Pengikut

Khamis, 24 April 2014

'Bang...Bang...Bang...'

Sambungan dari sini

6/8/69....


Jam ~ 0500, No 10 Skn, TUDM Kuantan. Juru teknik sibuk menyediakan FM1140 untuk penerbangan pagi itu.

Jam ~ 0530 - Sjn Ramly Bin Hassan, AQM, tiba untuk menentukan semua peralatan, seperti fuel pump, survival packs, 'Mae West' life jackets, lubrication dan hydraulic oils, ada dalam pesawat. Beliau kemudian panjat Nuri untuk membuat pemeriksaan.

Jam ~ 0600 - Flying Officer David Bailey (pilot RAF yang dipinjamkan kepada TUDM), kapten pesawat, dan Lt Richard Jalleh, ko-pilot, tiba di skuadron. David pergi ke pejabat 'Line' untuk memeriksa dokumen sebelum menandatanganinya sebagai menerima Nuri tersebut untuk tugas hari itu. Manakala Richard pula membuat pemeriksaan ke atas Nuri.

Jam ~ 0700 - Nuri pun berlepas dari Kuantan ke Changlun untuk tugasan ulang bekal kepada 1 PPH di Sadao.

Jam ~ 0900 - Nuri tiba di Changlun dan enjin dimatikan. Kru diberi taklimat oleh pihak Pasukan Keselamatan (PK). Selepas itu, Nuri berlepas untuk ke LP pertama.

Konstabel Ismail 'Rantai' (bersara Sub-Inspektor)  ditugaskan sebagai 'marshaller' di LP. Ketika Nuri 'on final' untuk mendarat, Ismail terdengar 'bang...bang...bang'  dan beliau melihat Nuri 'overshoot'. Nuri telah ditembak oleh pengganas komunis  (PGK). Terdapat peluru yang menembusi 'lower side window' di sebelah kanan dan kena 'seat' kapten. Oh mak datuk, terkejut betul kapten sehingga terlepas 'controls' (collective dan cyclic). Mujurlah Richard dengan pantas mengambil alih control sebelum menyerahkannya semula kepada kapten.

Mereka mendarat di gelanggang bola keranjang sebuah sekolah Cina di Changlun. Setelah membuat pemeriksaan, terdapat 18 lubang di Nuri. 2 butir peluru kena 'main rotor blade' sehingga BIM (blade indicator method) menjadi merah. Ini membuktikan ges nitrogen dalam 'spar' telah meresap keluar. Ges ini digunakan bagi mengesan sekiranya terdapat rekahan kepada rotor blades.

Selain itu, peluru telah menembusi 'nose compartment' sehingga 2 daripada 3 set radio (VHF, UHF & HF), dihinggap peluru dan tidak berfungsi lagi. Turut dicium oleh peluru ialah sponson di sebelah kanan dan seat steps.

Menurut Richard, beliau memang gementar. Selepas pemeriksaan dibuat, No 10 Skn dihubungi. Sementara menuggu 'recovery', beliau telah pergi ke sebuah restoran Cina berdekatan dan order 'hot beer' bagi menghilangkan perasaan gementar itu.

'Jam-jam' hanyalah andaian saya kerana tidak mendapat kepastian apa makna 'pagi' daripada mereka yang terbabit. Saya telah menghubungi Lt Kol Richard Jalleh TUDM (B) yang kini menetap di Perth, Australia, PW 1 Ramly Hassan di Pahang, dan Ismail 'Rantai' di Melaka.

Bersambung...

Ahad, 13 April 2014

Gugur

Sambungan dari sini....

Serangan hendap yang berlaku pada petang tersebut tidak mendapat sebarang bantuan. Tuan Hj Mohd Isnan seterusnya menceritakan, setelah beliau terjatuh ke bawah tebing, dalam keadaan yang cedera beliau berusaha membalut luka di sebelah perut kirinya dangan "field dressing" yang dibekalkan kepada setiap anggota pasukan keselamatan yang membuat tugas operasi. Setelah itu beliau bergerak ke arah kawannya Pbt Khalid bagi memberi banrtuan.Namun beliau tidak boleh berbuat apa kerana Pbt Khalid telah terkorban. Beliau mencari perlindungan di bawah  pokok di atas tebing dengan meninggalkan mayat Pbt Khalid. Sepanjang malam tersebut beliau berlindung di bawah pokok menanti bantuan tiba atau  sebarang tindak balas dari gerila PKM. Pada besok harinya beliau telah menyusur sungai dan menjumpai kesemua jenazah kawan-kawannya.

Keesokan hari, seorang anggota seksyen yang terselamat, 17738 Pbt Yahya Jaafar, berjaya balik ke pangkalan di Sintok untuk memberitahu tentang kejadian tersebut. Ketua Kompeni telah mengarah Lt M Mohd Hassan dan anggota platun mengirinya pergi ke lokasi serang hendap. Walaupun Pbt Yahya Jaafar tidak perlu ikut bersama, namun beliau tetap mahu pergi ke lokasi. Menurut Lt M Mohd Hassan, apabila tiba di lokasi, 4 jenazah dilonggok secara bertindih di atas jalan. Ketika anggota platun, termasuk Pbt Yahya Jaafar, hendak mengangkat jenazah, tiba-tiba terdengar bunyi satu letupan. Pengganas komunis telah meletak grenad tangan di antara tindisan mayat dan meletup apabila mayat diangkat. Letupan ini mengakibatkan Pbt Yahya Jaafar cedera parah dan meninggal dalam perjalanan ke hospital.

Apabila semua mayat akhirnya berjaya dibawa keluar dari kawasan tersebut, Lt M Mohd Hassan diarahkan untuk membuat 'search' di atas bukit. Beliau ditegah daripada mengguna jalan untuk mendaki bukit. Di belakang beliau dan platunnya, ada platun lain. Semasa mendaki bukit itu, 16585 L/Kpl Daud bin Othman (anggota platun di belakang Lt M Mohd Hassan), telah terpijak jerangkap samar dan terkorban. Lt M Mohd Hassan dan anggotanya berjaya ke lokasi di mana pengganas komunis melakukan serang hendap tersebut. Pada perkiraannya, serang hendap ini melibatkan lebih kurang 30-40 musuh.

Selain 6 terkorban dan 6 cedera,  4 RAMD juga telah kehilangan 2 laras senapang 'SLR', 1 laras 'SMG' dan 1 laras HBSLR. Pengorbanan 4 RAMD terbalas apabila pasukan keselamatan melancar operasi untuk memburu musuh dan berjaya menembak mati 4 musuh dan seorang cedera.

Wira-wira yang gugur...

14502 KPL AHMAD BIN HUSSAIN (Ketua Seksyen)
L/KPL DAUD BIN OTHMAN (Pen Ketua Seksyen)
18625 PBT KHALID BIN ABU BAKAR  (Tinjau Pertama)
18626 PBT KASSIM@GHANI BIN SALLEH (No 2 LB/RIS)
18794 PBT ABDUL RANI BIN RAMLI (LB/RIS)
17738 PBT YAHYA JAAFAR (Tinjau ke2)

Wira-wira yang cedera...

10019 KPL MOHD NOOR
15450 PBT MOHD ABDUL
18262 PBT MOHD ISNAN
18969 PBT ABU BAKAR
17015 PBT SHAMSUDIN
18651 PBT WAN SAUPIL

Bersambung...InsyaAllah.

Ahad, 6 April 2014

4 Terkorban

Sambungan yang masih dipetik dari buku di sini.

Pada masa bergerak balik di sebelah petangnya, seksyen ini sentiasa berwaspada dan mempastikan jarak pergerakan. Ketika anggota seksyen ini menyeberangi jambatan kayu yang disebutkan di atas, mereka telah diserang hendap. Menurut  Tuan Hj Mohd Isnan bin Jumingan yang terlibat sama dalam peristiwa tersebut, tembakan bertubi-tubi oleh gerila komunis dari arah tebing telah membunuh peninjau pertama yang terkena tembakan di kaki dan kepalanya. Beliau yang menjadi peninjau kedua berusaha membalas tembakan tetapi kecundang apabila turut terkena peluru musuh di perut sebelah kiri dan bahagian tepi kepala. Kedua-dua mereka yang berada di atas tebing di seberang  jambatan telah terpelanting ke bawah tebing dan jatuh ke dalam sungai di sebelah hilir jambatan.

Dalam keadaan tercedera itu, beliau nampak ketua syeksen bersama dengan dua anggotanya yang berada di atas dan hujung jambatan membalas serangan gerila komunis sehinggalah mereka akhirnya turut terkorban. Manakala dua orang lagi anggota yang berada di belakang dipercayai tidak dapat bertindak dan mencari perlindungan. Oleh kerana kedudukan mereka yang terperangkap dalam serangan bertubi-tubi oleh kira-kira 30-40 anggota gerombolan komunis dari kedua-dua belah tebing dekat dengan jambatan itu dan juga oleh letupan jerangkap samar yang dipasang pada jambatan tersebut, menjadikan mereka berada dalam keadaan tidak boleh membuat serang balas  dengan berkesan. Akibatnya seramai empat anggota terkorban dan seorang  lagi cedera. Mereka yag terkorban ialah 14502 Kpl Ahmad bin Hussain 18625 Pbt Khalid bin Abu Bakar (peninjau pertama), 18626 Pbt Ghani bin Salleh, dan 18794 Pbt Abd Rani Ramli. Anggota yang tercedera ialah 18262 Pbt Mohd Isnan sendiri, iaitu peninjau kedua.

Tak sempat nak scan gambar Kpl Ahmad & Pbt Ghani dari buku 'Gurkha Malaya'...Al-Fatihah

Bersambung...InsyaAllah.