Pengikut

Isnin, 25 Januari 2021

Op Selamat Sawadee: Captain...Ismail Is Motionless (Bhg 2)

 Bersambung dari Klik Di SINI

                      Sebaik sahaja menerima permohonan casevac tersebut, CTFHQ telah memanjangkannya                kepada Mej (U) Harun Ayub untuk kelulusan. Beliau sedia maklum tahap keselamatan LP                     Victor tetapi ini melibatkan nyawa wira negara. Mangsa mesti diselamatkan. Noktah. Selain                   menyelamatkan nyawa, usaha ini akan menjaga morel anggota pasukan keselamatan selari                       dengan Prinsip Peperangan No 2: Mengekal Morel/Maintenance of Morale. Justeru, beliau                     meluluskan permohonan tersebut dan memperuntukkan sebuah Nuri untuk melakukan tugasan               casevac tersebut dengan diiringi oleh sebuah helikopter gempur. Keputusan ini akan                                 mendedahkan kru Nuri kepada ancaman musuh tetapi inilah risiko yang perlu diambil oleh kru               Nuri! Menyelamatkan Pbt Majeni mengatasi ancaman yang mungkin dihadapi.

Sementelah Mej (U) Stephen Ngiau dan Kapt (U) Chong K.L.  berada di Mes Pegawai yang bersebelahan CTFHQ, mereka dipanggil ke bilik operasi untuk diberi taklimat. Dalam taklimatnya, Mej (U) Harun Ayob memberitahu sebelum mengambil Pbt Majeni Nuri di LP Victor dan menghantarnya ke Alor Setar, Nuri dikehendaki menghantar bekalan ke LP Victor One Bar (V-) yang menempatkan anggota Bn 9 Pasukan Polis Hutan (PPH). Penghantaran ini selari dengan Prinsip Peperangan No 7: Memaksimumkan Keupayaan (Economy of  Effort). Jumlah aset pertahanan yang terbatas ini perlu dioptimumkan penggunaannya. Manakala taklimat oleh Kapt Mahbob pula merangkumi tahap keselamatan di LP Victor. Beliau  mengesahkan bahawa kawasan perimeter 300 meter dari LP adalah selamat. 

Selepas taklimat, mereka beredar ke landasan. Sjn Mohsain dan anggota TPU yang sedang rancak bercerita, terhenti apabila  melihat Lt Kol (U) Su K.C., Mej (U) Stephen Ngiau dan kapten pesawatnya datang ke arah mereka. “Kita dikehendaki buat casevac sekarang.” Kapt (U) Chong K.L. memberitahu tugasan mereka. Apabila mendengar lokasi casevac tersebut,  kedengaran keluhan Lt (U) Zainal Piee: “Oh..Oh. Victor lagi!” Apa pun, itu bukan masalahnya lagi. Sjn Mohsain yang sedang dalam proses menggoreng cucur kodok terus berhenti. “Dah tak ada rezeki makan cucur kodok untuk berbuka nanti,” bisik Sjn Mohsain.

Seperti biasa, tugasan ini memerlukan dua anggota TPU mengikuti Nuri; seorang dalam keadaan bersedia di pintu kabin pesawat manakala seorang lagi di pintu kargo. Kebiasaannya, anggota di pintu kargo membawa General Purpose Machine Gun (GPMG). Pada hari itu, giliran tugasan TPU ialah Kpl Shafie dan Tpr Jamian bin Wahab. Kpl Shafie dalam loghat Negeri Sembilan berkata: "Den poi..den dapek lobih, biar den kojo lobih." Secara spontan L/Kpl Ismail Ahmad pula menjawab: “Koperal, biar saya sahaja yang pergi.” Mereka seterusnya bergegas ke pesawat untuk membuat persediaan.

Setelah rangsum dinaikkan ke dalam pesawat, Kapt (U) Chong K.L. berlepas dengan pesawat FM1725 dari Kroh ke LP Victor One Bar pada kira-kira jam 3:00 petang. Turut mengikuti penerbangan ini ialah Lt Kol (U) Su K.C. walaupun semalam (15 Ogos 1978) beliau telah didedahkan kepada tembakan musuh. Selain itu, seorang pegawai perubatan dan seorang anggotanya (medic) turut mengikuti penerbangan tersebut. Kedudukan anggota TPU semasa penerbangan tersebut ialah L/Kpl Ismail Ahmad di pintu kargo dengan GPMG sementara Tpr Jamian di pintu kabin dengan raifal Colt M16. Penerbangan tersebut diiringi

Sebaik sahaja Nuri dan helikopter gempur berlepas, Kapt (U) Nor Ibrahim berlepas balik ke Butterworth. Sebentar kemudian, FM1723 yang membawa Pangud dan rombongan dari Pulau Pinang mendarat di Kroh. Beliau disambut oleh Panglima 2 BIM, Brig Jen Mohamed Daud bin Abu Bakar. Para tetamu dibawa ke CTFHQ untuk diberi taklimat mengenai perkembangan Op Selamat Sawadee dan membincang langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mengelak siBurung Besi terus menjadi buruan petualang negara.

Seperti yang diarahkan, Kapt (U) Chong K.L. mengendalikan pesawatnya ke destinasi pertama, itu LP Victor One Bar. Pendaratan di LP ini dilaksanakan tanpa sebarang masalah. Setelah menurunkan muatan, pesawat berlepas untuk ke LP Victor. Sebaik sahaja Nuri berlepas, helikopter gempur orbit di atas LP Victor One Bar, menukar arah ke LP Victor sementara Nuri mengekorinya. Sebaik sahaja tiba di destinasi, Mej (U) Stephen Ngiau mengarah Sjn Baharuddin untuk memuntahkan peluru 20 mm HE di kawasan 300-500 meter dari LP tersebut dan di laluan Nuri. “Boom...Boom...Boom” letupan lebih kurang 500 butir peluru. Kapt (U) Chong K.L. memerhati tindakan pesawat pengiringnya di ketinggian lebih kurang 2500 kaki.

Sejurus  Kapt (U) Chong K.L. mendengar “Juliet, clear to land” dari Mej (U) Stephen Ngiau. Sebaik sahaja mendapat arahan tersebut, sama seperti yang dilakukan oleh Lt (U) Zainal Piee semalam, Kapt (U) Chong K.L. menurunkan ‘collective lever’ dan menjunamkan pesawatnya hingga 50 kaki dari kanopi hutan. Tidak menghairankan tindakan ini boleh membuat penumpang yang baru makan mengalami makanan tersebut keluar semula!

Sementara itu, Ketua Kompeni yang melihat helikopter gempur mengarahkan anak buahnya mengusung Pbt Majeni ke tempat pendaratan. Beliau turut mengiringi Pbt Majeni ke LP yang dikawal oleh Lt M (U) Ahmad Mohaini. Walaupun cedera tetapi Pbt Majeni tidak meraung kesakitan kerana terus diberi suntikan morfin. Beliau yang sebelum ini ternanti-nanti menunggu ketibaan Nuri untuk menyelamatnya, begitu gembira apabila melihat Nuri menghampiri LP; “syukur alhamdulillah, selamat aku.”

Apabila pesawat berada lebih kurang 20 kaki dari LP, Kapt (U) Chong K.L. memberitahu Sjn Mohsain: “crewman clear opening cargo door." Lantas Sjn Mohsain membuka pintu kargo dan memberitahu: “tail clear right is clear.” Sambil bertanya ko-pilot: “confirm left clear co-pilot.” “Left Clear.” Respons Lt M (U) Mohd Johan.

Sjn Mohsain meneruskan pattering: “forward ten...hold your height…forward eight…sis…five…four. Clear turning anti clock. Pada jam 3:40 petang, ketika pesawat berada lebih kurang lima kaki untuk mendarat, tiba-tiba: “bang...bang...bang.” Kapt (U) Chong K.L. terkejut sebutir peluru menembusi cermin sebelah kanannya (captain’s side window) dan melintas hanya 2-3 inci di hadapan mukanya. Di samping itu, beliau terasa kepanasan melepasi kaki kirinya tanpa menyedari sebutir peluru telah menembusi sut penerbangannya dan hampir menciumi kakinya!  Di waktu yang sama, sebutir peluru menembus cermin tengah (centre windscreen). “Ya Allah” terpacul dari mulut Lt M (U) Mohd Johan Othman. Peluru hampir terkena tangan kanannya berada pada speed levers di bahagian cermin tengah. Kapt (U) Chong K.L. menjerit: "Bastards...We are being shot."

Sama seperti Lt M (U) Mohd Johan Othman, ayat yang pertama terpacul dari mulut Sjn Mohsain: “Allah.” Lantas, beliau menjerit kepada anggota TPU: “Tembaaak.” Tpr Jamian terus menembak tetapi tiada sebarang respons dan tindakan dari L/Kpl Ismail. Lantas Sjn Mohsain sekali lagi menjerit: “Ismail... tembaaak.” Tetapi masih tiada respons. “Mengapa Ismail tidak tembak?” Ini membuta menoleh ke belakang. Soalannya terjawab apabila melihat anggota tersebut kaku dan darah keluar dari badan sebelah kiri. L/Kpl Ismail Ahmad mengalami cedera parah. Patutlah tiada sebarang respons dari L/Kpl Ismail Ahmad apabila beliau mengarahnya untuk membalas tembakan musuh. Manakala Lt Kol (U) Su K.C. pula terpacul dari mulutnya: “Oh bloody hell...not again!” Hanya semalam beliau mengalami insiden yang sama. Secara spontan beliau terus meniarap atas lantas sambil mengarah pegawai perubatan dan anggotanya melakukannya.

Berpantang ajal sebelum maut dan malang tidak berbau! Sjn Mohsain walaupun melutut di tepi pintu kargo untuk pattering dan terdedah kepada tembakan musuh namun peluru tidak menciumi sebaliknya L/Kpl Ismail Ahmad yang berdiri di belakangnya, sebutir peluru telah menembusi rusuknya. Beliau terduduk di atas tempat duduk sambil memeluk GPMGnya. Di era itu, bahagian hadapan dan belakang baju kalis peluru yang dipakai oleh kru dan anggota TPU dicantum dengan ikatan tali di kiri dan kanan baju tersebut. Ini bererti bahagian rusuk pemakai tidak terlindung. Ini yang berlaku kepada L/Kpl Ismail Ahmad!

Di LP pula, trup berlari mencari tempat perlindungan. Pbt Majeni yang sedang diusung dan ketika itu berada hanya lebih kurang 12 kaki dari pesawat, dengan pantas diusung ke tempat yang selamat.

Setelah mengimbas panel instrumen yang tiada menunjukkan sebarang abnormal kepada suhu dan tekanan enjin dan kotak gear utama (main gear box), lantas Kapt (U) Chong K.L: “Crewman...take off”. “Back clear. Clear to take off.” Respons Sjn Mohsain. Dengan spontan Lt M (U) Mohd Johanmenolak kedua-dua speed selector lever ke hadapan sehingga tahap maksimum. Tindakan ini bagi mendapat 102 Nr, iaitu putaran kipas utama yang secara automatik menurun buat seketika apabila kapten pesawat merentap collective lever untuk menaikkan pesawat. Semasa menolak speed selector lever, Lt M (U) Mohd Johansempat  memohon kepada Allah: “Ya Allah, peliharalah kami semua” sambil menurunkan ‘visor’ topi penerbangannya (flying helmet).

Sebaik sahaja Nuri menaik dan menutup pintu kargo, Sjn Mohsain memberitahu Kapt (U) Chong K.L: “captain... Ismail is motionless.” Lantas kapten pesawat menghubungi POBUB: Baton One, this is Cepung 475J. Aircraft being shot. Commando seriously wounded. Proceeding to Ban Chan Tharat to check aircraft.Beliau memaklum POBUB bahawa beliau akan mendarat di landasan terbang di Ban Chan Tharat untuk memeriksa keadaan pesawatnya.  Mej (U) Stephen Ngiau turut mengiringi FM1725 ke Ban Chan Tharat.

Sjn Mohsain dan Tpr Jamian seterusnya membaringkan L/Kpl Ismail Ismail. Sjn Mohsain membuka baju kalis peluru mangsa dan dijadikan bantal. Begitu remuk hati mereka melihat L/Kpl Ismail Ahmad terbujur kaku. Melihat rakan seperjuangannya kaku, Tpr Jamian membisikkan kalimah keramat "Lailahaillallah Muhammad Rasulullah" ke telinga L/Kpl Ismail Ahmad. Sementara itu, pegawai perubatan dan anggotanya merawat mangsa sewajarnya dan membalut tersebut.

Setelah berlepas dari LP Victor, Kapt (U) Chong K.L. membuat keputusan untuk terbang rendah ke Ban Chan Tharat yang jaraknya lebih kurang lima minit penerbangan. Tindakan ini diambil bagi memudahkannya mendarat sekira beliau berhadapan dengan keadaan kecemasan. Sebaik sahaja mendarat, kru melakukan pemeriksaan ke atas. Selain lubang-lubang kesan tembakan di fiuslaj dan cermin di kokpit, mereka tidak mengesan kerosakan ke atas komponen. Setelah yakin pesawat selamat diterbangkan, mereka berlepas untuk ke Kroh. “Baton One, this is Cepung 475J. Airborne Ban Chan Tharat. Request reception for casevac.” Sama seperti penerbangan ke Ban Chan Tharat, Kapt (U) Chong K.L. terbang rendah dengan kaedah IFR; bukan untuk Instrument Flight Rules tetapi “I Follow Road!” Beliau mengikuti jalan raya yang membawa ke Betong dan seterusnya ke Kroh. Penerbangan ini di awasi oleh helikopter gempur.

Mereka mendarat dengan selamat pada lebih kurang jam 4:20 minit petang. Pangud dan rombongan yang baru selesai mendengar taklimat serta Panglima 2 BIM bergegas ke landasan terbang sebaik sahaja dimaklumkan FM1725 mendarat. Mereka mahu melihat keadaan mangsa yang bersabung nyawa dek keganasan pengganas komunis sebelum ambulans yang sedia menunggu membawa L/Kpl Ismail Ahmad ke RSAT.

Semasa FM1725 mendarat, Lt (U) Zainal Piee dan kru dalam proses menghidupkan enjin FM1724 untuk terbang balik ke Butterworth. Turut menumpang pesawat ini ialah Kapt (U) Siran bin Che Mat, Jutra No 3 Skuadron yang mengetuai detasmen anggota kejuruteraan. Beliau dikehendaki balik ke Butterworth. Sebelum berlepas, Lt (U) Zainal Piee sempat melihat bahagian kiri sut penerbangan Kapt (U) Chong K.L. yang koyak akibat terkena peluru.

Pangud dan rombongan seterusnya memeriksa keadaan FM1725. Dalam keadaan keselamatan LP Victor tidak terjamin, timbul persoalan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan Nuri untuk mengambil Pbt Majini. Bagi tujuan itu, Pangud membuat keputusan untuk melancar CSAR (Combat Search and Rescue). Beliau mengarah gerak empat buah pesawat Tebuan untuk membedil kawasan berhampiran LP Victor disusuli helikopter gempur menyembur peluru 20 mm sebelum Nuri mendarat. Oleh kerana kesuntukan masa, CSAR akan dilakukan keesokan hari, 17 Ogos 1978. Selain itu, beliau juga mengarahkan dua buah helikopter gempur untuk mengiringi Nuri ke LP-LP tertentu. Selepas itu, Pangud dan rombongan berlepas balik ke Butterworth.


Kapt (U) Chong K.L. menunjukkan peluru yang menembus cermin di sebelah kapten pesawat kepada Pangud (dua dari kanan). Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Brig Jen Mohamed Daud (3 dari kiri) berkata sesuatu kepad Mej (U) Abdullah Mohamed dan juruterbang Tebuan. Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Lubang kesan sebutir peluru menembusi cermin kanan sebelah kapten pesawat. Sumber: Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Sebutir peluru menembusi bahagian atas cermin tengah. Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Pemasangan sebilah kipas utama untuk mengganti kipas yang ditembusi sebutir peluru dengan dibantu oleh anggota pasukan keselamatan. Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Pangud bergambar dengan beberapa pegawai kanan. Beliau turut membawa senjata M16 short butt. Dari kiri: Kol (U) Fauzi Hussain (memakai baju kalis peluru), Brig Jen Mohamed Ngah Said, Lt Kol David Herman (CO 2 Meriam), Lt Kol (U) Su K.C. dengan baju kalis peluru & topi penerbangan, Lt Kol (U) Richard Jalleh (Ketua POTU). Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Selepas pesawat yang membawa Pangud berlepas, Kapt (U) Chong K.L. dan kru serta tim kejuruteraan melakukan pemeriksaan secara terperinci dan menyeluruh ke atas FM1725. Selain cermin di kokpit dan lubang-lubang kesan peluru menembusi fiuslaj, mereka mendapat sebilah kipas utama juga ditembusi peluru. ‘Blade Indicator Method (BIM)’ di pangkal kipas utama (main rotor blades) telah bertukar warna. Keadaan ini menunjukkan kekurangan gas nitrogen dalam ‘spar’ kepada bahagian kipas utama.

Apabila membuka penutup ‘tail rotor drive shaft di bahagian atas ‘pylon’, mereka mendapati shaft tersebut turut menjadi mangsa keganasan musuh. Sebutir peluru telah menembusinya dan dalam keadaan bengkok yang terok. Shaft ini menyambung kotak gear utama ke kipas ekor (tail rotor blades). Jika ia patah, kipas ekor akan berhenti putaran. Dalam keadaan begini, fiuslaj akan berputar bertentangan dengan putaran kipas utama tanpa kawalan selari dengan Prinsip Newton ketiga yang menyatakan bahawa ‘setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas yang mempunyai magnitud sama dan bertindak pada arah yang bertentangan.’ Jika shaft ini patah semasa dalam penerbangan, hanya Allah SWT yang boleh melindungi mereka! 

Ketika mahu mengambil night stop kit dalam kabin, Kapt (U) Chong K.L. mendapati beg golf beliau turut ditembusi sebutir peluru. Sebaik sahaja memeriksa kelab-kelab golf dalam beg, terpacul dari mulutnya: “bloody communists. Siapa nak bayar untuk mengganti shaft golf club ini? Komunis ke?” Beliau mendapati kelab ‘pitching wedge’  patah akibat terkena tembakan musuh. Kapt (U) Chong K.L. sungguh berang. Mana tidaknya, sudahlah seorang wira negara terkorban, mereka hampir maut dan harta kerajaan rosak, sekarang harta persendiriannya juga ‘terkorban’.

Kerosakan yang dialami FM1725 memerlukan alat ganti. Keperluan ini dipanjangkan oleh POBUB kepada Bilik Operasi Pangkalan Butterworth yang seterusnya memaklumkan kepada No 3 Skuadron untuk tindakan selanjutnya. Selain itu, skuadron juga dikehendaki menghantar sebuah Nuri ke Kroh pada hari itu juga untuk mengganti FM1725.

Di RSAT, pegawai perubatan memberitahu L/Kpl Ismail Ahmad perlu dihantar ke hospital untuk merawatnya; mangsa kehilangan banyak darah. Masalahnya, kini hanya ada dua buah helikopter gempur di Kroh. Itu sahaja pilihan yang ada dalam keadaan yang begitu getir ketika itu! Justeru, PBUB mengarahkan sebuah helikopter gempur untuk membuat tugasan casevac. Sementelah Kapt (U) Jalil Ghani akan balik ke Butterworth petang itu, tugasan ini diamanahkan kepadanya. Masalahnya, dalam peranan helikopter gempur, tiada ruang untuk mangsa dibaringkan kerana lantai di bahagian kiri pesawat dikeluarkan untuk memasang mesingan MG 151/20 dan ‘bin’ untuk peluru; hanya ada satu tempat duduk di belakang juruterbang. Selain itu, pintu gelangsar (sliding door) di sebelah kiri juga tidak dipasang. Kepincangan ini diketepikan; keutamaan ialah menyelamatkan L/Kpl Ismail Ahmad. Dalam keadaan kecemasan ini, Lt Kol (U) Su K.C, membenarkan Kapt (U) Jalil Ghani membuat penerbangan tersebut.

Dengan kelulusan itu, tim kejuruteraan membuka mesingan dan bin. Apabila pesawat telah siap, L/Kpl Ismail Ahmad dalam berada dalam keadaan separa sedar didudukkan atas kerusi yang satu itu manakala Sjn Baharuddin pula duduk di atas lantai. Beliau guna ‘monkey harness’  sebagai langkah keselamatan untuk dirinya. Pada jam lebih kurang jam 5:40 petang, FM1315 bersama L/Kpl Ismail Ahmad berlepas ke Pulau Pinang. Semasa dalam penerbangan, Sjn Baharuddin mendapati darah mengalir dari tubuh L/Kpl Ismail Ahmad akibat ditiup angin. Bagi mengurangkan pendarahan, Sjn Baharuddin memegang mangsa sehingga darah membasahi sut penerbangannya. Pesawat mendarat di padang polo pada lebih kurang 6:40 petang di mana sebuah ambulans dan beberapa orang pegawai dari 2 Divisyen sedia menunggu. Walau bagaimanapun, wira negara L/Kpl Ismail Ahmad telah menyahut panggilan Ilahi! Sebaik sahaja ambulans meninggalkan padang polo, Kapt (U) Jalil Ghani dan Sjn Baharuddin berlepas balik ke TUDM Butterworth. Mereka berbuka puasa dalam pesawat dengan minum air sahaja.

Di dewan makan di Kroh, Sjn Mohsain dan rakan-rakan sedang menunggu laungan azan Maghrib untuk berbuka puasa. Sementara menunggu, mereka berbual mengenai insiden hari itu. Tiba-tiba seorang anggota TPU masuk ke dewan mengumumkan bahawa L/Kpl Ismail Ahmad telah menyahut panggilan Ilahi. “Innalillahiwainnailaihirojiun" (Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali). Al-Fatihah. Mereka terdiam. Suasana menjadi suram. Mereka berbuka ala kadar sahaja. Sjn Mohsain pula hilang selera untuk menjamah cucur kodok tepung yang beliau dan L/Kpl Ismail Ahmad  goreng petang tadi sebelum penerbangan casevac.

Sebaik sahaja selesai berbuka, mereka semua terus beredar balik bilik tidur. Sambil berbaring, Sjn Mohsain terngiang-ngiang mengenang senyuman arwah L/Kpl Ismail Ahmad yang begitu teruja menceritakan beliau tidak lama akan bergelar bapa setelah menunggu selama tujuh tahun. Tanpa diduga, senyuman bakal seorang bapa tengah hari tadi merupakan senyum terakhir L/Kpl Ismail Ahmad! Kini harapan menimang cahaya mata pertama telah terkubur. Beliau tidak dapat bayangkan keadaan apabila berita kematian L/Kpl Ismail Ahmad sampai di kampung halamannya nanti.  Beliau terus terlelap. Sama seperti Sjn Mohsain, Lt M (U) Mohd Johan terus balik ke bilik selepas berbuka. Beliau terngiang-ngiang mengingati peluru menembusi cermin pesawat yang hampir meragut nyawa mereka. Beliau memanjat kesyukuran kepada Allah yang masih beri peluang untuk beliau menikmati rahmat-Nya. Ajal dan maut semua telah ditetapkan oleh Allah SWT. 

Di Butterworth, pada lewat petang sebuah Nuri, FM1720 sebagai pengganti FM1725 bersama tim kejuruteraan dan alat ganti yang diperlukan berlepas dari Butterworth. Pesawat mendarat di Kroh sebelum berbuka puasa. Kru pesawat bermalam di Kroh dan balik ke Butterworth keesokan hari.

Kru FM1725. Dari kiri: Lt M (U) Mohamad Johan, Kapt (U) Chong K.L., Sjn Mohsain. Sumber: Sjn Mohsain

Allahyarham L/Kpl Ismail bin Ahmad bersama isteri. Suber: Berita Harian 9 Ogos 1991

En Ahmad, bapa L/Kpl Ismail bin Ahmad dan adik Nurul Naza, anak L/Kpl Ismail Ahmad menziarah pusara wira negara tersebut. Sumber: Berita Harian 9 Ogos 1991

Bersambung....CSAR, in syaa Allah.

Isnin, 18 Januari 2021

Op Selamat Sawadee: Captain...Ismail Is Motionless

              Sambungan dari  Klik Di Sini

              Hari Keempat: 16 Ogos 1978/20 Ramadan 1398H

Di TUDM Butterworth. Pada pagi itu, sebuah Nuri, FM1725 dan sebuah helikopter gempur diperuntukkan untuk detasmen di Kroh. Faktor menentukan pemilihan pesawat bagi tujuan itu bersandar kepada jumlah jam yang ada sebelum ia menjalani penyelenggaraan berjadual. Giliran detasmen kali ini pula ialah Mej (U) Stephen Ngiau, iaitu Ketua No 3 Skuadron dan Sjn Baki sebagai jurumesingan yang mengendalikan helikopter gempur. Mereka akan mengganti Kapt (U) Jalil Ghani dan Sjn Baharuddin. Manakala kru Nuri pula ialah Kapt   (U) Chong K.L. (Ketua Flait Nuri), Lt M (U) Johan Othman dan Sjn Mohsain yang akan mengganti kru Lt (U) Zainal Piee.

Semasa berjalan menuju Nuri FM1725 sambil membimbing beg ‘night stop kit’, Lt M (U) Johan Othman sempat berfikir: “Apakah yang menanti aku nanti!” Kebimbangannya memang ada asasnya. Beliau sedia maklum petualang negara begitu rakus menjadikan Nuri sebagai bahan buruan. Ini terbukti apabila si Burung Besi ditembak musuh tiga hari berturut-turut dan telah mencederakan Sjn Patrick Lee dua hari sebelum itu (14 Ogos 1978). Malahan pada malam tadi (15 Ogos 1978), semasa berbaring sebelum terlelap, beliau  terbayang bahawa beliau terkorban keesokan hari (16 Ogos) dan kaum keluarganya datang menabur bunga di atas pusaranya. Di waktu itu beliau masih bujang. “Ah...Lupakan saja itu semua. Ajal maut di tangan Allah.” Terus terlelap! Namun kebimbangan Lt M (U) Johan Othman lenyap sebaik sahaja kedua-dua pesawat berlepas ke Kroh.

Tidak lama kemudian, sebuah Nuri yang dikendalikan oleh Kapt (U) Nor Ibrahim bersama Lt M (U) Adzli dan PW 1 Abdullah bin Basiron serta Sjn Raju belepas ke Kroh untuk tugasan komunikasi. Pada lewat pagi hari itu juga, sebuah Nuri ditugaskan membuat tugasan komunikasi khas ke padang polo berhadapan Hospital Pulau Pinang dan seterusnya ke Kroh sebelum balik Butterworth. Para penumpang terdiri daripada Brig Jen Mohamed bin Ngah Said, Panglima Operasi Udara (Pangud) dan rombongan dari Kuala Lumpur, termasuk Lt Kol (U) Richard Jalleh, Ketua POTU. Nuri ditembak tiga hari berturut-turut membimbangkan Pangud. Justeru, beliau mahu turun padang untuk meninjau keadaan keselamatan kawasan operasi yang mengancam keselamatan anak buahnya. Sebelum ke Kroh, beliau juga mahu melawat anggota pasukan keselamatan yang cedera di hospital tersebut.

Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada Lt (U) Mohd Amin bersama Lt M (U) Mohd Som dan Sjn Gregory Charles. Sebelum pesawat yang membawa Pangud mendarat di Butterworth, kru ‘taxiing’ pesawat FM1723 dari dispersal No 3 Skuadron ke Pergerakan Udara. Selain Kol (U) Fauzi bin Hussein dan beberapa orang pegawai kanannya, kru detasmen No 6 Skuadron, TUDM Kuantan yang diketuai oleh Mej (U) Abdullah Mohamed bersama beberapa juruterbang pesawat Tebuan sedang menunggu ketibaan Pangud. Sebaik sahaja para tetamu tiba, Nuri berlepas ke Pulau Pinang dengan para tetamu dan disertai oleh Kol (U) Fauzi,  Mej (U) Abdullah Mohamed dan  juruterbang Tebuan. Mereka berada di hospital buat beberapa waktu sebelum berlepas ke Kroh seperti yang dijadualkan.

Di Kroh. Ketibaan kedua-dua dari Butterworth disambut oleh Kapt Abdul Jalil dan Sjn Baharuddin, Lt (U) Zainal Piee dan kru.  Maklum sajalah, bos datang untuk mengganti mereka! Mej (U) Stephen Ngiau seterus bertanya khabar kepada anggota kejuruteraan yang turut membuat detasmen serta anggota TPU. Seterusnya keempat-empat set kru berjalan ke CTFHQ yang terletak di atas bukit berhampiran untuk mendengar taklimat mengenai laporan keselamatan oleh Pegawai Risik 2 BIM, Kapt Mahbob. Manakala Mej (U) Harun bin Ayub, selaku PBUB pula memaklumkan tugasan mereka hari itu. Lt Kol (U) Su K.C. yang bermalam di Kroh turut mendengar taklimat tersebut.

Tugasan untuk hari itu untuk kedua-dua Nuri ialah melakukan  ulang bekal ke beberapa LP tetapi tidak melibatkan LP  Victor. Perlaksanaan tugasan Nuri diiringi oleh helikopter gempur yang dikendalikan oleh Mej (U) Stephen Ngiau. Mereka berjaya melaksanakan tugasan sebelum tengah hari. Kapt (U) Chong K.L. seterusnya memberitahu Lt (U) Zainal Piee bahawa beliau (Lt (U) Zainal Piee) boleh balik ke Butterworth bila-bila masa. Lampu hijau sudah diberi. Namun mereka membuat keputusan untuk berehat sebelum terbang balik ke Butterworth.

Tetapi kebebasan ini tidak dipanjangkan kepada kru helikopter gempur. Mereka boleh terbang balik pada lewat petang hari nanti. Seterusnya, Mej (U) Stephen Ngiau dan Kapt (U) Chong K.L. pergi ke Mes Pegawai untuk makan tengah hari sementara lain-lain kru berehat di khemah berhampiran landasan terbang untuk melalikan puasa. Kru Kapt (U) Nor Ibrahim juga berehat di khemah sebelum berlepas balik ke Butterworth. Sjn Mohsain bersama anggota kejuruteraan serta TPU mula menyediakan makanan untuk berbuka puasa nanti. Untuk hari itu, Sjn Mohsain menyedia bahan untuk cucur kodok tepung. Sambil menggoreng cucur itu, beliau berbual dengan anggota TPU, iaitu Kpl Shafie, L/Kpl Ismail bin Ahmad dan Tpr Jamian bin Wahab.

Perbualan mereka berkisar pengalaman sebagai anggota komando dan keluarga. Bab keluarga ini sungguh menggembirakan L/Kpl Ismail Ahmad. Terpancar senyuman L/Kpl Ismail Ahmad memberitahu bahawa tidak lama lagi beliau akan bergelar bapa dan akan menimang anak pertama setelah tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Di LP Victor. Walaupun LP Victor diserang musuh negara semasa Nuri mendarat untuk mengambil dua jenazah wira negara semalam, 15 Ogos 1978, rondaan keselamatan di persekitaran  LP tetap dilaksanakan. Pada pagi itu, Ketua Kompeni mengarahkan 17656 Sjn Abdul Aziz bin Kassim, pemangku Kompeni Sarjan Mejar (KSM) membawa satu seksyen melakukan rondaan tersebut.  Pergerakan seksyen yang terdiri daripada lebih kurang 10 orang didahului oleh 30633 Pbt Majeni bin Abd Rahman selaku peninjau pertama.

