Followers

Friday, October 6, 2017

Darurat Ke-2/2nd Emergency?


1968-1989...Mungkin ramai yang menganggap tempoh tersebut sebagai Darurat Ke-2/2nd Emergency, termasuk saya. Tapi tanggapan ini oleh orang seperti saya ini kira OK lagi kerana terdapat literatur2 yang ditulis oleh penulis2 ilmiah turut mencatat tempoh tersebut sebagai Darurat Ke-2/2nd Emergency. Sebagai contoh, lihat buku ini (kiri), "Malaysia's Defeat Of Armed Communism - The second emergency, 1968-1989". 

Malahan, tesis PhD penulis tersebut juga ada kaitan dengan 2nd Emergency, "Securing the Population from Insurgeny and Subversion in the Second Emergency (1968-1981), di sini. Sementara itu, dalam 1 perenggan dalam  publikasi TDM juga ada menyentuh tempoh tersebut, "DARURAT KEDUA (1968-1989)".


Masalahnya, 1 penerbitan TDM yang lain pula, "The Malaysian Army's Battle Against Communist Insurgency In Peninsular Malaysia 1968-1989" (2001), tidak mencatatkan tempoh tersebut sebagai darurat ke-2. Sama juga dengan Dr Ho Hui Ling, beliau tidak menganggap tempoh tersebut sebagai darurat ke-2 dalam bukunya, "Pergerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya 1968-1989 - Kebangkitan Semula dan Penumpasannya" (2015).

Saya telah bertanya Dr Ho mengenai persoalan ini. Jawapannya melalui emel pada 8 Mac 2016, beliau menulis "...Dalam kebangkitan insurgensi komunis 1968, setakat kajian saya tidak ada undang-undang yang diisytiharkan di Semenanjung. Saya juga tidak menggunakan first or second emergency dalam tulisan saya".

Pada saya yang serba kurang dalam perkara seperti ini, memang mengelirukan. Jadi saya bertekad nak tahu perkara sebenarnya. Hasil pencarian setakat ini menunjukkan gomen tidak pernah mengisytihar darurat semata-mata untuk menghapus insurgensi komunis selepas darurat (1948-1960) diisytihar tamat pada 31 Julai 1960.

Selepas 31 Julai 1960, memang gomen ada isytihar darurat. Dari kajian saya, gomen telah mengisytihar 4 darurat tetapi tiada kaitan dengan menentang pengganas komunis. Darurat2 tersebut adalah seperti berikut:

1. 3.9.1964 (L.N.271/64) merangkumi seluruh negara berikutan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.
2. 14.9.1966 (P.U.[A]339A/1966) di Sarawak bertujuan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak.
3. 15.5.1969 (P.U.[A]145/1969) merangkumi seluruh negara berikutan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
4. 8.11.1977 (P.U.[A]358/1977) di Kelantan bertujuan menyelesaikan pertikaian politik di Kelantan.

Namun demikian, pengisytiharan darurat 2-4 telah diungkai oleh PM semasa persidangan parlimen pada 24 November 2011, rujuk Hansard Bil. 62, 24 November 2011. Sementara darurat membabitkan konfrontasi terbatal bersandarkan kepada keputusan Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh melawan Pendakwa Raya (1979) 1 MLJ 50. Sebelum dibawa ke Parlimen, Pejabat PM telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini, di sini.

Saya bersetuju dengan tulisan SAC Dato' A. Navaratnam dalam bukunya, "The Spear and The Kerambit" (2001), dimana beliau mencatat "...very little is known about the so-called Second Armed Struggle, sometimes referred to by the security force people as the "Second Emergency", hlm. ix.

Bersandarkan kepada maklumat ini, saya berpegang bahawa gomen tidak pernah mengisytihar darurat semata-mata untuk menangani ancaman komunis selagi tiada ketemuan dokumen yang menyanggah dapatan ini, wallahualam.

1 comment:

Mohamed Fadhil said...

Tepat sekali tuan. Seringkali bila sejarah kita ditulis oleh orang luar maka ketepatan fakta akan mulai terjejas.Terima kasih atas tekad untuk mencari kebenaran.