Pengikut

Ahad, 5 Disember 2021

Skyhawk vs Helang

 Pagi 6 November 1985

Di Bilik Gerakan No 6 Skuadron, TUDM Kuantan; Skuadron A4 Skyhawk.

Mej Victor Emmanuel TUDM (Victor) memberi taklimat kepada Kapt Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (Hayon), Kapt Abu Bakar bin Hashim TUDM (Bakar) dan Kapt Zainal Abidin Aidid bin Omar Azaddin TUDM (Aidid). Misi mereka ialah ‘menyerang’ TUDM Butterworth oleh 4 buah pesawat A4 Skyhawk. Bukan menyerang dalam kata erti sebenarnya. Mereka terlibat dalam ‘ADEX – Air Defence Exercise’ selari dengan persetujuan ‘Five Powers Defence Arrangements (FPDA).’  

Arrangements’? Bukan ‘Agreements/Perjanjian’?  Ya...bukannya ‘Perjanjian’ pertahanan seperti ‘Anglo-Malaya Defence Agreement (AMDA) yang dengan jelas menyatakan UK akan membantu Malaysia sekiranya ia diancam oleh negara asing.  (Klausa AMDA kekal apabila Malaysia ditubuhkan).  FPDA merupakan kesan pemansuhan AMDA apabila UK membuat keputusan untuk mengundur pasukan tenteranya dari Malaysia dan Singapura. 5 negara terbabit ialah Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan UK. Bagi Malaysia, FPDA berperanan sebagai ‘jaring keselamatan’ (safety net). Perlaksanaan FPDA dikendalikan oleh ‘Integrated Air Defence System’ (IADS) yang markasnya berpangkalan di PU Butterworth. 

Dengan termeterainya FPDA pada 1 November 1971, kelima-lima negara tersebut:

“...declared, in relation to the external defence of Malaysia and Singapore, that in the event of any form of armed attack against Malaysia and Singapore, their Governments would immediately consult together for the purpose of deciding what measures should be taken jointly or separately in relation to such attack or threat.”

Kol Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (B)  

Setelah taklimat berakhir, keempat-empat juruterbang beredar ke pesawat yang telah diperuntukkan kepada mereka. Hari itu, Kapt Hayon diperuntukkan pesawat M32-14: nama panggilan ‘Madah Four.’ Mereka seterusnya ‘taxi’ pesawat masing-masing ke landasan ‘36’  seperti yang diarahkan oleh Menara Kawalan. Pada jam lebih kurang 12:40 tengah hari, kedengaran “...cleared to take off runway 36” dari Menara Kawalan. Sebaik sahaja mendapat kebenaran tersebut, formasi empat buah pesawat A4 Skyhawk berlepas dengan didahului oleh Mej Victor manakala Kapt Bakar di kedudukan no 2 sementara Kapt Aidid no 3. Kapt Hayon no 4 di belakang sekali.

Seperti yang dirancang, penerbangan ini menggunakan kaedah penerbangan rendah sehingga ke sasaran. Kaedah ini diperlukan bagi mengelak pesawat dikesan oleh radar ‘musuh.’ Bagi tujuan itu, sebaik sahaja berlepas, mereka mengalih pesawat ke kiri daripada 360º (arah landasan) kepada lebih kurang 280º, iaitu arah laluan ke Butterworth. Arah ini membawa pesawat ke Sg Lembing. Pesawat-pesawat seterusnya menyelinap di celah-celah bukit dan gunung yang ketinggiannya lebih kurang 2700 kaki. 

Disebabkan mereka berlepas agak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan lantas mereka memecut pesawat pada kelajuan 470 knots (870 km/jam).  Dalam konfigurasi penerbangan begini, mereka dijangka tiba di sasaran lebih kurang sejam kemudian, iaitu 1:40 minit. Kebiasaannya,   penerbangan ke Butterworth hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja.

