganya sebelum berkhidmat dalam ATM lagi. Menurut Mohsain, arwah disimpan di Jitra tetapi tidak pasti di tanah perkuburan mana. Dengan maklumat ini, saya telah menghubungi pegawai terbabit untuk tindakan mereka selanjutnya.

Saya difahamkan arwah adalah satu-satunya penerima 2 anugerah PGB! Saya ada menceritakan berkenaan beliau di sini.

Ketika menciplak bahan coretan "Lagi Mangsa Jerangkap Samar" ini yang terdapat dalam buku '19 RAMD Mekanis Di Somalia", saya membaca kisah "TRAGEDI DI TIMUR PASAR BAKARA". Ia mengisahkan secara terperinci bagaimana tentera kita melancar operasi untuk menyelamat krew helikopter 'Blackhawk' kepunyaan tentera Amerika Syarikat yang ditembak jatuh...difilemkan "Blackhawk Down". Operasi ini telah mengorbankan seorang anggota Tentera Malaysia, Kpl Mat Aznan Bin Awang SP. 

Antara gambar-gambar penghormatan terakhir kepada arwah Kpl Mat Aznan...
Saya telah menghubungi pegawai 6 RAMD berkenaan dan memaklumkan kepada beliau lokasi pusara pahlawan tersebut. Saya tidak tahu bagaimana keadaan pusara arwah dan harapan saya agar pihak berwajib...jengok-jengoklah pusara pahlawan-pahlawan negara itu! Al-Fatihah....

Selasa, 28 September 2010

Lagi Mangsa Jerangkap Samar

Pembaca...Di bawah ini saya menciplak (dengan izin) cerita penulis "19 RAMD MEKANIS DI SOMALIA" (di sini), iaitu Lt Kol Dr Syed Othman bin Syed Omar PhD. Saya pasti ramai yang masih belum membacanya. Beliau menceritakan bagaimana beliau telah hilang pancaindera penglihatan kedua-dua matanya angkara jerangkap samar. Saya ada menulis kisah ringkas di sini.



            


Jerangkap samar...tidak mengenal kawan atau lawan. 
(Maaf kerana muka surat tidak tersusun). Buku ini boleh diperolehi dengan menghubungi beliau melalui nombor 0192356190.