Kursus asas komando.....saya? Betul ke ni? Apa 'dosa' yang telah saya lakukan sehingga menerima 'penghormatan' dari PTU sendiri mengarahkan saya mengikuti kursus tersebut?
Kebiasaannya, DTU (Departmen Tentera Udara) akan menghantar mesej memaklum seseorang anggota TUDM yang beliau dipilih untuk menghadiri sesuatu kursus. Ini tidak.....pejabat PTU sendiri telah menghubungi BO untuk memaklumkan kepada saya! Apa-apa komunikasi dengan BO mesti dicatat dalam Buku Log.
Umur dah 34 tahun......diarah ke Sg Udang untuk mengikuti kursus 3 bulan Asas Komando! Saya telah merayu kepada Pangwilud 2 (Panglima Wilayah Udara 2) semasa lawatan beliau ke Labuan agar saya dikecualikan dari mengikuti kursus tersebut. 'Saya tak boleh buat apa-apa', katanya, 'Itu arahan dari PTU sendiri'. Apa hendak dikatakan......dengan berat hati, tempah 'seat' dengan penerbangan berjadual C130 Hercules ke Kuala Lumpur.
Saya ada meluahkan perasaan ini kepada seorang kawan dan menceritakan penerbangan saya dengan PTU. Pada 28 Februari, 1983, saya menjemput PTU di Brunei untuk ke Labuan. Beliau sendiri menerbangkan nuri bersama saya. Setiba di Pengkalan Labuan, beliau bertanya 'How's my flying?'. Jawapan saya....'Dengan ASE (automatic stabilization equipment) on, apa masalahnya. Cuba ASE off?'. Terdiam PTU! .......'Padan muka kau. Celupar sangat mulut tu. Puji le sikit...dia tu PTU'...ketawa kawan saya. Mungkin penyebab tak rasmi!
Saya bukan keseorangan... 3 Lt Kol TUDM turut hadir. Mereka ialah Pegawai Memerintah (PM) TUDM Kluang, Penasihat Tentera (PT) kepada PTU, dan Pegawai Turus 1 (PT1) DTU. Kesemua kami adalah mantan pegawai TDM. Dari mereka, saya diberitahu bahawa PTU bercadang kami ditukar ke HANDAU (pasukan khas TUDM) apabila tamat kursus nanti . Jawapan rasmi.
Setibanya di kem komando, kami di tempatkan di Mes Pegawai. Keesokan hari, kami dibawa ke 'Point Batutu' - dalam kompleks Kem Sg Udang. Bukannya ada berek - kawasan lapang dikelilingi pokok-pokok dan anak sungai. Memang bersih. Biasalah, taklimat mengenai peraturan, apa yang boleh/tidak boleh dibuat, kemudahan-kemudahan, pembahagian 'buddy'. Buddy saya ialah seorang prebet dari RAMD. Ini bermakna kami akan bantu-membantu menyediakan khemah dengan 'ponco' untuk tidur. Bangun tidur, masukkan ponco dalam haversack. Bersihkan kawasan khemah.
Selepas taklimat saja, segala 'rambut' di badan dicukur - bulu roma tidaklah. Seterusnya arahan untuk membersih senjata M16. Saya tidak begitu mahir membuka/memasang M16. Semasa di MTD, kami mengguna SLR. Dalam TUDM pula, bukannya ada M16 persendirian untuk dibersihkan. Mujurlah ada buddy....beliau mengajar saya. Kemudahan? Satu kolah air untuk lebih kurang 100 orang. Buang air besar? Papan-papan diletak merentasi anak sungai.....macam manalah sungai tak tercemar! Terus terbantut.....seumur hidup saya tak pernah b#%^k dalam 'single file'. Segala peralatan yang bersinar hendaklah dibalut dengan plaster hitam.
Tiba masa makan. Berlarilah beberapa pelatih kerumah masak untuk membawa makanan. Kami dikecualikan dari tugas ini. Dari pemerhatian saya, dalam kem komando tidak boleh berjalan....jalan macam itek pulang petang apa tah lagi....lari...lari...! Sebelum makan, pemeriksaan kuku - mesti bersih. Nak makan pula, mesti ambil secukup mana yang anda boleh makan - tidak lebih tidak kurang. Kalau terlebih ambil, paksalah diri menghabiskannya; kalau kurang, kelaparanlah anda.
Apakah rasional arahan sebegini? Kebersihan tempat khemah dan tiada lebihan makanan - untuk tidak memberi gambaran kepada musuh yang anda telah berada disitu. Cukur segala rambut - untuk mengelak dari jangkitan penyakit. Ingat, komando beroperasi dengan anggota yang minima. Sekiranya anda berpenyakit, ini akan menjejaskan operasi. Cuci senjata - matilah kalau senjata 'jam' semasa berhadapan dengan pengganas komunis! Menggelapkan sinaran peralatan bagi mengelakkan PK mengesan kedudukan anda. Kemudahan b#%^k - tak tahu. Mungkin t^*i akan mengalir dibawa arus sungai..he...he.
Keesokan harinya...Pembukaan rasmi oleh Ketua Jurulatih (KJ). Kami, lebih kurang 100 orang dengan kelengkapan penuh - haversack, M16 - berhimpun di padang kawad. Rumusan apa yang diperkatakannya ialah lebihkurang '...anda dijemput tidak, dihalau tidak'! Habis sahaja, kami dibawa dengan trak-trak ke tepi pantai, mungkin 10 km dari kem. Berlari balek ke kem....! Sungguh seksa. Disini lagi saya melihat apa maknanya 'setiakawan'. Mereka membantu saya - ada yang mengambil M16, ada yang menggalas haversack. Sampai di kem, cuci senjata.
Sebelum makan tengah hari, dikehendaki panjat tali yang tergantung di pokok. Dari kami berempat, hanya saya tidak boleh panjat sehingga mencecah dahan. Tak sangka saya sungguh 'unfit' .....Sebagai denda, makan nasi dengan kuah tanpa lauk dan sayor sehingga saya boleh cecah dahan! Kawan-kawan dilarang memberi lauk/sayor mereka kepada saya.
Engkaulah apa kau fikirkan
Terkandung dalam pemikiran
Kau fikir boleh melakukan
Fikirkan boleh
Kerana lapar dan 'fikirkan boleh', saya akhir BERJAYA mencecah dahan. Makan malam berlauk.....wow!
Malam.......main bola di padang kawad - dalam gelap! Kami bernasib baik...kami ditugas untuk mengawal kem. Jurulatih kesihan melihat kami. Saya terlampau letih....buddy saya menolong memasang khemah. Solat qada zuhur, asar dan magrib pada tengah malam.
Tak malu saya katakan...... keesokan harinya saya mengangkat bendera putih dan memberitahu jurulatih yang saya mahu di RTU - return to unit! Bertahan 1 hari sahaja......! PT dan PT1 pula menerima 'arahan' balik atas alasan peribadi untuk beberapa hari. Tinggallah PM keseorangan untuk mempertahankan maruah TUDM. Terus saya menempah seat terbang balik ke Labuan. Malam itu menginap di Mes Pegawai TUDM Kuala Lumpur. Kebetulan ada tayangan filem 'Tarzan' yang dibintangi Bo Derek. Tengah seronok menonton Bo Derek, PT menalipon memberitahu bahawa PTU mengarahkan kami semua kembali ke Sg Udang. Beliau akan mengambil saya di Mes keesokan hari. Terduduk dibuatnya......Tarzan kemana.....Bo Derek hentah kemana...!
Ketawa besar PM melihat kami semula. Walaubagaimana pun, Komandan Pusat Latihan Komando, Kol Hasbullah (arwah terkorban berpangkat Brig Jen dalam nahas nuri dalam sungai di Sarawak) mengarahkan kami RTU selepas seminggu di sana. Arwah memberitahu kami yang PTU mahu beliau membenarkan kami terus mengikuti kursus sehingga tamat, walaupun kami tidak layak menerima Pisau dan Lanyard biru. Beliau bertegas dengan keputusannya menghantar kami RTU. Kami menjemput beliau makan tengah hari sebelum balik ke KL dengan teksi.
Diimbas kembali, dalam masa seminggu, banyak pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Ada juga yang melucukan. Semasa latihan 'section battle drill', sebagai section commander - koperal - saya telah memberi arahan lebih kurang berikut '.....section, musuh jam tiga setengah....(kedudukan musuh di arah kanan -permukaan jam pukul 3). Jurulatih menjerit '.....hoi, mana ada jam 'tiga setengah'....ketawa besar yang lain-lain. Saya difahamkan, daripada 100 orang, yang berjaya sehingga tamat kursus hanyalah lebih kurang 30 orang sahaja.
Kesan kepada saya sekembali ke Labuan? Kesian anak
buah saya. Hari Sabtu sahaja......Ketua Skn sendiri
mengetuai anggota skn berlari 5 km dan selepas itu panjat tali.Pembaca, saya tabik warga RGK - komando. Kekuatan physical dan mental mereka sungguh mengagumkan saya. Ingat lagi anggota komando yang terkorban di Bt Jenalik, Perak? Semangat beliau sungguh kental. Bukan semua boleh menganggotai pasukan komando. Malang sekali, kepewiraan mereka tidak dipaparkan kepada orang awam. Sebaliknya, rakyat Malaysia memuja keberanian hero-hero seperti Rambo.
Terpampang di Bilik Pengawal Kem Sg Udang - SIAPA RAGU-RAGU, PULANG.
3 ulasan:
muakakaakak... PTU Dato Mohd Taib ke tuan? But the best part is u uphold 'solat' even though qado... Zaman zaman tuh ashkar tak ramai yg jaga.. kene lak masa suntuk di Sg Udang.
x sangka ada juga yg diarah pegi kursus asas komando. setau saya ianya voluntary...
Mr Tulang
KL
Mr Tulang,
Memang benar pepatah Melayu 'kerana mulut badan binasa'. Sepatutnya saya puji all out...dah tentu dihantar ke luar negara untuk berkursus. He...He...He.
Catat Ulasan