Followers

Monday, December 29, 2014

Ops Ukur - Bhg 11

Sambungan dari sini...

Pada 18 Jun 1975, PGK telah menyerang hendap PK dan para juruukur yang mengakibatkan seramai 8 anggota PPH, 4 anggota Thai Border Patrol Police (TBPP), dan 3orang juruukur terkorban, manakala3 anggota PPH dan dua  anggota TBPP cedera di sempadan berhampiran Sintok. 49256 Konst. Yahya Bin Hassan, angggota Platun 16, Kompeni D, 6 PPH, menceritakan bahawa beliau berada di pangkalan kem semasa kejadian berlaku. Menurut beliau, platunnya dijadualkan untuk mengiringi juruukur untuk kerja-kerja ukur pada 17 Jun tetapi dibatalkan kerana cuaca buruk. Ketiadaan aktiviti ini diambil kesempatan oleh PGK untuk memasang JS di permatang yang akan dilalui oleh PK dan juruukur. 
Bersama En Yahya di Bagan Serai, Perak, pada 29/11/2014

Keesokan hari, 18 Jun, tugas mengiri juruukut diambil alih oleh Platun 14. Mereka bertolak dari pangkalan kem mengikuti permatang pada jam lebih kurang 7:00. Pada jam lebih kurang 7:40, terdengar letupan kuat diikuti dengan tembakan bertubi-tubi. Setelah tembak-menembak berhenti, PK yang berada di pangkalan kem telah pergi ke lokasi untuk mengambil mangsa-mangsa. Menurutnya lagi, PGK telah memasang JS sepanjang 200 ela di atas permatang. Apabila platun dan juruukur berada dalam zon bunuh (killing zone), PGK telah meletupkan JS yang mengakibatkan ada yang terbunuh dan cedera. PGK telah menembak mati anggota-anggota yang cedera. Ada mangsa yang pura-pura mati bagi mengelak daripada dibunuh.

Sebelum itu, mereka membuat beberapa strecer menggunakan buluh dan hammock kanvas. Mereka diingatkan tidak mengalih  mangsa-mangsa yang terkorban terus ke strecer. Peringatan ini bagi mengelak kemungkinan PKG meletakkan JS pada mangsa-mangsa. Kaedah yang digunakan ialah mengikat tangan atau kaki mangsa dengan tali dan menarik mangsa dari jarak jauh. Jika ada JS di bawah tindihan mayat, ia akan meletup. Mereka telah mengguna akar kayu sebagai tali. PGK hanya sempat meletakkan sebutir grenad pada anggota pertama (leading scout) yang terbunuh terkena tembakan. Apabila mayatnya ditarik, berlaku satu letupan grenad tangan yang diletak pada mayat tersebut. Mangsa-mangsa dari Malaysia diusung ke LP yang terletak lebih kurang 15 minit perjalanan daripada pangkalan kem manakala mangsa-mangsa Thailand dibawa ke pangkalan kem.

Helikopter Bell Iroquois Thailand tiba untuk mengambil dua casevacs dan empat bodevacs di pangkalan kem. Apabila tiba di LP, TBPP telah mengesan JS dipasang pada LP. Anggota TBPP telah mematikan JS dan dimusnahkannya kurang  lebih 200 ela dari LP. PGK telah memasang JS di LP kerana kedudukan LP bukannya di pangkalan kem. Sementara menunggu ketibaan Nuri, mayat-mayat mangsa ditutup dengan daun palas kerana hujan mula turun. 

Pada 18/6/75, jam lebih kurang 5.30 petang, Lt (U) Mior Zubir, Lt (U) Wan Munsif, dan Sjn Arumugam (KU) dengan Nuri FM1716 yang membuat detasemen di TUDM Butterworth, telah ditugaskan untuk mengambil casevacs dan bodevacs. Apabila mereka tiba di LP, hujan mulai turun dan hari hampir gelap. Menurut Arumugan, mayat-mayat terpaksa diletak atas lantai tanpa penutup dan tidak tersusun. Semua mangsa diterbangkan ke kem PPH Sungai Petani, Kedah. Arumugam mencatatkan pengalamannya “...The bodies were packed in the cabin with blood running like water on the floor. My boots and flying suit were drenched with blood. I never smoked before but on this incident the smell of blood was unbearable. I requested a cigarette from Capt. Mior and smoked to keep the smell away. The cockpit crew got a shock”.

Yahya menyatakan selepas mangsa-mangsa diterbangkan ke Sungai Petani, satu platun PPH telah diarah untuk mengawal LP. Keesokan hari, 19 Jun, Nuri yang dikendali oleh Mior Zubir dan kru terbang ke LP untuk membawa keluar semua anggota PPH dan JUPEM. 

Anggota-anggota yang terkorban ialah:

1. JUPEM - En Harun Bin Kadir, En Kamaruddin Bin Samad, dan En Zainal Abidin Bin Sidek. 

2. PPH – Konst. Saparman Bin Nasron, Konst. Mohd Nor Bin Tumin, Konst. Maduin Bin Abd Wahab, Konst. Alizar bin Sarunan, Konst. Sal’an Bin Ahmad Siraj, Konts. Mohd Zahid Bin Jumangat, dan Konst. Abu Nordin Bin Ibrahim.

3. TBPP – Pbt Prasert Meesri, Pbt Daloh Thepwarin, Pbt Vichit Chulok, dan Pbt Chan Khamsunthorn.
Jumlah yang terkorban ialah 15. 11 terkorban yang disiar oleh TST adalah rakyat Malaysia. Anggota TBPP tidak dilaporkan 

Jika nakkan tahu lebih lagi tentang Ops Ukur, boleh baca nukilan di sini.

Muzium PDRM, En Yahya, En Mohd Makros, dan En Alakasvaran....Terima kasih.

Nota: Saya berharap ada di antara para pembaca yang terlibat dalam insiden ini sedia menceritakan pengalaman mereka. Sekurang-kurangnya dapat mengesahkan cerita ini, wallahualam.  Harap emel pada saya di nibsny@yahoo.com. Terima kasih.

No comments: