Pengikut

Jumaat, 2 Mei 2014

'Upgrade'

Sambungan dari sini...

Apabila dimaklumkan oleh kru tentang insiden tersebut, Bilik Gerakan Pangkalan, TUDM Kuantan, terus menghubungi Bilik Gerakan N0 10 Skn. Kelam kabut juga dibuatnya. Manakan tidak, ini adalah kali pertama Nuri ditembak oleh pengganas komunis (PGK). Jadi, bos, Sqn Ldr Benjamin Lee, sendiri akan pergi ke Changlun untuk buat 'recovery'; ko-pilot ialah P/Offr Harun Ayob & AQM ????. Setelah spares (main rotor blade, 2 set radio) dimuatkan dalam pesawat FM1142, callsign 'Mission 229', berlepas dari Kuantan ke Chanlun bersama juruteknik.

Setiba di Changlun, juruteknik menjalankan tugas mereka menggantikan rotor blade dan radio. Setelah semuanya beres, kedua-dua pesawat telah terbang ke TUDM Alor Setar untuk bermalam. Keesokan hari, 7/8/69, barulah air test dibuat oleh kru FM1740. Setelah disahkan pesawat OK, kedua-dua pesawat terbang balik ke sangkar mereka di Kuantan. Menurut seorang ko-pilot, selepas insiden tersebut, Bailey akan membawa sekeping besi untuk diletakkan atas seat bila terbang ke LPs.

Apa kesan insiden ini? Nuri sekarang terdedah kepada tembakan musuh dan peralatan yang ada pula tidak menjamin keselamatan kru. Bagi mengurangkan kecelakan ke atas kru, 'pilot seats' dan 'lower side windows' ditukar dengan material kalis peluru.
'Lower Observation Window' diganti dengan material kalis peluru

Seats diganti dengan 'armour-plated seats' (Nuri sekarang dah diupgrade dengan 'glass-cockpit')

Seats 'ori'

Apa implikasi pemasangan alatan ini? Ia mengurangkan 'payload' yang boleh ditawarkan. Kalau tak silap saya, untuk pengiraan 'basic wt' bagi Nuri 'ori, ialah 12500 lbs. Dengan tambahan baru ni, basic wt meningkat kepada 13000 lbs. Tambahan 500 lbs bersamaan dengan berat 2 orang 'full-battle' askar. Sebagai panduan, berat seorang askar dikira 220 lbs. 

Op Semai turut melibatkan 3 buah meriam yang ditempatkan di Sintok. GPOnya ialah Lt M Rahman Abdullah. Saya pula adalah GPO di Kebun Jati, Padang Besar,Perlis. Kami berdua dari pasukan 3 Meriam, Taiping. Dari apa yang saya kutip sana-sini, unit-unit yang terlibat dalam operasi ini ialah (gelaran pasukan TDM sebelum bergelar 'Diraja' kecuali RAMD):
  • 4 RAMD
  • 1 Renjer
  • B Sqn, 1 Peninjau  
  • A Bty, 3 Arty
  • 1 PPH
  • Tim Pemusnah JS, 3 Skn Jurutera
  • 1 Alouette & 1 Nuri (hanya bila diperlukan saja)
Bersambung.....Insyaallah

Khamis, 24 April 2014

'Bang...Bang...Bang...'

Sambungan dari sini. 

6/8/69....


Jam ~ 0500, No 10 Skn, TUDM Kuantan. Juru teknik sibuk menyediakan FM1140 untuk penerbangan pagi itu.

Jam ~ 0530 - Sjn Ramly Bin Hassan, AQM, tiba untuk menentukan semua peralatan, seperti fuel pump, survival packs, 'Mae West' life jackets, lubrication dan hydraulic oils, ada dalam pesawat. Beliau kemudian panjat Nuri untuk membuat pemeriksaan.

Jam ~ 0600 - Flying Officer David Bailey (pilot RAF yang dipinjamkan kepada TUDM), kapten pesawat, dan Lt Richard Jalleh, ko-pilot, tiba di skuadron. David pergi ke pejabat 'Line' untuk memeriksa dokumen sebelum menandatanganinya sebagai menerima Nuri tersebut untuk tugas hari itu. Manakala Richard pula membuat pemeriksaan ke atas Nuri.

Jam ~ 0700 - Nuri pun berlepas dari Kuantan ke Changlun untuk tugasan ulang bekal kepada 1 PPH di Sadao.

Jam ~ 0900 - Nuri tiba di Changlun dan enjin dimatikan. Kru diberi taklimat oleh pihak Pasukan Keselamatan (PK). Selepas itu, Nuri berlepas untuk ke LP pertama.

Konstabel Ismail 'Rantai' (bersara Sub-Inspektor)  ditugaskan sebagai 'marshaller' di LP. Ketika Nuri 'on final' untuk mendarat, Ismail terdengar 'bang...bang...bang'  dan beliau melihat Nuri 'overshoot'. Nuri telah ditembak oleh pengganas komunis  (PGK). Terdapat peluru yang menembusi 'lower side window' di sebelah kanan dan kena 'seat' kapten. Oh mak datuk, terkejut betul kapten sehingga terlepas 'controls' (collective dan cyclic). Mujurlah Richard dengan pantas mengambil alih control sebelum menyerahkannya semula kepada kapten.

Mereka mendarat di gelanggang bola keranjang sebuah sekolah Cina di Changlun. Setelah membuat pemeriksaan, terdapat 18 lubang di Nuri. 2 butir peluru kena 'main rotor blade' sehingga BIM (blade indicator method) menjadi merah. Ini membuktikan ges nitrogen dalam 'spar' telah meresap keluar. Ges ini digunakan bagi mengesan sekiranya terdapat rekahan kepada rotor blades.

Selain itu, peluru telah menembusi 'nose compartment' sehingga 2 daripada 3 set radio (VHF, UHF & HF), dihinggap peluru dan tidak berfungsi lagi. Turut dicium oleh peluru ialah sponson di sebelah kanan dan seat steps.

Menurut Richard, beliau memang gementar. Selepas pemeriksaan dibuat, No 10 Skn dihubungi. Sementara menuggu 'recovery', beliau telah pergi ke sebuah restoran Cina berdekatan dan order 'hot beer' bagi menghilangkan perasaan gementar itu.

'Jam-jam' hanyalah andaian saya kerana tidak mendapat kepastian apa makna 'pagi' daripada mereka yang terbabit. Saya telah menghubungi Lt Kol Richard Jalleh TUDM (B) yang kini menetap di Perth, Australia, PW 1 Ramly Hassan di Pahang, dan Ismail 'Rantai' di Melaka.

Bersambung...

Ahad, 13 April 2014

Gugur

Sambungan dari sini....

Serangan hendap yang berlaku pada petang tersebut tidak mendapat sebarang bantuan. Tuan Hj Mohd Isnan seterusnya menceritakan, setelah beliau terjatuh ke bawah tebing, dalam keadaan yang cedera beliau berusaha membalut luka di sebelah perut kirinya dangan "field dressing" yang dibekalkan kepada setiap anggota pasukan keselamatan yang membuat tugas operasi. Setelah itu beliau bergerak ke arah kawannya Pbt Khalid bagi memberi banrtuan.Namun beliau tidak boleh berbuat apa kerana Pbt Khalid telah terkorban. Beliau mencari perlindungan di bawah  pokok di atas tebing dengan meninggalkan mayat Pbt Khalid. Sepanjang malam tersebut beliau berlindung di bawah pokok menanti bantuan tiba atau  sebarang tindak balas dari gerila PKM. Pada besok harinya beliau telah menyusur sungai dan menjumpai kesemua jenazah kawan-kawannya.

Keesokan hari, seorang anggota seksyen yang terselamat, 17738 Pbt Yahya Jaafar, berjaya balik ke pangkalan di Sintok untuk memberitahu tentang kejadian tersebut. Ketua Kompeni telah mengarah Lt M Mohd Hassan dan anggota platun mengirinya pergi ke lokasi serang hendap. Walaupun Pbt Yahya Jaafar tidak perlu ikut bersama, namun beliau tetap mahu pergi ke lokasi. Menurut Lt M Mohd Hassan, apabila tiba di lokasi, 4 jenazah dilonggok secara bertindih di atas jalan. Ketika anggota platun, termasuk Pbt Yahya Jaafar, hendak mengangkat jenazah, tiba-tiba terdengar bunyi satu letupan. Pengganas komunis telah meletak grenad tangan di antara tindisan mayat dan meletup apabila mayat diangkat. Letupan ini mengakibatkan Pbt Yahya Jaafar cedera parah dan meninggal dalam perjalanan ke hospital.

Apabila semua mayat akhirnya berjaya dibawa keluar dari kawasan tersebut, Lt M Mohd Hassan diarahkan untuk membuat 'search' di atas bukit. Beliau ditegah daripada mengguna jalan untuk mendaki bukit. Di belakang beliau dan platunnya, ada platun lain. Semasa mendaki bukit itu, 16585 L/Kpl Daud bin Othman (anggota platun di belakang Lt M Mohd Hassan), telah terpijak jerangkap samar dan terkorban. Lt M Mohd Hassan dan anggotanya berjaya ke lokasi di mana pengganas komunis melakukan serang hendap tersebut. Pada perkiraannya, serang hendap ini melibatkan lebih kurang 30-40 musuh.

Selain 6 terkorban dan 6 cedera,  4 RAMD juga telah kehilangan 2 laras senapang 'SLR', 1 laras 'SMG' dan 1 laras HBSLR. Pengorbanan 4 RAMD terbalas apabila pasukan keselamatan melancar operasi untuk memburu musuh dan berjaya menembak mati 4 musuh dan seorang cedera.

Wira-wira yang gugur...

14502 KPL AHMAD BIN HUSSAIN (Ketua Seksyen)
L/KPL DAUD BIN OTHMAN (Pen Ketua Seksyen)
18625 PBT KHALID BIN ABU BAKAR  (Tinjau Pertama)
18626 PBT KASSIM@GHANI BIN SALLEH (No 2 LB/RIS)
18794 PBT ABDUL RANI BIN RAMLI (LB/RIS)
17738 PBT YAHYA JAAFAR (Tinjau ke2)

Wira-wira yang cedera...

10019 KPL MOHD NOOR
15450 PBT MOHD ABDUL
18262 PBT MOHD ISNAN
18969 PBT ABU BAKAR
17015 PBT SHAMSUDIN
18651 PBT WAN SAUPIL

Bersambung...InsyaAllah.

Ahad, 6 April 2014

4 Terkorban

Sambungan yang masih dipetik dari buku di sini.

Pada masa bergerak balik di sebelah petangnya, seksyen ini sentiasa berwaspada dan mempastikan jarak pergerakan. Ketika anggota seksyen ini menyeberangi jambatan kayu yang disebutkan di atas, mereka telah diserang hendap. Menurut  Tuan Hj Mohd Isnan bin Jumingan yang terlibat sama dalam peristiwa tersebut, tembakan bertubi-tubi oleh gerila komunis dari arah tebing telah membunuh peninjau pertama yang terkena tembakan di kaki dan kepalanya. Beliau yang menjadi peninjau kedua berusaha membalas tembakan tetapi kecundang apabila turut terkena peluru musuh di perut sebelah kiri dan bahagian tepi kepala. Kedua-dua mereka yang berada di atas tebing di seberang  jambatan telah terpelanting ke bawah tebing dan jatuh ke dalam sungai di sebelah hilir jambatan.

