Pengikut

Khamis, 13 Januari 2011

Sahabat Lama

11 Jan 2011...Saya terima gambar-gambar berikut dari sahabat lama, Mejar Sawaludin Bin Lamin TUDM (B). Kali terakhir saya berjumpa beliau ialah pada Januari 1982 ketika saya mengambil alih jawatan Ketua No 5 Skuadron, TUDM Labuan, daripada beliau. Saya mengenali beliau semenjak di MTD, 7 RAMD (klik di sini), mengikuti kursus penerbangan di SEA Helicopter dan di No 3 Skn. Saya ada menceritakan insiden di mana beliau telah membuat pendaratan kecemasan di Pulau Langkawi di  sini. Saya telah menghubungi beliau apabila Mej Ismail Malek TUDM (B) memberi no telefonnya. Selain bertanya khabar, saya bertanya sama ada beliau masih menyimpan gambar-gambar ketika kami mengikuti kursus penerbangan. Gambar yang dihantar oleh Mej Ismail di sini tidak memaparkan kesemua pelatih.

Hasilnya, inilah kiriman beliau...

Depan-Dari Kiri: Mendiang Kapt Thiagarajah, Kapt Nor Ibrahim, Lt M James Chong, Kapt Yassin 
Berdiri-Dari Kiri: Lt M Khalil, Pilot OfficerZulkifly, Pilot Officer Othman, Lt Affendi, Lt Sawaludin, arwah Lt Abd Jalil, Lt Ismail Malek, Lt M Darby

Berikut adalah pesawat Alouette 111 yang mengalami kerosakan enjin ketika beliau membawa Tan Sri Abdullah Salleh, KSN/Pengurusi Petronas (gambar kanan). Kapt (U) Sawaludin Lamin terpaksa mendarat di Tg Tualang, Pulau Langkawi, pada 12 Nov 1977.
Keadaan pesawat selepas pendaratan kecemasan


Ketika air pasang (Scrap Book No 3 Skn)

Petikan dari majalah 'Flight Safety' tentang insiden tersebut...

Dari 'Scrap Book' No 3 Skn

Mej Sawaludin memberitahu kesan akibat crash landing tersebut telah menjejaskan kesihatannya hanya selepas beberapa tahun, iaitu di akhir 80'an. Sekarang ini beliau mengikuti proses 'medical investigation due to suffering from post concussion syndrome due to Langkawi crash'. Sekiranya saya berpeluang pergi ke KL, saya akan cuba sedaya upaya untuk menziarahi beliau, InsyaAllah. Untuk makluman, beliau adalah adik kepada seorang penyanyi lagu-lagu asli yang terkenal di suatu ketika dulu, Shamsudin Lamin.

Kalau tak silap saya, 'senior pax' terbabit telah menghantar surat penghargaan kepada TUDM di atas profesionalisme Kapt Sawaludin mengendali pesawat tersebut. 

 Sawal....Terima kasih dan saya doa agar anda akan sembuh sepenuhnya, InsyaAllah. Kapt Rama Murthy TUDM...Terima kasih di atas kerjasama anda menghantar gambar-gambar daripada 'Scrap Book' No 3 Skn..

Selasa, 11 Januari 2011

Pengalaman 7 Renjer

Saya dah ketandusan cerita! Walaupun sudah beberapa kali meminta para veteran mencoretkan pengalaman 'combat' mereka untuk dibaca oleh golongan muda, namun sambutan kurang memberangsangkan. Mungkin ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Tak apalah. Kepada mereka yang belum membaca coretan Mej D. Swami (B), x7 Renjer, sila baca kisah pertempuran pasukan Kompeni 'C' 7 Renjer dengan pengganas komunis di sini. Cerita mengisahkan Kompeni tersebut telah bertempur dengan segerombolan pengganas komunis. Pasukan tersebut telah berjaya membunuh Ho Pak, orang kuat Rashid Maidin dari 10 Rejimen (sini).
Saya telah memohon kebenaran Mej Swami untuk menceduk cerita-cerita dalam blog beliau untuk dijadikan bahan buku nanti. Syukur Alhamdulillah, beliau membenarkannya. Apa yang perlu saya lakukan ialah menterjemah kepada Bahasa Melayu. Sepertimana yang saya katakan, sekira dimakbulkan Allah, buku itu adalah 'KOLEKSI' pengalaman sipencerita; saya hanya mengumpulkannya sahaja.

Oh ya...Saya telah menghubungi WO 11 Abu Hassan (B), 7 Renjer, yang terlibat dalam insiden di tersebut,  mencadangkan agar beliau menceritakan apa yang terjadi sehingga beliau berjaya membunuh pengganas komunis berkenaan. Menurut beliau, peristiwa tersebut telah disiarkan dalam akhbar. Saya berharap beliau sedia menghantar keratan akhbar tersebut untuk dimuatkan dalam blog ini.

Mej Swami (B)...Terima kasih.

Ahad, 9 Januari 2011

Ke mana Selepas SPM?

Ha...Sekarang nak jadi 'Kaunselor Pelajar' pula. Bukannya apa, baru-baru ni berjumpa dengan seorang mantan warga Tentera Darat. Sembang punya sembang, beliau bertanya pendapat saya tentang apakah pilihan untuk melanjutkan pengajian anak perempuan beliau apabila keputusan SPM diumumkan nanti. Menurut beliau, ramalan keputusan peperiksaan anaknya oleh guru tidaklah sampai 10A; adalah 2-3 A dan yang lain-lain B.

Sebelum itu, biarlah saya 'qualify'kan diri saya sendiri...Saya bukannya tahu sangat tentang perkara ini semua tetapi pandangan ini hanya berlandaskan kepada apa yang saya perhatikan. Saya mengandaikan pelajar tersebut TIDAK...
  • berjaya memasuki Kolej Matrikulasi.
  • bercita-cita untuk menjadi seorang 'profesional' seperti doktor, peguam, ahli farmasi, doktor haiwan. 
  • mampu untuk melanjutkan pengajian di IPTS.
Apakah pandangan saya sekiranya pelajar berkenaan ditawarkan melanjutkan pelajaran di Tingkatan 6 dan mengikuti pengajian Diploma di Politeknik? Pada saya, eloklah meneruskan pengajian di politeknik. Lihat aliran carta berikut...
Sebabnya? Selepas 3 tahun, pelajar mendapat segulung 'Diploma'. Katakanlah beliau mengambil Diploma Mekatronik. Peluang mendapat perkerjaan lebih cerah kerana beliau mempunyai KEMAHIRAN. Apa  kemahiran yang ada pada pemegang Sijil STPM? Sekiranya  berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke tahap ijazah,  beliau berpeluang mendapat pengecualian Tahun Pertama...ini bermakna beliau memulakan pengajian di Tahun Kedua. Tapi, ingat, mesti dapat sekurang-kurangnya CGPA 3 untuk mendapat keistimewaan ini. Justeru, tiada sebarang 'kerugian' diantara beliau dengan rakan yang mengambil STPM, malah beliau mempunyai 2 kelayakan - Diploma & Ijazah.

Dan yang paling asas sekali...STPM adalah 'external examination'. Cikgu yang mengajar bukannya yang menentukan soalan yang akan keluar dalam peperiksaan nanti. Sebaliknya, di politeknik, sekiranya pelajar tersebut memberi fokus sepenuhnya kepada apa yang diajar oleh pensyarah, rasanya susah untuk gagal bagi melayakkan mendapat diploma itu nanti. Kalau asyik nak merempit saja...jangan buang masa, lebih baik beri tempat itu kepada mereka yang betul-betul mahu melanjutkan pengajian.

Polimas Jitra pada 8 Jan 2011 jam 0747

Jangan katakan apa yang saya tulis ini semua orang sudah sedia maklum. Ibu-bapa mengandaikan 'Kaunselor Pelajar' sudah pasti memberitahu anak-anak mereka pilihan yang ada. Betulkah andaian tersebut? Saya diberitahu oleh seorang guru satu cerita tentang seorang murid yang mendapat tawaran seperti yang dibincangkan di atas. Guru Kaunseling menasihatkan pelajar tersebut untuk belajar di Tingkatan 6. Tak sampai beberapa bulan, beliau menghadapi masalah untuk mengikuti pengajian. Nasib menyebelahinya kerana pengajian di politeknik belum bermula. Jadi, beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari Tingkatan 6 dan memasuki pengajian diploma di Polimas. Apa yang merugikan ialah dari segi kewangan. Kesilapan memilih aliran ini melibatkan kos di Tingkatan 6 dan kemasukan ke politeknik. Bagi orang berada, OKlah, tapi bagi mereka yang kurang berkemampuan...bagaimana?

Ada cerita lagi. Seorang pelajar memberitahu beliau berhasrat untuk mengambil 'Aeronautical Engineering (AE)'. Memang membanggakan. Mengapa minat bidang ini? Kerana nak jadi jurutera menyenglegara kapal terbang! Terdiam saya dibuatnya. Dengan pengetahuan saya yang cetek ini, saya memberitahu beliau untuk menjadi Licensed Aircraft Maintenance Engineer (LAME) tidak perlu jurutera berijazah (degreed-engineer); AE bukannya secara automatik menjadi seorang LAME.  Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Civil Engineering. Diantara AE dan LAME, yang paling laris dalam pasaran ialah LAME...macam pisang goreng! Ramai LAME warga Malaysia berkhidmat di Dubai; seorang kariah surau di taman perumahan saya berkhidmat dengan SIA, Singapura.

Para Pelajar...Fikir-fikirkanlah. Nak tahu apa pula pandangan 'Consultant' serba tahu ini jalan yang terbuka untuk mereka yang kurang berminat dalam pelajaran dan apa peluang yang ada untuk mereka ini? Tanyalah...saya akan cuba menjawabnya dengan sedaya upaya, InsyaAllah. FOC...He...He...He.

Saudara Katon Tin-Ton...Terima kasih kerana sudi melayan kerenah mejar pencen yang meminta pertolongan membuat carta di atas.

Jumaat, 7 Januari 2011

Kongsi Bersama

IPTA yang mungkin (apa pun tak pasti dalam dunia ini melainkan mati) akan menerbitkan buku saya, telah meminta gambar-gambar yang terdapat dalam buku tersebut. Menurut Penerbit, gambar yang di'cuci' daripada e-mel tidak begitu jelas. Malah mereka berhasrat untuk menyimpan gambar-gambar operasi yang dilancarkan oleh Pasukan Keselamatan sebagai koleksi IPTA. Jadi, saya telah menghantar e-mel/sms kepada mereka yang terbabik memohon mereka menghantar gambar-gambar berkaitan. Ramai rakan seperjuangan yang sedia memberi kerjasama mereka.

Ketika balik ke Taping pada 1 Jan 2011, terjumpa gambar ini dalam simpanan. Lawatan ke Kem Terendak semasa mengikuti kursus YO/TSM di LATEDA pada 1969. Pada waktu itu, Kem tersebut adalah kem British Army, termasuk Royal Artillery...

Dari kiri: Kapt David Lam IG, Lt M Latif Endut, Lt M Chin Yok Choy, WO1...AIG?, Lt M Nor Ibrahim, Lt M Daud, WO 2 Ismail AIG

Kiriman Kol Zainal Piee TUDM...

Lt (U) Zainal Piee ketika Ops Selamat Sawadee - 12 Apr 1978

Kiriman Kol Mohd Amin TUDM (B)...

Kiri: Lt (U) Amin, Kapt (U) KP Sim - Ops Daoyai Musnah 11

Kiriman WO 2 Mohsain (KU)(B)...  

Ops Gubir (12 Dis 1979) - Krew: Lt (U) Bakar, Lt M (U) Rusdi, WO 2 Theseigan, Sjn Mohsain 

Dari kiri: WO 2 Theseigan, 2xART (Komando), Lt (U) Shuhaimi, Sjn Mohsain ('Cat' upgrading untuk Sjn Mohsain)

Sesiapa yang ada gambar-gambar berkenaan harap dapat menghantarkan kepada saya supaya dapat kita kongsi bersama sebelum diposkan kepada IPTA tersebut. Juga, saya berharap para veteran sudi menceritakan pengalaman mereka untuk dibaca oleh golongan remaja, seperti yang ditanya oleh saudara 'yastro...tak ada lagi ke sambungan Ops Daoyai musnah ni....ataupun saya sendiri yg terlepas pandang?' Terima kasih.

Rabu, 5 Januari 2011

Syukur Alhamdulillah

"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri (Surah Ar-Ra'd ayat 11)."

3 Jan 2011...Hari yang dinanti-nanti sepanjang 2010...Mengemaskini buku ASB! Mengikut jadual, selepas menarik troli 9 lubang dan menghadiri mesyuarat 'kitchen cabinet' di De' Kembung', pacu ke CIMB Jitra. Semasa pergi ke surau untuk solat subuh, hujan turun dengan lebatnya dan hanya berhenti pada jam lebih kurang 0715. Seperti biasa, saya pun sudah terpacak di DGCC. Hamid telah menalifon bahawa Alor Setar masih hujan dan Abang Tad pula tidak dapat main, begitu juga Cikgu. Jadi, keputasannya ialah...batalkan saja permainan hari ini.

Tak jadi masalah...Saya sebenarnya sangat teruja nak mengetahui berapa dividen/bonus yang akan dikredit dalam buku ASB.

Saya mengambil isteri untuk pergi ke Jitra. Ketika berada di CIMB, saya diberitahu terdapat sedikit masalah 'teknikal' untuk mengemaskini buku. Seorang pelanggan bank mencadangkan saya pergi ke Ibu Perjabat ASNB di Shahab Perdana kerana ianya lebih cepat. Jawabnya, pacu le pula ke Shahab Perdana (gambar).

Memang betul apa yang diberitahu. Tak sampai 5 minit, ketiga-tiga buku dikemaskinikan. Jumlah  yang tercatat, memadailah saya banyak-banyak bersyukur....Syukur Alhamdulillah! Inilah berkat beringat-ingat dahulu, bersenang-senang kemudian. 

Kepada mereka yang mempraktikkan gaya hidup 'Tiada Esok Bagiku', iaitu enjoy...enjoy...enjoy. Fikirkanlah buat sejenak apa yang anda mungkin hadapi apabila tidak lagi relevan kepada majikan dan sesiapa pun, kecuali kaum keluarga terdekat! Sekiranya menghadapi masalah kewangan ketika di usia emas nanti, tanggunglah sendiri. Jangan dipersalahkan sekiranya orang ramai 'berat tangan' untuk membantu.  

Peluang terbentang di hadapan mata. Berbagai-bagai instruments pelaburan yang risikonya sangat rendah telah diwujudkan. Mengapa tidak mengambil peluang ini? Saya hanya mampu berkongsi pengalaman saya sendiri dengan harapan ianya boleh dijadikan sebagai tauladan demi untuk masa hadapan. Itu saja nawaitu saya...Saya tak dapat walau sesen pun dari mana-mana pihak. Hanya anda sahaja yang boleh merancang masa hadapan anda sendiri...sama ada tidak dibelengu dengan masalah kewangan apabila tiba masanya untuk melambai sayonara atau sebaliknya. Apa yang diperlukan hanyalah...Perancangan Kewangan. Dan, berdoa kepada  Allah Yang Maha Esa untuk keberkatanNya...InsyaAllah selamatlah anda. 

 TEPUK DADA TANYA SELERA

Isnin, 3 Januari 2011

Keberkesanannya 'KESBAN'

Saya tertarik dengan komen Lt Khaidir apabila ditanya oleh seorang Kolonel US Army yang juga seorang veteran Vietnam '...how on earth did Malaysia managed to defeat the communist???' dan juga respons Arunzab yang disiarkan oleh NST pada 19 Januari 2007 terhadap artikel 'New army chief studied British tactics in Malaysia'  di sini. 

Malaysia telah berjaya menangani masalah insurgensi tetapi masih ada negara yang masih bertungkus lumus cuba menamatkan peperangan yang tidak diistiharkan ini...dan tidak berjaya! Paling hampir dengan negara tercinta ini ialah Filipina. Bacalah artikel berikut masalah yang dihadapi oleh kedua-dua pihak - negara tersebut dan 'Maoist rebels'.

Saya kurang pasti sama ada Filipina pernah mencuba konsep 'KESBAN' bagi mengatasi masalah pergerakan pemisahan (MILF) dan juga ancaman komunisme. Atau adakah mereka tidak yakin dengan kaedah 'Keselamatan dan Pembangunan' ini? Memang benar situasi di sana berbeza dengan apa yang dihadapi oleh  Malaysia di suatu ketika dulu tetapi prinsipnya boleh diaplikasikan. Paling asasnya ialah melaksanakan apa yang diperkenalkan di era saya sebagai Ops Jiwa Murni...dan sudah terbukti keberkesanannya! Banyak artikel telah ditulis tentang konsep KESBAN seperti yang terdapat di sini di bawah sub-para 'The Security and Development Program (KESBAN)' (secara ringkas sahaja) dan 'The Failure Of Communist Ideology (Malaysia)' di sini.

Kita semua sudah dihadangkan dengan berbagai rencana  dalam saluran 'History' seperti 'Malayan Emergency' dan juga buku-buku oleh 'pejuang kemerdekaan'. Adakah lagi isu-isu yang masih belum terjawab? Sekiranya ada, tolong lontarkan agar boleh juga saya cuba mencungkilkan jawapannya melalui pakar-pakar di luar sana, InsyaAllah.

Sabtu, 1 Januari 2011

Kedatangan 2011

Kepada semua pembaca yang dihormati...