Pengikut

Isnin, 24 Disember 2018

Pemergian Seorang Wira Negara

Malam semalam, jam 2103 Mej Basri PGB forward WhatsApp yang menyatakan Lt Kol Hj Basri Omar PGB sedang sakit tenat dan akan dibedah malam itu juga.

Pagi tadi, bila buka WhatsApp, terima berita yang menyedihkan:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Dato Seri, Dato, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

LAPORAN PESARA PEGAWAI TENTERA  MENINGGAL DUNIA

(a) Nama: Lt Kol Hj Basri bin Omar (B) PGB

(b) Nama Waris: Hjh Zawyiah binti Hj Abd Aziz

(c) Kor : RAJD

(d) Umur: 66 Thn

(e) Tarikh Dan Masa Masuk Hospital: *222100H DIS 18*

(f) Hospital: *HAT TUNKU MIZAN*

(g) Wad : ICU

(h) Tingkat/Katil: Tingkat 5

(i) Jenis Penyakit: Diagnosis awal batu karang dalam buah pinggang. Diagnosis lanjut pada 23 Dis 18 pendarahan dalam perut.

(j). Pada 231700H Dis 18 beliau telah dimasukkan ke wad ICU.

(k). Disahkan Meninggal dunia pada 240020H Dis 18.

(l)  Maklumat urusan pengkebumian akan dimaklumkan kemudian.

Sekian saya memaklumkan.

Kol Zakaria Abdul Rahman
Jabatan Arah Jurutera

Allahyarham Lt. Kol. Basri bin Omar (B) PGB

Jenazah di Masjid Khalid Al-Walid, KEMENTAH untuk disolatkan

Jenazah dibawa keluar dari masjid

Memang saya terkejut. Arwah banyak membantu saya semenjak saya menjadi seorang blogger pada 2009. Beliau sedia menyalur maklumat yang ada kaitan dengan pasukan kesayangannya, RAJD dan satu-satunya warga RAJD yang dianugerah PGB. Malah beliau berjaya meyakinkan Mej. Jen. Mior Safuan (B) supaya menukil pengalamannya semasa Op Gubir II. Nukilan itu menjadi bahan blog, buku dan tesis PhD saya. Arwah turut menghadiahkan dua naskah buku bagi memudahkan kajian saya - Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. Jilid 1 dan 2. Untuk buku kedua saya mengenai Terumbu Layang-Layang, beliau telah menghantar gambar-gambar penglibatan RAJD.

Pertama kali bertemu muka dengan Allahyarham Lt Kol Basri bin Omar PGB (B) di Jitra pada 5 Ogos 2010 

Pada  28 Ogos 2012, Allahyarham Lt Kol Basri, Mej Ishak dan saya diundang ke Majlis Pengkisahan di Perpustakaan Awam, Kangar, di SINI. Acara ini merupakan ulung kali diadakan oleh agensi tersebut yang membabitkan kisah keperwiraan. Beliau datang dengan menaiki keretapi. Masa itu masih tiada ETS. 

Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada 22 Ogos 2017 di Perpustakaan Kangar semasa Majlis Pengkisahan, di SINI. Sama seperti pertemuan pada 2012, beliau menaiki keretapi, tapi dengan ETS dari Kuala Lumpur. Beliau sanggup hadir semata-mata untuk meraikan majlis tersebut walaupun bukannya sebagai ahli panel. Saya masih ingat beliau bertanya sama ada boleh tumpang di bilik saya di Hotel Putra Palace malam itu. Masalahnya saya sudah berjanji dengan Mej Rajasaikaran yang datang dari Melaka semata-mata untuk hadir majlis tersebut. 

Saya sungguh menghargai semangat patriotisme mereka berdua.

Saya sungguh menghargai semangat patriotisme Allahyarham Lt Kol Basri yang sentiasa sedia memenuhi undangan untuk menceritakan pengalaman, jika tiada aral melintang. 

Saya juga terharu apabila beliau begitu gembira dengan kejayaan saya menerima PhD sehingga memaklumkan kepada kumpulan WhatsApp intake mereka. 

Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Leftenan Kolonel Basri bin Omar PGB (B). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang yang soleh dan beriman. Amiin Ya Rabbal Alamiin.



Khamis, 20 Disember 2018

"Guardian Of The Frontier"

Sebentar tadi, saya terima buku berikut daripada Markas TLDM, KEMENTAH.

Terbitan TLDM 2018

Sebenarnya saya telah diundang semasa pelancarannya di KEMENTAH pada 7 Disember 2018 tetapi terpaksa menolaknya kerana komitmen keluarga. Memang saya nak sangat hadir tapi Allah yang menentukannya.

Kad jemputan pelancaran buku

Saya tabik spring kepada TLDM kerana dedikasi mereka kepada semua yang terlibat dalam operasi ini.
Dedikasi kepada mereka yang terlibat

Saya begitu gembira apabila terdapat tandatangan saya dan surat kepada saya...
Surat daripada Allahyarham Brig Jen Ahmad Merican

Dan nama juga tercatat di sini...
Satu penghargaan

Saya tak tahu sama ada buku ini boleh diperolehi oleh peminat2 ketenteraan. Apa pun, TERIMA KASIH kepada TLDM amnya, Lt Kdr Zulhilmi, khususnya.

Khamis, 13 Disember 2018

Liku-Liku Ke Arah Pertemuan Baling

Dah mula nak edit coretan mengenai 'Rundingan Baling: Di Belakang Tabir.' Saya sebenonya termenong juga mengapa 'Rundingan' digunakan oleh kebanyakan penulis. Setelah banyak membaca, sebenonya mana ada sebarang rundingan. Dari awal lagi, Tunku dengan jelasnya menegaskan bahawa beliau TIDAK akan membenarkan kewujudan PKM. Selain itu beliau hanya nak jelaskan terma amnesti dan hanya sekadar mendengar apa yang akan dikatakan oleh Chin Peng. Nohtah.

Sama juga dengan Chin Peng. Dia bertegas PKM diiktiraf selain dari beberapa terma. Dari sebelum pertemuan tersebut sehingga hari terakhir kedua-dua pihak bergenjak dari tujuannya pertemuan mereka. Mana ada rundingan/negotiation!

Justeru, saya setuju bebeno bila Prof. Dato' Ramlah Adam menggunakan istilah 'Pertemuan Baling'. Kan nak sebut 'Percakapan Baling' yang diterjemahkan dari 'Baling Talks'....He...He...He. Jadi saya pun gunalah 'Liku-Liku Ke Arah Pertemuan Baling'.

Sekali lagi saya ulang, sesiapa yang berminat dengan topik ini, saya cadangkan baca 'Tunku Abdul Rahman And His Role In The Baling Talks' oleh Pof. Madya Dr. Nik Anuar Nik Mahmud.  Allahyarham turut kepilkan transkrip pertemuan tersebut;  dalam bahasa gomen le. Dan juga buku oleh Wahba bertajuk 'Baling Membuka Jalan Damai'. Beliau memasukkan transkrip temubualnya dengan Tunku dan Musa Ahmad, xPengerusi PKM yang kembali ke Malaysia pada November 1980. Yang bestnya beliau menterjemah transkrip pertemuan tersebut dalam BM.

OK...Mengadaplah komputer nak mula tapi entah apa kena, berat sangat nak berfikir. Tapi paksa juga memikiokannya. Saya dah janji pada diri sendiri untuk menyumbang apa yang tahu kepada peminat sejarah. Jika tak diterbitkan dalam bentuk buku, saya nak print dan bind dan beri 1 salinan pada Perpustakaan A. Setar dan 1 salinan kepada Arkib Negara A. Setar.

Jadi, akhirnya dapatlah memulakan secebis latar belakang kepada penulisan itu nanti.

Para pembaca yang dihormati, apa yang saya cuba lakukan hanyalah untuk menokoktambah tulisan penulis2 di atas berlandaskan kepada sumber2 yang ada pada saya. Sekiranya anda ada sebarang input yang difikirkan boleh mencerahkan lagi tulisan ini, harap sudilah berkongsi dengan saya. Malah saya mengalu-ngalukan sebarang komen atau kemushkilan. Boleh le saya cuba mencari jawapannya, wallahualam. Terima kasih.

Latar Belakang

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) yang berkuat kuasa pada 1 Februari 1948[1]  menggantikan Malayan Union menyaksikan permulaan fasa negara menuju ke arah berkerajaan sendiri (self-govenment) dan seterusnya kemerdekaan. Persetujuan ini termaktub dalam mukadimah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948 yang ditandatangani pada 21 Januari 1948 seperti berikut:
AND WHEREAS it is the desire of His Majesty and Their Highnesses that progress should be made towards eventual self- government and, as a first step to that end, His Majesty and Their Highnesses have agreed that, as soon as circumstances and local conditions will permit, legislation should be introduced for the election of members to the several legislatures to be established pursuant to this Agreement.[2]

Klausa pemberian pemerintahan sendiri ini diulangi dalam watikah lantikan Jen. Sir Gerald Walter Templer (Templer) sebagai Pesuruhjaya Tinggi PTM merangkap Pengarah Operasi.[3] Lantikan ini dibuat oleh Sir Winston Churchill, Perdana Menteri UK ekoran pembunuhan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi  dalam serang hendap di Batu 56½, Jalan Kuala Kubu-Bukit Fraser semasa dalam perjalanan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951 untuk menghadiri mesyuarat. Kejadian ini sungguh mengejutkan rakyat PTM dan juga kerajaan Inggeris. Insiden ini memberi gambaran tiada sesiapa pun yang selamat daripada keganasan pasukan gerakan komunis (PGK).[4] Watikah lantikan Templer dengan jelasnya menyatakan “...His Majesty’s Government will not lay aside their responsiblites in Malaya until they are satisfied that Communist terrorism has been defeated and that partnership of all communities which alone can lead to true and stable self-government has been established.[5] Perlantikan ini memberi kuasa penuh kepada beliau untuk mentadbir dan memusnah PGK.[6]

Dasar ini diperkukuhkan lagi oleh Robert Anthony Eden (Eden), Setiausaha Luar Negara semasa melawat PTM pada 2 Mac 1955. Beliau mengulangi lagi bahawa kerajaan Inggeris hanya akan menentukan halatuju PTM ke arah berkerajaan sendiri apabila keganasan oleh PGK berjaya ditumpaskan.[7] Selain itu, beliau menggariskan lima langkah menuju ke arah itu:
·                   Hapuskan keganasan;
·                 Menentukan rakyat berada dalam keadan bersedia menghadapi penyerapan dan subversi komunis;
·                   Membantu Persekutuan Tanah Melayu daripada ancaman ini;
·             Membangunkan pentadbiran ekonomi yang stabil dan mewujudkan keharmonian di antara semua kaum;
·                  Menentu sistem pertahanan yang utuh.[8] 
  
Bersandarkan kepada arahan tersebut dan keadaan keselamatan begitu meruncing, Templer berpandangan PTM masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya persekutuan sebelum 1958 dan berkerajaan sendiri sehingga 1960.[9] Dalam laporannya kepada  Lennox-Boyd, Setiausaha Negara untuk Koloni, Sir Donald Charles MacGillivray (MacGillvray) yang mengganti Templer,[10] mengakui keadaan menunjukkan pasukan gerila komunis (PGK) tidak mudah dimusnahkan. Dalam rumusannya, beliau menegaskan bahawa darurat tidak akan berakhir dalam masa terdekat selagi majoriti kaum Cina terus menyokong Parti Komunis Malaya (PKM).  Kesedian mereka ini membolehkan gerila komunis mengekalkan pasukan bersenjata mereka untuk meneruskan perjuangan.[11]

Rakyat menganggap keadaan keselamatan yang dipertengahkan hanyalah alasan untuk melengahkan proses menuju ke arah berkerajaan sendiri. Tanggapan ini diperkukuhkan apabila George Crombie dari Pejabat Hubungan Komanwel (Commonwealth Relations Office) dalam notanya pada 18 November 1954 menjelaskan bahawa “...dasar Koloni kita adalah untuk menggalakkan berkerajaan sendiri secara berperingkat melalui kaedah demokrasi.”[12] Motifnya menjadi lebih jelas apabila beliau menentang Mesyuarat Bandung (Asian-African Conference) yang akan diadakan di Bandung, Indonesia pada 18 hingga 24 April 1955. Beliau percaya antara topik perbincangan nanti akan membabitkan dasar anti-koloni. Perbicangan itu sudah pasti akan membuat Inggeris dalam keadaan kurang selesa. Keadaan akan menjadi buruk lagi dengan kehadiran wakil dari bekas koloni mereka, iaitu Ceylon (Sri Lanka), India dan Pakistan yang anti-koloni.[13]

