Followers

Friday, October 16, 2015

Ops Bamboo

Saya sedang memerah otak untuk menulis tentang Ops Bamboo. Dah masuk 2 bulan masih terkapai-kapai mencari bahan. Mungkin ramai juga yang tak pernah dengar operasi ini. Untuk makluman, Ops Bamboo adalah yang 'tertua' dan 'paling lama' yang dilancarkan oleh Pasukan Keselamatan (PK) dalam usaha gomen menghapus pengganas komunis (PGK). Ops Bamboo telah dilancarkan pada Oktober 1959 di Perak (Jackson, Robert, 1991, The Malayan Emergency & Indonesian Confrontation, hlm. 63) dan berakhir pada 2 Disember 1989 setelah Perjanjian Damai di tangani di Hotel Lee Garden, Hatyai. Lama...kan?

Antara pasukan Commonwealth yang terlibat ialah 1 Royal Australian Regiment (1RAR), Royal New Zealand Infantry Regiment (RNZIR) dan 1/7 Gurkha Rifles (Cross, J.P., 2003, A Face Like A Chicken's Backside, hlm. 51). Dan elemen Senoi Praaq yang ditubuhkan pada 1956 (Muzium Orang Asli, Gombak). Bila pasukan tentera British berundur dari timur Suez, operasi ini diambil sepenuhnya oleh PDRM. Elemen PDRM yang terlibat ialah batalion 19 & 20 PPH (Senoi Praaq), Cawangan Khas (CK), dan VAT69. Senoi Praaq dan anggota CK ditempatkan di pos2, seperti Fort Chabai, Gob, Keled, Pasik, dll. VAT69 pula diatur gerak untuk operasi khas. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) turut menempatkan staf mereka di pos2 tersebut.

Penglibatan ATM pula hanyalah memberi perkhidmatan mobiliti udara dan penyediaan bekalan untuk guguran udara. Sebelum ketibaan pesawat Twin Pioneer TUDM pada Feb 1960, tugasan guguran udara dilaksanakan oleh pesawat Valetta dan Twin Pioneer kepunyaan RAF. Pesawat Rajawali mengambil tugas ini pada Julai 1960. Seterusnya, peranan ini diambil alih oleh Caribou pada 1969. Sebelum ketibaan Alouette 111 pada 1963, Whirlwind RAF dan Iroquois RAAF membantu untuk membawa anggota PPH masuk/keluar kawasan Bamboo.

Dengan kehadiran Nuri pada 1968, burung ini pun dikenali sebagai Bamboo Express oleh para penghuni hutan belantara. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Alouette 111 menjadi platform untuk Flying Doctor Service yang dikendalikan oleh JHEOA. Tentera Darat pula membabitkan pasukan 16 Hantaran Udara (16 HU) yang berpangkalan di Taiping.

Sumber: Cross, J.P

Ini pula kawasan operasi apabila diambil alih oleh PPH...

Sumber: A. Navaratnam

Cukup le buat sementara waktu. Akan disambung apabila bahan mencukupi, insyaAllah.

No comments: