Pengikut

Jumaat, 12 Disember 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

  Sambungan dari  di SINI

The Grand Master’s Commendation

Logo GAPAN/The Honourable Company of Air Pilots. Sumber: SKYbrary


Hari silih berganti. Seperti mana-mana peristiwa - sehebat mana sekali pun - kisah operasi mencari dan menyelamat Low’s Gully pada Mac 1994 perlahan-lahan mula tenggelam daripada ingatan. Itulah resam dunia. Namun, bukan semua. Tanpa diketahui oleh kru penyelamat, kisah mereka telah mendapat perhatian satu institusi berprestij di bawah naungan Ratu Elizabeth II, iaitu ‘The Guild of Air Pilots and Air Navigators (GAPAN),’ yang beribu pejabat di London. Institusi ini telah ditubuh pada tahun 1929 dan kini dikenali sebagai ‘The Honourable Company of Air Pilotssemenjak 2014 dan King Charles pula adalah Penaungnya.[1] Sebab itu, Kol Muhammad bin Yunus, Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London terkejut apabila menerima sepucuk warkah daripada GAPAN bertarikh 30 September 1994 pada 3 Oktober 1994.

 Surat itu memaklum bahawa “...His Royal Highness The Prince Philip, Duke of Edinburgh, has approved the award of the Grand Master’s Commendation to the crew of the S61A-4 helicopter who completed the above rescue.”[2] Ya, Prince Philip selaku ‘Grand Master’ institusi itu bersetuju menganugerah ‘Grand Master’s Commendation,’ kini dikenali sebagai ‘The Grand Master’s Award,’ kepada kru helikopter S61A-4. Asas pencalonan mereka ialah “For their outstanding skill and bravery in rescuing safely five British soldiers lost in Low’s Gully, Mount Kinabalu, Sabah on 25/26 March 1994.”[3] iaitu mereka telah memapar tindakan keberanian bagi menyelamat lima warga British yang hilang di Low’s Gully.

Mereka ialah: (1) Lt  Gabriel Buja Joel TUDM; (2) Lt Nazhar bin Abdullah TUDM; (3) F/Sjn Gobiraja a/l Ayayoo; (4) F/Sjn Sandiran a/l Gopal (B); (5) LUK Mohd Noh bin Bidin; (6) LUK Aris bin Rahaba.

Keenam-enam mereka diundang ke majlis bankuet untuk menerima sijil ‘Grand Master’s Commendation’ yang akan berlangsung di Mansion House, London, pada 29 November 1994. 



Surat daripada GAPAN kepada Penasihat Pertahanan di London.  
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B) 

Kol Muhammad  memanjang undangan tersebut kepada Pejabat Panglima Tentera Udara pada 6 Oktober 1994 untuk tindakan selanjutnya.[4] 
Surat daripada Penasihat Pertahanan di London ke Markas Tentera Udara.  
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B) 

Kad jemputan daripada GAPAN kepada F/Sjn Sandiran a/l Gopal. 
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B) 

Jemputan itu dimaklum kepada para jemputan oleh Markas Tentera Udara (MTU) pada 24 Oktober 1994.[5] Sememangnya satu penghormatan kepada anggota terbabit dan juga negara. Pihak TUDM tiada halangan mereka mengambil cuti tahunan untuk menghadiri majlis tersebut. Namun demikian, di atas sebab tertentu mereka terpaksa menanggung pembiayaan sendiri.[6] Dengan ini, perbelanjaan untuk tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan sepanjang berada di kota raya tersebut. Tiket penerbangan untuk dua hala sahaja berharga RM2,400.00 seorang![7]

 Namun demikian, kru ‘Rescue 08’ - Kapt  Gabriel (kini berpangkat Kapten), Lt Nazhar, F/Sjn Gobiraja, dan F/Sjn Sandiran tidak melepas peluang untuk menerima undangan tersebut. Sebaliknya, beban kewangan ini merupakan halangan untuk LUK Mohd Noh dan LUK Aris turut menyertai mereka.[8] Keempat-empat anak kapal mengambil cuti selama lebih kurang seminggu.[9] Kapt  Gabriel dan F/Sjn Sandiran membawa pasangan masing-masing manakala F/Sjn Gobiraja tidak membawa isterinya sementara Lt Nazhar pula masih bujang.

 Mereka bernasib baik. Seorang hamba-Nya memahami bebanan kewangan ini. Justeru, beliau berusaha supaya wakil syarikat ‘Sikorsky Aircraft’ di London menaja penginapan sepanjang mereka berada di kota raya tersebut.[10] Selain itu, menyedia pengangkutan semasa ketibaan di London dan pada hari bankuet tersebut. Syarikat berkenaan bersetuju untuk menaja mereka. Mana tidaknya, platform untuk penyelamatan tersebut tidak lain tidak bukan ialah produk keluaran syarikat – Sikorsky S61. Secara tidak langsung peristiwa tersebut telah menonjol imej helikopter Sikorsky. Keprihatinan  insan itu banyak meringan kewangan. Satu kelegaan, syukur alhamdulillah.  

 Para tetamu GAPAN berlepas dari Kuching ke Singapura dengan pesawat ‘MAS’ (MH641) pada jam 11.05 pagi, 25 November 1994. Mereka bermalam di situ untuk penerbangan ke London pada keesokan hari, 26 November 1994. Malam itu, mereka menginap di hotel dengan bayaran RM166.00 sebilik.[11] Keesokan hari, mereka berlepas dengan pesawat ‘SIA’ (SQ320) pada jam 12.30 tengah hari.[12] Setelah melepasi lapan zon masa dan lebih kurang 13 jam di angkasa, pesawat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow kira-kira jam 17:30 petang (waktu tempatan), hari yang sama.

 Ketibaan mereka disambut oleh seorang wakil Sikorsky. Mereka dibawa ke Forte Crest Hotel (kini Holiday Inn) berhampiran lapangan terbang; lebih kurang 15 minit perjalanan. Syarikat tersebut telah menempah empat bilik termasuk makan sepanjang mereka berada di London. Pada malam 29 November 1994, wakil Sikorsky menjemput mereka untuk ke majlis tersebut yang bermula pada jam 7:00 malam di Mansion House. Tetamu kehormat ialah Raja Hussein bin Talal al-Hashimi, Raja Jordon. Baginda yang akan menyampaikan anugerah tersebut. Majlis berakhir sebelum jam 10.45 malam.[13] Seperti yang dijanji, wakil Sikorsky membawa mereka balik ke hotel.

Bergambar bersama Raja Hussein bin Talal al-Hashimi, Raja Jordon, selepas menerima sijil di Mansion House  pada 29 November 1994. Dari kiri: F/Sjn Gobiraja, Kapt Gabriel, 
Raja Hussein, Lt Nazhar, F/Sjn Sandiran. Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)

Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)

Asas pemilihan kru Rescue 08 sebagai penerima Grand Master’s Commendation
Sumber:  Eloise Cummins, The Honourable Company of Air Pilots

Dari kiri: Puan Weenie Louis Balan, Kapt Gabriel, F/Sjn Gobiraja, F/Sjn Sandiran, Puan Gankaisegamoni, Lt Nazhar. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Dari kiri: Puan Gankaisegamoni, F/Sjn Sandiran, F/Sjn Gobiraja. 
 *****

Seperti yang dijadual, pada 6 Disember 1994 jam 2.30 pagi, mereka berlepas dari London ke Singapura dengan pesawat SIA (SQ315) dan tiba di destinasi pada lebih kurang jam11.30 malam. Seperti sebelum ini, mereka bermalam di Singapura dan menerus penerbangan ke Kuching  pada keesokan hari, 7 Disember 1994, dengan pesawat SIA (SQ186).

*****

Para pelancong dari Kuching. Dari kiri: F/Sjn Gobiraja, Kapt Gabriel, Lt Nazhar, F/Sjn Sandiran. 
Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)

*****

Kenangan PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) semasa di London:

 “Saya pergi seorang sahaja kerana kos ke London mahal. Isteri saya tidak bekerja. Guna duit simpanan. Sebaik tiba di Lapangan Heathrow, seorang wakil Sikorsky daripada kaum Sikh, menunggu kami. Kami dibawa ke hotel 4 bintang lebih kurang 10-15 minit perjalanan. Sikorsky menempah empat bilik dan makan ditanggung oleh syarikat tersebut. Bilik besar. Jadi, saya dan Lt Nazhar bersetuju untuk kongsi bilik. Bermakna Sikorsky sewa tiga bilik sahaja walaupun peruntukan untuk empat bilik. Kami beritahu wakil Sikorsky duit bilik satu lagi diberi kepada kami untuk perbelanjaan kami. Dia setuju. Dengan duit itu, kami guna untuk menyewa kereta.

Setiap pagi kami mengambil sarapan sehingga betul-betul kenyang. Sarapan yang dihidang secara bufet. Dalam diam-diam kami ambil roti, bun dan pastri diisi dalam beg kecil yang kami bawa. Nak jimat belanja. Dah datang ke London, bukan nak duduk  dalam hotel sahaja. Nak juga meronda tengok Kota London. Harga makanan amat mahal; kadar tukaran pula sekitar £1 lebih kurang RM4. Tidak mampu kami makan di luar setiap masa.

 Di hotel itu, ada seorang pekerja lelaki Cina dari Johor. Dia mula perasan yang kami tidak pernah muncul untuk makan tengah hari atau makan malam. Selepas 2-3 hari, dia bertanya mengapa kami langsung tidak turun makan tengah hari dan malam.

 Saya berterus terang dengan dia. Kami berada di sini kerana diundang oleh GAPAN untuk menerima ‘Grand Master’s Commendation.’ Pada masa sama, kami ambil peluang melihat-lihat kota raya. Jadi, susahlah  kami balik ke hotel hanya untuk makan tengah hari. Lokasinya pun jauh dari tempat kami melawat.

 Bila dia tahu saja, dia kata: “You guys famous here.” Dia ambil beberapa keratan akhbar. Katanya lagi: You all di muka hadapan akhbar selama tujuh hari berturut-turut.” Lepas itu, dia ajak kami ke ‘bar.’ Di situ, dia  memperkenalkan kami kepada mereka yang berada di situ. Katanya: “Merekalah orang yang menyelamat lima anggota British.” Malam itu, sesiapa yang minum di situ “on the house.”

Bukan itu sahaja. Dia mengatur supaya penyambut tetamu di kaunter untuk memberi kupon untuk mereka. Dengan kupon itu, mereka boleh makan percuma di mana-mana hotel. Mulai hari itu,  setiap pagi mulai hari itu, kami diberi kupon makan - untuk makan tengah hari, makan malam dan juga ‘tea break.’

Bagaimana pun, kami tetap mengambil sarapan yang berat setiap pagi sebelum keluar meronda sepenuhnya masa yang ada. Bantuan kupon itu sangat bermakna bagi kami ketika itu.”

Bersambung...in...sya...Allah...

[1]              SKYbrary, The Honourable Company of Air Pilots. Lihat  https://skybrary.aero/articles/honourable-company-air-pilots (diakses pada 8 Disember 20250.

[2]              Surat daripada The Guild of Air Pilots and Air Navigators kepada Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London, bertarikh 30 September 1994, bertajuk ‘Award of the Grand Master’s Commendation To The Crew Of A Royal Malaysian Air Force (RMAF) S61-4 Helicopter Who Rescued The Five British Soldiers Lost In Low’s Gully On 25/26 March 1994.” Sumber daripada koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B).

[3]              Sijil “Grand Master’s Commendation”; E-mel daripada Eloise Cummins, Events & Awards Co-ordinator, The Honourable Company of Air Pilots, pada 10 Disember 2025.

[4]              Surat daripada Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London, kepada Pejabat Panglima Tentera Udara bertarikh 6 Oktober 1994, bertajuk “Awards the Grand Master’s Commendation Kepada Anak Kapal Pesawat Nuri Yang Terlibat Dengan Operasi Menyelamat Di Gunung Kinabalu.” Sumber daripada koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B).

[5]              Mesej daripada MTU, Awards the Grand Master’s Commendation Kepada Anak Kapal Pesawat Nuri Yang Terlibat Dengan Operasi Menyelamat Di Gunung Kinabalu, MTU/Sek E/60 bertarikh 24 Oktober 1994. Sumber daripada koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B).

[7]              Maklumat daripada koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B).

[8]              Penjelasan oleh PW  U I Gobiraja a/l Ayavoo (B) melalui telefon pada 10 Disember 2025.

[9]              Ibid.

[10]            Ibid.

[11]            Ibid.

[12]            Salinan tiket penerbangan daripada koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B).

[13]            Salinan arahan GAPAN kepada para hadirin daripada koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B).

 


Ahad, 7 Disember 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 Sambungan dari di SINI



******
Anggota yang terlibat dalam Op Sar Low's Gully






Bersambung...in...sya...Allah...

Khamis, 4 Disember 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Sambungan dari  di SINI

Tinggal dalam kenangan

 Ahad, 27 Mac 1994/16 Syawal 1414H

 Jurang Low’s Gully. Pada pukul 6.00 pagi, anggota Platun No 8 dan UCIS mula bergerak menuruni jurang Low’s Gully. Keletihan operasi beberapa hari masih mencengkam, namun semangat mereka yang tinggi memudah pergerakan menyusuri arus sungai dan cerun berbatu. Sebahagian besar perjalanan dilakukan di tebing sungai, dan apabila menemui tebing curam atau bongkah batu yang menghalang laluan, mereka mengharungi arus yang sejuk menggigit tulang.

 Setelah hampir 12 jam bergerak, mereka akhirnya tiba di Kpg Melangkap Tomis kira-kira pukul 6.00 petang. Dua buah kenderaan 3-ton sudah sedia menanti. Selepas menikmati makan malam ringkas, mereka bertolak balik ke Kem Lok Kawi pada pukul 8.00 malam dan selamat tiba pada jam 11.00 malam, menutup salah satu episod pencarian paling mencabar pernah dihadapi mereka. [1]

*****

Kota Kinabalu. Di Sabah Medical Centre, doktor mengesahkan kelima-lima warga British berada dalam keadaan stabil dan tiada halangan untuk penerbangan pulang. Dengan kepastian itu, Lt Kol Tony Schumacher mengatur penerbangan mereka bersama Kpl Hugh Brittan ke Hong Kong dan seterusnya ke London. Kumpulan SAS turut serta dalam penerbangan tersebut.[2]

 Sementara itu, di luar hospital, para wartawan dan jurugambar yang sudah menunggu sejak pagi memburu konvoi limousin yang membawa mereka ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Kereta media mengekor rapat - masing-masing berlumba mendapatkan ‘cerita panas’ yang tidak mungkin dilepaskan.

Setiba di lapangan terbang, beberapa tetamu rasmi sudah menunggu, antaranya Brig Jen Hussin bersama stafnya, anggota RAF MRS, Lt Kdr Mike Elesmore (B), dan pegawai Taman Gunung Kinabalu.[3] Dalam sidang akhbar di Bilik Orang Kenamaan, Lt Kol Robert Neill merakamkan penghargaan:

“Saya bagi pihak rakan sepasukan, menyatakan penghargaan kepada semua anggota penyelamat di udara dan darat di atas usaha cemerlang mereka menyelamatkan kami. Ekspedisi itu memberikan cabaran yang dikehendaki dan memenuhi semua kriteria latihan untuk tentera.”[4]

Apabila ditanya mengenai kegagalan ekspedisi mencapai objektifnya, beliau menegaskan bahawa kegagalan itu tidak meluntur hasratnya untuk kembali menawan Low’s Gully suatu hari nanti. Namun demikian, beliau menegas perlaksanaan ekspedisi itu nanti tidak mengguna cara yang sama. Tentang operasi mencari dan menyelamat pula, beliau yakin mereka akan diselamatkan walaupun pencari berhadapan dengan cabaran getir.

Brig Jen Hussin pula mengulas: “Rakyat Malaysia bangga kerana dapat menyelamatkan kelima-lima mereka, meskipun menghadapi kesukaran di kawasan gunung-ganang itu.”[5]

Setiba di Hong Kong, para ‘survivors’ dibawa terus ke British Military Hospital, di mana keluarga mereka sudah menanti. Untuk mengelak gangguan media, pihak tentera mengehad kehadiran hanya kepada lima jurugambar yang dibenarkan berada di siru. [6]

Pada 28 Mac 1994, kesemua 21 anggota RAF MRS pula berlepas dari Kota Kinabalu melalui Kuala Lumpur, dan tiba di London pada 29 Mac 1994.[7] HQ British Forces Hong Kong mengisytihar Op Gully Heights tamat pada 2 April 1994 apabila Lt Kol Robert Neill dan keluarganya tiba di UK.[8]

*****

Penghargaan

Sebagai Komander Bersama operasi, Brig Jen Hussin merakam penghargaannya terhadap dedikasi anggota TUDM yang terlibat dalam melaksana tugasan yang dipertanggungjawab kepada mereka. Kenyataan beliau  dan disokong oleh Lt Kol Tony Schumacher selaku wakil Tentera British untuk operasi tersebut:

“Tentera Udara Diraja Malaysia mengambil risiko yang paling besar yang boleh dibayangkan. Mereka melaku perkara-perkara yang luar biasa dengan helikopter mereka.”[9]

Menyentuh peranan Bn 16 RAMD, Panglima 5 BIM itu merakam terima kasihnya kepada anggota yang terlibat dalam operasi tersebut. Beliau mengharap pengalaman tersebut akan dijadikan sebagai pendorong untuk mencapai tahap profesionalisme cemerlang. Beliau menegaskan: 

“Tanpa bantuan dan kesungguhan 16 RAMD adalah sukar untuk kita mengesan dan menjejaki tentera British yang hilang itu, apatah lagi dengan keadaan persekitaran serta pohon-pohon yang menghalang penglihatan dari udara.”[10]

*****

Setiausaha Pertahanan Britain, Malcolm Rifkind, menghantar mesej kepada rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, merakam:

“Tanpa tindakan pantas dan profesionalisme Malaysia, anggota kami mungkin tidak sempat ditemui. Sokongan anda amat dihargai bukan saja oleh anggota terbabit dan keluarga mereka, tetapi juga oleh rakyat United Kingdom.”[11]

*****

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak, merakam kejayaan SAR:

 “Kita bangga dengan semangat dan keberanian yang ditunjukkan kerana keadaan di gunung itu cukup sukar dan bahaya untuk melakukan sebarang usaha menyelamat. Tetapi kali ini tentera kita sama ada udara atau darat berjaya walaupun dalam cuaca buruk dengan memperlihatkan semangat keberanian luar biasa.”[12]

 Menyentuh peranan TUDM pula, beliau menyatakan: 

“Kejayaan misi menyelamat itu mencermin kebolehan dan nilai profesional yang tinggi di kalangan anggota TUDM khasnya Unit Mencari dan Menyelamat (SAR). Ini adalah kerana kerja-kerja mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan adalah amat sukar dan merbahaya ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang buruk. Ternyata mereka telah memperlihatkan sikap dan keberanian yang luar biasa.”[13]

*****

Tidak ketinggalan, Datuk Seri  Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, memberi penghormatan kepada  TUDM di atas kejayaan operasi tersebut walaupun dalam keadaan yang mencabar. Beliau merakam: “Ini mencerminkan kecekapan TUDM dan merupakan detik yang membanggakan bagi kita.”[14]

*****

Kerajaan Britain tidak hanya menghantar surat penghargaan. Melalui Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi Duncan Slater mengatur kunjungan hormat ke atas Brig Jen Hussin pada 31 Mac 1994 untuk menyampai penghargaan rasmi kerajaan Britain kepada anggota yang terlibat, khususnya TUDM.

Mawilud II (Markas Wilayah Udara) di Kuching mengkoordinasi pergerakan udara. Sebuah Nuri No 5 Skuadron ditugas untuk penerbangan ‘comm flight (communication flight)’ ke Kem Lok Kawi dengan penumpang terdiri daripada dua kru Alouette III (Kapt Mohamad Izhar dan Sjn Mohd Salleh) serta enam anggota CAR. Di PU Kuching pula, sebuah pesawat Cessna membawa Lt Gabriel, Lt Nazhar, F/Sjn Gobiraja dan F/Sjn Sandiran ke Kota Kinabalu.[15]

Pertemuan rasmi diadakan di Wisma Perwira, Kem Lok Kawi. Dalam ucapannya, Duncan Slater berkata:

“Ia merupakan operasi yang sungguh sukar membabitkan keadaan yang amat rumit. Bagaimanapun ia dapat dijalankan dengan jayanya. Saya menganggapnya sebagai pencapaian yang mengagumkan dan kerajaan serta  rakyat Britain ingin menyampaikan terima kasih kepada mereka yang terbabit.”[16]

Duncan Slater bergambar dengan anggota TUDM dan wakil Bn 16 RAMD.
Sumber: Koleksi F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

Duduk dari kiri: Lt Gabriel TUDM, Mej Dr Shamsuddin, Kol Ghazali, Brig Jen Hussin, Lt Kol Yahya (CO 16 RAMD), Kapt Mohd Izhar TUDM, Lt Nazhar TUDM. Berdiri dari kiri: Mej Mokhtar, F/Sjn Gobiraja, Mej (?), F/Sjn Sandiran, LUK Che Baharin, Mej Sheikh Alladin (2IC 16 RAMD), Sjn U Mohd Salleh, LUK Mohd Noh. Sumber: Koleksi F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

 

F/Sjn Sandiran menunjukkan logo HQ British Forces Hong Kong dalam pesawat Cessna dalam penerbangan balik ke Kuching. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

*****

Penghargaan daripada Brig Jen Dato’ Gophal Ramdas TUDM, Panglima No 2 Divisyen Udara, Subang,  kepada Mej Rosli bin Mohd Yusof TUDM, CO No 5 Skuadron, PU Labuan, untuk disampaikan kepada Kapt Mohamad Izhar bin Hassan TUDM dan Sjn U Mohd Salleh bin Shariff. Sumber: Koleksi F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)
Mesej ucapan tahniah daripada Lt Jen (B) Dato’ Seri Mohd Yunus bin Mohd Tasi,
mantan PTU kepada semua anggota yang terlibat dalam Op SAR Low’s Gully. 
 Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
Imbauan

 Lt Kol Robert Neill, Ketua Ekspedisi:

Lowe's Gully, to me, is the most profound experience I have ever had in my life. It seems, a lot of the time, that nothing happened before the expedition. And not a day goes by but I do not think of it in one form or another.[17]

*****

PW Alister Haveron, Ketua RAF MRS:

Once again, the weather turned and the gully revealed its true face to those that dared enter it. It was just a hellhole. Some of them were saying that they had never been in anything like it before and they just, I mean, the sooner they could get back out of it, the better, but they did know that there were five people's lives at stake and that we had to keep pushing on down that gully as far as we possibly could.[18]

*****

Kol Ghazali Alias (B), mantan Timbalan Panglima 5 BIM: 

“Alhamdulillah, kita yang terlibat keseluruhannya, berjaya menunaikan kewajipan tanpa sebarang 'mishap' anggota dan peralatan. Ianya satu operasi SAR yang mempamerkan kerjasama mantap, sepadu diantara pasukan TDM, TUDM dan juga UK. Kesinambungan yang berkesan ini juga sepatutnya menjadi satu teladan dari segi hubungan diantara dua negara, yang telah lama menjalinkan tali persahabatan di bidang ketenteraan dan diharap akan berlarutan. A job well done, as the saying goes!

*****

Lt Kol Shamsudin bin Sulaiman (B),  Lt Kol Zainal Abidin bin Ismail (B), dan Mej Kayum bin Badarudin, mantan pegawai Bn 16 RAMD:

“Operasi mencari dan menyelamat di Lows Gully ini merupakan suatu operasi yang begitu hebat dan mencabar. Mengharungi hutan rimba dan merintangi Sungai Penataran yang berbongkah batu sebesar rumah telah memberikan suatu cabaran yang hebat kepada kami semua anggota Platun 7, Platun 8 dan Platun UCIS dari pasukan 16 RAMD. Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Jarak kami sudah hampir dengan mereka iaitu lebih kurang 2 km sahaja lagi.  Walaupun bukan tim kami yang menjumpai mereka, namun dengan maklumat yang kami berikan sehingga kelima-lima mereka berjaya ditemui.”

*****

Laksma (M) Dato’ Mohamad Izhar bin Hassan PTU (B): 

“Bila tengok gambar itu, meremang tengkuk teringat masa ‘approach’ masuk bawa rangsum dan paramedik ke lokasi ‘survivors.’ Macam mana saya  masuk dan ‘hover’ untuk menurunkan paramedik hingga ‘undercarriage’ mencecah bongkah batu pun saya tidak tahu. Sempit betul tengok gambar ini. Mungkin masa itu adrenalina tengah yang memuncak.”

*****

Brig Jen Idris bin A. Wahab TUDM, Timbalan Inspektor Jeneral ATM:

“Penerbangan adalah sangat mencabar kerana hanya satu laluan masuk ke kawasan Low’s Gully yang kami temui untuk membolehkan pesawat S61A-4 masuk atas faktor saiz helikopter. Laluan lain ditutupi oleh awan tebal. Semasa penerbangan di dalam kawasan Low’s Gully, updraft dan downdraft bersilih ganti. Pada masa yang sama flight controls menjadi semakin sloppy bila semakin tinggi kami terbang naik. Kami terpaksa keluar dari kawasan Low’s Gully bila hujan menghampiri kawasan tersebut. Kami terjumpa air terjun yang tinggi seumpama air terjun dalam filem Jurassic Park.”

*****

PW U II Che Baharin bin Che Mat (B): 

“Saya on board pada waktu itu. Hairan tidak terfikir takut, mungkin agak darah muda. Cuba waktu sekarang...mampu pandang dan dengar sajalah.”

*****

F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B):

“Kalau diingatkan kembali, memang ‘daring’ ke lokasi yang sempit untuk menyelamatkan ‘survivors.’ Syabas dan tabik buat pilot dan kru termasuk pasukan lain yang terlibat. Tiada ‘task’ yang mencabar selain Low's Gully ini.”

*****

Berita Minggu, 28 Mac 1994, hlm. 11. Sumber: Arkib Negara

Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)
Utusan Malaysia, 28 Mac 1994, hlm. 16. Sumber: Arkib Negara

Sumber: Koleksi Lt Kol Zainal Abidin bin Ismail (B)
Sumber: Koleksi F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

Bersambung...in...sya...Allah...


[1]              Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi Menyelamat Low’s Gully sebelum ini, hlm. 66.

[2]              Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 123.

[3]              Ibid. hlm. 248.

[4]              Berita Minggu, Neil mahu tawan Gunung Kinabalu, 28 Mac 1994, hlm. 11.

[5]              Ibid.

[6]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 250.

[7]              Emel daripada PW Alister Haveron pada 8 November 2025.

[8]              HQ British Forces, Hong Kong sebelum ini, hlm. 1.

[9]              Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 115.

[10]           Koleksi keratan akhbar Lt Kol Zainal Abidin (B) bertajuk Pengorbanan anggota Tentera British mengharumkan nama negara tanpa nama, tarikh, dan halaman.

[11]            Berita minggu, London hargai bantuan ATM, 29 Mac 1994, hlm. 1.

[12]            Utusan Malaysia, Keberanian anggota TUDM dapat pujian, 28 Mac 1994, hlm. 6.

[13]            Ibid.

[14]            Koleksi keratan akhbar F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B) bertajuk  Well done, Anwar tells air force tanpa nama, tarikh, dan halaman.

[15]            Maklumat daripada PW I Gobiraja a/l Ayayoo (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 28 November 2025.

[16]            Sabah Time, Britain ulangi penghargaan kepada Malaysia, 1 April 1994.

[17]            Petikan kata-kata Lt Kol Robert Neill dalam filem dokumentari selama 5.48 minit terbitan ITN Factual Production for Channel Four.

[18]            Petikan kata-kata PW Alister Haveron dalam filem dokumentari selama 5.48 minit terbitan ITN Factual Production for Channel Four.