Pengikut

Khamis, 4 Julai 2019

Pembatalan Tawaran Amnesti

Bersambung dari petikan dari Liku-Liku Pertemuan Baling SINI. Pertemuan di antara Tunku dengan Chin Peng berakhir pada 29 Disember 1955 tanpa sebarang persetujuan. Dengan itu, Tunku mengumumkan penamatan tawaran amnesti kepada PKM.

30 Disember 1955 ...

Kuala Lumpur. Tunku berbincang dengan MacGillivray dan Bourne di King's House. Mereka bersetuju untuk membatalkan amnesti dan syarat-syaratnya pada 8 Februari 1956. Sebenarnya tawaran ini boleh dianggap telah gagal kerana semenjak diisytiharkan sehingga penghujung Disember 1955, hanya 65 orang gerila yang menyahut seruan Tunku.[1] Dengan persetujuan itu, Tunku mengumumkan melalui Radio Malaya keputusan Pertemuan Baling berikut:

            Pertemuan di antara Chin Peng dan Ketua Menteri Singapura [David Marshall], Dato’ Sir Cheng-Lock Tan dan saya telah berakhir. Keputusannya bagi segolongan pihak mungkin tidak memuaskan tetapi saya dan rakan-rakan tidak mengharapkan keputusan selain apa yang telah dicapai. Pertemuan tersebut bermula pada 28hb Disember 1955 di Baling dan berakhir pada tengah hari 29hb Disember 1955. Chin Peng dengan jelasnya telah menyatakan kepada saya dan rakan-rakan saya bahawa dia tidak akan menyerah diri kecuali kami bersedia:

(i)                  untuk mengiktiraf parti komunis,
(ii)                tidak melakukan siasatan ke atas mereka, dan
(iii)               tidak menahan mereka untuk disiasat.

Mengenai No. (i), iaitu pengiktirafan parti komunis, saya menjelaskan kepada dia bahawa saya tidak dapat mengiktiraf parti komunis kerana aktiviti-aktiviti mereka tidak selari dengan kehidupan rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Semenjak lapan tahun lalu, mereka telah berusaha supaya rakyat menyokong mereka dengan melakukan keganasan dan pembunuhan. Jika kita mengiktiraf parti komunis, rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang pernah mengalami keganasan aktiviti-aktiviti sudah pasti tidak menyokongnya.

Tujuan melakukan siasatan, saya menjelaskan kepada mereka, adalah untuk menentukan kesetiaan mereka. Saya telah menjelaskan kepada mereka bahawa sebelum mereka dibenarkan kembali ke pangkuan masyarakat, pertama sekali mereka perlu bersumpah untuk setia kepada negeri ini dan menghentikan aktiviti-aktiviti komunis mereka. Mereka membantah untuk disiasat dan mereka menuntut untuk mengetahui apakah ujian-ujian bagi mengukur kesetiaan kepada Persekutuan Tanah Melayu yang diperlukan daripada mereka. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa ujian-ujian tersebut mudah sahaja. Ia adalah ujian kesetiaan kepada Raja-Raja dan kerajaan negeri sedia ada dan meninggalkan semua aktiviti-aktiviti komunis. Dalam melaksanakan siasatan ini, adalah perlu mereka di tempat di suatu lokasi tertentu. Mereka menyatakan bahawa menempatkan mereka di mana sahaja membawa erti mereka ditahan dan mereka enggan ditahan. Mereka lebih suka menjalani kehidupan mereka sekarang ini, bebas untuk ke mana sahaja seperti di dalam hutan. Saya juga menjelaskan bahawa penahanan itu diperlukan untuk tempoh siasatan dilakukan bagi menentukan kesetiaan mereka kepada negeri ini. Mereka masih enggan menerimanya.

Kemudian Encik Marshall dan saya bertanya tujuan mereka melakukan tindakan keganasan yang sia-sia ini dan jawapannya ialah mereka melakukannya untuk menanam ideologi komunis. Pada mulanya, mereka cuba menonjolkan bahawa mereka berjuang untuk membebaskan Persekutuan Tanah Melayu daripada kolonialisme, tetapi saya memberitahu mereka bahawa ini tidak perlu sementelah Tuan Yang Terutama [Pesuruhjaya Tinggi] telah memberi jaminan dalam Dewan Undangan [Persekutuan] bahawa kemerdekaan dijanjikan kepada Persekutuan Tanah Melayu dan kami akan mendapatkannya sebaik sahaja beberapa perkara dan butir-butir diteliti membabitkan pemindahan kuasa. Lagi pula, Perhimpunan Agong UMNO serta disokong oleh Majlis Nasional Perikatan telah bersetuju bahawa, jika boleh, pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan pada 31hb Ogos 1957. Justeru, adalah agak jelas, hujah mereka bahawa mereka berjuang untuk menamatkan kolonialisme tidak berasas sama sekali.

Saya akan pergi ke England untuk meneliti butir-butir untuk berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. Misi saya mendapat sokongan Raja-Raja dan semua organisasi dalam negeri ini. Saya telah memberitahu Chin Peng dan rakan-rakannya bahawa kehadiran saya [di Baling] bukannya untuk menghakim mereka tetapi untuk bercakap dengan mereka dalam bahasa mudah dan jelas. Ketua Menteri Singapura, Encik David Marshall, dan Dato’ Sir Cheng-Lock Tan juga bersependapat bahawa komunis mesti menghentikan perjuangan yang sia-sia ini dan menyerah diri kepada kami: mereka boleh mempercayai kami untuk melakukan apa yang terbaik untuk mereka.

Sesi ketiga dan terakhir pertemuan pada keesokan hari, 29hb Disember, 1955, Chin Peng membuat satu pengisytiharan yang begitu penting dengan menyatakan bahawa Parti Komunis Malaya akan meletak senjata dan menghentikan peperangan sebaik sahaja kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilantik [oleh rakyat] mendapat kuasa ke atas keselamatan dalam negeri ini. Dia seterusnya menyatakan bahawa Angkatan Bersenjata Komunis yang digelar Tentera Kebebasan Nasional (National Liberation Army) tidak perlu lagi kewujudannya atau meneruskan perjuangan bersenjata mereka. Saya bertanya sama ada Parti Komunis Malaya bersetuju menyerah diri tanpa syarat. Jawapannya adalah negatif yang menurut mereka adalah tidak bermaruah untuk menyerah diri. Encik Marshall kemudian membawa kepada perhatian mereka bahawa terdapat 7,000,000 orang rakyat di Persekutuan Tanah Melayu manakala komunis hanya ada 3,000 orang sahaja. Chin Peng seharusnya memikirkan kebajikan 7,000,000 orang rakyat dan mengorbankan maruahnya walaupun agak memalukan, seperti yang tersirat dalam syarat-syarat menyerah diri. Di waktu itulah Chin Peng mengatakan bahawa dia tiada mandat untuk menerimanya. Malah dia seterusnya mengatakan bahawa mereka akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir daripada berhadapan dengan keaiban  menyerah diri. Saya mengatakan jika itulah pendirian mereka, maka tiada apa lagi yang boleh saya lakukan untuk mereka.

Kami sampai ke peringkat di mana sama ada Parti Komunis Malaya atau parti saya mengaku kalah. Tetapi, sekiranya saya yang mengaku kalah, bererti saya mengkhianati rakyat Persekutuan Tanah Melayu kepada komunis. Kedua-dua ideologi [demokratik dan komunis] kita sangat jauh perbezaannya. Ideologi komunis adalah ideologi keganasan dan kebencian sementara [ideologi] kita membawa kepada keamanan dan muhibah. [Ideologi] Mereka adalah merupakan satu pergerakan asing dari luar negeri dan disokong hanya oleh sekumpulan kecil dari dalam negeri. Sebaliknya, kami [Parti Perikatan] adalah satu pergerakan nasionalis Persekutuan Tanah Melayu yang disokong oleh rakyat negeri ini. Dengan ini, adalah jelas bahawa ideologi mereka dan kita tidak boleh wujud berseiring kerana apa yang berlaku di China, Korea dan Vietnam adalah petunjuk apa yang akan berlaku di sini. Saya memberitahu Chin Peng bahawa China adalah negerinya sendiri tetapi warga nasionalis China [Parti Nasionalis juga dikenali sebagai Kuomintang] telah diusir keluar oleh komunis. Korea dibahagi dua, satu untuk komunis dan satu lagi untuk Korea Selatan. Sama juga apa yang berlaku di Vietnam tetapi Persekutuan Tanah Melayu terlalu kecil untuk bahagikan kepada puak-puak bermusuhan dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu enggan membenarkan mereka dalam keadaan begitu. Orang Cina, Melayu, Tamil dan lain-lain masing-masing turut menyumbang ke atas pembangunan negara Persekutuan Tanah Melayu. Negara baharu ini mesti tidak dimusnahkan oleh komunis. Isunya begitu jelas, iaitu sama ada Parti Komunis Malaya mengaku kalah atau saya mengaku kalah. Saya tidak akan mengaku kalah, justeru Parti Komunis Malaya yang mesti mengaku kalah.

Oleh kerana Parti Komunis Malaya enggan menerima syarat-syarat amnesti saya, sebagai Ketua Menteri kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilantik, dengan dipersetujui oleh Pesuruhjaya Tinggi dan Jeneral Bourne, dengan ini mengisytiharkan bahawa amnesti yang diisytiharkan pada 9hb September, 1955 dan juga sebarang syarat-syarat menyerah diri yang dikuatkuasakan sebelum pengisytiharan amnesti, ditarik balik berkuat kuasa pada 8hb Februari, 1956.

Saya tidak berhasrat untuk bertemu dengan pemimpin komunis lagi kecuali komunis memberi petunjuk lebih awal bahawa mereka berhasrat untuk menemui saya dengan alasan bahawa mereka mahu menyerah diri sepenuhnya. Saya kesal dan terpaksa mengambil tindakan ini. Kerajaan saya dan parti saya yakin bahawa tiada pendekatan separuh jalan akan berjaya bagi menamatkan perjuangan ini yang telah berlarutan selama lapan tahun. Rakyat sudah jemu dan muak dengan darurat dan pemimpin komunis yang telah menolak tawaran kami untuk menamatkan perjuangan komunis ini. Mereka [komunis] mengatakan bahawa ideologi keamanan dan keharmonian kami tidak boleh wujud seiring dengan ideologi keganasan dan kebencian mereka. Peperangan mesti diperhebat sehingga  kita atau mereka mengaku kalah. Dengan penuh kepastian, bahawa bukan saya yang akan mengaku kalah dan mengkhianati rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Oleh yang demikian, Parti Komunis Malayalah mesti mengaku kalah.

Saya begitu yakin bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu akan memberi sokongan dan kerjasama mereka sepenuhnya kepada tindakan yang telah saya ambil.

MERDEKA![2]

Berikutan pengumuman Tunku, Bourne pula mengeluarkan kenyataan berikut:
It is now clear to the whole world that there is no truth in the Malayan Communist Party claim that they are fighting for the independence of Malaya. Chin Peng insists that he is fighting for the Communist ideology, will not give it up and will not surrender.

He thus admits that he is fighting against the elected Government of Malaya and I feel sure that the people of Malaya under the leadership of Tengku Abdul Rahman will fight back and help the security forces to finish off the remaining Communist terrorists quickly. It can be done.[3]
           
Pengumuman membatal tawaran amnesti menyaksikan trup dari 28 Commonwealth Infantry Brigade yang berpangkalan di Butterworth, diatur gerak ke Kulim. Trup ini terdiri daripada pasukan Australia.  Menurut Brig. P. N. M. Moore, Komander Briged, setibanya di Kulim, trup akan memulakan latihan secepat mungkin dan akan diatur gerak ke kawasan operasi di Hutan Simpan Bongsu, satu kawasan panas.[4] 




[1]               Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Awang. (1984). Darurat 1948-1960. (Penyunting).  Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm. 217.
[2]               Tunku Abdul Rahman Putra. (1984). Malaysia: The Road To Independence. Petaling Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd., hlm. 81-86. Buku ini mengandungi ucapan-ucapan terpilih Tunku Abdul Rahman Putra. Terjemahan oleh pengkaji.
[3]               The Straits Times, Feb. 8-then WAR to THE END, 31 Dis 1955, hlm. 1.
[4]               The Straits Times, Aussies Move Closer to Jungle, 2 January 1956, hlm. 4. 


Khamis, 27 Jun 2019

Pertemuan Baling: Petikan Transkrip pada 29 Disember 1955

Rujuk di SINI. Ini petikan transkrip pertemuan  Tunku dan David Marshall dengan Chin Peng pada 29 Disember 1955...


Chin Peng:        Saya telah menjelaskan adalah mustahil untuk kami menerima perkara  membabitkan siasatan. Saya tiada kuasa untuk menerimanya kecuali ia dilaksanakan tanpa memberi gambaran bahawa kami menyerah diri.

Marshall:            Bagaimana siasatan yang kamu mahu cadangkan?

Chin Peng:      Terus terang saya katakan, jumlah kami adalah kecil, bukan besar. Cadangan saya kepada kamu ialah dari jumlah ini, jumlah tertentu dibenarkan meninggalkan negeri ini dan yang lain-lain bebas kembali ke kediaman mereka masing-masing. Kerajaan boleh melakukan siasatan terhadap mereka, tetapi mereka mesti dibenarkan kembali ke rumah mereka.

Tunku:               Bagaimana kami menghubungi mereka? Kami tidak tahu rumah mereka.

Chin Peng:         Kami tidak akan ambil tindakan seperti yang kami lakukan pada 1945-1948.

Marshall:         Tunku sudah menerima cadangan itu bahawa tiada siasatan terhadap mereka yang mahu ke luar negeri. Mereka boleh terus menaiki kapal.

Tunku:               Berapa ramai mereka yang mahu pergi?

Chin Peng:        Adakah ini sesuatu yang kamu mahu dari saya?

Tunku:              Saya mahu menentukan jika terdapat ramai yang mahu pergi, mungkin mereka yang tinggal di sini tidak perlu disiasat. Sekiranya ramai, iaitu pemimpin dan sejumlah besar pengikut mahu balik ke China, sementara mereka yang mahu menjadi warganegara jumlahnya kecil, saya tidak akan melakukan siasatan. Kita jadikan itu sebagai garisan panduan am. Tiada keperluan untuk melaksanakan siasatan. Syarat yang dikenakan hanyalah mereka perlu melaporkan di mana mereka berada.

Chin Peng:        Melapor kepada polis mempunyai elemen menyerah diri.

Tunku:              Sepertimana yang saya katakan, menyerah diri tidak dapat dielakkan.

Chin Peng:        Kita boleh buat cara begini: benarkan mereka keluar ke pangkuan masyarakat seperti orang biasa. Kemudian Kerajaan boleh menghantar detektif-detektif untuk mengintip mereka.

Tunku:          Ini bermakna jumlah detektif mesti sama dengan jumlah komunis. Kerajaan tidak mampu melakukannya. Adakah jumlah yang mahu pergi ke China besar?

Chin Peng:        Jawapan kepada soalan ini terpulang sama ada P.K.M. diiktiraf.

Tunku:              Tidak. Dalam semua negara, seperti yang kamu sendiri ketahui, di mana berlakunya perjuangan di antara komunis dan nasionalis, mereka  terpaksa berpecah kepada beberapa wilayah. Sebagai contoh, Korea terbahagi dua, Vietnam terbahagi dua. Kita juga tidak boleh wujud bersama. Sekiranya kami menerima ‘tidak menyerah diri’, kita terpaksa membahagi Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Tanah Melayu Komunis dan Persekutuan Tanah Melayu Bukan Komunis. Persekutuan Tanah Melayu terlalu kecil. Jika keadaan ini berlaku, kita sentiasa akan berhadapan dengan masalah dan peperangan. Kamu sudah sedia maklum apa yang saya katakan sebentar tadi – satu parti mesti menyerah diri. Malang sekali, walaupun kamu tidak suka perkataan ‘menyerah diri’, saya perlu berterus terang dengan kamu dan mengatakan kamu mesti menyerah diri.

Menurut Noel Barber, Chin Peng hilang kawalan dirinya apabila Tunku mengatakan bahawa dia mesti menyerah diri kepada kerajaan. Dia menolak kerusinya ke belakang dan terus berdiri serta berkata dalam dialek Kantonis ‘chay yang hao’ yang bermaksud “itu sesuai dengan kami”.[1] Kata-kata ini turut didengar oleh Harry Miller yang berada di lereng bukit di belakang bilik mesyuarat. Kedudukannya membolehkan beliau mendengar perjalanan mesyuarat.[2]




[1]               Barber, Noel. (2004). The War Of The Running Dogs. (William Collins. [1971]). London: Cassel, hlm. 279. Kata-kata ini tidak tercatat dalam transkrip.
[2]           Harry Miller, The Straits Times, The War Goes On! Amnesty to End after ‘Period of Grace’,  30 Disember 1955, hlm. 1.

Khamis, 20 Jun 2019

Liku-Liku Ke Arah Pertemuan Baling 28-29 Disember 1955


Petikan daripada penulisan saya mengenai Pertemuan Baling di SINI...

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) yang berkuat kuasa pada 1 Februari 1948[1] menggantikan Malayan Union telah menyaksikan permulaan fasa negara menuju ke arah berkerajaan sendiri (self-government) dan seterusnya kemerdekaan. Persetujuan ini termaktub dalam mukadimah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, yang ditandatangani pada 21 Januari 1948 seperti berikut:

AND WHEREAS it is the desire of His Majesty and Their Highnesses that progress should be made towards eventual se1f-government and, as a first step to that end, His Majesty and Their Highnesses have agreed that, as soon as circumstances and local conditions will permit, legislation should be introduced for the election of members to the several legislatures to be established pursuant to this Agreement.[2]

Klausa pemberian berkerajaan sendiri ini diulangi dalam watikah lantikan Jen. Sir Gerald Walter Templer (Templer) sebagai Pesuruhjaya Tinggi PTM merangkap Pengarah Operasi.[3] Lantikan ini dibuat oleh Sir Winston Churchill, Perdana Menteri United Kingdom (UK) ekoran pembunuhan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi  dalam serang hendap di Batu 56½, Jalan Kuala Kubu-Bukit Fraser semasa dalam perjalanan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951 untuk menghadiri mesyuarat.[4] Kejadian ini sungguh mengejutkan rakyat PTM dan juga kerajaan Inggeris. Insiden ini memberi gambaran tiada sesiapa pun yang selamat daripada keganasan Pasukan Gerakan Komunis (PGK).[5] Watikah lantikan Templer dengan jelasnya menyatakan “...His Majesty’s Government will not lay aside their responsibilites in Malaya until they are satisfied that Communist terrorism has been defeated and that partnership of all communities which alone can lead to true and stable self-government has been established.[6] Perlantikan ini memberi kuasa penuh kepada beliau untuk mentadbir dan memusnah PGK.[7]