Dalam keadaan tercedera itu, beliau nampak ketua syeksen bersama dengan dua anggotanya yang berada di atas dan hujung jambatan membalas serangan gerila komunis sehinggalah mereka akhirnya turut terkorban. Manakala dua orang lagi anggota yang berada di belakang dipercayai tidak dapat bertindak dan mencari perlindungan. Oleh kerana kedudukan mereka yang terperangkap dalam serangan bertubi-tubi oleh kira-kira 30-40 anggota gerombolan komunis dari kedua-dua belah tebing dekat dengan jambatan itu dan juga oleh letupan jerangkap samar yang dipasang pada jambatan tersebut, menjadikan mereka berada dalam keadaan tidak boleh membuat serang balas  dengan berkesan. Akibatnya seramai empat anggota terkorban dan seorang  lagi cedera. Mereka yag terkorban ialah 14502 Kpl Ahmad bin Hussain 18625 Pbt Khalid bin Abu Bakar (peninjau pertama), 18626 Pbt Ghani bin Salleh, dan 18794 Pbt Abd Rani Ramli. Anggota yang tercedera ialah 18262 Pbt Mohd Isnan sendiri, iaitu peninjau kedua.

Tak sempat nak scan gambar Kpl Ahmad & Pbt Ghani dari buku 'Gurkha Malaya'...Al-Fatihah

Bersambung...InsyaAllah.

Isnin, 31 Mac 2014

Mula Meronda

Sambungan dari sini yang dipetik dari buku berkenaan.

Mengikut laporan polis yang dibuat oleh bapanya, Chen Tai yang ditemani oleh Chan Sau Chan, pada 25 Julai 1969 di Balai Polis Changlon bahawa pada malam kejadian itu seramai 4 orang komunis yang lengkap bersenjata telah merempuh masuk ke rumah Chen Kuan Yen. Mereka berjaya menangkap beliau dan telah menjerut lehernya dengan tali. Seterusnya mereka telah mengheret beliau keluar daripada rumah. Dalam suasana kelam kabut, Chen Kuan Yen tetap tidak melawan demi keselamatan dan nyawa anak-anaknya yang berumur antara empat ke sebelas tahun. Semasa kejadian itu juga suaminya dapat memboloskan diri. Selepas membawanya keluar daripada rumah itu, kira-kira pada jam 2100 mereka yang berada di dalam rumah dan seluruh penduduk Sintok mendengar tiga das bunyi tembakan senapang. Tamatlah riwayat seorang bekas komunis ditangan pihak komunis sendiri. Inilah yang diertikan bahawa perjuangan komunis tidak pernah mengenali erti kemanusiaan. Matlamat boleh mengatasi cara. Bagi komunis, perjuangan boleh mengatasi "darah-daging" sekalipun.

Susulan daripada laporan pembunuhan tersebut, pasukan keselamatan telah mengambil tindakan.Semasa peristiwa ini berlaku, pasukan keselamatan yang bertugas di sini (Sektor [kawasan] Changlon-Sintok-bukit Kayu Hitam) ialah 4 RAMD sejak 30 Jun1969. Batalion ini  berpangkalan di Kem Majidi, Johor. Dalam operasi ini mereka berpangkalan sementara di Changlon. Menurut squad-mate saya, Lt M Mohamad Hassan (B) (bersara Lt Kol), beliau adalah Ketua Platun No 2 Kompeni A. Ketua Platun 1 ialah Lt M Xxxx Xxx (ditauliah bersama kami) dan seorang sarjan sebagai Ketua Platun 3. Lokasi platun Mohamad Hassan ialah di tanah tinggi di sebelah kanan jalan selepas Changlon ke Sintok.

