Pengikut

Rabu, 19 Februari 2020

Apa Kata Mereka


Ini antara penghargaan terhadap Burung Besi yang akan muatkan dalam buku "Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan", in syaa Allah.

Nuri played a major role in expediting our efforts in eliminating communist terrorists. Jen Tan Sri Mohammed Hashim bin Mohd Ali (B), bekas Panglima Angkatan Tentera.

Without the enormous support from the helicopter force, we in all likelihood would still be fighting the communist in the jungle. Lt Jen Tan Sri Mohamed bin Ngah Said TUDM (B) PTU (Allahyarham), bekas Panglima Tentera Udara. (RMAF: The Helicopter Force).

As an infantry man, I knew how grateful we are to those chopper pilots. I knew the pilots really put their effort to accommodate us to the best of their ability. That is why we the PFF really treat them good.  ACP Norizan bin Murad, pernah berkhidmat dalam PPH.

Saya nak ucapkan terima kasih kepada anak kapal Nuri yang menghantar saya ke Kuching untuk mendapatkan rawatan setelah cedera kerana diserang hendap oleh komunis di Lundu pada 1972. Jika tidak, mungkin saya tidak ada lagi. L/Kpl Zainuddin bin Ahmad, bekas anggota 7 Renjer.

Setiap kali melihat Nuri terbang saya akan terkenang peristiwa yang berlaku pada 17 April 1976 semasa OPS GUBIR 2. No 8 Terup, 1 RGKM diketuai saya telah diberi misi menyerang Kem PKM yang terbesar di sempadan Malaysia/Thailand. Heliborne Assault with Komandos berani mati. Mej Rajasaikaran Naguran (B), bekas pegawai 1 RGKM.

Sebagai veteran Skuad 69 dan veteran VAT 69, saya merakamkan ribuan terima kasih kepada anak kapal Nuri yang menyelamatkan saya yang tercedera akibat jerangkap samar. Nuri adalah nadi pengangkutan yang mempermudahkan pergerakan kama menjajaki musuh negara. Sjn/Wt (B) 50224 Abdul Halim bin Puteh, bekas anggota PPH dan VAT 69 kehilangan kaki kanan akibat jerangkap samar.

Jasa Nuri ini kepada peperangan insurgensi melawan PKM memang tidak boleh dilupakan dan merupakan satu-satunya aset yang terpenting. Kalau tidak ada Nuri macam mana kami nak keluarkan anggota-anggota yang tercedera dari tengah hutan belantara? Lt Kol Hj Robert Rizal Abdullah (B) PGB, bekas pegawai 3 Renjer.

Saya hanya mampu mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak kapal Nuri yang  menyelamatkan saya apabila cedera parah akibat jerangkap samar semasa menentang pengkhianat negara. Tanpa Nuri dan kru mungkin saya tidak dapat  melihat dunia ini lagi. Jasamu dan kru masih dalam ingatan kami, bekas tentera tetap tidak dapat dipisahkan. L/Kpl Nor Mohamad bin Lawamiah, bekas anggota RGKM yang kehilangan kaki kanan akibat jerangkap samar.

Saya mengambil kesempatan ini untuk tabik kepada juruterbang dan kru Nuri yang mana tanpa pesawat udara ini kejayaan operasi melawan KPM tidak dapat dicapai...'Andainya kita lupa'. Mej Lee Hock Sun (B), bekas pegawai 9 RRD yang cedera akibat jerangkap samar.

Terima kasih tidak terhingga kepada kru dan Nuri di atas jasa mereka kerana bapa saya, S/Sjn Talib bin Buang yang berkhidmat di 8 RAMD Kem Bentong pada 1983-1991, selamat pergi dan balik setiap kali ada operasi menentang komunis. Rozairy bin Talib.

I was a Platoon Commander and Intelligence Officer in 7 RRD in the 70s. We were involved in counter insurgency operations in Kedah, Perak, Sarawak and the Malaysian-Thai border where we had to depend on the Nuri helicopter for deployment, extraction, replenishment and casualty evacuation. Every time we heard the Nuri, it was music to our ears. We will certainly miss hearing the sound of Nuri rotors in our sky. Kol K. Suhirtharatnam (B).

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada pilot Nuri serta kru yang bertanggungjawab menerbangkan ayah saya, 21280 Kpl Md Ludin bin Putih bersama rakannya 29671 Pbt Ahmad Razaman bin Mat Lazim, 3 RAMD. Kedua-duanya telah tercedera dalam kejadian letupan jerangkap samar di Gubir pada 10 Jun 1976. Terima kasih di atas jasa bakti kalian. Harun bin Md Ludin.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada pilot dan AQM Nuri atas jasa dan pengorbanan pihak tuan membawa arwah ayah 650652 PW2 Hj Yasin Idris 'C' Bty 3 Arty bersama gunner dan meriam dari Kroh/Gubir ke Marker yang terdapat di sempadan Malaysia/Thai semasa kemuncak insurgensi. Alhamdulillah semuanya selamat kecuali semasa resup di Marker Kilo One Bar yang diserang PKM tahun 1976. Zamri bin Yasin.

Saya ingin merakam setinggi tahniah kepada semua kru Nuri dan anggota kejuruteraan yang pernah berkhidmat dengan pesawat Nuri sejak semasa darurat hingga kini. Semoga segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan untuk mendaulatkan kesejahteraan agama dan negara dibalas oleh Allah Taala dengan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat, amin. 530838 PWI Sohadi bin Supardi, bekas anggota kejuruteraan No 3 Skuadron dan No 10 Skuadron.

Terima kasih tak terhingga pada pilot dan kru Nuri kerana khidmat bakti dan bantuan sepanjang Ops Bamboo menghantar anggota dan bantuan bekal di pos-pos pedalaman Perak dan Kelantan. Zaharudin bin Jali mewakili ayahnya, Sjn Jali bin Othman (B), Bn 19 PPH (Senoi Praaq).

Tabik dan salam rindu dan sayang kepada Nuri. 703487 Kpl Othman bin Awi, bekas anggota kejuruteraan No 3 Skuadron dan No 10 Skuadron.


Buat wira Nuri pilot, copilot dan aircrew, terima kasih saya ucapkan atas jasa bakti anda mengorbankan masa dan keluarga demi tugasan hakiki yang di utamakan. Jasa anda semua tetap dikenang. Tiada Nuri siapalah kita untuk diatur gerak ke kawasan operasi. Tanpa Nuri, tak makanlah rangsum ulang bekal semasa operasi. 1101041 Kpl Sariman bin Saaidin, bekas anggota KKD.

Saya mengenal erti susah senang, peristiwa suka duka bersama pesawat Nuri yang terlalu banyak jasanya kepada negara. 715664 Mohd Faizal, bekas anggota kejuruteraan No 5 Skuadron.


Saya seorang dari drebar Nuri di zaman 1972 hingga 1983. Banyak kenangan manis dan kurang manis saya bawa ke hari ini! Misi resup, misi winching casevac, misi bodevac, night rescue, SAR kapal tenggelam dll. Thanks Doc Nor Ibrahim Sulaiman for actively writing about Nuri nostalgias!! Mej Musa bin Hassan, bekas juruterbang No 3 Skuadron, No 5 Skuadron, No 7 Skuadron dan No 10 Skuadron.

Salam penghargaan buat semua kru mengoperasikan pesawat Nuri – The Legendary Workhorse.  Terima kasih atas perkhidmatan anda untuk Malaysia. F/Sjn Nasarudin bin Omar, bekas anggota kejuruteraan No 3 Skuadron.

Isnin, 17 Februari 2020

Hampir Terperangkap

Ni treler "Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan".... 

Masih lagi kisah membuat penerbangan casevac di waktu malam. Pada lewat petang 15 Mac 1986, sebuah Nuri diberi tugasan casevac di kawasan operasi Op Kota Charlie dan Delta yang juga melibatkan pasukan 25 RAMD. Misi ini membabitkan dua orang anggota daripada Platun Harimau/Platun Risik Tempur (Unit Combat Intelligence Squad [UCIS]), 25 RAMD yang tercedera akibat jerangkap samar. Kedua-dua mangsa terdiri daripada 15 orang anggota UCIS yang membuat rondaan di luar kawasan pangkalan hadapan, LP Hotel 1-Bar (H-) berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand. Anggota pertama yang berperanan sebagai peninjau telah ternampak dua orang musuh dalam jarak lebih kurang  30-40 meter sedang memasang jerangkap samar. Lantas beliau telah menjerit ‘musuh’ dan meluru mencari perlindungan, diikuti oleh yang lain-lain. Ini memberikan musuh masa untuk mengaktifkan dan meletupkan jerangkap samar yang mencederakan dua anggota Platun Harimau. Mangsa-mangsa terbabit ialah L/Kpl Ibrahim bin Zainal dan Pbt Kamaruddin bin Rauf dan mereka telah mengalami kecederaan di bahagian mata dan kedua kaki. Musuh pula berjaya meloloskan diri. Apabila berita ini diterima oleh Pegawai Memerintah, Lt Kol Hashim bin Karim yang berada di Markas Taktikal, 25 RAMD di Kem Gubir, beliau menyalurkan permohonan melalui saluran tertentu kepada Pusat Operasi Tentera Udara (POTU). POTU meluluskan permohonan dan seterusnya tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada No 3 Skuadron, TUDM Butterworth.

Sementelah tugasan tersebut diterima selepas waktu kerja, maka tugasan dipertanggungjawab kepada kru standby kedua-dua jenis pesawat, iaitu Nuri dan helikopter gempur Alouette III. Kru Nuri terdiri daripada Kapt Revi Chandran TUDM, Lt Tuan Mustapha bin Tuan Hussin TUDM (pembantu juruterbang), dua orang KU iaitu F/Sjn Koey Hong Chen (mendiang) dan Sjn Jacob Oommen serta tiga orang anggota Handau. Sementara kru helikopter gempur pula ialah Kapt Wan Baharuddin TUDM, Kapt Norizan bin Abu Bakar TUDM dan F/Sjn Azizan bin Mat Saman. Sebelum berlepas, Ketua Cawangan Penerbangan telah memberi taklimat kepada Kapt Revi untuk melakukan yang terbaik dalam usaha menyelamatkan mangsa-mangsa terbabit untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang.  

He..He..He. 