Dasar ini diperkukuhkan lagi oleh Robert Anthony Eden (Eden), Setiausaha Luar Negara semasa melawat PTM pada 2 Mac 1955. Beliau mengulangi lagi bahawa Kerajaan Inggeris hanya akan menentukan hala tuju PTM ke arah pemerintahan sendiri apabila keganasan oleh PGK berjaya ditumpaskan.[8] Selain itu, beliau menggariskan lima langkah menuju ke arah itu:
·               Hapuskan keganasan;
·            Menentukan rakyat berada dalam keadaan bersedia menghadapi penyerapan     dan subversif komunis;
·                Membantu Persekutuan Tanah Melayu daripada ancaman ini;
·             Membangunkan pentadbiran ekonomi yang stabil dan mewujudkan keharmonian di antara semua kaum;
·               Menentukan sistem pertahanan yang utuh.[9] 
  
Bersandarkan kepada arahan tersebut dan keadaan keselamatan begitu meruncing, Templer berpandangan PTM masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) di seluruh PTM sebelum 1958 dan berkerajaan sendiri sehingga 1960.[10] Dalam laporannya kepada  Lennox-Boyd, Setiausaha Negara untuk Koloni, Sir Donald Charles MacGillivray (MacGillivray) yang mengganti Templer,[11] mengakui keadaan menunjukkan PGK tidak mudah dimusnahkan. Dalam rumusannya, beliau menegaskan bahawa darurat tidak akan berakhir dalam masa terdekat selagi majoriti kaum Cina terus menyokong Parti Komunis Malaya (PKM).  Kesediaan mereka ini membolehkan gerila komunis mengekalkan pasukan bersenjata mereka untuk meneruskan perjuangan.[12]

Rakyat PTM menganggap keadaan keselamatan yang diketengahkan Templer hanyalah alasan untuk melengahkan proses menuju ke arah berkerajaan sendiri. Tanggapan ini diperkukuhkan lagi apabila George Crombie dari Pejabat Hubungan Komanwel (Commonwealth Relations Office) dalam notanya pada 18 November 1954 menjelaskan bahawa: “...dasar Koloni kita adalah untuk menggalakkan berkerajaan sendiri secara berperingkat melalui kaedah demokrasi.”[13] Motifnya menjadi lebih jelas apabila beliau menentang Konferensi Afro-Asia (Asian-African Conference) yang akan diadakan di Bandung, Indonesia pada 18 hingga 24 April 1955. Beliau percaya antara topik perbincangan nanti akan membabitkan dasar anti-koloni. Perbincangan itu sudah pasti akan membuat Inggeris dalam keadaan kurang selesa. Keadaan akan memburukkan lagi dengan kehadiran Pandit Nehru, Perdana Menteri India yang begitu anti-koloni dan berpandangan bahawa kolonisme dan komunisme tidak dapat dipisahkan kerana “...They are collective [colonialism and communism], and one leads to another. Both are undesirable.”[14] Selain India, bekas koloni mereka yang akan turut hadir ialah Ceylon (Sri Lanka) dan Pakistan yang juga anti-koloni.[15]

Sementara itu, dasar ini menimbulkan prasangka di kalangan rakyat terhadap kejujuran Inggeris bahawa mereka agak keberatan untuk melepas PTM sebagai sebuah negara merdeka demi menjaga kepentingan ekonomi mereka.[16] Prasangka ini berasaskan kepada kepentingan mereka dalam industri getah asli dan bijih timah. Menurut laporan audit, PTM merupakan penyumbang terbesar di antara koloni kepada  ekonomi UK pasca Perang Dunia II. Sumbangan PTM berjumlah  $268,660,548.98 kepada ekonomi kerajaan Inggeris pada 1947.[17]