Malang tidak berbau! Manusia yang mampu merancang, Allah menentukan. Ketika pesawat Kapt Hayon berada lebih kurang 40 batu nautika dari landasan terbang, tiba-tiba: “boom.” Letupan yang begitu kuat sekali. Kepala Kapt Hayon terhentak ke belakang dengan sangat kuatnya sebelum melantun ke hadapan selepas helmet beliau terhantuk dengan bahagian atas kerusi anjal. Sudahlah hentakan melibatkan kepalanya, pada masa yang sama kedengaran bunyi deruan angin yang sangat kuat. Mana tidaknya. Kanopi pesawat sudah hancur berderai. Yang tinggal hanya bingkainya sahaja. Bayangkan beliau berhadapan dengan tiupan angin sederas 870 km/jam tanpa sebarang perlindungan! “Ya Allah...Lindungi hamba-Mu ini,” bisik Kapt Hayon. Beliau terpinga-pinga: “Kenapa kanopi aku pecah?”

Dalam keadaan yang begitu getir, Kapt Hayon mengimbas panel instrumen. Beliau mendapati enjin pesawat dalam keadaan baik tetapi kelajuan telah menurun ke 350 knots (648 km/jam). “Mungkin kerana ‘drag’ sebab pesawat tidak berkanopi.” Beliau seterusnya membelokkan pesawat ke kiri dan mengurangkan kelajuan pesawat kepada 200 knots (370 km/jam). Di waktu yang sama beliau membuat  panggilan ‘pan call’, iaitu panggilan kecemasan tetapi keseriusannya tidaklah mengancam nyawa juruterbang atau penumpang. “Pan...Pan...Pan. Madah Four. Canopy blown off. Sungai Lembing. Request landing runway 18.”

Mej Victor yang mendengar panggilan ‘pan’ mengarah Kapt Aidid untuk mengiringi Kapt Hayon. Kini hanya flight leader dan Kapt Bakar selaku wingman meneruskan misi mereka.    

Setelah mengalih pesawatnya ke arah landasan terbang Kuantan,  Kapt Hayon memeriksa keadaan dirinya dengan melihat cermin pandang belakang di dalam pesawat. “Apa kena dengan mata aku? Mengapa hanya nampak sebelah kiri sahaja? Mengapa samar-samar sahaja?” Oh...Oh...masalah. Beliau  hanya dapat melihat sebelah kiri sahaja. Tanpa disedari sebelum ini, batasan penglihatan yang dialaminya kerana terdapat serpihan dalam matanya yang mengakibatkan beliau menghadapi kesukaran untuk membuka mata sepenuhnya yang menunjukkan sedikit bengkak. Keadaan ini kesan ‘visor’ topi penerbangannya berkecai. “Ya Allah...Lindungilah hamba-Mu ini!” Itu sahaja yang termampu Kapt Hayon berdoa kepada Penciptanya.

Dalam pada mengemudi pesawat balik ke pangkalan, Kapt Hayon teringat pula yang ‘secondary ejection handle’ berada di belakang kepalanya. Dalam keadaan kecemasan sebegini kemungkinan handle itu ‘tertarik’ oleh tolakan angin selaju 370 km/jam tidak boleh ketepikan. Jika ini berlaku, beliau boleh ter’eject.’ Menyedari kemungkinan ini boleh berlaku, lantas beliau menaik taraf kecemasan. “Mayday...Mayday...Mayday. Madah Four....

Lakaran pesawat A4 Skyhawk – M32-14 – yang dikendali oleh Kapt Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM bertembung dengan seekor burung helang pada 6 November 1985. Lakaran oleh S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B)

Sudah pasti Menara Kawalan mendengar panggilan kecemasan itu dan mengarahnya. Namun beliau tidak mendengar sebarang arahan atau komunikasi radio daripada mana-mana, baik pun dari Kapt Aidid yang mengiringinya. Memang mustahil dek bunyi deruan angin yang berkuatan kuat 370 km/jam. Tanpa mempedulikan apa jua arahan dari Menara Kawalan yang tidak didengarnya, Kapt Hayon bertekad hendak mendarat secepat mungkin. Beliau yakin Menara Kawalan meluluskan permohonannya untuk mendarat di runway 18, iaitu arah selatan, apabila beliau dapat lihat kelipan kenderaan bomba dan ambulans samar-samar di tepi landasan. Lagi pula, pesawat yang berhadapan dengan kecemasan diberi keutamaan untuk mendarat. Dengan mengurangkan kelajuan 130 knots (240 km/jam), beliau terus mendaratkan pesawat dengan selamatnya pada lebih kurang jam 1:00 tengah hari.  Diikuti oleh Kapt Aidid. Syukur alhamdulillah.