Rabu, 12 Februari 2020

Serang Hendap Ke Atas 7 Rejnjer Di Lundu


Petikan dari draf "Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan"...
PGRS pula tidak melepas peluang untuk melakukan serang hendap terhadap pasukan keselamatan seperti yang berlaku pada 26 Mac 1972 di Lundu dalam Divisyen Pertama. Pada pagi hari tersebut, konvoi yang terdiri dari sebuah Land Rover dan dua buah trak Bedford 3-ton berlepas dari Markas Taktikal 7 Renjer, Lundu menuju ke Kem Biawak yang merupakan Pos Gabungan ATM/TNI. Land Rover dinaiki Kpl Salleh (pengimpal) sementara Spr Md Desa sebagai pemandu. Mereka adalah anggota Pasukan Kejuruteraan dari No 3 Skuadron Jurutera yang berpangkalan di Kem Penrissen, Kuching. Kehadiran anggota Jurutera ini adalah untuk melakukan pemeriksaan dan membaiki masalah membabitkan sistem perairan yang memerlukan perkhidmatan pengimpal di kem tersebut. Pergerakan anggota jurutera diiringi oleh dua buah trak Bedford 3-ton yang diketuai oleh  15567 Sjn Basha bin Sulaiman, Sarjan Platun Mortar; setiap satu Bedford 3-ton membawa sembilan orang anggota dari Markas Kompeni. Setelah pembaikan dilaksanakan dan selepas makan tengah hari, mereka bertolak semula ke Lundu pada lebih kurang jam 3:30 petang. Aturan pergerakan masih mengekal aturan gerakan yang sama seperti pergerakan ke Biawak pagi itu, iaitu konvoi didahului oleh Land Rover. Mengikut perancangan, anggota kejuruteraan akan bermalam di Lundu sebelum pulang ke Kuching keesokan hari.
Cuaca ketika itu panas terik. Keadaan diburukkan terutama kepada mereka dalam trak Bedford tanpa bumbung  kerana terpaksa menghidu debu yang berterbangan sementelah jalan dari Biawak ke Lundu masih belum diturap dengan tar. Walaupun berhadapan dengan debu, jalan ke persimpangan Kampung Jangkar, iaitu lebih kurang 5 km dari Kem Biawak dan 10 km dari Kem Titi Akar, agak lurus dan selesa. Keadaan topografi hanya terdapat tebing di kiri dan kanan jalan namun ketinggiannya hanya lebih kurang ketinggian Land Rover sahaja di sebelah kiri. Kawasan beberapa meter dari tebing-tebing hingga ke pinggir hutan agak bersih tanpa  semak-samun. Selain itu terdapat beberapa batang balak di pinggir hutan di sebelah kiri dan kanan tebing yang kedudukan kebanyakannya mendatar dengan jalan. Pada lebih kurang jam 3:45 petang, konvoi melalui jalan lurus ini dan tiba-tiba ‘bang...bang...bang.’ Mereka sudah berada dalam zon membunuh serang hendap segerombolan musuh terdiri daripada lebih kurang 30-40 anggota yang terdiri dari kaum lelaki dan perempuan daripada Kompeni Kedua PGRS. Kumpulan gerila komunis ini yang merupakan paling ganas dan aktif di kedua-dua Divisyen tersebut telah  memuntahkan peluru ke arah ketiga-tiga kenderaan. Tembakan musuh telah terkena cermin hadapan sebelah kiri Land Rover membuatkannya pecah. Alangkah terkejutnya Kpl Salleh! Lantas beliau mengarahkan pemandunya memecut ke Kem Titi Akar yang menempatkan Ferret Scout Car No 1 Trup, Skuadron A, 3 Peninjau
 
untuk meminta bantuan.
Kesan tembakan bertubi-tubi ke arah trak Bedford di belakang Land Rover membuatkannya gagal dikawal lalu tersadai di tebing sebelah kiri jalan yang juga merupakan kedudukan musuh. Tembakan musuh telah mencederakan 928353 Rjr Zainuddin bin Ahmad yang diciumi oleh tiga butir peluru di lutut kiri, jari telunjuk kanan dan dada di bawah ketiak sehingga darah membuak keluar dari mulutnya. Sejurus kemudian beliau jatuh tertiarap ke atas lantau.  Sementara itu, tembakan musuh telah mengorbankan serta merta pemandu trak Bedford kedua sehingga mengakibatkan kenderaan tersebut terbalik di tebing sebelah kanan jalan. 930474 Rjr Shahar bin Yayaha yang diciumi oleh peluru musuh terus pengsan. Dalam keadaan begitu kelam-kabut, Kpl Yahaya telah terjun dari kenderaan dan menyembunyi diri. Serangan ini telah mengorbankan beberapa anggota serta merta dan ada yang cedera parah. Setelah memastikan wira-wira negara sudah lumpuh, satu kumpulan pengkhianat negara turun dari lokasi serang hendap dan naik ke atas kenderaan untuk merampas senjata-senjata dan set radio.
Menurut 928353 L/Kpl Zainuddin bin Ahmad, kedudukan kenderaan berada dalam zon membunuh menghalang mereka bertindak balas. Beliau selanjutnya memberitahu beliau yang tertiarap di lantai kenderaan dan menyamar mati, dicampak oleh musuh ke jalan raya bersama mangsa-mangsa lain bak membuang sampah. Sungguh zalim! Mengimbau kembali insiden ini, beliau menceritakan tanpa diduga bak cerita filem, tiba-tiba hujan panas turun dengan lebatnya selama lebih kurang lima minit seolah-olah mahu membersihkan jalan laterit yang dibanjiri dengan darah pejuang-pejuang negara!
Apabila tiba di Kem Titi Akar yang terletak di persimpangan Lundu-Biawak-Semantan, Kpl Salleh memaklumkan kepada trup mengenai serang hendap tersebut. Sebaik sahaja mendengar berita tersebut, tanpa arahan dari ketuanya, Kpl Jamaluddin bersama pemandu kenderaan Ferret Scout telah memecut ke lokasi kejadian. Apabila tiba di lokasi, beliau telah memuntahkan peluru mesingan Browning 303 yang dipasang pada kenderaan tersebut.  Menyedari kehadiran kenderaan Ferret Scout membuat petualang negara segera berundur tetapi mereka berjaya merampas beberapa senjata Self Loading Rifle (SLR), sub-machine gun (SMG) dan set radio. Tidak lama kemudian, trup dari 1 Peninjau tiba di lokasi. Dengan kehadiran trup ini, musuh terus beredar. Menurut L/Kpl Zainuddin lagi, beliau dan 452752 Rjr Alimin bin Ibrahim dimuatkan dalam Ferret Scout dan dibawa ke Lundu. Mereka terpaksa berdiri sepanjang perjalanan ke Titi Akar kerana kenderaan tersebut tiada tempat untuk penumpang. Dari Titi Akar mereka dipindahkan ke Hospital Lundu untuk mendapat rawatan. Walau bagaimanapun, kecederaan mereka begitu serius dan Hospital Lundu tiada kemampuan untuk merawat mereka sebaliknya mereka perlu dihantar ke Hospital Umum Kuching untuk mendapatkan rawatan sewajarnya untuk menyelamatkan mereka. Persoalan yang dihadapi oleh 7 Renjer ialah bagaimana mangsa-mangsa dihantar ke Kuching. Malam sudah menjelang dan penghantaran melalui jalan raya tidak dapat dilakukan kerana feri untuk menyeberang Sungai Lundu tidak beroperasi dari jam 6:00 petang hingga 6:00 pagi keesokan hari selain mengambil masa lama dan juga berbahaya. Pilihan terbaik ialah meminta perkhidmatan Nuri. Justeru, 7 Renjer telah menghubungi 3 BIM memohon supaya Nuri membuat penerbangan casevac malam itu. 

Keadaan Land Rover yang dinaiki oleh anggota Pasukan Jurutera. Sumber: Kol Suhirtharatnam a/l Kulatratnam (B)  


Keadaan trak Bedford 3-ton yang berada di belakang Land Rover tersadai di tebing sebelah kanan jalan. Sumber: Kol Suhirtharatnam a/l Kulatratnam (B) 

Keadaan trak Bedford 3-ton di belakang sekali tersadai terbalik di tebing sebelah kiri jalan yang menjadi lokasi petualang negara. Sumber: Kol Suhirtharatnam a/l Kulatratnam (B) 

Apakah instrumen yang bawa 2 orang mangsa tersebut? Dah tentu le Nuri. Tapi masalahnya Nuri tidak dibenar melakukan penerbangan di waktu malam? Siapa yang nak benarkan penerbangan tesebut? Siapa pula kru?

Pokoknya, mana lebih penting...Nyawa atau SOP?

Nak tahu cerita selanjutnya, beli le buku yang dah 60% siap. Itu pun jika diizinkanNya, wallahualam.