Pengikut

Khamis, 15 Ogos 2019

'Makan dan Tidur' Sahaja???

Saya begitu  terkesan dan kecewa dengan kenyataan Koon Y.Y. yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat, terutama mantan anggota ATM walaupun dia sudah meminta maaf. Di luar dugaan saya, terdapat seorang rakyat yang begitu kaya-raya sanggup mendakwa bahawa anggota ATM di negara tercinta ini hanya 'makan dan tidur' sahaja!!

Tidakkah wujud dalam pemikirannya bahawa kekayaan yang dikecapinya adalah hasil keringat dan darah yang mengalir dari jasad anggota Pasukan Keselamatan, amnya, ATM khususnya demi mempertahankan kedaulatan negara ini?

Adakah dia berfikiran bahawa kemewahannya tetap dimiliki walaupun negara dalam keadaan hura-hara akibat ancaman pengganas komunis di suatu ketika dulu?

Dia sebagai seorang veteran yang pernah menempoh kehidupan dalam era penjajahan Jepun, British dan darurat, sudah pasti sedia maklum keganasan pengganas komunis (PGK). Tidak mungkin dia 'mudah lupa'  objektif utama Parti Komunis Malaya (PKM) semenjak ditubuhkan pada 1930 yang mahu menjadikan negara ini sebuah negara komunis.

Ya, tidak dinafikan mereka menentang penjajah tetapi objektif mereka tidak berganjak walau seinci pun! Ini terbukti apabila penentangan bersenjata mereka berterusan terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik walaupun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 diikuti dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Adakah kami, para pengundi termasuk dia, yang mengundi semasa PRU dianggap sebagai penjajah? Kegiatan mereka hanya berhenti apabila mereka meletak senjata setelah termeterainya Perjanjian Perdamaian yang ditandatangani di Hotel Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989.

Terlupakah dia peranan ATM sepanjang era insurgensi tersebut?

Terlupakah dia kecederaan dan kematian yang menimpa para anggota ATM supaya membolehkan dia melombong kekayaan negara?

Tahukah dia bagaimana perasaan ibu-bapa kehilangan anak, isteri kehilangan suami, anak kehilangan bapa?

Tahukah dia bagaimana perasaan anggota ATM cacat anggota badan sepanjang hayat akibat menghalang cita-cita PGK?

Itu era insurgensi. Bagaimana pula pasca insurgensi?

Adakah dia masih ingat pencerobohan kumpulan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Lahat Datu, Sabah pada 12 Februari 2013 menuntut Sabah?

Tahukah dia siapa yang berkorban menentang pencerobohan tersebut sekiranya bukan anggota Pasukan Keselamatan?

Tahukah dia bahawa perairan negara yang begitu luas sentiasa diawasi oleh ATM - tidak kira siang dan malam?

Tahukah dia sekumpulan kecil anggota ATM merupakan penghuni tetap di Pulau Perak di Selat Melaka?  Atau di Pulau Layang-Layang dan beberapa buah stesen di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan? Atau di Lebanon?

Pulau Perak

Stesen UNIFORM TLDM. Sumber: TLDM - Guardian of the Frontier

Stesen MIKE TLDM. Sumber: TLDM - Guardian of the Frontier

Stesen SIERRA TLDM. Sumber: TLDM - Guardian of the Frontier

Stesen PAPA TLDM. Sumber: TLDM - Guardian of the Frontier

Pulau Layang-Layang

Ya, dalam kenyataan maafnya, dia sedia maklum pengorbanan ATM dan menghargai peranan mereka. Persoalannya, adakah kenyataan yang sebegitu hina dan mengguris kalbu sebagai penghargaan dia terhadap pengorbanan kami terutama ketika negara berada di ambang menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2019 ini? 

Pada saya, tidak semudah itu...TIADA MAAF BAGI KAMU, wallahualam.

Sebagai seorang lama dan mungkin memahami peribahasa Melayu, saya harap dia menghayati peribahasa 'TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR, TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA'.


Tiada ulasan: