Followers

Saturday, January 31, 2015

Nyaris Tak Ditembak!

Dah lama bebeno tak mencoret dalam blog ni. Kan apa, agak sibuk sikit dengan kajian tentang Burung Besi. Sekarang ni tengah memerah otak nak menulis draf  yang melibatkan misi casevac di waktu malam di Gubir pada 15 Mac 1986. Selalu tulis dalam bentuk 'talking-writing'...tut...tut... depa nak the so-called academic writing. Tercungap-cungap le jawabnya. Tapi, cuba tetap cuba...he...he...he.

Dalam satu insiden di kawasan operasi Ops Kota Charlie Delta, sejumlah 15 orang anggota Unit Combat Intelligence Squad (UCIS), 25 RAMD, telah membuat rondaan di luar kawasan pangkalan hadapan Hotel 1-Bar (H-) yang berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand pada 15 Mac 1986Anggota pertama yang berperanan sebagai peninjau, telah ternampak dua orang PGK dalam jarak kurang lebih 30-40 meter sedang memasang JS. Tindakan beliau seterusnya ialah menjerit mengenai kehadiran musuh di waktu yang sama mencari tempat untuk berlindung.  Jeritan itu membuat lain-lain anggota turut mencari tempat perlindung. Semasa mencari perlindungan, peninjau pertama telah terpijak JS yang mengakibatkan beliau mengalami cedera parah di kakinya manakala seorang lagi cedera di mata. Mangsa-mangsa terbabit ialah L/Kpl Ibrahim Bin Zainal dan Pbt Kamaruddin Bin Rauf. PGK pula berjaya meloloskan diri.
Sebuah Nuri dari No 3 Skuadron, TUDM Butterworth, telah ditugaskan untuk membawa dua orang mangsa terbabit  keluar dari lokasi kejadian ke Hospital Pulau Pinang dan diiringi oleh sebuah pesawat gempur Alouette 111. Nuri tersebut dikendalikan oleh Kapt (U) Revi Chandran TUDM (Revi Chandran), Lt (U) Tuan Mustapha Bin Tuan Hussin (Tuan Mustapha) (pembantu juruterbang), dua orang KU, F/Sjn Koey Hong Chen dan Sjn Jacob Oommen (Jacob Oommen), serta tiga orang anggota Paskau. Kru gunship pula dikendalikan oleh Kapt (U) Wan Baharuddin, Kapt (U) Norizan Bin Abu Bakar (Norizan) dan F/Sjn Azizan Bin Mat Saman. Kedua-dua pesawat berlepas dari Butterworth pada jam kurang lebih 6.00 petang yang ketika itu hujan lebat. Menurut Norizan, beliau percaya tugas dapat dilaksanakan pada petang itu juga dan kembali ke Butterworth sebelum jam 8.00 malam. Justeru, mereka mengejar masa untuk melaksanakan tugas casevac tersebut sementara waktu masih siang kerana gunship tidak boleh beroperasi di waktu malam. Dalam keadaan yang gelap adalah berbahaya bagi gunship mengiringi Nuri kerana jarak penglihatan yang terbatas. Penerbangan balik di waktu malam  ke Butterworth tidak menjadi masalah kerana beliau akan terbang formasi dengan mengekori Nuri.
Kedua-dua helikopter telah terbang terus ke lokasi kejadian. Namun demikian, mereka terpaksa membatalkan misi, sebaliknya terbang ke Gubir pada jam kurang lebih 7.30 malam disebabkan jarak penglihatan sangat terbatas dengan kehadiran kabus tebal di kawasan insiden JS tersebut. Ketika di Gubir, CO  menegaskan kepada kru bahawa kedua-dua mangsa telah kehilangan banyak darah dan UCIS telah kehabisan morfin untuk diberi kepada mereka bagi menahan kesakitan. Beliau menyuarakan harapannya kepada Revi Chandran dengan menyatakan “You are the captain of the aircraft Revi and I know the safety of the crew and the chopper is on your shoulder. But I really want you to try again and the get casualty out tonight”. Nuri telah berlepas dari Gubir  untuk kali kedua dalam usaha menyelamat dua orang mangsa pada jam kurang lebih 10.00 malam apabila kabus berkurangan. Jarak penglihatan bertambah baik dengan kehadiran cahaya bulan yang membantu kru melihat kontur permukaan bumi dan memudah navigasi ke lokasi walau pun awan di paras rendah. Penerbangan ini tidak diiringi oleh gunship. Norizan pula mengambil kesempatan untuk turut mengikuti penerbangan tersebut sebagai pemerhati.
Revi Chandran menghubungi terup apabila beliau menganggar berhampiran dengan lokasi kejadian melalui radio HF. Beliau telah meminta mereka menembak pistol very  (very pistol) bagi menentukan lokasi mereka. Norizan dan Jacob Oommen melihat suar dari arah kanan dan penglihatan ini telah dimaklumkan kepada Revi Chandran oleh Oommen. Ketika berada kurang lebih 100 kaki dari lokasi, kru ternampak banyak pergerakan cahaya berhampiran dengan lokasi terup yang memberi isyarat kepada pesawat lokasi terup. Revi Chandran menghubungi terup bagi memastikan cahaya itu berpunca dari mereka. Kru Nuri dimaklumkan bahawa mereka tidak menyalakan sebarang cahaya. Dengan penjelasan itu, Revi Chandran membuat keputusan untuk membatalkan sorti dan mendarat di Gubir hampir tengah malam. Beliau memaklumkan kepada CO mengenai penglihatan itu dan menyatakan bahawa beliau akan cuba mengambil kedua-dua mangsa pagi keesokan hari. Menurut CO, lokasi PK yang paling hampir dengan lokasi mangsa JS adalah kurang lebih 10 map squares. Beliau seterusnya mengarah ketua kompeni berhampiran untuk menghantar terup ke kawasan lokasi JS malam itu juga.
Pada keesokan hari, 16 Mac, kedua-dua helikopter telah berlepas dari Gubir sebaik sahaja matahari terbit dan setelah diberi taklimat mengenai kedudukan anggota PK yang berada di kawasan terbabit.  Seorang doktor dari pasukan tersebut turut dibawa bersama. Sebelum Nuri hover di lokasi berkenaan untuk mengambil kedua-dua mangsa, gunship yang dikendalikan oleh Norizan, telah membedil kawasan berhampiran. Nuri berjaya menaikkan mangsa-mangsa tersebut melalui kaedah winching dan mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang. Ketika dalam penerbangan, doktor telah menyuntik morfin kepada mereka berdua. Menurut Jacob, kedua-dua mangsa memaklumkan kepada beliau bahawa morel mereka adalah tinggi apabila menyedari Nuri telah cuba menyelamatkan mereka pada malam kejadian dan percaya Nuri akan mengambil keesokan hari. Gunship pula terbang balik ke Butterworth. Bagi Norizan, pengalaman mengikuti Nuri malam itu sebagai “...satu-satunya tugas yang agak mencabar”. 

Begitu le kisahnya.