Selepas mendarat, Kapt Hayon ‘taxi’  pesawatnya melalui ‘high speed taxiway’ dan terus mematikan enjin dan semua sistem pesawat. Setelah membuka semua ‘strap’ beliau berdiri di dalam kokpit. Dalam samar-samar, beliau melihat 4 orang anggota bomba berdiri di depan pesawat tetapi mereka tidak bergerak: tergamam melihat Kapt Hayon. Ini membuatnya menjerit: “tangga”. Beliau menjerit kepada mereka untuk membawa tangga untuk beliau turun dari pesawat. Namun mereka masih dalam keadaan kaku. Ini membuat beliau berang. Lantas, beliau buka topi penerbangannya dan baling helmet ke arah mereka. Baru mereka tersedar. “Baik tuan”  dan mereka bergerak dan mendapatkan tangga untuk beliau turun dari pesawat.

Kapt Hayon seterus dibawa ke Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di pangkalan dengan ambulans. Pemeriksaan tekanan darah dan luka-luka di muka dan di bahagian mata dibersihkan. Tidak lama kemudian, Kol (U) Hussein bin Supian TUDM, Pegawai Memerintah, tiba untuk melawat Kapt Hayon. Beliau memberitahu bahawa pesawatnya (Kapt Hayon) telah menguji kekuatan dengan seekor burung helang. Pemeriksaan ke atas pesawat oleh anggota kejuruteraan yang diketuai oleh Mej Mohd Tazaai bin Lope mendapati bulu-bulu dan tulang burung dalam kokpit. Barulah Kapt Hayon mengetahui punca insiden itu ialah beliau telah bertembung dengan seekor burung helang. Semasa kejadian, sememangnya beliau tidak melihat burung tersebut!

Kebiasaannya, juruterbang yang mengalami insiden ditahan di RSAT, sekurang-kurangnya sehari untuk pemerhatian oleh  pegawai perubatan. Kecuali merasakan sakit sikit-sikit sahaja kesan luka di mukanya, Kapt Hayon rasa tahap kesihatannya seperti biasa sahaja. Jadi, beliau merayu kepada doktor supaya membenarkannya pulang ke rumah. Akhirnya pada jam 6:00 petang doktor mengalah dan membenarkan beliau balik ke rumah kelamin di kompleks pangkalan. “Okeylah Hayon, anda boleh balik. Hubungi RSAT jika mengalami apa-apa masalah.” “Okey doktor.”

Alangkah gembiranya berada di rumah bersama isteri dan anak-anak kesayangan. Apabila menanggal sut penerbangan untuk mandi, baru Kapt Hayon ternampak lebam sebesar telur ayam di bahu kanannya. Lebam itu kesan strap kedudukan paracut. Secara keseluruhannya, beliau percaya kecederaan tak serius pun. Sangkaannya diperkukuhkan lagi apabila malam itu beliau tidur nyenyak. Itu sangkaannya. 

Keesokan pagi, 7 November, ketika sujud semasa solat subuh, tiba-tiba Kapt Hayon merasakan  bilik berputar begitu laju. “Ah sudah...aku kena vertigo.” Beliau terpaksa baring dan tidak bergerak. Mujurlah vertigo itu tidak lama. Dalam masa 5-10 minit keadaan pulih semula. Seterusnya beliau pergi ke RSAT untuk melapor sakit. Doktor merujuknya kepada doktor pakar di Institut Perubatan Penerbangan (IAM) di TUDM Kuala Lumpur. Selepas itu, beliau pergi ke hangar untuk memeriksa pesawat M32-14. Penemuannya menjawab punca lebam di bahu kanannya. Ini kerana  cermin pandang belakang sebelah kanan pecah berderai akibat lantunan burung helang yang telah menghentam strap dibahu kanan beliau. Akibatnya beliau hanya dapat lihat sebelah kiri sahaja semasa beliau memeriksa keadaannya apabila terbang balik ke Kuantan.

Jawapan dari aspek lebam dan keterbatasan penglihatan sudah terjawab. Masih ada satu lagi persoalan yang perlu dijawab. Persoalan mengapa anggota Bomba ‘kaku’ semasa hendak menyelamatkannya? Justeru, beliau pergi ke Cabang Bomba untuk mendapat penjelasan mereka. Jawapannya? Mereka tergamam kerana tidak pernah melihat muka juruterbang penuh dengan darah!

Pada hari yang ditetapkan, Kapt Hayon memandu keretanya ke IAM, TUDM Kuala Lumpur. Di sana beliau diperiksa oleh Kol Dr Chiang, pakar ‘Aviation Medicine.’ Proses pemeriksaan memerlukan belakang kepalanya ke atas bantal dalam  keadaan berbaring. Oh...Oh...Terus bilik itu berputar-putar dengan pantas. Vertigo datang semula. Setelah beliau kembali pulih, Kol Dr Chiang memberitahunya bahawa matanya berpusing-pusing! Kol Dr Chiang seterusnya merujuk Kapt Hayon ke pakar ENT di Hospital Angkatan Tentera, Kinrara. Menurut Kapt Hayon, pakar ENT mendapati “... ‘vestibular bone saya telah berubah kedudukan akibat hentakan yang kuat di kepala semasa kejadian.”

“Tak perlu bimbang, Hayon. Masalah anda boleh dirawat.” Jelas Pakar ENT. Ada dua pilihan: melakukan pembedahan atau pemulihan semula jadi. Pilihan mudah. Sudah pasti pemulihan semula jadi menjadi pilihan. Jelas Kapt Hayon lagi: “Selepas empat tahun, saya telah disahkan boleh terbang semula setelah membuat siri ujian di HKL. Saya juga telah menjalani pembedahan di bahagian mata sebanyak lima kali di HKL untuk membuang serpihan-serpihan dari ‘visor helmet’ yang tertanam di dalam kedua-dua mata saya.”

Kejadian ini telah menarik perhatian oleh Royal New Zealand Air Force (RNZAF). Mereka telah membuat kajian ke atas topi penerbangan yang ada kesan retakan di bahagian dahi. Hasil kajian itu menunjukkan kelajuan burung helang tersebut semasa bertembung dengan Skyhawk ialah 160 km/jam.

Mengimbau kembali insiden 40 tahun berlalu, Kol Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (B) dengan penuh keinsafan menyatakan: “Saya sangat-sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberi perlindungan semasa kejadian itu.” 

Keseriusan masalah yang dihadapi oleh Kol Mohd Hayon di rakamkan oleh Brig Jen Dato' Abdul Rahman bin Ali, bekas juruterbang A4 Skyhawk: "A good write-up of a very serious life-threatening  air incident. My brave friend decided to fly the fighter home instead of ejecting, for which he is justified to do. Syabas!"

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakam penghargaan kepada Kol Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (B)  yang sedia menulis pengalaman beliau dan menghantar kepada saya. Untuk itu, TERIMA KASIH.

Penghargaan turut dipanjangkan kepada S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B) yang melayan kerenah Tukang Karut ini untuk melakar sesuatu insiden. TERIMA KASIH.

Para juruterbang No 6 Skuadron, TUDM Kuantan. Dari kiri: Mej Razali bin  Ismail TUDM, Kapt Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM, Kapt Abu Bakar bin Hashim TUDM, Mej Victor Emmanuel TUDM, Kapt Ansar bin Ali TUDM, Mr  Gordan Frank Harris, Kapt Zainal Abidin Aidid bin Omar Azaddin TUDM, Lt Kol Ahmad Ridzwan bin Salleh TUDM (Ketua Skuadron), Mej Kaharudin bin Md Radzi TUDM, Kapt Salleh bin Ahmad. Sumber: Kol Mohd Hayon bin Mohd Slowhorn TUDM (B)  

Rujukan:

1.         Five Power Defence Talks Communique. (April 16, 1971). Foreign Affairs Malaysia, Volume 4, August 1971.


Tiada ulasan: