20 Nov 2010...Saya terima buku ini daripada Lt Kol Basri Omar melalui Pos Laju.
Ia mengisahkan seorang pahlawan,
arwah Kapten Zainal Bin Abdul Rashid SP (gambar), Ketua Kompeni 'Alpha', 17 RAMD, yang terkorban dalam satu pertempuran, di mana lagi kalau tak bukan...
GUBIR, berhampiran dengan Sg Baho, sumber air dan mandi.
Pada pagi 15 Julai 1976, Kompeni A sungguh teruja kerana si
'burung besi' akan datang untuk menghantar, bukan sahaja catuan 'government issued', tetapi juga makanan tambahan (extra messing) yang ditempah oleh mereka dan surat-surat daripada yang tersayang. Tiba-tiba terdengar beberapa das tembakan dari arah tempat anggota beliau mengambil air. Kapten Zainal pasti tembakan tersebut adalah daripada musuh.
Beliau membuat keputusan untuk mengenal pasti punca tembakan tersebut. Dengan 4 orang anggota, Kpl Adnan, Pbt Awang, Pbt Ariffin dan Pbt Razali, dengan berhati-hati mereka telah pergi ke lokasi tersebut. Tanpa disedari oleh musuh yang jumlahnya lebih kurang 15 orang, pada jam 0845, Kapt Zainal mengarahkan anak buahnya untuk menyerang musuh. Beliau sendiri telah menembak mati 4 orang PK sebelum ditembak mati; anggota beliau berjaya membunuh 2 orang musuh. Tembak-menembak ini berlaku hampir 45 minit sebelum PK beredar. 4 orang wira ini bernasib baik kerana PK tidak mengetahui jumlah sebenar anggota Kapt Zainal. Ketika Kpl Adnan yang terpaka kembali ke pangkalan untuk melapor insiden ke Markas Taktikal dan meminta bantuan, Pbt Awang, Pbt Ariffin dan Pbt Razali menjaga jenazah Ketua Kompeni mereka. Mereka mendengar laungan PK kepada mereka..."Oi, Melayu...lebih baik lu orang serah diri...kalau tidak, kamu semua akan mati".
Platun 1 yang diketuai oleh Lt Mohd Yassin tiba di lokasi jam lebih kurang 1000, dan diikuti oleh Lt Abdul Rahman Yat, Ketua Platun 3. Walaubagaimana pun, musuh sudah beredar dari kawasan pertempuran. Hasil penggeledahan, mereka menemui 6 mayat PK dan dipercayai ramai yang tercedera. Antara senjata yang ditinggal oleh musuh termasuk selaras 60 mm mortar, M79, 4 laras carbibe, rifle 0.22, bom tangan dan patchet. Mereka beredar balik ke pangkalan pada jam 1200 membawa bersama jenazah arwah Kapt Zainal dan mayat musuh.
Dua buah Nuri tiba untuk membawa 7 'bodevacs' dan selamat mendarat di Kem Gubir pada jam kira-kira 1545. Arwah Kapten Zainal disemadikan di Pantai Remis, Perak, tempat kelahirannya. Arwah telah dinaikkan pangkat pangkuan Mejar mulai 1 Januari 1976. Arwah meninggalkan seorang isteri, Puan Azizah Binti Ismail dan 2 orang cahaya mata, Mohd Hazem Shah dan Nurulaini. Malang tidak berbau, pada 3 April 1977, Puan Azizah, Nurulaini dan anak saudaranya, terkorban dalam satu kemalangan jalan raya Tenang, Jalan Muar-Segamat, Johor (lebih kurang 10 km dari Bandar Segamat). Mohd Hazem, ketika itu berusia 3 tahun 7 bulan, terselamat dan ...menjadi yatim piatu. Beliau telah memilih untuk tinggal bersama Tok dan Pah di Pantai Remis.
Mohd Hazem menyertai Tingkatan 1 sebagai 'Budak Boy' pada 1986. Sekarang di mana beliau berada saya tidak ketahui...Wallahualam.
Saya masih ingat insiden ini dilaporkan dalam akhbar-akhbar. Apabila mengetahui nombor tenteranya,
410488 dan ditauliahkan pada 21 September 1968, baru saya teringat bahawa arwah adalah dari Intake 13 TJP. No tentera saya ialah
410316 dan saya berada di MTD daripada Mei 1967 hingga April 1969. Ini bermakna saya 'Senior Cadet' ketika beliau berada di MTD.
Di mana saya berada semasa insiden ini? Jawabnya buka Log Book...
Masa itu saya masih "D" cat...lebih kurang lesen "P" (dulu lesen "L")...tak boleh bawa trup, hanya layak bawa 'freights' dan 'ferry flights'. Mengikut Log Book, pada 18 Jul 1976, saya telah menerbangkan pesawat FM1716 dari Kuantan ke Butterworth dan terbang balik ke Kuantan dengan FM1703 pada hari yang sama. Ini bermakna Nuri yang membuat detasmen di TUDM Butterworth dan terlibat dalam ops di Gubir perlu diganti. Ketika itu, Skuadron Komposit masih belum wujud; Nuri hanya di No 10 Skuadron, TUDM Kuantan.
Saya difahamkan, baru-baru ini
17 RAMD telah membuat lawatan ke rumah arwah di Pantai Remis...
Inilah kali ke2 keluarga arwah diziarahi oleh pasukan di mana anaknya pernah berkhidmat selepas 34 tahun berlalu. Kali pertama semasa menyebadikan arwah Mejar Zainal. Pusara arwah dibersihkan dan ikuti dengan majlis tahlil. Adakah tindakan ini kemungkinan hasil surat saya ke Forum Utusan Malaysia? Kesan terhadap pusara
Leftenan Muda Abd Hamid Bin Ismail SP (410945) memang sudah terbukti di
sini. Sekiranya betul, OK jugalah coretan mejar pencen ni...Syukur Alhamdulillah. (Saya akan menyiarkan gambar pusara arwah Mejar Zainal sekiranya ada yang sudi menghantarkannya). Terfikir pula...Bagaimanakah agaknya pusara squad-mate saya, arwah
Leftenan Muda Razak Hussein SP, 8 RAMD, yang terkorban di Sarawak!
Para Veteran...Banyak lagi cerita wira-wira yang tidak diketahui umum. Tiadakah sesiapa yang sedia menulis kisah wira-wira seperti arwah
Lt M Abd Hamid Bin Ismail SP (410945), arwah Truper Rosli Bin Buang SP (19151), mendiang Kapten Mohan Chandran SP (200402), arwah Leftenan Kolonel Ahmad Bin Rashit PGB (410336) (difahamkan arwah dianugerah dua pingat PGB), arwah Renjer Isa Bin Hassan PGB (207770), Lans Koperal Mereng A/K Imang PGB (929393) dan ramai lagi. Saya tabik spring squad-mate saya,
Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B) yang telah mengabadikan pengalaman beliau melalui autobiografinya
"My Adventure". Sesiapa yang berminat dengan buku ini boleh menghubungi beliau di
012-2751171.
Buku "Pahlawan Gubir" diterbitkan oleh DBP pada 1994 berharga RM8.00 sahaja. Lt Kol Basri...Terima kasih.