Pengikut

Ahad, 19 Januari 2020

Casevac Pertama Di Waktu Malam

Draf pengenalan kepada bab bertajuk "Casevac Pertama Di Waktu Malam"...


Ancaman insurgensi komunis tidak terbatas di Semenanjung Malaysia sahaja. Sarawak juga berhadapan dengan insurgensi komunis dari Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU). Sama seperti PKM, PKKU berhasrat untuk mewujudkan “North Kalimantan Peoples’s Republic” merangkumi Sarawak, Sabah dan Brunei.  Pada mulanya, PKKU mengguna kaedah politik untuk menyebarkan ideologi komunisme di kalangan rakyat. Kegiatan mereka ini dijelaskan dalam Kertas Putih 1966 yang menegaskan bahawa Organisasi Komunis Sarawak telah berjaya menembusi kesemua strata masyarakat di Sarawak dari bidang politik, buruh, peladang sehingga ke peringkat pelajar. Walau bagaimanapun, mereka beralih kepada penggunaan senjata dan mengganas pada Disember 1962 akibat kegagalan pemberontakan Brunei untuk menjatuhkan pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin pada Disember 1962. Kegiatan mereka mendapat sokongan dari pihak Indonesia selari dengan negara tersebut melancar konfrontasi terhadap Malaysia. Namun sokongan ini tidak berterusan selepas rejim Presiden Soekarno digulingkan. Selepas era itu, mereka berhadapan dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang begitu alah dengan istilah komunis! Antara tindakan TNI mengekang kegiatan komunis ialah mengimplementasi program pemindahan penduduk ala Rancangan Briggs. Brig Jen Somadi, Panglima KODAM XII telah memindahkan penduduk Cina di sempadan ke sebuah kawasan baharu di selatan Sungai Kepuas. Di samping itu, beliau telah memberi amaran bahawa sesiapa yang berada di utara Sungai Kepuas adalah dianggap sebagai komunis!

Kesan tindakan TNI menghapuskan anggota komunis pada 1965 memaksa elemen bersenjata PKKU, iaitu Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang diketuai oleh Bong Kee Chok selaku Pengarah dan Komisar Politik menyeberang sempadan ke Sabah dan Sarawak. Kegiatan ini diperakui oleh Central Intelligence Agency (CIA). Dalam laporannya, objektif utama PKKU adalah mewujudkan keadaan huru-hara di Malaysia dan menjadikan Sarawak sebuah negara merdeka di bawah kawalan komunis. Berbeza dengan PKM yang menjadikan selatan Thailand sebagai kawasan dimana mereka bebas bergerak, PARAKU menjadi buruan pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia.  Namun, komunis tetap komunis! Walaupun keadaan tidak menyebelahi mereka, perjuangan tetap mereka teruskan di Sarawak. 

Ancaman PARAKU disertai dengan masalah yang dihadapi Malaysia terhadap tuntutan Filipina terhadap Sabah, menjadikan Nuri satu aset sangat diperlukan di Sabah dan Sarawak sebagai platform untuk perkhidmatan mobiliti udara. Anggota pasukan keselamatan diatur gerak berhampiran dengan sempadan dengan Filipina dan juga di sempadan negara dengan Indonesia. Keadaan ini melibatkan banyak pergerakan pasukan keselamatan dan ulang bekal selain penerbangan komunikasi dan apa jua perkhidmatan mobiliti udara yang diperlukan. Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada No 7 Skuadron, TUDM Kuching. Skuadron ini yang ditubuhkan di TUDM Kuantan pada Januari 1968, hanya berpindah ke TUDM Kuching pada Jun 1969 dengan Sqn Ldr Ahmad Merican sebagai Ketua Skuadron apabila beliau dinaikkan pangkat Squadron Leader.  Sejumlah empat buah Nuri, iaitu FM1141, FM1147, FM1148 dan FM1149 berada dalam inventori skuadron tersebut.

Walau bagaimanapun, tugasan dilaksanakan oleh Burung Besi hanya bermula pada April 1968 apabila lima buah pesawat telah diterima pada Mac 1968. Sebelum itu, tiga buah pesawat yang ada bukan sahaja diperlukan membuat tugasan perkhidmatan mobiliti udara di Semenanjung Malaysia tetapi juga untuk melatih juruterbang. Dengan penambahan pesawat yang hanya dilengkap dengan alatan navigasi paling asas, iaitu Automatic Direction Finder (ADF)  yang juga dikenali sebagai kompas radio (radio compass), kompas tunggu sedia (stand-by compass) dan ‘Mark II Eyeballs’ iaitu mata ciptaan Maha Kuasa, dua buah pesawat berlepas dari Kuantan ke Kuching pada 16 April 1968 jam 10:00 pagi sebelum meneruskan penerbangan ke Labuan. Penerbangan bersejarah menyeberangi Laut China Selatan buat pertama kali oleh helikopter TUDM diketuai oleh Ketua No 7 Skuadron, Sqn Ldr Mohamed Ngah bersama Plt Off Mustaffa bin Zakaria (pembantu juruterbang) dan Sjn Abdullah Basiron (KU) yang telah menerbangkan FM1142. Nuri kedua, FM1144 pula diterbangkan oleh Flt Lt Peter Yuen bersama Plt Off Stephen Ngiau (pembantu juruterbang) dan Sjn Lai Kam Tak (KU). Kedua-dua pesawat tiba di Kuching pada jam 2:00 tengah hari. Selepas bermalam di sana, keesokan harinya, 17 April 1968 jam 9:45 pagi mereka meneruskan penerbangan ke TUDM Labuan dan tiba pada jam 1:00 tengah hari; tempoh penerbangan ialah tiga jam 15 minit. Mereka di tempatkan di No 5 Skuadron sebagai elemen detasmen No 7 Skuadron.

Penerbangan bersejarah ini tidak kurang cabarannya. Sepertimana yang dijelaskan di atas, peralatan navigasi yang terdapat di panel instrumen Nuri adalah begitu primitif walaupun di era itu. Malahan ia tidak dilengkap dengan radar cuaca bagi meringankan pengurusan di kokpit terutama melakukan penerbangan malam. Dalam cuaca elok, penerbangan selama empat jam ke Kuching yang dihampari kebiruan lautan saujana memandang sudah pasti membosankan. Tiada sebarang tanda tempat untuk dijadikan sebagai rujukan selain sekali-sekala melihat kapal-kapal belayar menuju destinasi masing-masing. Navigasi dipermudahkan dengan juruterbang hanya perlu menala kompas radio ke frekuensi Radio Kuching yang akan membuatkan jarum kompas menunjukkan bearing ke stesen radio tersebut. Juruterbang hanya perlu mengemudikan pesawat selari dengan jarum kompas. Masalah yang dihadapi oleh juruterbang dalam apa jua keadaan ialah menentukan kedudukan pesawat. Ketika era itu, pesawat TUDM dikehendaki membuat panggilan ‘Ops Normal’ kepada Bilik Operasi Pangkalan melalui radio HF setiap 30 minit jam sekiranya membuat penerbangan melebihi setengah jam. Maklumat ini diperlukan bagi memudahkan operasi SAR sekiranya berlaku sebarang kemungkinan ke atas pesawat. Bagi menentukan anggaran lokasi, juruterbang bergantung kepada kompas radio dengan menggunakan kaedah ‘fixation.’ Dalam penerbangan ke Kuching tersebut, kaedah ini membabitkan kompas radio ditala kepada frekuensi stesen radio Singapura dan Kuching. Tindakan ini akan membuatkan jarum kompas radio menunjukkan bering kedua-dua stesen tersebut. Selepas itu, ‘back-bearing’ kedua-duanya diplotkan di atas peta. Anggaran lokasi pesawat ialah titik di mana kedua-dua garisan bertemu. Dalam cuaca buruk, selain menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada kompas radio, kebimbangan kru dikurangkan apabila menyedari bahawa mereka menuju ke daratan, iaitu Pulau Borneo.

Situasi agak berbeza apabila destinasi ialah sebuah pulau kecil yang merupakan batasan terhadapan negara, iaitu Pulau Layang-Layang di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan. Semasa transformasi Terumbu Layang-Layang kepada Pulau Layang-Layang di awal 1980an, tiada sebarang peralatan navigasi yang terdapat di lokasi tersebut untuk membantu juruterbang  Nuri menuju ke destinasi. Dalam keadaan cuaca baik dan tanpa tiupan angin kencang, pesawat yang berlepas dari Labuan ke Pulau Layang-Layang akan tiba di destinasi pada masa yang dianggarkan. Sebaliknya, jika berhadapan dengan angin lintang yang kencang kemungkinan pesawat akan terbabas dari laluan asal.  Namun, keadaan masih boleh dikawal kerana pulau tersebut dapat dikesan dari jarak jauh dalam cuaca baik oleh Mark II Eyeballs apabila ternampak tompok kecil kehijauan dalam kebiruan. Sebaliknya, dalam cuaca buruk dan jarak penglihatan terbatas kemungkinan besar pesawat akan tersasar dari destinasi dan memasuki ruang angkasa negara asing, seperti Amboyna Cay (Pulau An Bang) kepunyaan Vietnam yang jaraknya lebih kurang 50 batu nautika (93 km) dari Pulau Layang-Layang. Jika ini berlaku, tidak mungkin tentera Vietnam yang berada di sana akan mengalu-alukan kehadiran Burung Besi tanpa diundang!

Rabu, 8 Januari 2020

Nuri...Sumber Inspirasi Ku

Nama: Sikorsky S61A-4 NURI
Masuk perkhidmatan: Januari 1968.
Tamat tempuh perkhidmatan: Januari 2020.

Rakyat Malaysia dipertontonkan penerbangan pertama S61A-4 Nuri di ruang angkasa Kuala Lumpur

Berita Harian 8 Januari 2020

Tiada apa yang boleh saya katakan... Siapalah saya! Tetapi saya bangga sebagai salah seorang juruterbang yang diberi peluang mengendalikannya di era negara diancam petualang negara...komunis.

Saya bukannya seorang penyajak. Tapi...Ah tak kisahlah. Janji nak luahkan perasaan.

KERANA MU

Kerana mu, aku terjaga dari tidur
Diulit mimpi zon selesa
Angkara kedurjanaan petualang negara
Kerana mu, lahir Xnuripilot
Kerana mu, aku berkarya
Kerana mu, ramai menikmati kehidupan
Kerana mu, menyinar cahaya
Antara panggilan Ilahi dan kehidupan
Tidak kira siang atau malam
Ribut atau taufan
Kerana mu, aku mengejar puncak kejayaan
Walaupun di ufuk senja
Engkau sumber inspirasi ku
Engkau tetap terpahat di jiwaku.
Semoga Allah memberkatiku


Usia di ufuk senja. Sumber: FB


Tambahan dari Kol Zainal Piee TUDM (B) jam 1815..

Nuri oh Nuri.
Terlalu banyak kau tabor jasa.
Membantu wira di belantara.
Membantu rakyat di kala bencana.
Jasa mu dikenang setiap masa.

Dari Brig Jen Dato' Abdul Rahim bin Abdul Rahman TUDM (B) PGB PTU, jam 2059...

Nuri oh Nuri.
Kau kawan seperjuangan setia.
Sentiasa bersama di angkasa raya.
Setiap ketika sebilang masa.
Siap sedia untuk berjasa.

Nuri oh Nuri.
Setengah abad kau berbakti
Membela bangsa ibu pertiwi
Musuh durjana amat segani
Keberanianmu harus ditauladani

"Whatever is worth from a painful heart that is bleeding, sayonara my Iron Bird."

Sesiapa berminat nak berspuisi, sila hantar. Terima kasih.