Sebaliknya dasar ini menimbulkan prasangka di kalangan rakyat terhadap kejujuran Inggeris bahawa mereka agak keberatan untuk melepas PTM sebagai sebuah negara merdeka demi menjaga kepentingan ekonomi mereka.[14] Prasangka ini berasaskan kepada kepentingan mereka dalam industri getah asli, kelapa sawit dan bijih timah. Menurut laporan audit, PTM merupakan penyumbang terbesar di antara koloni kepada  ekonomi UK pasca Perang Dunia II.  Sumbangan koloni ini berjumlah  $268,660,548.98 kepada ekonomi kerajaan Inggeris pada 1947.[15]



[1]              The Straits Times, Federation Comes Into Being, 2 Februari 1948, hlm. 1; juga ANM. Formation on the Federation Of Malaya.  Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Februari 1948. 
[2]                 ANM. The Federation Of Malaya Agreement, 1948.
[3]           Comber, Leon. (2015). Templer and the Road to Malayan  Independence. Singapore: ISEAS, hlm. 5. Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi dan Pengarah Operasi adalah dua jawatan berasingan; Pengarah Operasi bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Kerajaan Inggeris bersetuju untuk melantik Sir Donald Charles MacGillvray sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Lt. Jen. Sir Robert Lockhart sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk membantu Templer.
[4]             Ongkili, James P. (1985). Nation-building in Malaysia 1946-1974. Singapore: Oxford University Press, hlm. 79.
[5]              CO 1022/103, Directive to General Sir Gerald Walter Robert  Templer, KCB, KBE, CMG, DSO, ADC, High Commissioner in and for the Federation of Malaya, by the Secretary of State for the Colonies on behalf of His Majesty’s Government in the U.K., 15 February 1952. Dalam Comber, Leon. (2015). Templer and the Road, end note, hlm. 17.  
[6]           Comber, Leon. (2015). Templer and the Road to Malayan  Independence. Singapore: ISEAS, hlm. 5. Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi dan Pengarah Operasi adalah dua jawatan berasingan; Pengarah Operasi bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Kerajaan Inggeris bersetuju untuk melantik Sir Donald Charles MacGillvray sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Lt. Jen. Sir Robert Lockhart sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk membantu Templer.
[7]               FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[8]               The Straits Times, This Is The Way-Eden: He lists five steps to self-Govt., 3 March 1955, hlm. 1. Robert Anthony Eden menjawat jawatan Perdana Menteri pada April 1955-Januari 1957 mengganti Winston Churchill.
[9]               Comber, Leon. (2015). Templer and the Road, hlm. 22 dan end note, hlm. 39. Penulis merujuk kepada CO 1022/86 (3), Minutes of Political Talk with General Templer at Colonial Office, 3 December 1952 dan CO 1022/86, Minutes by J.J. Paskin to Sir T. Lloyd re. Discussions with General Templer and the Chiefs of Staff, 10 December 1952.
[10]             Sir Donald Charles MacGillivray menggantikan Jen. Sir Gerald Templer pada 31 Mei 1952 sehingga 31 Ogos 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
[11]             CO 1030/174, no 9, despatch no 104/55 from Sir D. MacGillivray to Mr Lennox-Boyd on Chinese support for MCP and MCP Strategy, 28 Jan 1955. Dalam Stockwell, A. J. (1995). Malaya: The Alliance Route to Independence 1953-1957. (Editor). Series B Volume 3. London: HMSO, hlm. 89.
[12]             Note from George Crombie from Commonwealth Relations Office on the holding of an Afro-Asian Conference, 18 November 1954. 
[13]             Ibid. Bekas koloni tersebut mencapai kemerdekaan pada: Ceylon-4 Februari 1948; India-15 Ogos 1947; Pakistan-14 Ogos 1947.
[14]             FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[15]             Report on the Audit of the Accounts of the Malayan Union for the Year Ended 31 December 1947 (1950). Dalam  Ishak Saat. (2011). Radikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 61.


Isnin, 3 Disember 2018

Apa Selepas Ini?

Belajar dah tamat. Lepas ini nak buat apa? Kelayakan dah ada tapi masalahnya tak ada pihak berminat dengan ilmu itu. Kalau ada pun, mungkin bila musim patriotisme iaitu Ogos-September nanti..jika dipanjangNya umur. Mungkin masih ada undangan dari sekolah2 jika pihak berwajib mengekalkan program majlis pengkisahan, wallahualam.