Pada lebih kurang jam 12:10 tengah hari, ketika berada di lokasi di GR QG 467296, iaitu lebih kurang 300 meter dari LP, Pbt Majeni mendapati sebatang pokok melintang di laluan mereka. Semasa beliau melangkah pokok tersebut: “bang...bang...bang.” Segerombolan musuh menembak mereka. “Ya Allah”, jerit Pbt Majeni sebelum tersungkur dek perutnya terkena peluru musuh. Lantas Sjn Abdul Aziz dan lain-lain anggotanya membalas tembakan terhadap musuh.

Pertempuran tidak lama. Musuh laknatullah bergerak dalam kumpulan kecil dan guna taktik ‘tembak dan lari’ (hit and run). Selepas bertembung mereka dengan segera beredar. Sebaik sahaja memastikan musuh sudah beredar, Sjn Abdul Aziz menyuntik morfin kepada Pbt Majeni untuk menenteramnya kerana terlampau sakit. Keutamaan Sjn Abdul Aziz adalah membawa anak buahnya balik ke pangkalan. Bagi tujuan itu, beliau mengarahnya anggotanya membuat  strecer menggunakan hammock dan dahan pokok. Bukan masanya untuk memburu dan membunuh kerana mereka akan berhadapan dengan  jerangkap samar yang banyak ditanam oleh musuh. Mereka berhadapan dengan musuh yang memahami kawasan operasi seperti tapak tangan mereka. Lagi pula beliau hanya diarahkan untuk melakukan rondaan di persekitaran LP Victor.

              Sebaik sahaja mendengar tembak-menembak tersebut, Ketua Kompeni mengarahkan ‘stand-                  to’. Beliau yang sedia maklum taktik musuh, mengarahkan beberapa anggota untuk                                 membantu seksyen Sjn Abdul Aziz sebaik sahaja tembakan berhenti. Seperti yang dialami                      sebelum ini, tugasan ini menguji iman mereka. Memang perit mendaki bukit dengan bebanan                 mengusung Pbt Majeni. Bagaimanapun, mereka tidak tunduk kepada dugaan ini. Ibadah puasa               sama sekali tidak diabaikan dalam usaha menyelamatkan rakan seperjuangan.  Sebaik mangsa                 tiba di LP, Ketua Kompeni menghubungi Markas Taktikal 6 RAMD meminta Nuri untuk misi                casevac.   

Bersambung...In sya Allah.

Isnin, 11 Januari 2021

Op Selamat Sawadee: Alpha Charlie, Alpha Charlie, Cabut...Cabut

             Sambungan dari Klik Di Sini....

            Masih hari kedua, 14 Ogos 1978...

Keghairahan musuh pada hari itu, 14 Ogos 1978, tidak terbatas menjadikan Nuri sebagai sasaran mereka. Sementara menyasarkan Nuri di LP Foxtrot, mereka juga menunggu peluang untuk menyerang musuh di lain-lain kawasan operasi. Keadaan ini yang dialami oleh 6 RAMD. Pasukan ini yang berpangkalan di Taiping telah diatur gerak ke kawasan operasi pada 22 Julai  1978 hingga 31 Ogos 1978.

Selari dengan rutin harian, satu seksyen dari Kompeni Delta dikehendaki membuat rondaan keselamatan  operasi di persekitaran Markas Taktikal Kompeni di LP Victor. LP tersebut berada di permatang yang berketinggian lebih kurang 1500 kaki di satu lembah sementara ketinggian rabung ialah 2400 kaki. Selain anggota Markas Taktikal, ia juga menempatkan No 12 Platuna yang diketuai oleh Lt M Ahmad Mohaini bin Mohamed Nor.

Pada pagi 14 Ogos 1978, Lt M Ahmad Mohaini telah mengarahkan Kpl Majid membawa satu seksyen, lebih kurang 10 orang,  membuat rondaan keselamatan di persekitaran kawasan penempatan mereka. Tugasan ini sepatutnya dilakukan oleh Lt M Ahmad Mohaini sendiri tetapi terpaksa mendelegasikannya kepada Kpl Majid kerana beliau mengidap demam malaria. Beliau enggan dibawa keluar ke Kroh kerana mahu bersama dengan anak-buahnya.

Sebaik sahaja taklimat oleh Ketua Platun selesai, Kpl Majid dan anggotanya memulakan tugasan. Perlaksanaan tugasan memerlukan mereka menuruni bukit. Tidak lama seksyen tersebut meninggalkan pangkalan, pada lebih kurang jam 11:45 pagi suasana hutan yang begitu tenang sekali dengan siulan unggas dan sahut-menyahut primat, tiba-tiba ditenggelami: “bang...bang...bang” bertalu-talu. Tembak-menembak didengari oleh mereka yang berada di pangkalan. Musuh yang sedia menunggu di laluan rondaan telah menyerang hendap sebaik sahaja seksyen peronda tersebut berada dalam zon membunuh pada. Walaupun keadaan tidak memihak kepada mereka, lawan tetap lawan. Wira-wira negara tidak mudah mengalah sebaliknya terus menentang musuh. Manakala di LP Victor, sebaik sahaja kedengaran tembak menembak tersebut, lantas Ketua Kompeni mengarahkan semua anggota berada dalam keadaan ‘stand-to’.

Apabila keadaan kembali tenang, Ketua Kompeni mengarahkan Lt M Ahmad Mohaini mengetuai satu seksyen untuk membantu seksyen yang ditimpa musibah dan membawa mangsa-mangsa, jika ada. Demam malaria tidak menjadi halangan untuk melakukan tugasan itu. Beliau dan anggotanya bergegas ke lokasi insiden. Apabila tiba di lokasi serang hendap, mereka dihidangkan pemandangan yang sungguh memilu dan mengerikan. Tanpa disedarinya, air mata mengalir membasahi pipi Lt M Ahmad Mohaini apabila melihat dua anak buahnya tersungkur di bumi. Peluru musuh telah menembusi dada 30429 Pbt Mustafa bin Mohd Yusof sementara sebutir peluru pula menembusi dahi 1015561 Pbt Arif bin Hamid.

Lt M Ahmad Mohaini seterusnya mengarahkan anggotanya untuk membuat dua strecer menggunakan ‘hammock’ dan kayu untuk mengusung kedua-dua jenazah ke Markas Taktikal. Sebaik sahaja mangsa-mangsa tiba di pangkalan agak lewat, Ketua Kompeni menghubungi Markas Taktikal Batalion di Kroh meminta helikopter untuk melakukan misi bodevac. Di samping itu, beliau juga meminta dihantar peluru dan rangsum kerana mereka hampir kehabisan peluru dan rangsum.

Permohonan ini dipanjangkan kepada PBUB. Setelah mengambil kira tahap keselamatan LP Victor,  keputusan dibuat untuk kedua-dua jenazah tersebut dibawa keluar keesokan hari.

            Hari Ketiga: 15 Ogos 1978

Di landasan terbang Kroh. Pada pagi hari itu, Lt (U) Zainal Piee bersama kru meneruskan tugasan yang masih terbengkalai sebelum itu tetapi tidak melibatkan LP Victor. Mereka masih tidak menerima tugasan untuk mengambil kedua-dua jenazah itu.

Di LP Victor. Para penghuni menunggu ketibaan Nuri untuk membawa keluar dua jenazah Pbt Mustafa dan Pbt Arif bin Hamid. Mereka tidak dimaklumkan bila kedua-dua jenazah akan dibawa keluar.  

Di Markas Taktikal Kompeni Alpha, 6 RAMD. Pada pagi itu, 15 Ogos 1978, Ketua Kompeni telah mengarahkan satu seksyen yang terdiri daripada 12 orang membuat rondaan keselamatan di persekitaran kawasan Markas Taktikal Kompeni. Seksyen diketuai oleh seorang Koperal. Bagi melaksanakan tugasan, mereka menuruni bukit. Malang tidak berbau. Ketika berada lebih kurang 500 meter dari markas, pada jam lebih kurang 11:30 pagi, ketenangan hutan dikejutkan: “boom”. Satu letupan yang begitu kuat. Letupan berlaku di laluan seksyen peronda. 29869 Pbt Tajuddin bin Che Sab yang merupakan anggota ketiga di hadapan telah terpijak jerangkap samar. Mereka yang berada di belakangnya terkejut melihat Pbt Tajuddin terlambung di udara sebelum jatuh ke bumi.

“Mimpikah aku?” bermain dalam fikiran  Pbt Tajuddin. Beliau seterusnya menyentuh tubuhnya: “syukur alhamdulillah, tidak kecederaan.” Sementara itu, lain-lain anggota tidak bergerak untuk membantu Pbt Tajuddin kerana mereka melihat wayar berhampiran mangsa.  Sebaliknya, ketua seksyen mengarahkan Pbt Tajuddin untuk berundur ke arah mereka. Pbt Tajuddin cuba untuk berdiri tetapi beliau tidak dapat melakukannya. "Mengapa tak boleh berdiri? Apabila melihat kakinya, barulah beliau sedar bahawa tumit kaki kirinya hampir putus dan mula mengalami kesakitan. Walaupun sakit, namun beliau tekad untuk berundur dari kedudukannya. Lantas, beliau mengesot sehingga berada di kedudukan rakan-rakannya. Ketua seksyen seterusnya menyuntik morfin kepada Pbt Tajuddin dan mengarahkan lain-lain anggota untuk membuat strecer dengan menggunakan hammock dan dahan pokok.

Seterusnya mereka mengusung mangsa balik ke LP Victor. Sementara itu, Ketua Kompeni yang mendengar letupan tersebut, mengarahkan beberapa anggota untuk membantu mengusung mangsa. Satu usungan yang memeritkan. Mana tidaknya. Kejadian berlaku dalam bulan Ramadhan, bulan umat Islam menunaikan Rukun Islam ketiga, iaitu puasa. Namun, keperitan mengusung rakan seperjuangan bukannya penghalang mereka mengabaikan perintah Allah. Puasa tetap puasa. Lagi pula, semangat setia kawan berkobar-kobar untuk menyelamat rakan yang cedera dalam usaha menentang musuh yang tidak percaya sebarang agama! Sebaik sahaja mangsa tiba di LP, Ketua Kompeni menghubungi Markas Taktikal Batalion meminta penerbangan casevac. Permohonan ini seterusnya disalurkan kepada PBUB.

Pada lebih kurang jam 3:00 petang, PBUB datang ke khemah di mana kru sedang menunggu tugasan bodevac setelah melaksanakan tugasan pagi itu. “Zainal, anda boleh pergi ke Victor sekarang untuk misi bodevac”, arah PBUB. Sebaik sahaja menerima tugasan ini, beliau bersama kru serta dua orang anggota komando selaku anggota Tim Penyelamat Udara (Air Rescue Team)  berlepas dari Kroh ke LP Victor. Tempuh penerbangan hanya lebih 10 minit sahaja. Sebaik sahaja selepas berlepas dari Kroh, mereka mendapat dihubungi oleh Baton I di radio HF: “Capung 474 Juliet, this is Baton I, proceed to QG 437278. Marker balloon. Pick up one casevac, winching. Offload Alor Setar and back.”  Casevac mengatasi bodevac. Menyelamat nyawa diberi keutamaan daripada membawa balik dua jenazah tersebut.

Sebaik sahaja menerima Grid Reference (GR) tersebut, Lt M (U) Yahya Harun plot GR dalam peta dan memaklumkan Lt (U) Zainal Piee arah kompas ke lokasi terbabit. Beberapa minit kemudian, mereka nampak belon tersebut. Ketika itu LP tersebut masih dalam proses pembinaan dan tidak sesuai untuk mendarat. Setelah mengesahkan lokasi tersebut, kapten pesawat seterus melakukan prosedur untuk membawa pesawatnya dalam keadaan terapung. Sebaikan pesawat terapung, Sjn Hamzah menurunkan Saleh Strecer dengan hoist dan menaikkan sebaik sahaja mangsa dibaringkan di strecer. Sebaik sahaja strecer berada dalam pesawat, Lt (U) Zainal Piee berlepas ke Alor Setar. Setelah menurunkan Pbt Tajuddin, mereka berlepas balik ke Kroh.

Di Kroh, Lt Kol (U) Su K.C. dan PBUB menunggu ketibaan FM1724 manakala PBUB memberitahu Lt (U) Zainal Piee mereka diberi kebebasan menentukan masa untuk melakukan misi bodevac yang terbengkalai. Kebebasan ini membuat Lt (U) Zainal Piee berfikir panjang. Beliau percaya mungkin musuh negara tidak begitu aktif di waktu lewat petang. Musuh pun mahu berehat dan makan malam juga! Berlandaskan kepada tanggapan ini, beliau memberitahu Lt Kol (U) Su K.C. dan PBUB bahawa beliau akan melakukan misi tersebut sebelum solat maghrib, lebih kurang jam 6:15 petang. Penerbangan ini akan diiringi oleh sebuah helikopter gempur. Sebelum melaksanakan fasa approach, helikopter gempur akan membedil di kawasan Victor dan laluan Nuri.

Sebelum penerbangan dilakukan, beberapa kotak rangsum dan peluru dimasukkan ke dalam pesawat untuk dihantar ke LP Victor. Untuk penerbangan ini, Lt Kol (U) Su K.C. mahu ikut bersama untuk melihat keadaan yang diharungi oleh kru Nuri. Selain itu, dua orang anggota TPU, pegawai gaji dan seorang anggota Perubatan turut mengikuti dalam misi ini. Pada lebih kurang jam 5:45 petang, helikopter gempur yang dikendalikan oleh Kapt (U) Jalil bin Abdul Ghani bersama Sjn Baharuddin bin Saad, jurumesingan, berlepas ke LP Victor diekori oleh Nuri.

Lt M Ahmad Mohaini yang berada di LP Victor agak hairan apabila terdengar bunyi nyaring yang sinonim dengan enjin Alouette III. “Mengapa Alouette III berada di waktu itu.” Beliau dan trup sedia maklum kebiasaannya tiada pesawat membuat penerbangan lewat begitu di kawasan tersebut. Kemudian beliau nampak sebuah Nuri mengekori Alouette III. Kehadiran pesawat tersebut disusuli dengan: “boom...boom...boom.” Kapt (U) Jalil mengarahkan jurumesingan  memuntahkan lebih kurang 200 butir 20 mm HE di kawasan LP Victor dan laluan Nuri. Aktiviti pesawat gempur dan kehadiran Nuri meyakinkan  Lt M Ahmad Mohaini bahawa Nuri datang untuk membawa dua jenazah. Lantas, beliau mengarahkan anak buahnya membawa jenazah ke tempat pendaratan.

Setelah pembedilan tersebut, Kapt (U) Jalil menghubungi Lt (U) Zainal Piee: “Juliet, clear to land.” Sebaik sahaja mendapat ‘lampu hijau’ itu, lantas Lt (U) Zainal Piee yang berada di ketinggian lebih kurang 2500 kaki, menurunkan ‘collective lever’ dan menjunamkan pesawatnya hingga 50 kaki dari kanopi hutan. Kali ini beliau  melakukan ‘tactical low flying’ kerana berat pesawat ketika itu sesuai melakukan teknik penerbangan ini sementelah baki bahan api hanya lebih kurang 1700 lb. Kaedah penerbangan ini memerlukan beliau terbang mengikut permukaan bumi dengan ketinggian lebih kurang 50 kaki dari kanopi hutan dengan kelajuan lebih kurang 100 knot. Beliau tidak mampu membuat sebarang kesilapan. Lt (U) Zainal Piee memberi tumpuan sepenuhnya menerbangkan pesawat. Kelalaian walau beberapa saat pun akan mengundang padah! Sementara itu, pesawat gempur mengawasi pergerakan Nuri dari ketinggian 3000 kaki.

Tindakan kapten pesawat Nuri diperhatikan oleh Lt M Ahmad Mohaini. Beliau agak kecewa apabila tidak lagi kelihatan Nuri setelah ia menjunam. “Ke mana Nuri pergi? Jangan-jangan tak jadi datang” bermain dalam fikirannya. Dalam tercari-cari kelibat Nuri, tiba-tiba beliau melihat Nuri dalam keadaan mendongak terapung di atas LP apabila Lt (U) Zainal Piee melakukan ‘flare’ dengan menarik ‘cyclic’ setelah pesawat berada di LP untuk menghentikan pesawat. Di waktu yang sama menurunkan collective lever bagi mengelak pesawat dari menaik (climbing). Kapten pesawat seterusnya mendarat di LP pada jam 6:27 petang. Trup bergegas ke pesawat dan membantu menurunkan rangsum sementara pegawai gaji menyerahkan bungkusan yang mengandungi wang gaji kepada salah seorang anggota. Seterus dua jenazah dinaikkan dalam pesawat.

Tanggapan Lt (U) Zainal Piee mengenai pengkhianat negara berehat di lewat petang, meleset sama sekali! Sebaik sahaja jenazah berada dalam pesawat, tiba-tiba: “bang...bang...bang.” Kru melihat trup berlari mencari tempat perlindungan; ada yang juga sempat masuk dalam kubu (bunker). Kecuali Sjn Hamzah de Souza dan dua anggota TPU, lain-lain penumpang dalam pesawat terus meniarap di atas lantai pesawat. Juruterbang pula terdengar teriakan operator  radio trup: “Alpha Charlie, Alpha Charlie, cabut...cabut.” Kapt (U) Jalil yang orbit di LP dan menyaksikan aktiviti tersebut, menjerit melalui radio UHF: “Juliet, get out...get out.”

“Celaka punya komunis”. Terpacul ungkapan dari mulut Lt (U) Zainal Piee buat kali kedua dalam tempuh tiga hari! Kali ini beliau sempat mengucap: "Lailahaillallah Muhammad Rasulullah." Persediaan menghadapi sebarang kemungkinan! Seterusnya beliau mengimbas panel instrumen yang menunjukkan semuanya normal. “AQM, take off”. Beliau memberitahu Sjn Hamzah de Souza bahawa beliau mahu berlepas. “Back clear. Clear take-off”. Respons Sjn Hamzah de Souza setelah mendapati tiada sebarang halangan di belakang sebelah kiri pesawat. Lantas, Lt (U) Zainal Piee merentap collective lever ke tahap ‘torque’ (kuasa) maksimum untuk beberapa saat. Tindakan ini membuatkan pesawat naik secara menegak. Di waktu yang sama, Lt M (U) Yahya Harun pula menolak kedua-dua ‘speed selector lever’ yang berperanan sebagai pendikit (throttle) sepenuhnya ke hadapan.

Apabila berada di ketinggian lebih kurang 300 kaki, sekali kedengaran: “bang...bang...bang.” Komunis sungguh berpesta menembak Nuri! Lt (U) Zainal Piee mengimbas panel instrumen tetapi tidak menunjukkan sebarang abnormal. Syukur alhamdulliah. Beliau seterusnya menaikkan pesawatnya secara ‘dog-legged’ sehingga lebih kurang 2500 kaki sebelum menolak cyclic untuk ke hadapan untuk mendapatkan kelajuan 110 knots.  Sebaik sahaja Nuri mengambil arah ke Kroh, Kapt (U) Jalil mengarahkan jurumesingan memuntahkan kesemua peluru 20 mm HE.

Semasa penerbangan balik, Lt (U) Zainal Piee menoleh ke belakang untuk melihat keadaan dalam kabin. Apa yang dilihat mencuit hatinya kerana melihat Lt Kol (U) Su K.C. meniarap di sebelah mayat di atas lantai. Sekarang Ketua Cawangan Penerbangan sudah pasti memahami apa yang kru Nuri hadapi dalam operasi ini. Mereka diburu, bukannya pemburu! sahaja!

Pesawat mendarat di Kroh pada lebih kurang jam 6:40 petang. Pemandangan di landasan penerbangan amat memilu. Lt Kol Hashim bin Mohd Ali, Pegawai Memerintah 6 RAMD bersama anggotanya dari Markas Taktikal Batalion, Kroh, serta staf Combined HQ sedia menunggu jenazah ketibaan kedua-dua wira negara. Jenazah Pbt Mustafa bin Mohd Yusof dan Pbt Arif bin Hamid seterusnya dibawa ke Markas Taktikal sebelum dihantar ke Taiping keesokan hari.

Lt (U) Zainal Piee dan kru memeriksa pesawat FM1724. Mereka mendapati sebutir peluru di ‘cowling engine intake.’ Penemuan ini membuatkan Lt (U) Zainal Piee berpeluh memikirkan apa yang akan berlaku kepada pesawat jika peluru tersebut menembusi enjin semasa berada di LP atau dalam proses menaikkan pesawat! Malam itu, sebaik sahaja makan malam, kru terus ke bilik untuk tidur.

Esok tak tahu pula apa akan berlaku. Tawakal sahaja kepada Allah! 

Kru FM1724: dari kiri: Kol Zainal Piee TUDM (B), Lt Kol Yahya Harun TUDM (B), Allahyarham PW U I Hamzah de Souza

Bersambung. Hari Keempat...

 

  


Sabtu, 9 Januari 2021

Op Selamat Sawadee: Tuan, Saya Kena Tembak

             Bersambung dari  SINI ...

Hari Kedua: 14 Ogos 1978

Insiden semalam tidak dijadikan halangan untuk tugasan membawa meriam dan peluru dihentikan. Malahan tugasan bertambah apabila No 3 Skuadron dikehendaki melakukan misi pertukaran trup dan ulang bekal di beberapa LP. Tugasan ulang bekal tidak terbatas ke kawasan Op Selamat Sawadee tetapi juga di kawasan Op Kota Echo, iaitu kawasan operasi berhampiran kawasan Op Selamat Sawadee. Bagi tujuan itu, POTU telah mengarah dua buah Nuri tambahan untuk tugasan tersebut. Ini bererti tugasan hari itu dilakukan oleh tiga buah pesawat termasuk pesawat Lt (U) Zainal. Pada awal pagi, Nuri pertama, FM1724 yang dikendalikan oleh  Lt (U) Zainal Piee,  Lt M Yahya Haron dan F/Sjn Hamzah de Souza berlepas ke Kroh; mereka akan akan meneruskan detasmen sehingga akhir tempoh giliran. Mereka disusuli oleh pesawat FM1726 yang dikendalikan oleh Lt (U) Mohd Amin bin Mohd Razi, Lt M (U) Mohd Som bin Othman dan F/Sjn Patrick Lee. 

Selari dengan prosedur operasi, sebelum berlepas kru Nuri dan dua buah helikopter gempur telah diberi taklimat keselamatan oleh Pegawai Risik di CTFHQ. Salah sebuah helikopter gempur dikendalikan oleh Kapt (U) Abdul Jalil bin Ghani. Dalam perancangannya, Lt (U) Mohd Amin akan membawa meriam Pack Howitzer 105 mm dan Pegawai Memerintah 21 RGK, Lt Kol Hussin bin Awang Senik bersama beberapa anggotanya ke LP Tango untuk melawat anggota komando yang ketika itu berada di LP tersebut.  Selain itu,  enam anggota unit terbabit lain termasuk anggota gaji diturun di LP Foxtrot.  Penumpang-penumpang akan dibawa balik ke Kroh sebelum penerbangan berakhir.

Sebelum berlepas, Lt (U) Mohd Amin agak hairan apabila melihat F/Sjn Patrick Lee membawa bersama dua helai baju kalis peluru. “Patrick, mengapa dua jaket?” “Tuan, intuisi saya berat mengatakan mungkin sesuatu akan berlaku hari ini,” jawab F/Sjn Patrick Lee. Beliau seterusnya menjelaskan selain satu dipakai, sehelai lagi untuk diletakkan di tempat duduk untuk keselamatannya.    

Untuk tugasan ini, Lt (U) Mohd Amin merancang penerbangan pertamanya ke LP Tango untuk menurunkan Lt Kol Hussin dan anggotanya. Penerbangan kedua pula membawa trup dan selaras meriam ke LP Foxtrot. Selepas taklimat, Nuri dan helikopter gempur berlepas ke LP Tango. Sebelum dibenarkan mendarat, helikopter gempur membedil kawasan berhampiran dengan LP tersebut. Setelah mendapat lampu hijau untuk mendarat daripada juruterbang helikopter gempur, Lt (U) Mohd Amin memulakan fasa approach untuk berada dalam keadaan terapung di kubu meriam (gun pit) berhampiran dengan LP. F/Sjn Patrick Lee pula membuka pintu kargo.

Sebaik sahaja pintu kargo dibuka, F/Sjn Patrick Lee terdengar: “bang...bang...bang” tetapi beliau tidak begitu pasti. Walau bagaimanapun, beliau memberitahu kapten pesawat apa yang beliau dengar. Namun demikian, dari pemerhatian Lt (U) Mohd Amin, tiada sebarang petunjuk LP diserang musuh dan trup berada berhampiran kubu meriam. Justeru, beliau meneruskan proses untuk penerbangan ke kubu meriam. Sebaik sahaja pesawat berada dalam keadaan terapung di atas kubu meriam dan senjata tersebut mencecah bumi, beliau menekan suis untuk melepaskan (release) meriam. Seterusnya Lt (U) Mohd Amin  mengolah gerak (manoeuvre) Nuri dan mendarat di tempat mendarat pada jam 10:59 pagi untuk menurunkan penumpang-penumpangnya.

Sebaik sahaja pesawat mendarat, F/Sjn Patrick Lee memberi isyarat untuk para penumpang turun sebelum membenarkan beberapa orang trup menaiki pesawat. Tidak sempat para penumpang turun, beliau terdengar bunyi “thud” dan sesuatu terkena pada lengan kirinya di waktu yang sama “bang...bang...bang.” Beliau melihat trup di LP mencari perlindungan di kubu meriam. Pesawat telah diserang oleh petualang negara! Bunyi thud sebenarnya ialah sebutir peluru telah terkena pena ‘Cross’ di sebelah lengan kiri sut penerbangannya. “Bastards, damned CTs.F/Sjn Patrick Lee begitu marah kerana pena kesayangannya telah patah dua akibat terkenan peluru musuh.  Dalam kemarahannya itu, tiba-tiba  beliau telah jatuh terlentang di atas bagasi para penumpang. Terpinga-pinga beliau memikirkan: “Mengapa aku jatuh?” Memang benar intuisinya! Tanpa disedarinya, sebutir peluru musuh telah mematahkan pena ‘Cross’ sebelum menciumi lengan kiri F/Sjn Patrick Lee. Dalam keadaan ini, beliau  sukar untuk bangun semula. Lantas, beliau memberitahu kapten pesawat: “Tuan, saya kena tembak.”

Keadaan dalam pesawat begitu kelam kabut dengan penumpang-penumpang cuba keluar dari pesawat. Mendengar sahaja luahan dari kuatermasternya, Lt (U) Mohd Amin mengalih pandangannya ke kabin. “Oh No...not again!” Pesawatnya ditembak tidak asing baginya kerana insiden ditembak pernah dialami semasa Op Gubir II pada April 1976. Apa yang dilihat di kabin sungguh mengejutkannya;  F/Sjn Patrick Lee terlantar di lantai pesawat dengan darah mengalir keluar dari lengan kiri. 

Tugas tetap tugas. Walaupun cedera, F/Sjn Patrick Lee  berjaya untuk bangun semula. Beliau seterusnyta memberi isyarat kepada para penumpang dengan tangan kanannya untuk meniarap di atas lantai kabin. Lt (U) Mohd Amin membuat keputusan untuk beredar dari situ. Keputusan ini diberitahu kepada helikopter gempur. Setelah memastikan semua instrumen dalam keadaan normal, lantas beliau merentap collective lever untuk menaikkan pesawat untuk dan terbang balik ke Kroh. Seterusnya beliau menghubungi  POBUB. “Baton One...Capung 473 Juliet. Aircraft being shot. AQM wounded. Proceeding back to Kroh. Request reception.”

Melihat kecederaan yang dialami oleh F/Sjn Patrick Lee, seorang anggota komando yang berada dalam Nuri telah mengaplikasikan “tourniquet” untuk menghentikan pengaliran darah. Sebaik sahaja pesawat mendarat pada jam 11:06 pagi, seorang pegawai perubatan sedia menunggu di landasan. Beliau menaiki pesawat dan menyuntik F/Sjn Patrick Lee dengan morfin. Pemeriksaan ke atas Nuri FM1726 pula mendapati 14 lubang akibat tembakan. Lt (U) Mohd Amin memberitahu PBUB supaya No 3 Skuadron menghantar seorang kuatermaster untuk mengganti F/Sjn Patrick Lee.

Panggilan radio Lt (U) Mohd Amin turut didengar oleh staf di Bilik Operasi Pangkalan Butterworth. Lantas, mereka menghubungi Bilik Gerakan No 3 Skuadron untuk memberi amaran awal supaya menyedia seorang pengganti F/Sjn Patrick Lee untuk dihantar ke Kroh. Sebaik sahaja menerima amaran awal ini, Sjn Jayaraju yang ketika itu berada di Bilik Anak Kapal diberitahu supaya bersedia untuk diterbangkan ke Kroh untuk mengganti F/Sjn Patrick Lee. Sepertimana yang dijangkakan, sejurus kemudian skuadron diarahkan untuk menghantar pengganti dan mengambil mangsa di Kroh. Kebetulan ketika itu, Kapt (U) Nor Ibrahim bin Sulaiman, Lt M (U) Adzli bin Osman dan Sjn Mansur baru mendarat setelah membuat penerbangan latihan. Selaku Timbalan Ketua Flait, Kapt (U) Nor Ibrahim akan melakukan tugasan tersebut.

Dengan kru yang sama, mereka berlepas dengan pesawat Nuri FM1723 ke Kroh. Setelah menurunkan Sjn Jayaraju dan mengambil F/Sjn Patrick Lee, mereka berlepas balik ke Butterworth. Apabila tiba di Butterworth, F/Sjn Patrick Lee dibawa ke RSAT Pangkalan untuk mendapat rawatan. 

Ancaman ini membimbangkan Kol (U) Fauzi bin Hussein, Pegawai Memerintah TUDM Butterworth. Beliau mengarah Lt Kol (U) Su K.C., Ketua Cawangan Penerbangan, untuk pergi ke Kroh untuk menilai ancaman yang dihadapi oleh anak kapal. Bagi tujuan, Kapt (U) Nor Ibrahim bersama kru yang sama berlepas ke Kroh untuk menghantar Lt Kol (U) Su K.C. Sebaik sahaja menurunkan penumpangnya yang akan bermalam di sana, pesawat terbang balik ke Butterworth. Lt (U) Mohd Amin dan kru, Lt M (U) Mohd Som dan Sjn Jeyaraju, terbang balik ke Butterworth dengan pesawat FM1726 untuk dibaiki. Lt (U) Mohd Amin dan kru, Lt M (U) Mohd Som dan Sjn Jeyaraju, terbang balik ke Butterworth dengan pesawat FM1726 untuk dibaiki. Lt (U) Zainal Piee dan kru pula meneruskan detasmen. 

Mengimbau insiden ini, pada F/Sjn Patrick Lee penerbangan balik dari LP Foxtrot ke Kroh yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja merupakan penerbangan yang begitu lama. Sementara  Lt (U) Mohd Amin pula merakamkan: “...satu penerbangan yang paling menakutkan sepanjang mengendali helikopter Nuri.” 

          Pertemuan kru Nuri FM1726 pada 17 September 2017 di Wisma Perwira di Kuala Lumpur                     sempena Hari Ulang Tahun Ke 50 S61A-4 Nuri@Burung Besi setelah 39 tahun pesawat mereka             ditembak pada 14 Ogos 1978. Dari kiri: Kol Mohd Amin bin Mohd Razi TUDM (B), PW U II              Patrick Lee (B), Kapt Mohd Som bin Othman. Sumber: Kol Mohd Amin bin Mohd Razi TUDM             (B) 

Bersambung Hari Ketiga...