Walaupun Inggeris cuba melengahkan proses memberi kemerdekaan, namun mereka terpaksa akur kepada gelombang yang makin giat menuntut kemerdekaan oleh rakyat dengan seberapa segera. Senario ini terbukti apabila Parti United Malays National Organisation (UMNO) yang dianggap oleh Inggeris sebagai mesra-Inggeris, menukar slogan daripada ‘Hidup Melayu’ ciptaan Dato’ Onn Ja’afar yang digunakan semasa menentang Malayan Union kepada ‘Merdeka’.[18] Pertukaran ini adalah di atas cadangan  Pemuda UMNO dalam persidangan UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 25-26 Mac 1951. Alasan pertukaran ialah “...untuk melahirkan pembentukan bangsa dengan hati yang tenang dan bertanggungjawab.”[19] Cadangan ini ditentang oleh Dato’ Onn dengan alasan bahawa rakyat masih belum bersedia untuk mengambilalih menerajui PTM sebagai sebuah negara merdeka.[20] Dalam keadaan begini, kemerdekaan tersebut tidak akan bertahan lama. Namun demikian, undian memihak kepada cadangan Pemuda dan beliau akur dengan keputusan tersebut. Pendirian Dato’ Onn Ja’afar diulangnya pada 13 Jun 1951 semasa mengumumkan penubuhan Independence of Malaya Party (IMP).[21] Parti baharu ini akan mendapatkan kemerdekaan dalam tempoh tujuh tahun.[22]

Slogan baharu UMNO ini mendapat perhatian MacGillivray dan dilaporkan kepada Lennox-Boyd.[23] Laungan ‘Merdeka’ ini sebenarnya bukannya satu yang baharu. Ia mula kedengaran semenjak penubuhan Parti Kebangsaan Malaya Merdeka (PKMM) di Ipoh, Perak pada 17 Oktober 1945. Malah Rang Undang-undang PKMM dengan jelasnya mencatat tujuan utama penubuhannya  ialah “Kemerdekaan   Bangsa   dan   Tanah   Air.” Slogan ‘Merdeka’ menjadi laungan apabila bertemu dengan pendukung mereka.[24]