Ketua Kompeni ialah Kapt Xxxx. Pada hari kejadian tersebut, Ketua Platun No 1 telah diarahkan oleh Ketua Kompeni untuk membuat rondaan dan menyiasat kejadian tersebut bagi mengumpul maklumat. Xxxx Xxx telah menghantar satu seksyen, Seksyen 3 yang diketuai oleh Kpl Ahmad Hussain bersama-sama 6 anggota, untuk membuat rondaan di sekitar kawasan lombong milik Syarikat Badak Mines di kawasan Sungai Badak Dalam. Seksyen bergerak pada jam 1000 bagi melaksanakan tugas. Mereka telah mengguna laluan jalan lori balak untuk keluar meronda.

Ketika melintasi sebuah jambatan kayu di hulu sungai Sintok untuk menuju ke kawasan Sg Badak Dalam, mereka ternampak bangsal dan pondok-pondok di atas bukit dekat dengan jambatan tersebut. Mereka menyiasat dan mendapati pondok-pondok tersebut tidak didiami oleh penduduk. Setelah meneruskan perjalanan selama lebih daripada dua setengah jama, mereka telah sampai ke destinasi di kawasan kongsi di Sg Badak Dalam. Setelah selesai makan tengah hari, Ketua Seksyen membuat siasatan ke atas penduduk setempat. Manakala anggota lain membuat  pengawasan ke atas penduduk dan pondok usang mereka. Penduduk setempat memberi kerjasama dan ada seorang penduduk memberikan buah tembikai untuk dibawa balik. Tetapi mereka tidak menerimanya kerana buah itu terlalu  besar dan menyusahkan pergerakan. Setelah selesai membuat siasatan, mereka semua bergerak balik ke pangkalan sementara di Sintok dengan menggunakan laluan yang sama.

Bersambung...InsyaAllah.

Masih kelam-kabut menyediakan proposal. Tu sebab semua terbengkalai..He...He...He.

Jumaat, 21 Mac 2014

xKomrad

Sambungan dari sini. Salah satu faktor membuatkan Chin Peng melancar insurgensi ke2 ialah dia percaya 'Teori Domino'. Beliau penuh yakin Vietnan Selatan akan jatuh kepada Vietnam Utara (1974) dan seterusnya Laos (1975) dan Kemboja (1975). Dengan jatuhnya Indo-China ke tangan komunis, Malaysia akan ikut bersama. Justeru, dengan penuh keyakinan, insurgensi komunis kedua dilancarkan dengan melakukan serang hendap di sini.

Tidak cukup dengan itu, pengganas komunis (PGK) nak ajar xkomrad yang berpaling tadah daripada meneruskan perjuangan mereka. Ia bermula di Sintok. Memetik Mej Mior Ahmad Noor dalam bukunya (kiri), PGK telah menembak Chen Kuan Yin dengan 3 das dan mayatnya telah dicampakkan dekat pos di Balai Polis lama Pekan Sintok. Mangsa dan suaminya, Li Chan Ki, adalah penduduk Sintok. Semasa insurgensi pertama, mereka merupakan PGK yang bergerak aktif di kawasan Sintok. Mereka berpindah ke kawasan Sadao pada masa pengunduran ke selatan Thailand satelah darurat tamat. Pada Disember 1961, mereka telah meninggalkan perjuangan komunis dan ditangkap oleh pasukan keselamatan (PK) Thailand. Mereka dikenakan hukuman penjara. Setelah menjalani hukuman, mereka yang dikatogerikan sebagai Musuh Menyerah Diri ( Surrendered Enemy Personnel [SEP]) telah pulang ke tanah air. Mereka mahu memulakan kehidupan baru dengan kembali pangkuan masyarakat di Sintork. Namun  bagi PKM, kedua suami-isteri ini dianggap sebagai pengkhianat perjuangan atau setidak-tidaknya pembelot. Jika sekiranya mereka tidak mahu berpatah balik ke perjuangan komunis, maka wajarlah menerima hukuman yang setimpal.

Semasa misi komunis untuk kembali semula, kedua-dua suami-isteri telah dihubungi bagi meneruskan perjuangan. Namun mereka tidak mahu lagi memberi kerjasama, malahan menganggap perjuangan mereka selama ini hanya sia-sia.  Mereka  mahu menjadi warga negara yang baik dan meneruskan kehidupan bagi membesarkan anak-anak mereka yang sememangnya rakyat Malaysia. Hasrat mereka menolak perjuangan komunis kerana mahu menjadi warga negara yang baik lagi bertanggungjawab telah mengundang kematian kepada Chen Kuan Yin. Lebih kurang pada jam 1900-2030, sekumpulan PGK seramai 5-8 orang yang diketuai oleh Chan Chee Yau yang bergerak di kawasan ini telah menemui penyokong-penyokong mereka di sebuah bangsal di tepi Sungai Badak. Sementara itu, 1 kumpula lain seramai 10 PGK (3 wanita) telah bertemu dan mengumpulkan seramai 30 orang pendudukdi bangsal kongsi balak yang berdekatan dengan rumah Chen Kuan Yin. Dalam perjumpaan tersebut, mereka telah menyelar pembelotan Chen dan suaminya. Kedua-dua suami-isteri itu telah dikutuk dan dianggap sebagai pembelot dan menjadi ejen kerajaaan. Maka dengan itu sewajarnyalah di ambil tindakan. Pada malam itu Chen ditembak mati, tetapi usaminya berjaya menyelamatkan diri.

Bersambung...InsyaAllah.

Rabu, 12 Mac 2014

Sintok

Bersambung dari sini. Sedikit tentang Sintok yang dipetik dari artikel Utusan Malaysia pada 2000 yang disiarkan oleh 'Zulsytem' (sapa tahu tarikh harap maklum saya).

"Sintok cukup strategik sebagai pangkalan aktiviti pengganas komunis di kawasan ini yang juga menjadi pintu masuk dari Thailand ke negara ini.

Di Sintok pada masa itu terdapat sebuah balai polis. Anggota polis di balai itu berfungsi hanya sebagai pengawas kepada pelombong dan pekerja balak.

Tugas mereka hanya terhad di kawasan balai sahaja. Bilangan anggota yang kecil dan kelengkapan senjata yang lemah membuatkan mereka tidak berupaya melawan kekuatan PKM.

Dalam sejarahnya, Sintok ditutup dua kali. Kali pertama apabila darurat diisytiharkan pada 1948 bila mana kawasan Sintok dikosongkan daripada sebarang kegiatan perlombongan dan pembalakan selama tiga tahun.

Apabila  keadaan kembali aman, lombong bijih timah dibuka semula pada 1952. Penduduk yang dahulunya berpindah keluar dibenarkan pulang. Dalam masa yang singkat kawasan Sintok, Sungai Badak dan Kachi dihuni oleh hampir 3,000 orang, sebahagian besarnya berketurunan Cina. Pembukaan semula Sintok memberi kesempatan baru kepada anggota PKM. Mereka mula menyusun semula strategi  keganasan dan menjadikan penduduk Sintok sebagai penyokong mereka. Balai Polis Sintok pada ketika itu berfungsi sebagai tempat membuat aduan dan mengawasi kegiatan penduduk Sintok untuk kes-kes biasa. Anggota-anggota polis memang sedar bahawa mereka sendiri adalah di bawah ancaman anggota PKM.

Apabila penduduk Sintok bertambah ramai dan PKM berjaya melakukan serangan hendap demi serangan hendap ke atas anggota keselamatan, PKM bertambah yakin bahawa mereka akan berjaya. PKM cuba menghidupkan kembali hubungan mereka dengan penduduk Sintok dengan menyebarkan berbagai-bagai propoganda.

PKM juga mengambil peluang untuk membuat dakyah dan menghasut pekerja supaya membenci kerajaan. Di samping itu mereka juga meminta supaya membekalkan makanan. Para pekerja lombong terpaksa melayan anggota PKM dengan baik".

'Zulsystem'....Terima kasih.

Bersambung, insyaAllah...