Pengikut

Memaparkan catatan dengan label 1MALAYSIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 1MALAYSIA. Papar semua catatan

Jumaat, 30 Oktober 2009

1MALAYSIA ....MASIH ADA HARAPAN

Cerita Cik Pushpa masih belum tamat. Semasa bermain golf di UUM Golf Club, Sintok, pada 28 Oktober 2009, saya menerima panggilan talifon dari seorang Lt Kol Basri (B), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD). Beliau memberi tahu bahawa WO 2 Krishnan pernah berkhidmat di bawah beliau disuatu ketika dulu. Beliau berhasrat untuk membawa kisah ini kepada pengetahuan Ketua Jurutera (KJ) RAJD. Manalah tahu, mungkin KJ dapat membantu mantan warga Jurutera mereka. Syabas terhadap keprihatinan anda....!

Pada hari yang sama, Pushpa telah menghantar e-mel berikut kepada saya.

Subject: UNAND VS MAHSA

Sent: Wed, October 28, 2009 10:05:56 PM
From: Pushpagandhi Krishnan
To: nibsny@yahoo.com

hi uncle...

Uncle result interview MAHSA hanya akan dapat tahu pd 4 atau 5 november ini. Kalau dapat saya akan sambung di MAHSA. Sebenarnya saya memang nak sambung di UNAND tapi masalahnya sekarang course medicine dh jadi 6 tahun tak termasuk pre- medical dan sekarang menurut senior2 saya susah untuk masuk clinical years sebab tempat di hospital agak terhad dan student yang tak dapat masuk terpaksa tunggu lama untuk teruskan pengajian. Saya takut pengajian saya akan berlanjutan sampai 7 tahun. Kemudahan air masih terganggu dan hanya akan pulih dalam masa 2 bulan. Housemates saya pula semua nak sambung pengajian di Malaysia jadi kalau saya seorang sahaja yang belajar di sana saya terpaksa membayar sewa sebanyak RM 1500 bagi setiap bulan sebab kami dah kontrak rumah itu selama 2 tahun. Saya tak mampu uncle. Kalau kira semuanya, kos untuk saya belajar di UNAND hampir sama dengan dengan kos kalau saya belajar di MAHSA. Tapi kalau saya tak dapat tempat di MAHSA saya akan teruskan pengajian di UNAND. Ayah ada bagitau saya yang uncle msg Menteri Pertahanan tapi masih tidak mendapat sebarang jawapan. Saya amat berharap agar mendapat jawapan yang positif dan ditawarkan loan MINDEF. Thanx for everything uncle.

Pada 29 Oktober 2009, saya telah memajukan e-mel tersebut ke KEMENTAH untuk pertimbangan pihak berwajib, termasuk YB Menteri Pertahanan.

Subject: Fw: UNAND VS MAHSA
Sent: Thursday, October 29, 2009 6:44 AM
From: nor ibrahim sulaiman nibsny@yahoo.com]
To: Dato\' Zahid Hamidi; S/u Politik; Mininter of Def; KSU Indef
Cc: Pushpagandhi Krishnan

Assalamualaikum,

Bersama ini dimuat turunkan lampiran e-mel Cik Pushpagandhi yang jelas maksudnya. Di mana lagi kami yang kerdil ini boleh merayu sekiranya bukan KEMENTAH dan YB Menteri Pertahanan yang perihatin terhadap veteran seperti kami....! Ini termasuk rayuan penerima-penerima JPP, PTU dan KPK.

Pertimbangan pihak Dato'-Dato' sangat dihargai. Terima kasih.

Yang Benar,

MEJ NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B)

(Nota: Lampiran yang dimaksudkan ialah e-mel Cik Pushpa di atas)

Pada hari yang sama, 29 Oktober 2009, Syukur Alhamdulillah, walaupun sibuk menjalankan tugas rasmi, Dato' KSU dapat meluangkan masa untuk memberi respons kepada kerenah seorang insan kerdil ini.

Subject: RE: UNAND VS MAHSA

Sent: Thu, October 29, 2009 2:08:05 PM
From: Dato' Hj Abu Bakar bin Abdullah
To: nor ibrahim sulaiman ; Dato\' Zahid Hamidi ; S/u Politik ; Mininter of Def
Cc: Pushpagandhi Krishnan

Tuan,

Sukacita saya merujuk kepada perkara tersebut di atas.

 2. Untuk makluman tuan, Biasiswa Pra-Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan diwujudkan bagi memenuhi keperluan perjawatan pegawai ATM dalam bidang-bidang tertentu. Dua perkara utama yang menjadi pertimbangan Kementerian sebelum menentukan dasar penawaran biasiswa untuk setiap tahun adalah peruntukan kewangan tahun semasa dan unjuran keperluan perjawatan pegawai ATM. Buat masa ini, Kementerian sememangnya memerlukan pegawai perubatan untuk mengisi kekosongan yang terdapat di Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, ATM. Namun demikian, peruntukan kewangan yang terhad menyebabkan biasiswa yang boleh ditawarkan untuk setiap tahun hanya dalam bilangan yang kecil sahaja.

3. Bagi tahun 2009, peruntukan biasiswa sedia ada telah pun diperuntukkan sepenuhnya. Oleh yang demikian, Kementerian tidak mampu untuk membuat penajaan baru pada ketika ini kerana akan menjejaskan bayaran biasiswa kepada penuntut-penuntut yang sedang ditaja tersebut. Walaubagaimanapun, tawaran biasiswa ini dijangka akan dibuka semula pada tahun hadapan bergantung kepada keputusan dasar yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Biasiswa Pra-Perkhidmatan ATM, Kementerian Pertahanan setelah mengambilkira peruntukan tahun semasa dan unjuran keperluan perjawatan.

4. Sekiranya dibuka, Kementerian akan membuat pengiklanan di akhbar-akhbar utama dan di laman web Kementerian Pertahanan pada awal bulan Mei 2010. Permohonan hendaklah dibuat secara on-line dengan melayari laman web Kementerian iaitu http://www.mod.gov.my/ .

5. Syarat-syarat minimum permohonan yang akan dipertimbangkan adalah seperti berikut:

a) Telah mendapat tempat untuk pengajian tahun pertama di universiti. (tahun dua dan ke atas juga layak memohon).

b) Mencapai minimum gred B dalam subjek Biologi, Kimia, Fizik, Matematik dan Bahasa Inggeris di peringkat SPM.

c) Mencapai minimum gred 4B dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM.

d) Mencapai minimum CGPA 3.00 di peringkat Matrikulasi/Pra-Perubatan.

e) Bagi pelajar tahun dua ke atas, harus memperolehi CGPA 2.80 ke atas.

f) Tidak mempunyai penyakit kronik.

g) Body Mass Index : 17.5-26.9

 Selain dari itu, pelajar juga dikehendaki berkhidmat di dalam ATM selama 10 tahun setelah tamat pengajian.

6. Kementerian mengambil maklum dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pelajar disebabkan oleh bencana alam yang berlaku di Padang, Indonesia. Walau bagaimanapun, Kementerian perlu mematuhi dasar-dasar dan peraturan kewangan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa berhubung pengurusan Biasiswa Pra-Perkhidmatan ATM ini. Dengan mengambilkira penjelasan serta penerangan yang dinyatakan di para 3 di atas, Kementerian sangat mengalu-alukan mana-mana pelajar yang layak dan memenuhi syarat-syarat minimum di para 5 untuk memohon biasiswa ini pada tahun hadapan sekiranya dibuka untuk tawaran.

Sekian, terima kasih.

ABU BAKAR HAJI ABDULLAH
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PERTAHANAN

Sebagai penghargaan terhadap keprihatinan beliau, saya mengucapkan terima kasih kepadanya.

Re: UNAND VS MAHSA

Thu, October 29, 2009 2:41:59 PM
From: nor ibrahim sulaiman
To: Dato' Hj Abu Bakar bin Abdullah ; Dato\' Zahid Hamidi ; S/u Politik ; Mininter of Def
Cc: Pushpagandhi Krishnan  Assalamualaikum,

 Terima kasih kerana keprihatinan Dato' terhadap kes Cik Pushpaghandi. Saya akan mengesyorkan kepada beliau untuk memohon tajaan tersebut pada tahun hadapan.

Kerjasama Dato' sangat dihargai. Terima kasih.

 MEJ NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B)

Saya menghubungi Cik Pushpa sebaik sahaja menerima e-mel dari Dato' KSU. Saya mencadangkan agar beliau memohon PTPTN sepertimana yang ditawarkan oleh KPT pada 19 Oktober lalu untuk pengajian Tahun Pertama di IPTS. Beliau seterusnya boleh memohon biasiswa KEMENTAH bulan Mei 2010 nanti. Secara zahirnya, beliau memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki dan layak memohon.

Pada jam 1951, 29 Oktober, saya menerima sms dari Pushpa..."Saya dh baca dh uncle emel tu..saya memang cukup semua syarat..saya akn ikut cadangan yg uncle bg pd saya ptg td..terima kasih banyak uncle atas semua pertolongan uncle..". Ini adalah satu kepuasan yang tak ternilai harganya bagi saya...!!

PUSHPA...MASIH ADA HARAPAN LAGI!

Isnin, 26 Oktober 2009

1MALAYSIA ....TERPAKSA PULANG!

26 Oktober 2009, jam 0929, semasa menarik troli di lubang 18, saya menerima satu sms dari Cik Pushpaghandi '..Uncle say dh balik dr padang..skrg saya di kl untk interview di MAHSA esok..nanti lps saya habis interview saya akn msg uncle lg'.

Coretan ini adalah sambungan kepada '1MALAYSIA...1 DILEMA' yang mengisahkan seorang siswi Universiti Andalas. Pushpa telah terbang ke Padang pada 19 Oktober 2009 selepas mendengar taklimat oleh pegawai KPT di UPM di hari yang sama. Pada 22 Oktober, saya telah menalifon bapanya, WO 2 (B) Krishnan bertanya khabar tentang Pushpa. Menurut beliau, Pushpa memaklumkan kepada beliau bahawa keadaan di Padang memang tidak selesa untuk menyambung pengajian. Pihak universiti memberitahu bahawa pengajian 'perubatan' dilanjutkan ke 6 tahun, tidak lagi 5 tahun seperti kebiasaannya; malah ada kemungkinan sehingga 7 tahun! Ini sudah pasti melibatkan kos yang tinggi.

Masalah kedua pula, boleh dikatakan 90% siswa-siswi Malaysia tidak berhasrat untuk menyambung pengajian di sana, termasuk  rakan serumah anaknya. Untuk makluman, penuntut-penuntut kita menyewa rumah di Padang. Saya difahamkan, dalam kes Pushpa, beliau dan 5 rakan menyewa sebuah rumah dengan kadar RM1,500 sebulan. Setiap seorang hanya membayar RM250 sebulan sahaja. Masalahnya, kesemua rakan beliau membatalkan niat untuk meneruskan pengajian di sana. Ini bererti, beliau terpaksa membayar RM1,500 sebulan. Tambahan setahun pengajian dan sewa rumah sudah tentu melibatkan kos yang tinggi. En Krishnan meminta pandangan saya. Jawapan saya ialah'....terpulang kepada Pushpa dan beliau sendiri kerana beliau yang akan membiayai kos pengajian itu nanti!'

Sebelum terbang ke Padang, Pushpa memberitahu bahawa MAHSA menawarkan kepada penuntut-penuntut yang tamat 'pre-medic' boleh terus masuk ke Tahun Pertama di IPTS tersebut. Beliau telah mendaftar dengan MAHSA sebagai satu opsyen.

Keesokan hari, saya telah menghantar e-mel berikut kepada YB Menteri Pertahanan dan KSU KEMENTAH.

BIASISWA UNTUK KURSUS PERUBATAN

Fri, October 23, 2009 7:51:44 AM
From: nor ibrahim sulaiman nibsny@yahoo.com
To: Dato\' Zahid Hamidi ro.ppm@mod.gov.my; KSU Indef abubakar@mod.gov.my

Assalamualaikum Dato'-Dato',

Di sini saya ingin merayu agar KEMENTAH dapat mempertimbangan memberi biasiswa untuk seorang anak perempuan kepada PW2 (B) Krishnan, Kor Jutera Diraja, melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Pushpagandhi adalah siswa Tahun Pertama di Universiti Andalas (UA) atas biayaan bapanya, seorang penjual gas masak yang mengguna motosikal untuk menghantar gas ke rumah. Saya mengenali beliau kerana membeli gas darinya.

Pushpagandhi telah terbang balik ke Padang pada 19 Oktober 2009 selepas mendengar taklimat di UPM yang diberi oleh pegawai KPT di sebelah pagi. Saya difahamkan oleh En Krishnan, pihak UA memaklum kepada siswa-siswi mereka bahawa pengajian perubatan dilanjutkan sekurang-kurang 6 tahun, bukan lagi 5 tahun; ada kemungkinan 7 tahun! Ini sudah pasti melibatkan kos yang tinggi. Masalah kedua, kos penginapan tinggi kerana 'house-mates' beliau tidak berhasrat untuk meneruskan pengajian di sana. Ini bermakna beliau terpaksa membayar RM1600 sebulan untuk sewa rumah; sebelum ini hanya RM250 sahaja. Sebelum terbang ke Padang, Pushphaghandi telah mendaftar dengan IPTS sekiranya beliau terpaksa membatalkan pengajiannya di sana.

Sehingga kini, En Krishnan telah membelanja sejumlah RM73K untuk puteri beliau. Ini termasuk yuran 'pre-medic' dan Tahun Pertama, sewa rumah, dll. Mungkin jumlah ini hanya 'loose change' untuk sesetengah pihak, tetapi tidak bagi majoriti rakyat. Sebelum pemergian anaknya ke Padang pada 2008, saya ada mencadangkan kepada En Krishnan untuk memohon biasiswa KEMENTAH. Beliau diberitahu oleh pegawai KEMENTAH untuk memohon selepas lulus Tahun Pertama. Untuk 'pre-medic' dan Tahun Pertama tiada tajaan.

Walaupun Pushpaghandi hanya mendapat CGPA 3.88 sahaja untuk 'pre-medic'...tidakkah ini boleh dipertimbangkan? Saya ada menulis 2 coretan bertajuk "1Malaysia" dan "1Malaysia...1 Dilema" yang ada kaitan dengan Pushpaghandi dalam blog saya -xnuripilot.blogspot.com.

Pertimbangan Dato'-Dato' sangat saya hargai. Terima kasih.

MEJ (B) NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN

Pushpa, ini sahaja yang termampu uncle lakukan....!

Ahad, 18 Oktober 2009

1MALAYSIA ....1 DILEMA

Ingat lagi  coretan bertajuk "1Malaysia"? Coretan seterusnya....

Pada 15 Oktober 2009, semasa merarik troli golf, saya telah menerima panggilan talifon dari Encik Krishnan. Beliau menyatakan yang Kerajaan tidak menggalakkan penuntut-penuntut Tahun Pertama hingga Ketiga  dalam bidang perubatan di Universiti Andalas meneruskan pengajian mereka di Padang. Beliau  memberitahu bahawa saya adalah orang pertama beliau menalifon untuk mendapatkan pandangan.


Berikut adalah laporan Utusan Malaysia bertarikh  16 Oktober 2009...

Utusan
    Online

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 15 Okt. – Kerajaan bersetuju memberi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM150,000 setiap orang kepada pelajar Malaysia yang dihantar pulang dari Padang, Indonesia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, bantuan pinjaman tersebut bertujuan meringankan beban pelajar berkenaan khususnya mereka yang tidak mendapat tajaan kerajaan.

‘‘Kabinet telah buat keputusan untuk bantu pelajar dari Padang seperti menyerap mereka ke institusi pengajian tinggi tempatan awam atau swasta.

‘‘Kerajaan juga bersetuju untuk memberi pinjaman RM150,000 kepada pelajar yang tidak mendapat tajaan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menemui dan berdialog dengan lebih 100 pelajar Malaysia yang terjejas oleh gempa bumi di Padang, Sumatera di sini hari ini.

Sebanyak 330 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti di Padang telah dihantar pulang ke Malaysia akibat gempa bumi yang melanda wilayah itu.

Subramaniam berkata, kerajaan mendapati keadaan di Padang tidak lagi selamat untuk pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran.

‘‘Walaupun pihak universiti di Padang telah meminta supaya pelajar kita meneruskan pengajian di Indonesia, tetapi kita rasa keadaan di situ tidak sesuai,” katanya.

Encik Krishnan memberitahu yang beliau telah membelanja RM73K untuk puteri beliau, Pushpagandhi. Sekiranya beliau menerima cadangan Kerajaan, wang tersebut akan hangus! Mungkin bagi sesetengah pihak RM73K hanya 'loose change' sahaja, tetapi bukan untuk kebanyakan ibu-bapa. Itu adalah satu jumlah yang besar. Kos untuk mengikuti kursus perubatan di IPTS di Malaysia di anggar RM380K. PTPTN hanya mampu memberi pinjaman  RM150K sahaja. Ini bererti   ibu-bapa terpaksa menambah RM230K....! Mana nak cari ongkos sebegitu banyak?

Masalah kedua pula ialah.....anak beliau terpaksa mengikuti 'pre-medic' semula....! IPTS di sini tiada dasar 'pemindahan kredit'. Bayangkan.....pengajian setahun di Padang hanya sia-sia sahaja! 

Pendangan saya kepada beliau ialah sekiranya Pushpa bersetuju, teruskan pengajian di Padang. Rasionalnya masih sama....malapetaka boleh berlaku di mana-mana saja! Lagi pula, saya pasti siswa-siswi dari Indonesia juga akan meneruskan pengajian mereka di sana walaupun terpaksa mengikuti kuliah di bawah khemah. Mereka boleh...mengapa tidak kita? Sekiranya berjaya menamatkan kursus itu nanti, beliau boleh berbangga yang beliau mempunyai kekuatan mental semasa menghadapi dugaan yang sungguh mencabar. Bukan calang-calang orang yang sanggup berhadapan dengan keadaan sedemikian. Saya juga difahamkan seorang anak perempuan arwah kariah di tempat tinggal saya sekarang ini, juga akan meneruskan pengajian beliau di Universiti Andalas. Syabas...!

Pada pagi 16 Oktober 2009, sekali lagi saya telah menalifon Encik Krishnan untuk mendapat berita mutakhir  dan untuk mengucapkan 'Selamat Menyambut Deepavali' kepada beliau dan keluarga. Beliau menyatakan bahawa anaknya telah membuat keputusan untuk terbang ke Padang selepas mendengar taklimat oleh KPT di UPM pada 19 Oktober 2009 nanti.

Pada saya, itu satu keputusan yang bijak.
  

Sabtu, 10 Oktober 2009

1MALAYSIA


Gambar di muka hadapan akhbar 'NEW STRAITS TIMES' bertarikh 3 Oktober, 2009. Gambar menunjukkan diantara sejumlah dari 323 penuntut-penuntut Malaysia di Padang, Sumatera diterbang balik ke Malaysia dengan pesawat TUDM C130 Hercules.

Apabila melihat gambar ini, saya terpanggil untuk menelifon seorang kenalan, WO 2 (B)  Krishnan a/l Andy dari Kor Jurutera, untuk bertanyakan tentang anak perempuan beliau, Pushpagandhi. Secara kebetulan, anak beliau yang menjawab. Beliau menyatakan yang beliau berada di rumah bapanya di Jitra sekembali dari Padang dengan pesawat TUDM. Beliau tidak menerima sms yang saya hantar sebaik saja melapetaka gempa bumi menimpa Padang kerana bateri telefon beliau tidak boleh dicaj disebabkan ketiadaan elektrik. Walaubagaimana pun, Syukur Alhamdulillah, beliau selamat.

Saya berasa bertanggungjawab kerana remaja tersebut melanjutkan pelajaran di Padang atas saranan saya.

Alkisah......Pada 2008, bapa remaja ini telah memberitahu saya yang anaknya berminat untuk melanjut pelajaran dalam bidang perubatan. Remaja tersebut telah mendapat keputusan SPM yang memberangsang. Justeru, sibapa berhasrat untuk menghantar anaknya ke IPTS untuk mengikuti jurusan tersebut di Malaysia. Sudah pasti, ini melibatkan kos yang tinggi. Saya telah mencadangkan kepada beliau mengapa tidak menjadikan Universitas Andalas di Padang sebagai satu pilihan. Rasionalnya ialah....pertama sekali, Kerajaan Malaysia mengiktiraf kelulusan IPT ini, malah JPA menaja penuntut-penuntut mereka ke sana. Dan kedua, kos pengajian tidak tinggi berbanding dengan kos di IPTS.

Sebagai seorang bapa, beliau bimbang terhadap keselamatan anaknya kerana beliau sedar Padang kerap berlaku gempa bumi. Jawapan saya mudah sahaja.....kalau nak mati, dimana-mana saja pun tetap mati! Hasil perbualan inilah beliau membuat keputusan menghantar anaknya ke Padang!

Ketika berbual dengan Pushpa, saya diberitahu yang beliau sekarang berada di Tahun Pertama selepas berjaya mengikuti 'Pre-medic' dengan CGPA 3.88...Tahniah! Pushpa, Uncle berbangga dengan pencapaian anda. Apabila berjaya dan jika membuka klinik satu hari nanti, berilah Uncle 'special discount'...he...he.

Pada pagi 7 September 2009 semasa menarik troli dalam hujan renyai-renyai, sekali lagi saya telah menelifon En Krishnan. Beliau memberitahu yang beliau masih menunggu keputusan Kerajaan samaada siswa-siswi dibenar meneruskan pengajian mereka di Padang. Bagi beliau, anaknya bersedia untuk kembali ke sana. Pada pandangan saya, ini satu keputusan yang bijak bagi mengelakkan terganggunya mengikuti kuliah nanti.

Ulang cerita..... Semasa berkursus di Bangladesh pada tahun 1981, saya bertemu ramai penuntut Malaysia mengambil bidang 'perubatan' di universiti-universiti di negara tersebut. Kebanyakan mereka ditaja oleh 'Biasiswa Ibu-Bapa'. Ketika itu kos pengajian sungguh rendah; RM200 sebulan boleh hidup 'muncah'. Kebanyakan mereka tidak layak memasuki IPT yang diiktiraf oleh JPA kerana saingan yang ketat. Untuk mengatasi masalah ini, mereka memasuki IPT yang tidak diiktiraf sehingga Tahun Ke2 (lebih kurang begitulah).  Selepas itu, mereka memohon untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti yang diiktiraf. Pemindahan ini dapat dilaksanakan kerana wujudnya persefahaman di antara IPT di negara itu. Bijak...bukan? 

Pembaca.....adakah ini membuka minda anda terhadap peluang-peluang yang boleh diterokai?

PM.....SAYA SUDAH LAMA MEMPRAKTIKKAN KONSEP 1MALAYSIA!