[1]               The Straits Times, Federation Comes Into Being, 2 Februari 1948, hlm. 1; juga ANM. Formation on the Federation Of Malaya.  Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Februari 1948. Lihat http:// hids.arkib.gov.my/en/peristiwa/-/asset_publisher/WAhqbCYR9ww2/content/persekutuan-tanah-melay u-ditubuhkan/pop_up?_101_INSTANCE_WAhqbCYR9ww2_viewMode=print (diakses pada 11 Disember 2018).
[2]               ANM. The Federation Of Malaya Agreement, 1948.
[3]               Comber, Leon. (2015). Templer and the Road to Malayan  Independence. Singapore: ISEAS, hlm. 5. Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi dan Pengarah Operasi adalah dua jawatan berasingan; Pengarah Operasi bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Kerajaan Inggeris bersetuju untuk melantik Sir Donald Charles MacGillvray sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Lt. Jen. Sir Robert Lockhart sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk membantu Templer.
[4]               The Sunday Times, Sir Henry Gurney Killed-He Drew Bandit Fire, 7 Oktober 1951, hlm.1.
[5]               Ongkili, James P. (1985). Nation-building in Malaysia 1946-1974. Singapore: Oxford University Press, hlm. 79.
[6]               CO 1022/103, Directive to General Sir Gerald Walter Robert  Templer, KCB, KBE, CMG, DSO, ADC, High Commissioner in and for the Federation of Malaya, by the Secretary of State for the Colonies on behalf of His Majesty’s Government in the U.K., 15 February 1952. Dalam Comber, Leon, op.cit., nota hujung, hlm. 17.  
[7]               Comber, Leon, op. cit., hlm. 5.
[8]               FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[9]               The Straits Times, This Is The Way-Eden: He lists Five Steps to Self-Govt., 3 March 1955, hlm. 1. Robert Anthony Eden menjawat jawatan Perdana Menteri pada April 1955-Januari 1957 menggantikan Winston Churchill.
[10]             Comber, Leon, op. cit., hlm. 22 dan nota hujung, hlm. 39. Penulis merujuk kepada CO 1022/86 (3), Minutes of Political Talk with General Templer at Colonial Office, 3 December 1952 dan CO 1022/86, Minutes by J.J. Paskin to Sir T. Lloyd re. Discussions with General Templer and the Chiefs of Staff, 10 December 1952.
[11]             Sir Donald Charles MacGillivray menggantikan Jen. Sir Gerald Templer pada 31 Mei 1952 sehingga 31 Ogos 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
[12]             CO 1030/174, no 9, despatch no 104/55 from Sir D. MacGillivray to Mr Lennox-Boyd on Chinese Support for MCP and MCP Strategy, 28 Jan 1955. Dalam Stockwell, A. J. (1995). Malaya: The Alliance Route to Independence 1953-1957. (Editor). Series B Volume 3. London: HMSO, hlm. 89.
[13]             Note from George Crombie from Commonwealth Relations Office on the Holding of an Afro-Asian Conference, 18 November 1954. Lihat http://www/cvce.eu/obj/note_from_the_commonwealth relations_office_on_the_holding_of_an_afro_asian_conference_18_november_1954-en-28ed9770-3ab f-4aaf-a343-875c230f95ef.html (akses pada 20 Jun 2018).
[14]             The Straits Times, My Message of Hope-by Nehru, 1 January 1955, hlm. 1. Jawapan Pandit Nehru apabila ditanya oleh wartawan di Singapura dalam perjalanan ke Pulau Pinang pada 31 Disember 1954. Beliau ditanya apa yang lebih berbahaya antara kolonialisme atau komunisme.
[15]             Ibid. Bekas koloni-koloni tersebut mencapai kemerdekaan pada: Ceylon-4 Februari 1948; India-15 Ogos 1947; Pakistan-14 Ogos 1947.
[16]             FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[17]             Report on the Audit of the Accounts of the Malayan Union for the Year Ended 31 December 1947 (1950). Dalam Ishak Saat. (2011). Radikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 61.
[18]             Abdul Rahman Abdul Aziz & Mustapa Kassim. (2009). Amanat Presiden: 1946-1951 Dato’ Onn Jaafar. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd, hlm. 5. Dato’ Onn Jaafar menyeru slogan  ‘Hidup Melayu’ dalam penutupan ucapannya semasa Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman pada 1-4 Mac 1946. Kongres ini menyaksikan persetujuan untuk menubuhkan UMNO; dan Ramlah Adam. (2005). Dato’ Onn Ja’afar: Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 163. Slogan ini menjadi cogan kata UMNO ketika itu.
[19]             Ramlah Adam, op. cit., hlm. 170-171. 
[20]             CO 537/1594, Political Report for May 1951 dan MSS/PIJ No. 2247. Dalam Ramlah Adam, op. cit., hlm. 171.
[21]             The Straits Times, Seven Years: Is It Enough?, 14 Jun 1951, hlm. 6.
[22]             The Straits Times, 'We'll Quit with Onn'-Say Top UMNO Members, 14 Jun 1951, hlm. 5.
[23]             CO 1030/174, no 9, despatch no 104/55 from Sir D. MacGillivray to Mr Lennox-Boyd on Chinese support for MCP and MCP Strategy, 28 Jan 1955. Dalam Stockwell, A. J., op. cit., hlm. 94.
[24]             Ishak Saat. Peranan Politik Akhbar Suara Rakyat 1945-48. Kemanusiaan,17 (2010), 65-89,  Universiti Sains Malaysia, hlm. 72. Lihat  http://web.usm.my/kajh/KAJH%2017/KAJ H%20Art% 204 %20(65-89).pdf (diakses 12 Disember 2018); juga Insun Sony Mustapha. (2005). Malay Nationalism Before UMNO: The Memoirs of Mustapha Hussain. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., hlm. 330. Inggeris telah mengharamkan PKMM apabila darurat diisyhtihar pada 18 Jun 1948 dengan alasan ia dipengaruhi oleh komunis.