Pengikut

Isnin, 9 September 2019

Hari Kebangsaan Ke-62?

Sumber: Sinar Harian 2 September 2019. Rujuk di SINI

31 Ogos 2019 rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan Ke-62. Pertukaran dari Hari Kemerdekaan kepada Hari Kebangsaan berkuatkuasa pada 2015. Perubahaan ini diumumkan oleh mantan PM, Dato' Sri Najib Razak di Kuching pada 10 Ogos 2015. Beliau mengumumkan: 

"Buat pertama kalinya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak akan menyebut ulang tahun kali ke berapa sebaliknya hanya dikenali sebagai sambutan Hari Kebangsaan 2015 dan Hari Malaysia 2015.

Hal ini bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat tanpa mengira dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak kerana 31 Ogos 1957 lebih menumpukan kepada tarikh kemerdekaan Malaya manakala 16 September 1963 lebih dirasa oleh Sabah dan Sarawak." Lihat di SINI.

Saya sebenarnya tercari-cari apakah perbezaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia? Hari Malaysia jawapannya agak mudah kerana ia termaktub dalam Artikel II Perjanjian Persekutuan Malaysia (di bawah). Justeru, rakyat menikmati hari cuti pada setiap 16 September untuk meraikan sempena hari penubuhan Malaysia. Mudahkan jawapannya?

Perjanjian Persekutuan Malaysia yang ditandatangani pada 28 Ogos 1963. Sumber: Arkib PBB (SINI)

Oh ya...Mungkin ada yang bertanya apakah itu Persekutuan? Untuk memudahkan cerita, ambil takrif Dr. Wikipedia berikut:

"Persekutuan ialah sebentuk kesatuan yang terdiri daripada sebilangan negeri atau rantau yang separuh berpentadbiran sendiri yang disatukan oleh satu kerajaan pusat ("persekutuan"). Dalam sesebuah negara persekutuan, status pentadbiran sendiri bagi negeri-negeri komponen lazimnya dikukuhkan oleh perlembagaan dan tidak wajar diubah oleh keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat yang hanya menyebelahi satu pihak." Rujuk di SINI.

OK...Hari Malaysia saya percaya semua sudah maklum. Persoalannya:
  • Mengapa Hari Kebangsaan diraikan pada 31 Ogos setiap tahun? 
  • Apakah signifikannya 31 Ogos yang dinobatkan sebagai Hari Kebangsaan? 
  • Bukankah tarikh tersebut merupakan tarikh keramat apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA' di Stadium Merdeka apabila Persekutuan Tanah Melayu/Federation of Malaya mencapai kemerdekaan dari British? 
  • Bukankah North Borneo (Sabah) dan Sarawak ketika itu masih di bawah British?
Lihat pula apa yang dimaksudkan Hari Kebangsaan. Secara ringkasnya, menurut Wictionary "Hari Kebangsaan ialah satu tarikh yang ditetap untuk meraikan lahirnya sebuah negara berdaulat. Kedaulatan itu boleh juga disimbolkan pada tarikh negara mencapai kemerdekaan, menjadi republik..." Rujuk di SINI.

Ambil Hari Kebangsaan jiran kita, Singapura. Negara tersebut meraikan Hari Kebangsaan setiap 9 Ogos bersandar "The very first had been on 9 August 1965 when Singapore separated from the Federation of Malaysia to go its own way. On this day, it was simultaneously announced in Singapore and Kuala Lumpur that henceforth, Singapore would be a "sovereign, democratic and independent nation." Rujuk SINI
The Straits Time, 10 Ogos 1965

Singapura tidak menjadikan tarikh keanggotaannya dalam Malaysia pada 16 September 1963 sebagai Hari Kebangsaan/Kemerdekaan sebaliknya tarikh dikeluarkan dari Malaysia. 

Persoalan sekarang ialah: Bila Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan? Adakah pada 16 September 1963 apabila mereka menyertai Persekutuan Malaysia?

Jadi tidak hairanlah jika terdapat suara-suara dari Sabah dan Sarawak yang mempertikaikan Hari Kebangsaan yang sebelum ini Hari Kemerdekaan diraikan pada setiap 31 Ogos. Ardino Diris, Presiden Sabah People's Education Improvement Organisation (PIPA), menyatakan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 berlandaskan Sabah diberi berkerajaan sendiri (self government) oleh British yang diumumkan oleh North Borneo Legislative Council pada 8 Ogos 1963. Rujuk di SINI.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, Ketua Menteri Sarawak pula pada 22 Julai 2018 mengumumkan  bahawa Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963, iaitu apabila kabinet Sarawak ditubuhkan. Menurut beliau, tarikh tersebut merupakan “It was a historic moment as we could finally take care of our state and people" apabila Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Rujuk di SINI. Namun demikian, lain pula pandangan Prof Michael Leigh. Beliau menyatakan tarikh tersebut hanya menyaksikan penubuhan kabinet Sarawak diikuti berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963 sehingga 16 September 1963 (The Borneo Post Online, July 22, 1963 Not The Day Sarawak Gained Independence - Prof Leigh, 9 November 2015).

Memahami sekelumit maklumat ini, saya lebih terbuka apabila topik Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos dipertikaikan oleh Sabah dan Sarawak seperti di SINI. Pada saya, hanya gomen yang memegang kunci jawapannya, wallahualam.

Apa pun, saya percaya ramai pekerja yang gembira kerana Hari Kebangasaan setiap 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September merupakan hari cuti am. Tapi mungkin tidak begitu mengembirakan para majikan kerana kos produksi meningkat kerana kena bayar upah berganda. Bagi saya pula, tiada sebarang perbezaan kerana tak tahu pun bila cuti umum selain cuti hari minggu kerana sepanjang 365 hari sentiasa bercuti. Malahan marah juga kerana Darulaman Golf & Country Club tidak membenarkan ahli menarik troli setiap cuti umum dan hujung minggu...He...He...He.

Sekadar mengaktifkan minda....wallahualam.

Tiada ulasan: