Pengikut

Selasa, 13 Jun 2023

8 RAMD: 5 KIA & 2 WIA

 Sambungan dari klik di SINI

Susulan Op Jala Raja, satu lagi operasi besar-besaran, Op Hentam, telah dilancar di kawasan Muara Tebas, bersebelahan Nonok pada 8 Mac 1971.[1] Operasi ini membabitkan infantri batalion dan dua batalion PPH. Antara pasukan yang terlibat ialah 8 RAMD dan Tiger Platoon/UCIS, 1 Renjer.

8 RAMD yang berpangkalan di Kem Semenggo, Kuching memainkan peranan sebagai batalion mengepung dan memusnah; Markas Taktikal Batalion di Bako. Tugasan mencari ini dipikul oleh Tiger Platoon 8 RAMD.[2]  Keutamaan operasi ini memaksa Kompeni ‘Charlie’ yang bertanggungjawab di Sematan, Lundu dan Biawak diatur gerak ke kawasan operasi (AO) di Bako.

Tugas Tiger Platoon 8 RAMD seterusnya diambil alih oleh Lt M Baharin bin Abd Jalil yang mengetuai Tiger Platoon, 1 Renjer. Beliau serta dibantu oleh Rjr Lan a/k Gima telah berjaya membunuh 13 pengkhianat negara pada 17 Mac 1971.[3] Manakala PPH pula telah berjaya membunuh dua pengganas komunis.[4] Dengan itu, Op Hentam telah menyusutkan lagi anggota PGRS seramai 15 anggota.

*****

Sementelah Kompeni Charlie yang diketuai oleh Kapt Aziz Hanafi telah diatur gerak ke Op Hentam, kawasan operasi di Sematan yang meliputi Lundu dan Biawak telah diambil alih oleh Kompeni Markas, 8 RAMD. Tetapi keanggotaannya tidak seperti kekuatan kompeni. Sebelum ketibaan Lt M Ismail bin Malek yang menjawat Komander Mortar mengambil alih Kompeni Markas di Sematan pada 18 Mac 1971, lokasi itu diketuai oleh seorang Pegawai Waran.

Laluan konvoi 2-kenderaan dari Sematan-Lundu-Biawak pada 19 Mac 1971. Suber: Google

Lt M Ismail diatur gerak ke Sematan sekembali dari Kota Kinabalu setelah menduduki peperiksaan naik pangkat Leftenan ke Kapten dengan menaiki Land Rover.[5] Keanggotaan di Sematan terdiri daripada tukang masak, penjaga stor senjata (armourer), pemandu dan anggota ‘medic’ (Kor Perubatan). Kenderaan yang ada hanyalah masing-masing sebuah trak 3-ton dan Land Rover. Kedua-dua trak tanpa kanopi bagi memudahkan trup melompat keluar sekiranya diserang hendap.

Dalam taklimatnya kepada Lt M Ismail, Pegawai Waran berkenaan memaklum aktiviti keesokan hari, 19 Mac 1971. Kedua-dua buah kenderaan, 3-ton dan Land Rover, akan dihantar ke Pos Lundu dan Biawak untuk menghantar bekalan segar dan rangsum yang telah dibekalkan oleh Kem Semenggo sebelum itu. Aktiviti tersebut hanya rutin biasa yang telah dijadualkan oleh Markas Taktikal Bn di Bako. Oleh kerana aktiviti sudah atur, tugasan Lt M Ismail hanya bagi menentukan semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Jumaat, 19 Mac 1971. Seperti yang dirancang, pada pagi itu kedua-dua kenderaan bertolak dari Sematan ke Lundu dan seterusnya ke Biawak. Ketua konvoi ialah Kpl Osman yang menaiki Land Rover yang dipandu oleh 7019 Pbt Hassan bin Mehat, lebih dikenali sebagai Hassan Dayak serta seorang anggota dengan senjata mesingan ringan (LMG).[6] Manakala trak 3-ton pula dipandu oleh 6821 Pbt Mahat bin Gudek. Duduk di ‘kokpit’ ialah 205772 Kpl Ahmad bin Ibrahim, anggota Kor Perubatan. Lain-lain anggota ialah 10337 L/Kpl Omaran bin Ahmad, 8050 Pbt Mat Omar bin  Tahir, 10282 Pbt Abd Majid bin Abu,  18805 Pbt Shaari@Nasir bin Yahaya[7] dan 18373 Pbt Mansor bin Mohd Tapi

*****

Pada mulanya cuaca tengah hari itu baik. Tetapi tiba-tiba hujan panas turun. Keadaan ini agak merunsingkan Kpl Ahmad. Sebagai seorang yang ‘telah lama makan garam,’ beliau teringat kepercayaan orang tua-tua mengenai hujan panas. Terdetik dalam hatinya “...kalau tiba-tiba ada hujan panas, akan ada benda yang tidak baik berlaku."[8] Lalu beliau berdoa: “Ya Allah, lindungilah perjalanan daripada sebarang malapetaka, amiiiin.”

Perhentian pertama, Lundu, tidak mengalami sebarang masalah. Destinasi seterusnya ialah Biawak. Sebaik sahaja tiba di persimpangan Jalan Titiakar-Biawak, konvoi membelok ke kiri.


    Firasat Kpl Ahmad menjadi kenyataan. Sudah pasti mereka tidak menyedari bahawa pada hari itu segerombolan petualang negara berkuatan lebih kurang 20-30 orang di atas tebing laluan itu menunggu untuk melakukan serang hendap ke atas pasukan keselamatan. Apabila Land Rover melepasi ‘zon bunuh (killing zone),’ pada jam lebih kurang 2:00 petang: “bang...bang...bang.” Musuh menyerang truk 3-ton.

Sasaran musuh terkena Pbt Mahat, pemandu kenderaan; beliau terkorban. Truk terus terbabas dek tanpa pemandu. Manakala sebutir peluru tertanam di paha kanan dan belakang badan Kpl Ahmad.[9] Manakala serpihan cermin telah mencederakan tengkuk, kaki dan lutut.[10] Doanya dimakbulkan-Nya. Beliau tidak sedar diri tetapi masih bernyawa.

Lima penumpang cuba membalas tembakan musuh. Malahan  Pbt Mat Omar terus melompat dari trak untuk membalas tembakan musuh.[11] Tetapi apakan daya. Keadaan muka bumi memihak kepada musuh. Kecuali Pbt Mansor yang ditembusi peluru di kaki, empat anggota telah terkorban.

Sementara itu, Land Rover yang berada di hadapan, terus berhenti dan menembak musuh. Mereka cuba menghampiri trak tetapi terhalang akibat tembakan musuh bertubi-tubi ke arah mereka. Kpl terus menghantar mesej melalui radio ke Sematan memberitahu situasi yang dihadapi mereka.

*****

Dengan Land Rover dihalang daripada membantu, sekumpulan pengkhianat negara turun tebing. Mereka menaiki trak yang sudah tersadai di tebing untuk merampas ‘harta perang’ terutama senjata dan peralatan ‘webbing.’ Mereka mendapati Pbt Mansor masih hidup dan salah seorang musuh hendak membunuhnya.

Tetapi ajal maut di tangan Allah, bukan di tangan hamba-Nya. Niat itu terhalang apabila seorang musuh menghalangnya. “Biar dia hidup...biar dia beritahu rakyat.”[12] Terdapat musuh masuk kokpit untuk merampas harta perang. Ketika itulah disangka Kpl Ahmad telah terbunuh.

Dalam keterujaan merampas harta perang, musuh telah menonjolkan kezaliman yang sudah menjadi ‘hak cipta’ mereka. Memetik Mej Ismail bin Malek TUDM (B) yang merupakan kumpulan pertama tiba di lokasi: “Most of the dead were mutated by the CTs to get our soldiers’ equipment and weapons. Sangat mengerikan.”[13]

Sebaik sahaja tugasan selesai, petualang beredar dari situ. Hari itu, negara kehilangan lima wira negara KIA dan dua WIA!

*****

Markas Taktikal, Sematan. “Tuan, konvoi kita kena serang hendap.” Jerit operator radio kepada Lt M Ismail. Tanpa berlengah, Lt M Ismail (kiri: Mej Ismail bin Malek TUDM (B)) mengumpul beberapa anggota untuk membantu anak buahnya. Tetapi tidak semudah itu. Tiada lagi kenderaan untuk membawa mereka ke lokasi tersebut!

Dalam keadaan begini, Lt M Ismail mengambil inisiatif untuk meminta bantuan daripada seorang tuan punya kedai, seorang lelaki Cina, berhampiran. Lalu, berjalan keluar kem ke kedai tersebut. Beliau menjelaskan keadaan yang dihadapi dan memohon untuk meminjam sebuah kereta beliau kepada mereka. Lelaki tersebut enggan meminjamkan keretanya tetapi sedia menghantar mereka ke lokasi. Tak apalah...lebih baik daripada tak ada langsung.