Ada juga ingat nak menulis buku. Buat permulaan ingat nak bukukan coretan "Rundingan Baling: Di Belakang Tabir" dengan dijanamakan semula kepada "Liku-Liku Ke Arah Rundingan Baling." Tapi saya hidup dalam alam kenyataan, bukannya dalam alam khayalan. Saya terima hakikat bahawa buku genre sejarah bukannya begitu 'saleable'. Berapa orang minat pasal Rundingan Baling? Saya tak hairan jika ada yang akan bertanya Baling itu di mana?

Jangan ketawa. Baru2 ini, sempat bersembang dengan seorang yang kerap juga berjalan mengelilingi tasik di Darulaman Park. Dia seorang jurulatih di sebuah institusi melatih para pelajar dalam bidang kemahiran. Bila buka topik patriotisme, apa lagi...saya pun bukalah kisah2 dulu, termasuk insiden Nuri ditembak di Gubir pada 26 April 1976. Apa yang mengecewa dan menyedihkana saya ialah bila dia bertanya Gubir itu di mana! Oh mak datuk...kan ini pun tak tahu. Mungkin dia hanya tahu tempat2 seperti Timbuktu kut, wallahualam.

OK lah. Berbalik kepada hasrat nak menerbit buku. Selain itu ada juga teringat nak tulis artikel untuk jurnal IPTA. Ada beberapa topik yang bermain dalam minda. Saya bersyukur sabuah IPTA mempelawa saya menyumbang artikel untuk dipertimbangkan. Malah mereka juga sedia mempertimbangkan untuk menerbit buku mengenai Baling. Saya berterima kasih terhadap pertimbangan ini.

Ada 3 topik yang sedang bermain dalam minda saya:

1. Defence of Malaysia: From Defence Agreement (1963) to Defence Arrangements (1971).
2. Air Power During Malayan Emergency.
3. Bumpy Path To Baling Talks.

Mengenai topik kedua ini, semalam (2.12.18) saya terima sumber primer ini dari London. Buku ini menceritakan peranan RAF semasa darurat 1948-1960, termasuk jenis2 pesawat, chain of command, skuadron2, dll.




Dokumen ini ada juga menyentuh mengenai Rundingan Baling. Mengikut rekod,  RAF telah menggugurkan sejumlah 21 juta risalah oleh pesawat Valettas di kawasan hutan selama 7 hari bermula pada 9 Sep 1955 apabila gomen menawarkan amnesti dan terma2 untuk PGK menyerah diri. Selain itu, sejumlah 6 juta risalah to memaklumkan mereka 'safe areas' dan 'surrender points'. Tugasan pengguguran risalah tempoh ini merupakan "...the largest leaflet dropping operations of the Emergency."

Pesawat Valetta menggugurkan risalah di ketinggian 400 kaki. Sumber: Google

Tidak mencukupi dengan pengguran risalah, gomen juga telah mengaturgerak 3 buah pesawat  Dakota dan 2 buah Auster  dari Voice Flight No. 267 Squadron membuat 106 sorti perkhidmatan voice broadcast di kawasan yang diketahui PGK berselindung sepanjang tempoh 9 hingga 21 Sep 1955. 

Apabila rundingan itu sudah pasti menjadi kenyataan, guguran risalah dikurangkan kepada dibawah 5 juta setiap bulan sepanjang 3 bulan terakhir 1955 sementara perkhidmatan 100 sorti voice broadcast dilaksanakan. 

Dengan kegagalan Rundingan Baling dan gomen menarik balik program amnesti pada 8 Feb 1956, sejumlah 20,685,000 risalah telah digugurkan dalam tempoh 2-12 Jan 1956 memaklumkan PGK mengenai penamatan program tersebut. Tidak cukup dengan itu, Mat Saleh telah menggugurkan 9,720,000 risalah lagi sebelum Tahun Baru China dengan harapan musuh mengambil tawaran ini untuk beraya dengan kaum keluarga nanti (RAF, Restricted, 1970, The Malayan Emergency 1948-1960, London: Ministry of Defence, hlm.118-119). 

Melalui bacaan saya sebelum ini hanya 3 juta risalah digugurkan untuk memaklum program amnesti!

Maklumat ini semua akan dimuatkan dalam tulisan saya nanti, in syaa Allah.