Pengikut

Isnin, 13 Januari 2014

Dah Mula Melangkah

Saya telah memulakan beberapa langkah dalam usia mendokumentasi secebis sejarah negara tercinta ini, klik di sini. Ini termasuk memohon YABhg Tun Dr Mahathir menukil sepatah-dua ayat terhadap Nuri@Burung Besi. Tanpa diduga, beliau telah sudi memenuhi hasrat saya, syukur alhamdulillah. 


Diterima pada 7/1/14

Untuk penyelidikan ini, saya memerlukan bahan-bahan berkenaan dengan penubuhan awal TUDM, operasi2 seperti Ops Bamboo, Ops Gubir, Ops Selamat Sawadee, Ops Gonzales, Ops Chahaya Bena, dll. Saya sungguh menghargai sekiranya ada yang sudi kongsi bersama pengalaman. Sila emelkan kepada nibsny@yahoo.com. Jika boleh, harap catatkan nama, nombor khidmat dan unit. Terima kasih.

 YABhg Tun Dr Mahathir....Terima kasih.

Isnin, 6 Januari 2014

Jangan Salahkan Usia Saja

Surat saya di sini telah disiarkan pada 2/1/14....


Saya memang dah menjangkakan pasti ada yang mempertikaikan tulisan saya itu. Mejar pencen ni terima sms '...whether it is still cost effective to maintain and upgrade them'. Mana ada dalam tulisan itu saya membincang tentang kos penyelenggaraan atau 'upgrading'. Apa yang saya cuba mengetengahkan ialah usia sesebuah pesawat tidak semestinya punca utama sesuatu kemalangan. Itu sahaja. Jika gomen mampu, beli le helikopter termoden dan termahal. Tapi ingat, pesawat baharu juga boleh ditimpa kemalangan, wallahulam.

Rabu, 1 Januari 2014

Aidi Munawir Dalam Kenangan

31/12/2013...Tutupnya tirai 2013 dan ia begitu bermakna pada saya. Pada jam lebih kurang jam 1000, terima panggilan daripada adik di Taiping. Beliau memaklumkan bahawa anak kedua kakak saya, Aidi Munawir bin Ahmad Shukri, 42, dalam keadaan kritikal di IJN. Mujurlah ada kekosongan dalam Malindo Air untuk penerbangan ke LTAB Subang jam 1130. Sampai di Subang anak adik saya, Kak Yong, menjemput saya untuk ke IJN.

Semua kaum keluarga sudah berada di IJN. Aidi dalam keadaan koma dan mengguna 'life support equipment'. Sungguh sedih melihatnya. Seperti yang pernah saya coretkan di sini, beliau adalah salah seorang daripada 8 orang di Malaysia yang bergantung kepada 'jantung mekanikal'.  Pada Julai 2013 beliau dimasukkan ke ICU IJN dalam keadaan kritikal juga, klik di sini. Sebenonya, IJN dah jadi rumah keduanya.

Seorang adik saya telah menghantar saya ke LTAB Subang untuk penerbangan balik ke Jitra pada jam 1750 sementelah beliau nak balik ke Ipoh. Pada jam lebih kurang 2030, baru saja selesai solat maghrib, adik saya di KL memaklum Aidi telah menyahut panggilan Ilahi pada jam 2020..إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ. 

 Berita ini dimuatkan dalam fb 'Sulaiman's clan' ....Aidi dah dibawa balik kerumahnya. beliau akan di kebumikan pada pukul 10 pagi esok jam 10 pagi di seksyen 21 s/alam'.

Arwah pernah tinggal bersama keluarga saya di Taiping semasa kecil. Itu sebabnya arwah turut memanggil ibu saya 'mak'; cucu2 yang lain memanggil mak 'Atah'. Pada setiap Hari Raya Aidilfitri, kecuali 2013 yang lepas kerana berada di IJN, arwah dan keluarga beraya di Taiping.

Minggu sudah saya menghubungi kakak saya bertanya khabar tentang Aidi. Saya mengetahui arwah berada di IJN setelah tamat 'cuti' untuk pemeriksaan. Kakak menangis dan menyatakan Aidi akan meninggalkan kita semua. Sungguh terkejut mendengar berita itu dan terus bertanya adik saya tentang keadaan Aidi. Adik memaklumkan apa yang beliau ketahui ialah arwah memang dimasukkan ke IJN tapi kesihatannya OK. Inilah prarasa seorang ibu terhadap anaknya!

Bersama arwah pada 10/12/2012

Semoga Allah menempatkan roh arwah dengan mereka yang soleh....Al-Fatihah.

Isnin, 30 Disember 2013

Tahukah Anda Bahawa....

Saya tidak sangka negara tercinta ini mempunyai begitu ramai Penyisasat Kemalangan Pesawat. Manakan tidak, apabila terjadinya kemalangan Nuri baru2 ini (klik di sini), terus para pakar merumuskan punca nahas berlaku kerana masalah teknikal. Setahu saya, teknikal luas maknanya. Adakah masalah enjin, MGB, kipas, dan entah apa lagi? Bukan itu saja, ada yang merekomenkan agar Nuri diganti bagi mengelak insiden terus berlaku. Mind you, depa tak perlu pergi ke lokasi kejadian, tak perlu interview krew,  tak perlu meneliti buku log pesawat, hanya dengan melihat gambar sahaja boleh membuat  kesimpulan. Hebat...Memang hebat!

Bukan nawaitu nak cuba 'mengajar' para pakar, hanya nak kongsi secebis pengalaman berkaitan dengan penyelenggaraan pesawat. Jadi, mejar pencen ini pun menghantar emel berikut kepada ruangan Forum Utusan Malaysia pada 28/12/13. Sama ada disiar atau sebaliknya, wallahualam.

Laporan Utusan Malaysia pada 27 Disember bertajuk "Tamatkan Khidmat Nuri" menarik perhatian saya. Saya mengandaikan laporan tersebut ada kaitan dengan nahas helikopter Nuri di Pulau Perak pada 22 Disember. Pada pemahaman saya, saranan agar pesawat Nuri ditamatkan perkhidmatan berlandaskan kepada usianya yang telah mencecah 45 tahun.

Saya bukannya seorang pakar dalam bidang penyelenggaraan pesawat. Pengetahuan saya terhadap subjek ini hanyalah berpandukan kepada pengalaman ketika berkhidmat dalam TUDM sebagai seorang juruterbang Nuri di suatu ketika dulu.

Pada pengamatan saya, nahas sesebuah pesawat tidak semestinya disebabkan usia pesawat. Usia menjadi faktor sekiranya pesawat tidak diselenggara dengan betul. Ini mungkin disebabkan produksi pesawat tersebut dihentikan. Ini memungkinkan komponen-komponen pesawat tiada dalam pasaran. Justeru, operator mengambil risiko tinggi jika pesawat terus digunakan.

Seperti kereta, pesawat juga mempunyai jadual penyelenggaraan. Malah, pengawasan selenggaraan begitu ketat sekali. Secara ringkasnya, TUDM menetapkan pemeriksaan berkala untuk semua pesawat dalam inventorinya. Sebagai contoh, Nuri diselenggara mengikut jadual Check 1 hingga 5. Malah, pemeriksaan bermula sebelum/di antara/selepas setiap penerbangan. Apa jua kerosakan tidak di'sorok'; semua dicatat dalam buku log pesawat.
Check 5 adalah dimana Nuri perlu menjalani baik pulih (overhaul). Ini berlaku apabila jam penerbangan mencecah jam tertentu. Di waktu itu, pesawat di'bogel'kan ke 'bare metal'. Ia akan diperiksa dengan teliti menggunakan pelbagai kaedah, termasuk xray, bagi menentu ketiadaan sebarang rekahan dan kekaratan.

Komponen-komponen juga dibaikpulih atau diganti sama ada mengikut jam penerbangan atau sesuatu tempoh. Kotak utama gear (Main Gear Box) dan enjin, misalnya, akan dibaik pulih apabila mencecah jam penerbangan tertentu. Malahan, kipas utama (main rotor blades) pula akan terus diganti; ia tidak dibaik pulih.

Sebelum Nuri mencapai tahap pemeriksaan tersebut, ia turut melalui beberapa kali proses Check 1 hingga 4. Selepas dibaikpulih, Nuri boleh dianggap seperti pesawat baru; 'kosong' jam penerbangan. Sama juga komponen-komponen yang telah dibaik pulih.

Justeru, pandangan yang 'usia' sinonim dengan kemalangan seharusnya tidak timbul sama sekali. Banyak faktor penyebab sesuatu insiden, seperti keadaan cuaca dan juga kesilapan manusia. Malah, pihak TUDM telah mengumumkan bahawa 'pendaratan cemas di Pulau Perak, Kedah pada 22 Disember lalu bukan berpunca daripada masalah teknikal', petikan Utusan Malaysia bertarikh 28 Disember bertajuk "Masalah teknikal bukan punca Nuri mendarat cemas".

Kecemerlangan helikopter Sikorsky model S61 (Nuri model S61A-4) tidak boleh dipertikaikan. Presiden Amerika Syarikat mengguna model ini sehingga sekarang untuk penerbangan dari Rumah Putih ke lokasi berhampiran, seperti lapangan terbang. Syarikat Westland, UK, dan Agusta, Itali, diberi lesen untuk mengeluarkan model ini. Produksi Westland bergelar 'Sea King' manakala Agusta model AS61N, wallahualam.

MEJAR NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B)
Jitra

Satu Keturunan

S61A-4. Talian Hayat...The Old but Faithful Nuri@Burung Besi  (Ihsan 'Gringgaro Elminio') 

 Agusta AS61N1. Pesawat TUDM untuk VVIP (Ihsan M. Radzi Desa) 

VH-3D. Marine One untuk Presiden Uncle Sam

SH 3H Sea King. Jenis pesawat yang pernah dipandu oleh Putera William (klik di sini)

Saya harap para pakar dapat membantu Tentera Udara Kanada (TUK) mengenal pasti punca kemalangan yang menimpa Sea King mereka melalu gambar di sini. Nahas terjadi semasa pesawat berada di tarmac. Saya tak pasti pula usia helikopter berkenaan. Jika seusia Nuri, adakah TUK perlu menamatkan perkhidmatan Sea King?

Apa yang saya cuba luahkan ialah jangan begitu mudah menuding jari punca sesuatu kemalangan kerana usia sesebuah pesawat tanpa fakta. Dalam semua insiden pesawat TUDM, seperti di Pulau Perak, bio le Lembaga Penyiasatan melaksanakan tugas mereka bagi menentukan punca nahas tersebut. Banyak pesawat baharu juga turut ditimpa kemalangan, seperti insiden di sini dan ini.  Kedua-dua pesawat di beli baharu, bukan terpakai. 

Jika nak berhijrah kepada pesawat baharu bagi memenuhi keadaan yang serba canggih kini, belilah sekiranya kewangan bukan penghalang. Mana pilot yang tak nak terbang pesawat terkini dan serba canggih. Saya yang usia dah lanjut juga mengidam nak terbang EC725 Cougar. Itu saya. Tambah pula pilot helikopter yang masih berkhidmat dalam TUDM. Saya percaya ramai di antara mereka meleleh air liur melihat rakan menerbangkan Cougar tapi menyedari kemungkinan besar mereka tiada peluang sehingga tamat perkhidmatan, wallahualam.

Keluar tajuk. Saya dah rimas dengan iklan sehingga nak tulis coretan jadi masalah. Saya harap pakar2 IT dapat membantu saya mengatasi masalah ini. Tapi, dengan syarat bio le instructions yang mudah difahami oleh anak murid taska. Terima kasih.

Selasa, 24 Disember 2013

Nahas Nuri

Apa nak dikatakan, dah ditakdirkan-Nya siburung besi tak sempat nak mendarat di Pulau Perak dengan selamat...

Utusan Malaysia 24/12/13

Paling mustahak sekali, kesemua POB (Persons On Board) selamat, syukur alhamdulillah. Harap janganlah ada yang mengandaikan pelbagai teori tentang insiden tersebut. Bio le Lembaga Penyesiasatan menjalankan tugas mereka.

Ada orang sms pada saya bertanyakan di mana Pulau Perak. Saya percaya ramai yang tidak sedar tentang kewujudan sebuah pulau tanpa pantai ini. Selain Pulau Layang2, Pulau Perak turut dituntut oleh Malaysia apabila Tun Dr Mahathir mula2 menjadi Perdana Menteri. Saya telah mencoretkannya di sini. 

Selasa, 17 Disember 2013

Perginya Seorang Rakan Seperjuangan

17/12/13 jam 0703....Brig Jen Dato' Shabre Hussein TUDM, Komander PU Butterworth, telah memanjangkan sms yang diterimannya '...AlFatihah...Berita kematian. Capt Mohd Noor Rashid bin Abdullah (Kapt Noel Richard (B)) meninggal dunia di hospital  kulim lebih kurang pukul 0445 pagi...jenazah berada di 265 persiaran high tech 12, kulim..maklum...tkasih.q'. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Saya mengenali arwah semenjak berkhidmat di No 3 Skuadron, TUDM Butterworth, pada Januari 1978. Ketika itu beliau masih ko-pilot. Kali pertama saya terbang dengannya ialah pada 16/1/1978 selama 7 jam di kawasan operasi Ipoh/Grik/Kroh.

Ada satu penerbangan bersama beliau yang tak boleh saya lupai. Misi melibatkan penghantaran bekalan kepada trup di LP kawasan operasi Gubir. Ketika membuat approach dan sebelum 'critical speed', tiba2 salah satu enjin 'wind down';  'engine gages' turun ke zero. Kata mudahnya,  satu enjin mati. Saya telah mengarahkan arwah 'full power', iaitu kedua-dua 'Speed Selector Lever' (lebih kurang 'throttle') ke tahap maksima. Dan bersedia untuk 'hard landing'. Tapi, dengan kuasa-Nya, tiba2 enjin 'hidup' semula macam tak ada apa-apa pun! Saya batalkan sorti dan terbang balik ke Butterworth tanpa sebarang masalah. Juruteknik telah memeriksa enjin dan menyatakan tiada  sebarang masalah dengan enjin. Saya juga telah mengabadikan pengalaman yang turut melibatkan arwah di sini; nama panggilan Nurinya ialah 'Juliet 3'.

Semasa saya menjawat Ketua No 5 Skuadron, TUDM Labuan, arwah bersama saya sekali lagi sebagai 'Training Officer'. Penerbangan terakhir dengannya ialah pada 29/3/1984 selama 30 minit membuat 'air check'. Arwah telah bertukar ke Mawilud 2, Kuching, pada pertengahan 1984. Semenjak itu, saya tidak lagi bersua dengan arwah.
Duduk. Dari kiri: F/Sjn Azizan, Lt (U) Meor Wahab, arwah Kapt (U) Mohd Noor Rashid ( Noel  Richard), Kapt (U) Ismail Bakar, NIBS, Kapt (U) Ajir Juman, Kapt (U) Lau MT, Lt (U) Abong (Judara), mendiang WO1 Lai . 
Berdiri. Dari kiri: Sjn Saifuddin Choo, Sjn Jaafar, arwah Sjn Ibrahim, arwah Lt (U) Mohd Merejok, Lt (U) Kamarulzaman, Sjn Andy, Lt (U) Ridzuan, mendiang Lt (U) Tan EH, Lt (U) Shabre Hussein, mendiang Lt (U) James Tinggom, Lt (U) Kandiah, arwah Lt (U) Idris, Sjn Yeap. Diambil pada 21/3/1984

Saya difahamkan arwah berkhidmat dengan APMM secara kontrak. Sebelum ini, pernah menjadi juruterbang dengan Sabah Air, Kota Kinabalu.

Semoga Allah mencucuri rohnya dan ditempatkan dengan mereka yang soleh...Al-Fatihah.

Isnin, 16 Disember 2013

Terperap

14/12/13, Saya dan isteri telah memandu ke Lasah, Sg Siput, untuk berjumpa dengan Lt Kol Dr Syed Othman (B). Sepertimana yang dijanjikan, saya tiba di rumah beliau tepat pada jam 1100. 2-3 sebelum itu, saya telah menghubungi beliau membuat temujanji. Dr Syed memaklumkan yang beliau akan menghadiri majlis perkahwinan jiran sekampung  tengah hari itu pada hari itu. Jadi jam 1100 OK. Biasa le...Footslogger beri 'Grid Ref' ke rumahnya...Dari Kuala Kangsar, apabila tiba di simpang ke Hospital Sg Siput, di sebelah kiri, terus pandu sejauh 15 km. Xnuripilot ni kan ke terer navigation (mobil saya tiada GPS, hanya 'mark 2 eyeballs' saja...He...He...He). Cukup saja odometer menunjukkan 15 km, mobil pun dihentikan. Tengah nak hubungi beliau, saya ternampak 'tugu' di sebelah kiri saya. Engkohnya, saya berhenti di hadapan rumahnya.

Tugu yang menyenaraikan para wira yang terkorban dalam operasi di kawasan Sg Siput di era darurat. Dibina oleh beliau sendiri

Tujuan saya ialah nak pinjam tesis PhD beliau....

Sesiapa yang berminat boleh membacanya di perpustakaan Universiti Malaya. Sejarah asal usul RAMD. Mula dibincang pada 10/7/1913 di Mesyuarat Majlis Persekutuan yang turut dihadiri oleh Raja-Raja Negeri Bersekutu. Dalam satu perbincangan antara 'mat saleh', depa mencadangkan gaji prebet ialah 60 sen sehari dan diberi cuti semasa musim menuai bagi membolehkan soldadu balik kampung untuk menuai padi  

Tesis 'Sarjana' beliau. Diterbitkan oleh UKM

Selepas mendapat buku-buku di atas, saya pun nak beredarlah sementelah beliau nak pergi menghadiri majlis perkahwinan. Tapi, beliau bertegas kami makan tengah hari. Jadi, makanlah sebelum berlepas pulang ke Jitra.
Dr Syed bersama Puan Habibah

Dr Syed  menceritakan selepas hilang pancainderanya, beliau telah menghadiri kursus untuk orang hilang penglihatan di Brickfield selama 2 tahun. Namun demikian, beliau kurang mengguna braille. Semasa mengambil Sarjana Muda di University of Florida, beliau telah mengupah orang membaca buku yang diperlukan dan direkod dengan tape. Beliau akan mendengar tape saja. Untuk menaip buku pula, beliau mengguna komputer yang mempunyai sistem audio. Bila tekan 'A'...ada suara 'A'. Jadi bayangkan proses nak menulis tesis/buku. Saya tabik spring pada Dr Syed.

Malang sekali khazanah ini terperap di Lasah. Ini yang saya cuba mengetengahkan sehingga kematu jari-jemari menaip komputer. Cakap pasal patriotisme, cakap pasal keperwiraan, cakap pasal sejarah....hanya sekadar cakap saja! Mengapa tidak agensi2 tertentu menjemput para wira seperti beliau walaupun bukan seorang penerima Anugerah Perkasa? Walaupun kecewa, saya bersyukur kerana berjaya melobi Perpustakaan Perlis dan Selangor menjemput beliau sebagai pengkisah (klik di sini). Saya telah melobi Perpustakaan Perak agar menjemput para veteran sebagai pengkisah. Berita mutakhir daripada seorang staf memaklumkan yang mereka akan mengundang beliau pada Januari 2014, wallahualam.

Dr Syed sekarang dalam proses mencetak buku memoirnya secara persendirian. Seperti saya juga, buku beliau mungkin tidak diedar di kedai2 buku: beli terus daripadanya. Saya harap para pembaca blog mejar pencen ini memberi sokongan kepada beliau dengan membeli bukunya apabila diterbitkan nanti.

Dr Syed Othman & Puan Habibah....Terima kasih.