Dengan persetujuan itu, Lt M Ismail bersama lebih kurang empat lagi anggotanya bergerak ke lokasi dengan sebuah kereta ‘Datsun pick-up.’ Mereka tiba di lokasi lebih kurang sejam kemudian. Selepas menurunkan penumpang-penumpang, tuan punya kereta balik ke Sematan.[14]

        Setiba di sana, beliau melihat Land Rover dan penghuninya masih berada di situ. Setelah pasti musuh sudah beredar, kesemua mereka merapati trak 3-ton. Pemandangan sungguh mengerikan. Trek dibasahi dengan darah rakan seperjuangan. Lt M Ismail “tidak dapat dibayangkan kekejaman komunis yang tidak berperi kemanusiaan!”[15]

Lt M Ismail dan anggotanya membawa keluar Kpl Ahmad dan Pbt Mansor dari kenderaan dan membaringkan mereka di tempat teduh. Seterus beliau mengarah untuk membalut luka mereka. Beliau seterusnya menghubungi Markas Taktikal Bn bagi melaporkan penemuannya dan meminta helikopter untuk misi casevac dan bodevac.

*****

Markas Taktikal Bn, Bako. Mesej operator radio semasa serang hendap turut didengar oleh CO. Beliau (CO) seterusnya menghubungi Markas Taktikal 3 BIM memohon bantuan mobiliti udara untuk memasukkan trup serta membawa keluar mangsa-mangsa untuk mendapat rawatan.

Kini tiba tugas yang menyayat hati melihat mayat dizalimi oleh pengkhianat negara. Lt M Ismail dan anggotanya mengutip serpihan anggota rakan seperjuangan.[16]

*****

Permohonan disalur kepada Markas Wilayah Udara di Kuching. Sudah pasti: Lulus. Kelulusan itu disalur kepada Bilik Operasi TUDM Kuching yang seterusnya menghubungi Bilik Operasi No 7 Skuadron dengan butiran tugasan.

Misi: casevac dan bodevac.

Waktu berlepas: ASAP (as soon as possible).

Sebaik sahaja mendapat butiran, pesawat Nuri, FM1149, yang dikendali oleh Flt Lt Leong P.S. yang menjawat sebagai Ketua Flait bersama Plt Off Munusamy (kopilot) dan Sjn Patrick Lee berlepas ke lokasi serang hendap. Pesawat mendarat di atas trek dalam hujan lebat berhampiran dengan mayat bergelimpangan.[17] Kesemua beg mayat dan dua casevac dimuatkan dalam pesawat. Tetapi pesawat tunggu buat seberapa ketika kerana hujan membatas penglihatan, hampir 'zero visibility.' Memang benar apa yang dikatakan oleh Lt M Ismail mengenai keadaan mayat. Sjn Patrick begitu sedih melihat terdapat bahagian anggota mayat yang dipotong-potong![18] Tak tahulah petua ilmu apa yang mereka pakai hingga mayat dizalimi, wallahualam. 

Setelah hujan kurang sedikit, pesawat berlepas ke TUDM Kuching di mana ambulans dan kenderaan sedang menunggu. Kpl Ahmad dan Pbt Mansor dikejarkan ke Hospital Umum Kuching untuk mendapat rawatan sewajar.

*****

Selepas sebulan Kpl Ahmad terlantar di hospital, doktor berjaya mengeluarkan sebutir peluru dari pahanya.[19] Beliau dan Pbt Mansor dibenarkan keluar dari hospital setelah menghuni di situ selama tiga bulan.[20]

Oleh kerana hujan lebat dan malam menjelang datang, Lt M Ismail membuat keputusan untuk bermalam di situ. Keputusan ini dimaklum kepada Markas Bn.

*****

Pada pagi keesokan hari, 20 Mac 1971Lt M Ismail dan anak buahnya balik ke Sematan dengan Land Rover dengan dipandu oleh Pbt Hassan. Sementara itu sebuah Nuri mendarat di Markas Bn di Kpg Bako untuk mengambil satu platun ke lokasi serang hendap. Misi platun tersebut ialah untuk memburu dan memusnah musuh. Platun yang dipertanggungjawab misi tersebut dipikul oleh Platun No 10, Kompeni Delta, 8 RAMD yang diketuai oleh Lt M Tajuddin bin Maulud. Lebih kurang dua minggu beliau dan anak buahnya meronda di kawasan tersebut tetapi gagal mengesan musuh. Selain itu, Oleh kerana itu, CO mengarahnya balik ke pangkalan di Kem Semenggo.[21]

Selain itu, Kapt Aziz Hanafi, Ketua Kompeni C diarah untuk mengambil alih semula kawasan operasi yang dipertanggungjawab kepada Kompeni C sebelum ini, iaitu Sematan, Lundu dan Biawak. Susulan itu, Lt M Ismail Malek pula diarah kembali ke Kem Semenggo, Kuching. Beliau diarah untuk mengiringi jenazah ke Negeri Sembilan.[22]

ATM yang begitu prihatin terhadap kebajikan anggotanya, telah menerbangkan Puan Tumina, isteri Kpl Ahmad bin Ibrahim dan juga isteri Pbt Mansur ke Kuching.

*****

 Persoalan: Adakah serang hendap terhadap 8 RAMD tersebut sebagai satu helah musuh untuk mengalih perhatian pasukan keselamatan daripada terus memburu dan mengepung petualang negara di kawasan Op Hentam? Pasukan keselamatan telah berjaya membunuh sejumlah 15 musuh. Saki baki musuh perlu meloloskan diri daripada kepungan itu. Wallahualam!

*****

Mengimbau kembali peristiwa hitam yang menimpa dirinya, pada Ogos 2019, S/Sjn Ahmad bin Ibrahim (Allahyarham) meluahkan harapan untuk bertemu dengan Pbt Mansor (bersara Sarjan). Tetapi harapan hanya tinggal harapan kerana beliau (S/Sjn Ahmad) telah menyahut panggilan Ilahi pada 4 September 2021. Manakala Sjn Mansor yang tidak tahu hasrat rakan seperjuangan untuk menemuinya semula, telah menyusuli rakannya itu pada 26 Jun 2022.[23]

Beliau menasihati generasi muda supaya “...menyertai badan beruniform seperti polis dan tentera, supaya dapat menyumbang jasa kepada negara.”[24]

Dengan pemergian S/Sjn Ahmad bin Ibrahim dan Sjn Mansor bin Mohd Tapi, tternoktahlah satu episod sejarah tanah air.

KIA

10337 L/Kpl Omaran bin Ahmad

6821 Pbt Mahat bin Gudek

8050 Pbt Mat Omar bin  Tahir

10282 Pbt Abd Majid bin Abu

18805 Pbt Shaari@Nasir bin Yahaya 

WIA


205772 Kpl Ahmad bin Ibrahim (gambar)
18373 Pbt Mansor bin Mohd Tapi 

       Setahun kemudian, pada 26 Mac 1972, musuh telah menyerang hendap konvoi 7 Renjer di Kpg Jangkar, berhampiran Kpg Jantan. 15 wira negara KIA dan empat WIA.

       Saya tabik spring kepada veteran 7 Renjer yang telah berusaha untuk mengabadikan para wira mereka yang KIA dan WIA dalam insiden tersebut.

Perasmian memorial oleh Menteri Kebudayaan Negeri Sarawak pada 3 Mei 2023 bagi mengenang 15 KIA dan 4 WIA anggota 7 Renjer yang diserang hendap di Kampung Jangkar, Jalan Titiakar-Biawak pada 26 Mac 1972. Sumber: Kol Suhirtharatnam (B)

Senarai anggota 7 Renjer yang KIA dan WIA dalam serang hendap di Jalan Titiakar-Biawak pada 26 Mac 1972. Sumber: Kol Suhirtharatnam (B)

*****

Saya harap coretan ringkas saya ini akan mencetus kesedaran kepada para veteran 8 RAMD untuk mendokumentasi peristiwa-peristiwa yang dilalui di suatu ketika dahulu. Hargailah mereka yang sedia menggadai nyawa demi menjaga kedaulatan negara. Dokumentasikan peristiwa yang dilalui seperti ini supaya generasi akan datang sedar kesejahteraan yang mereka kecapi kini tidak datang bergolek begitu sahaja. Banyak darah mengalir!

Mungkin buat permulaan, menggerak usaha untuk membina memorial seperti yang dilakukan oleh 7 Renjer, wallahualam. Fikir-fikirkanlah.

*****

  

 [1]            James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 196.

[2]              Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Jun 2023.

[3]              Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. – Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 129-134.

[4]              James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 197-198.

[5]              Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023.

[6]              Penjelasan oleh 10790 S/Sjn Mohamad bin Tuan Chik (B) melalui telefon pada 23 Mei 2023. 

[7]              Maklumat daripada Mej Salim bin Ibrahim, JHEV, melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023.

[8]              Malaysiakini, Serangan komunis: Ahmad sebak setiap kali terkenang, 29 Ogos 2019. Lihat https://m.malaysiakini.com/news/ 489947 (diakses pada 19 Mei 2023). 

[9]              Ibid.

[10]            Penjelasan oleh Puan Dila binti Ahmad, anak kepada arwah S/Sjn Ahmad bin Ibrahim melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Mei 2023.

[11]            Penjelasan oleh 10790 S/Sjn Mohamad bin Tuan Chik (B) sebelum ini.

[12]            Ibid.

[13]            Penjelasan oleh Mej Ismail bin Malek TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023. 

[14]            Ibid.

[15]            Ibid.

[16]            Penjelasan oleh 10790 S/Sjn Mohamad bin Tuan Chik (B) sebelum ini.

[17]            Penjelasan oleh Lt Kol Munusamy TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023.

[18]            Penjelasan oleh PW U II Patrick Lee (B) melalui telefon pada 13 Mei 2023.

[19]             Penjelasan oleh Puan Dila binti Ahmad sebelum ini.

[20]            Ibid.

[21]            Pebualan dengan Mej Tajuddin bin Maulud melalui telefon  pada 9 Jun 2023.

[22]            Penjelasan oleh Mej Ismail bin Malek sebelum ini.

[23]            Menurut Puan Dila binti Ahmad, ayahandanya, S/Sjn Ahmad bin Ibrahim telah meninggal dunia pada 4 September 2021. Menurut rekod JRP, Sjn Mansor bin Mohd Tapi telah meninggal dunia pada 26 Jun 2022.

[24]          Malaysiakini, Serangan komunis: Ahmad sebak setiap kali terkenang, sebelum ini. 

Jumaat, 2 Jun 2023

PRA SERANG HENDAP KE ATAS 8 RAMD JALAN TITIAKAR-SEMATAN PADA 19 MAC 1971


            Bila bercakap mengenai ancaman komunis  di Malaysia di suatu ketika dahulu, tidak menghairankan terdapat kefahaman sebilangan  rakyat mengait Parti Komunis Malaya (PKM)   dan pasukan tenteranya, Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) punya angkara. Pada anggota pasukan keselamatan (ATM dan PDRM) di era itu, mereka sudah terbiasa dengan istilah ‘PGK/CT (Pasukan Gerila Komunis/communist terrorists)’ yang merujuk kepada TPNM. 

        Sebenarnya, ancaman PKM hanya di Semenanjung sahaja; parti itu tidak wujud di Sabah/Sarawak. Organisasi komunis yang menghuru-harakan Sarawak pada mula dikenali sebagai ‘Sarawak Communist Organisation (SCO)’ yang diterajui oleh Wen Min Chuan. Secara tidak rasmi, istilah SCO ini lenyap apabila Wen M.C. telah mengumumkan penubuhan ‘Parti Komunis                  Kalimantan Utara (PKKU)’ antara 19-21 September 1965.[1] Tidak lama kemudian, sama seperti Chin Peng, Setiausaha Agong PKM, telah melarikan diri ke China. Tindakan ini terpaksa diambil bagi mengelak daripada diburu oleh Tentera Nasional Indonesia berikutan insiden ‘Lobang Buaya’ di Jakarta pada 30 September 1965.[2]

Selari dengan penubuhan parti, dua unit penggempur/gerila ditubuhkan, iaitu Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) dan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS).


Pada 30 Mac 1970, setelah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pusat (Central Committee), Lim Ho Kui telah mengumumkan secara rasmi kelahiran PKKU. Wen M.C. masih Pengerusi PKKU walaupun dia berada di Beijing. Lim H.K. dilantik sebagai ‘ketua’ dan Setiausaha kepada kegiatan parti di Divisyen Pertama manakala Bong Kee Chok sebagai Komander Biro Kedua.[3] Seterusnya, PKKU bergerak menyeberang sempadan ke Sarawak. Kawasan operasi PGRS di Divisyen Pertama dan Kedua sementara PARAKU di Divisyen Ketiga.

Kedudukan pasukan bersenjata PKKU. Sumber: James Ritchie

 *****

Walaupun PKM dan PKKU adalah dua entiti berlainan, namun persamaan mereka sangat ketara. PKM berjuang untuk ‘memerdekakan’ Semenanjung dan rakyat marhaen daripada kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri melalui proses demokrasi - PRU. Ini selari dengan objektif PKM menjadikan negara tercinta ini menganuti ideologi komunisme yang berkiblat kepada negara      Republik China.


Manakala objektif PKKU pula ialah menjadikan Sarawak sebuah negara komunis.      Dalam manifestonya, PKKU mengumumkan “...tujuannya dan hubungannya yang rapat dengan PKM, iaitu sebagai parti-parti komunis yang bersaudara dan yang bekerja ke arah satu matlamat bersama, iaitu hendak menegakkan pemerintahan komunis di dalam wilayah masing- masing dengan cara bersenjata.”[4]


Apakah kaedah diambil untuk mencapai objektif tersebut? Seperti yang dilakukan oleh PKM, PKKU berpegang kepada falsafah Niccolo Machiavelli dalam

Machiavelli dalam bukunya, ‘The Prince,’ iaitu ‘Matlamat Menghalalkan Cara’.


Dan istilah ‘zalim’ sudah semestinya sinonim dengan komunis terhadap rakyat marhaen yang tidak berdosa yang enggan menyokong  perjuangan mereka! Individu yang ingkar “...dibunuh dengan kejam dan sesetengah daripada individu-individu tersebut dibunuh dengan cara dicincang.”[5] Selain itu, jika gagal membunuh anggota polis, gerila komunis akan beralih kepada sanak-saudara anggota tersebut.

*****

Sebelum penubuhan PKKU lagi, pasukan keselamatan telah dapat menghidu kegiatan petualang negara. Lantaran itu, pasukan keselamatan telah melancar ‘Op Jala Raja’ di kawasan Nonok pada 24 Februari 1970. Tujuan Op Jala Raja ialah “...untuk memerangi Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang berpangkalan di Kuching dan Simunjang, Sarawak.”[6]


Op Jala Raja menyaksikan pengganas komunis telah kehilangan 17 WIA, 10 orang ditawan manakala 5 orang menyerah diri.[7] Kejayaan yang membanggakan.

*****

    Susulan Op Jala Raja, satu lagi operasi besar-besaran, Op Hentam, telah dilancar di kawasan Muara Tebas, bersebelahan Nonok pada 8 Mac 1971.[8] Operasi ini membabitkan infantri batalion dan dua batalion PPH. Antara pasukan tentera terlibat ialah 8 RAMD dan Tiger Platoon/UCIS, 1 Renjer.

    8 RAMD yang berpangkalan di Kem Semenggo, Kuching memainkan peranan sebagai batalion mengepung dan memusnah dan Markas Taktikal Batalion di Bako. Tugasan mencari ini dipikul oleh Tiger Platoon 8 RAMD.[9]  Keutamaan operasi ini memaksa Kompeni ‘Charlie’ yang bertanggungjawab di Sematan dan Biawak diatur gerak ke kawasan operasi (AO) di Bako.

    Tugas Tiger Platoon 8 RAMD seterusnya diambil alih oleh Lt M Baharin bin Abd Jalil yang mengetuai Tiger Platoon, 1 Renjer. Beliau serta dibantu oleh Rjr Lan a/k Gima telah berjaya membunuh 13 pengkhianat negara pada 17 Mac 1971.[10] Manakala PPH pula telah berjaya membunuh dua pengganas komunis.[11] Dengan itu, Op Hentam telah menyusutkan lagi anggota PGRS seramai 15 anggota.

Bersambung....In syaa Allah



[1]              James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo. Kuching: Persatuan Bekas Polis Malaysia, Bahagian Negeri Sarawak, hlm. 168.

[2]              Ibid., hlm. 170.

[3]              Ibid., hlm. 188.

[4]             Mohd.    Reduan  Haji Asli. (2008). Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia. Ampang: DBP, hlm. 218.

[5]              Ibid, hlm. 205

[6]             Mej Jen Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Ketua Pengarang). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur: Markas TDM, hlm. 148-149.

[7]            Ibid.

[8]           James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 196.

[9]             Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Jun 2023.

[10]              Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. – Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 129-134.

[11]             James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 197-198.