Pengikut

Jumaat, 21 Mac 2014

xKomrad

Sambungan dari sini. Salah satu faktor membuatkan Chin Peng melancar insurgensi ke2 ialah dia percaya 'Teori Domino'. Beliau penuh yakin Vietnan Selatan akan jatuh kepada Vietnam Utara (1974) dan seterusnya Laos (1975) dan Kemboja (1975). Dengan jatuhnya Indo-China ke tangan komunis, Malaysia akan ikut bersama. Justeru, dengan penuh keyakinan, insurgensi komunis kedua dilancarkan dengan melakukan serang hendap di sini.

Tidak cukup dengan itu, pengganas komunis (PGK) nak ajar xkomrad yang berpaling tadah daripada meneruskan perjuangan mereka. Ia bermula di Sintok. Memetik Mej Mior Ahmad Noor dalam bukunya (kiri), PGK telah menembak Chen Kuan Yin dengan 3 das dan mayatnya telah dicampakkan dekat pos di Balai Polis lama Pekan Sintok. Mangsa dan suaminya, Li Chan Ki, adalah penduduk Sintok. Semasa insurgensi pertama, mereka merupakan PGK yang bergerak aktif di kawasan Sintok. Mereka berpindah ke kawasan Sadao pada masa pengunduran ke selatan Thailand satelah darurat tamat. Pada Disember 1961, mereka telah meninggalkan perjuangan komunis dan ditangkap oleh pasukan keselamatan (PK) Thailand. Mereka dikenakan hukuman penjara. Setelah menjalani hukuman, mereka yang dikatogerikan sebagai Musuh Menyerah Diri ( Surrendered Enemy Personnel [SEP]) telah pulang ke tanah air. Mereka mahu memulakan kehidupan baru dengan kembali pangkuan masyarakat di Sintork. Namun  bagi PKM, kedua suami-isteri ini dianggap sebagai pengkhianat perjuangan atau setidak-tidaknya pembelot. Jika sekiranya mereka tidak mahu berpatah balik ke perjuangan komunis, maka wajarlah menerima hukuman yang setimpal.

Semasa misi komunis untuk kembali semula, kedua-dua suami-isteri telah dihubungi bagi meneruskan perjuangan. Namun mereka tidak mahu lagi memberi kerjasama, malahan menganggap perjuangan mereka selama ini hanya sia-sia.  Mereka  mahu menjadi warga negara yang baik dan meneruskan kehidupan bagi membesarkan anak-anak mereka yang sememangnya rakyat Malaysia. Hasrat mereka menolak perjuangan komunis kerana mahu menjadi warga negara yang baik lagi bertanggungjawab telah mengundang kematian kepada Chen Kuan Yin. Lebih kurang pada jam 1900-2030, sekumpulan PGK seramai 5-8 orang yang diketuai oleh Chan Chee Yau yang bergerak di kawasan ini telah menemui penyokong-penyokong mereka di sebuah bangsal di tepi Sungai Badak. Sementara itu, 1 kumpula lain seramai 10 PGK (3 wanita) telah bertemu dan mengumpulkan seramai 30 orang pendudukdi bangsal kongsi balak yang berdekatan dengan rumah Chen Kuan Yin. Dalam perjumpaan tersebut, mereka telah menyelar pembelotan Chen dan suaminya. Kedua-dua suami-isteri itu telah dikutuk dan dianggap sebagai pembelot dan menjadi ejen kerajaaan. Maka dengan itu sewajarnyalah di ambil tindakan. Pada malam itu Chen ditembak mati, tetapi usaminya berjaya menyelamatkan diri.

Bersambung...InsyaAllah.

Rabu, 12 Mac 2014

Sintok

Bersambung dari sini. Sedikit tentang Sintok yang dipetik dari artikel Utusan Malaysia pada 2000 yang disiarkan oleh 'Zulsytem' (sapa tahu tarikh harap maklum saya).

"Sintok cukup strategik sebagai pangkalan aktiviti pengganas komunis di kawasan ini yang juga menjadi pintu masuk dari Thailand ke negara ini.

Di Sintok pada masa itu terdapat sebuah balai polis. Anggota polis di balai itu berfungsi hanya sebagai pengawas kepada pelombong dan pekerja balak.

Tugas mereka hanya terhad di kawasan balai sahaja. Bilangan anggota yang kecil dan kelengkapan senjata yang lemah membuatkan mereka tidak berupaya melawan kekuatan PKM.

Dalam sejarahnya, Sintok ditutup dua kali. Kali pertama apabila darurat diisytiharkan pada 1948 bila mana kawasan Sintok dikosongkan daripada sebarang kegiatan perlombongan dan pembalakan selama tiga tahun.

Apabila  keadaan kembali aman, lombong bijih timah dibuka semula pada 1952. Penduduk yang dahulunya berpindah keluar dibenarkan pulang. Dalam masa yang singkat kawasan Sintok, Sungai Badak dan Kachi dihuni oleh hampir 3,000 orang, sebahagian besarnya berketurunan Cina. Pembukaan semula Sintok memberi kesempatan baru kepada anggota PKM. Mereka mula menyusun semula strategi  keganasan dan menjadikan penduduk Sintok sebagai penyokong mereka. Balai Polis Sintok pada ketika itu berfungsi sebagai tempat membuat aduan dan mengawasi kegiatan penduduk Sintok untuk kes-kes biasa. Anggota-anggota polis memang sedar bahawa mereka sendiri adalah di bawah ancaman anggota PKM.

Apabila penduduk Sintok bertambah ramai dan PKM berjaya melakukan serangan hendap demi serangan hendap ke atas anggota keselamatan, PKM bertambah yakin bahawa mereka akan berjaya. PKM cuba menghidupkan kembali hubungan mereka dengan penduduk Sintok dengan menyebarkan berbagai-bagai propoganda.

PKM juga mengambil peluang untuk membuat dakyah dan menghasut pekerja supaya membenci kerajaan. Di samping itu mereka juga meminta supaya membekalkan makanan. Para pekerja lombong terpaksa melayan anggota PKM dengan baik".

'Zulsystem'....Terima kasih.

Bersambung, insyaAllah...

Isnin, 3 Mac 2014

Bermulanya Di Sini

Saya terima keratan akhbar 'The Straits Times' (7/8/1969) ini dari Dr Damanhuri. Jujur saya katakan, saya tak tahu pun yang Nuri telah ditembak buat pertama kalinya pada 6/8/1969. Saya ingatkan Nuri Brig Jen Dato' Abd Rahim TUDM (B) PGB di tembak di Weng pada  22/12/1974 adalah insiden pertama. Saya perlukan kisah ini untuk penyelidikan saya. Apa lagi, saya pun melilau le mencari butir-butir insiden tersebut; siapa krew, apa yang berlaku, apa kerosakan pada pesawat.

Dalam tercari-cari tu, terbaca tentang Sejarah 1 Renjer coretan Mej D. Swani dalamnya blog 7renjer.blogspot.com. Ia mengisahkan unit RAMD yang diletak di bawah 1 Renjer, kena serang hendap oleh pengganas komunis di Sintok yang mengakibatkan 6 warga unit tersebut terkorban dan beberapa lagi cedera angkara jerangkap samar pada 29 Julai 1969. Menurut beliau lagi, insiden ini adalah buat pertama kalinya dalam sejarah ATM anggota tentera menjadi mangsa jerangkap samar (saya masih menunggu pengesahan kenyataan tersebut).

Ini sudah menarik. Tapi, apa cerita sebenarnya kat Sintok? Buka buku 'Tentera Darat Menentang Insurgensi Komunis 1968-1989' dan 'Tentera Darat 1933-2008' tidak langsung menyentuh kisah ini. Buku 'Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia' oleh Mohd. Reduan Haji Asli ada mencatatkan tentang pembunuhan seorang wanita di Sintok, xpengganas komunis, oleh gerila komunis 24/7/69. Menurut beliau, pembunuhan ini juga merupa salah satu permulaan kebangkitan semula insurgensi oleh pengganas komunis.

Mana boleh habis begitu saja. Selidik punya selidik, saya difahamkan unit RAMD yang terlibat ialah 4 RAMD. Apa lagi, hubungi CO unit tersebut yang berpangkalan di Tapah. Depa pun poskan buku 'Gurkha Malaya' yang ada menceritakan sikit tentang kejadian tersebut. Malah dalam sajak di pembukaan buku itu, disebut jangan dilupakan insiden Sintok. Melalui mukabuku, saya telah bertanya sesiapa yang mengetahui kisah itu. Seorang squad-mate mencadangkan saya menghubungi seorang squad-mate yang ditukar ke 4 RAMD selepas kami ditauliahkan. Jadi, saya pun telefonlah beliau. Menurutnya, beliau adalah Ketua 'No 2' Platun, Kompeni 'A', 4 RAMD, yang terlibat dalam operasi berkenaan. Beliau menceritakan apa yang berlaku pada hari insiden tersebut.  Tidak habis di situ saja, saya menceritakan kisah ini kepada penyelia saya di UUM dan masalah yang dihadapi untuk mendapatkan butir2 insiden. Beliau meminjamkan buku 'Sintok: Perkembangan Sebuah Petempatan' oleh Mej Mior Ahmad Noor Mior Hamzah. Buku ini menceritakan pengalaman salah seorang daripada anggota yang terselamat semasa serang hendap tersebut semasa Majlis Pengkisahan di UUM pada 31/7/2004. Nama operasi terbabit ialah 'Ops Semai'. Ini juga yang disebut dalam 1 rencana di Utusan Malaysia pada 2000.

'Ops Semai' - 1 operasi menentang pencetusan insurgensi ke2; pertama kali anggota keselamatan menghadapi kewujudan musuh 'halimunan' (jerangkap samar); pertama kali Nuri ditembak; pelaksanaan  'Briggs Plan' dengan penempatan semula penduduk Sintok pada 1969. Apabila semua penduduk telah dipindahkan, pekan dan petempatan ini telah dibakar menjadi pada jarak padang terkukur dikendalikan oleh pasukan keselamatan yang mewakili pihak kerajaan. Objektif ialah untuk menghalang pengganas komunis mendapat bekalan makanan dan pelindungan. Penghijrahan semula apabila tertubuhnya UUM pada 1984. Tapi tidak mendapat tempat sewajarnya dalam sejarah!!!!

Bersambung....

Jumaat, 21 Februari 2014

Dataran Pahlawan

Baru-baru ini saya terima mesej daripada seorang pembaca, 'Eyna Razali'. Setelah membaca coretan di sini, beliau memaklumkan bahawa dreber ambulan berkenaan adalah arwah bapanya, 450764 L/Kpl Razali Bin Mohd Nor. Ketika insiden itu berlaku, bapanya bertugas di Batalion Kedua Kor Perubatan, Kem Kinrara, Selangor. Bersama ibu dan kakak, mereka telah pergi ke Pangkalan Hulu minggu sudah untuk melihat plaq  tapi kecewa kerana tak jumpa. Memang le tak ada kerana plaq tu ada di Muzium TDM di Port Dickson.

Sebenonya, sebelum ini saya juga tertanya-tanya mengapa ambulan tersebut perlu dieskot sekiranya ia adalah ambulan awam? Kan komunis nak hentam orang awam yang sakit kut. Saya telah bertanya kepada muzium siapa 2 orang awam tersebut tapi siapa pun tidak dapat memberitahu sehingga Eyna Razali memaklumkannya. Bila ditanya siapa bersama ayahnya, beliau tidak tahu. Menurutnya lagi, arwah bapanya menggantikan rakan yang sepatutnya membawa ambulan pada hari itu. Tetapi kerana rakannya itu ada sesuatu yang tak dapat dielakkan, maka bapanya ambil alih tugas tersebut.

Saya telah menghubungi seorang kurator muzium TDM tentang arwah itu.  Beliau memaklumkan bahawa sekarang ini mereka sedang menyenaraikan nama-nama wira ATM yang terkorban semenjak Perang Dunia Ke2 lagi untuk diabadikan di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Saya percaya pembukaannya pada 31 Julai 2014 sempena Hari Pahlawan.Tidak lama kemudian, kurator telah memaklumkan bahawa nama arwah termasuk dalam senarai wira2 tersebut. Beliau tidak tahu yang arwah adalah dreber ambulan dalam insiden serang hendap tersebut. Saya telah memaklumkan kepada Eyna Razali tentang kedudukan terkini.

Saya harap sesiapa yang ada masalah seperti di atas, hubungilah Muzium TDM secepat mungkin. Setelah mendapat pengesahan, saya percaya nama2 mereka akan terpahat di Dataran Pahlawan itu nanti, inyaAllah. Semasa bertemu dengan PTU pada 19/2/14 di Rumah Tetamu, KTU, sempena lawatan beliau, Tan Sri memaklum nama wira2 TUDM yang telah diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk dipahatkan di Dataran Pahlawan ialah mereka yang terkorban dalam insiden 26/4/1976. Mereka ialah mendiang Kapt (U) Choo YB, arwah Kapt (U) Mustapha Kamal, arwah Lt (U) Wan Munsiff, mendiang Lt (U) Chung MT dan Sjn Leong. 

Memang satu kepuasan dapat membantu keluarga arwah Razali, syukur alhamdulillah.

Rabu, 12 Februari 2014

Sumber Prima

8/2/14, Sabtu jam 0800... Pandu le bersendirian ke KL. Objektif pemergian ada kaitan dengan coretan di sini.  Saya telah membuat temu janji dengan Jen Tan Sri Hashim Ali, xPAT, di The Mine Golf Club pada jam 1500. Terpaksa tolak awal kerana saya dah memang tak tahu sangat jalan di Lembah Klang. Memang betul pun, berpusing2 untuk tiba di kelab. Namun demikian, tepat jam 1500 saya dah terpacak kat lokasi. Tidak lama kemudian, Tan Sri pun tiba le.

Bersama Jen Tan Sri  Hashim Ali. Beliau adalah salah seorang daripada 3 delegasi Malaysia yang menantangani Perjanjian Perdamaian dengan PKM pada 2/12/1989 di Hotel Lee Gardens, Hatyai

9/2/14, Ahad, jam 0530...Pandu pula dari rumah adik di Subang ke Ampang Jaya untuk menemuramah Lt Jen Dato' Nawi Alias, xKS ATM. Berpusing2 nak mencari Taman TAR sebelum ke Ampang Jaya. Syukur alhamdulillah, terpacak di depan rumahnya pada jam 0730 seperti yang dijanji.

Bersama Dato' Nawi. Bos saya selama 6 bulan di No 3 Skn, TUDM Butterworth. Beliau yang membuat kertas kerja pembelian 20 Nuri tambahan & perancang penubuhan skuadron komposit. Salah seorang pelopor Nuri

Dari Ampang Jaya, kelang kabut pula nak cari Kampung Melayu Ampang. Orang lama macam saya ini berpegang kepada peribahasa Melayu...Segan bertanya, sesat jalan. Jadi, bertanya sana, bertanya sini, akhirnya tiba di distinasi 30 minit lebih awal. Jam 1130, bersembanglah dengan Supt Syed Ali Zainal Abiddin, xCO 19 PPH (Senoi Praq). 

Bersama Supt Syed Ali Zainal. Pelopor pasukan Senoi Praq dan Ops Bamboo 

10/2/14, Isnin, jam 1200...Pandu ke Bukit Damansara (BD) untuk temu janji dengan AVM Tan Sri Sulaiman Sujak pada jam 1500. Saya tak pernah pergi ke BD. Jam 1230 dah jumpa rumah. Jadi, sementera menunggu, melepak kat Masjid Saidina Ali.

Bersama AVM Tan Sri Sulaiman Sujak. Saya terima 'sayap' darinya. Pembelian Nuri semasa beliau menjawat PTU. Beliau adalah anak Malaysia pertama menerajui TUDM

Selepas solat zuhur dan sebelum memandu ke rumah Tan Sri, rakan seperjuangan telah datang ke masjid untuk bertemu saya. Saya sungguh menghargai kehadiran beliau.

Bersama Kol Zainal Piee TUDM di Masjid Saidina Ali. Beliau meminjamkan buku "Tentera Darat 1933-2008"

Lebih kurang jam 1700, setelah berakhir sesi bersama Tan Sri, saya pun pandu le balik ke Jitra. Tiba pada jam 2200, syukur alhamdulillah. 

Tan Sri Hashim Ali dan Tan Sri Sulaiman memang saya kenal, tapi, masalahnya, mana le mereka nak kenal saya...He...He...He. Manakala saya hanya mendengar nama Supt Syed Ali Zainal apabila bertanya tentang Ops Bamboo.

Letih memang letih. Itu belum ambil kira kos yang semuanya Sdn Bhd. Tak apalah....Sendiri buat, sendiri tanggunglah. Apa pun, rumusan daripada temuramah tersebut ialah Nuri memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan memusnah kegiatan gerila komunis. Kehadirannya telah mengubah corak operasi pasukan keselamatan dalam misi menghapus pengganas komunis sehingga termeterainya Perjanjian Perdamaian pada 2/12/1989. Tidak ketinggalan, siburung besi ini turut menyumbang kepada proses pembangunan negara. Maklumat ini semua adalah 'sumber prima' untuk kajian saya.

Rabu, 5 Februari 2014

Dah Mengorak Langkah

Ini le orang kata, tak ada susah nak cari susah. I don't know what I'm getting into. Sudah dalam comfort zone, gatai pergi mohon mengikuti program PhD di UUM, Sintok. Depa lulus permohonan tu...

Surat Tawaran UUM

Kajian saya ialah, tak lain tak bukan, tentang 'Burung Besi', iaitu "Peranan Helikopter Nuri Di Era Insurgensi Di Semenanjung Malaysia 1968-1989". 

5/2/14, selepas 9-lubang dengan geng golf, saya pun pergi le ke UUM untuk mendaftar. Semalam dah kredit RM3984 dalam akaun UUM.

Sempat berposing lagi 

Bersama 'supervisor' Prof Madya Rohani (tengah)

Tak tahu le saya sama ada boleh meneruskan pengajian itu nanti. Kalau ada rezeki berjaya, syukur alhamdulillah. Jika tidak, tak apa, dah tak ada rezeki. Sekurang-kurangnya saya mencuba dan berusaha, Allah menentukan, wallahualam. Paling utama pada saya ialah tarik troli dengan members. PhD secondary saja. Objektif utama saya ialah agar peranan Nuri didokumentasi untuk dijadikan bahan rujukan nanti, itu saja. Bukannya kerana insentif kewangan atau pangkat-darjat. Semua  kos sendirian berhad; tiada sebarang tajaan. Tak ada apa yang nak dikejo sekarang ini.  

Gaya penulisan 'talking writing' saya tu mana boleh dipakai untuk program ini. Sekarang ni kena tulis secara 'academic'. Masalah....Memang masalah beso! Kena le mengikuti kursus 'Research Methodology' dan 'Academic Writing'. Anyway, I'll try to do my best, insyaAllah.

Selasa, 21 Januari 2014

Proposal

Dah nak masuk hampir 2 minggu saya duduk depan komputer menaip 'proposal' tentang peranan Nuri di era kebangkinan semula pemberontakan bersenjata PKM. Menurut beberapa buku, aktiviti tersebut bermula apabila PKM melancar serang hendap terhadap PPH di jalan Kroh-Betang pada 17/7/68. Muzium PDRM telah menghantar kisah hitam itu..
Dengan penuh keyakinan yang mereka telah bersedia, kumpulan bersenjata PKM telah melancar serang hendap terhadap konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam perjalanan dari Kroh (Pangkalan Hulu) ke Betong pada 17 Jun 1968 lebih kurang jam 5.00 petang. Unit terlibat ialah Strike Force daripada Platun 11 Batalion 1, Kompeni C, PPH Ulu Kinta dan Platun 11 Batalion 2 untuk tugas menjalankan tugas “Ops Sawadee Salam”.  Sebelum itu, Platun 11, Batalion 2, PPH Ulu Kinta, yang diketuai oleh ASP G/3067 Tan Hun Tiong (Johnny) bersama enam orang anggota telah bergerak ke setor di Sungai Petani untuk mengambil kawat duri untuk dibawa ke Tek di Betong. Kemudiannya bergabung bersama pasukan Strike Force yang bermalam di Pangkalan Batalion 19 PPH, Kroh.
Maklumat awal mengatakan ada ura-ura pihak komunis akan menyerang Tek PPH di Betong. Atas sebab itu, pasukan bantuan dan kawat duri diperlukan untuk mengukuh pertahanan. Setelah semuanya berkumpul di Pangkalan Batalion 19, Kroh, konvoi mula bergerak dengan didahului oleh Inspektor Malik diikuti oleh tiga buah lori yang turut dimuatkan dengan katil tambahan untuk dibawa ke Tek Betong dan di belakang sekali adalah lori tanpa bumbung yang sarat dengan kawat duri dinaiki oleh ASP Tan Hun Tiong bersama anggotanya. Apabila sampai di pekan Kroh, Inspektor Malik telah berhenti untuk membeli barang keperluan dan minta supaya ASP Tan bergerak dahulu.
Sebaik sahaja lori ASP Tan melepasi sempadan, kedengaran deruan kenderaan konvoi yang berada di belakang telah  semakin hampir. Dengan tidak semena-mena, ketika itu  juga terdengar tembakan bertalu-talu ke arah konvoi Inspektor Malik. ASP Tan dan anak buahnya dengan pantas melompat turun dari lori mengambil kedudukan berlindung. PC Low Teng (pemandu lori), tanpa berlengah, telah memecut lori seorang diri menuju ke Tek Betong untuk meminta bantuan.  ASP Tan dan anggotanya terus dihujani peluru sehingga tidak dapat memberi bantuan kepada Inspector Malik, sungguh pun jaraknya begitu hampir. Walaupun tiada tempat  untuk berlindung dan ditembak dari arah kiri dan kanan bukit, mereka terus melawan. Akhirnya, satu persatu anggota konvoi rebah ke bumi. Kedudukan musuh amat strategik kerana berada di atas tiga buah bukit dan menyerang sewaktu konvoi melalui selekoh tajam.
Beberapa minit kemudian, satu platun dari Tek Betong, diketuai oleh Sarjan Isam Bin Long, telah tiba untuk memberi bantuan tetapi segala-galanya telah terlambat. Pada waktu itu, yang tinggal hanyalah mayat yang bergelimpangan dan anggota-aggota yang menagalami kecedaraan parah. Kejadian ini telah mengorbankan 16 orang. Manakala, 16 orang yang lain telah mendapat kecederaan, sementara Inspektor Malik mengalami cedera parah.  
Muzium PDRM....Terima kasih.