Pengikut

Ahad, 17 April 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 2

 Sambungan dari SINI...

 Sepertimana dikatakan, Chin Peng dan gerila komunisnya menjadikan selatan Thailand sebagai markas mereka. Persoalannya, adakah mereka betul-betul selamat daripada ‘gangguan’ pasukan keselamatan di sana? Di luar Malaysia?

Jawapannya tidak sepenuhnya. Sebelum Jun 1976, pasukan keselamatan Malaysia yang terdiri daripada PPH juga berpangkalan di kawasan Betong. Kehadiran mereka di sana selari dengan Perjanjian Kerjasama Sempadan 1965 yang membenarkan PPH berpangkalan di sana. Sudah pasti ada kekangan yang membatas PPH melaksanakan tugas. Mereka perlu mematuhi prosedur yang dipersetujui selari dengan perjanjian tersebut. Antara persetujuan tersebut ialah setiap rondaan merupakan ‘rondaan bersama’, iaitu rondaan terdiri daripada kedua-dua pihak  perlu dipatuhi.

Pada awal 1971, tiba giliran Kompeni ‘B’, 12 PPH diatur gerak ke kawasan Op Chaiyo di selatan Thailand. Salah satu penempatan PPH ialah Kem Lubuk Lasak. Lokasi telah dipertanggungjawabkan kepada No 8 Platun yang diketuai oleh Insp Mohd Rani bin Abdul Rashid dan anggotanya. Rakan sejawatnya dari pasukan TBPP ialah Lt Jet, Ketua Platun 916.  

Pada 11 April 1971, Insp Mohd Rani bersama 14 anggotanya  serta 15 anggota TBPP yang diketuai oleh Lt Jet telah menyerang kem musuh yang anggaran boleh memuatkan 30 orang. Serangan itu berjaya membunuh seorang musuh wanita manakala yang lain bertempiaran meloloskan diri.

Selain musuh terbunuh, penyerang juga telah menemui sepucuk raifal carbine, peluru, bahan makanan, dan banyak dokumen Mao Tze Tung berselerak dalam kem. Komunis bukan sahaja berlaku zalim terhadap manusia, malah haiwan larangan tidak terlepas daripada kezaliman mereka. Antara bahan makanan ditemui ialah kepala harimau yang telah dipotong. Mereka sesungguhnya peminat makanan eksotik.[i] Patutlah 'Pak Belang' yang tergolong dalam kategori haiwan terlindung kian pupus!

Sebelum beredar balik ke pangkalan, tindakan TBPP terhadap mayat dan ‘harta rampasan’ mengejutkan Insp Mohd Rani dan anggotanya. Mana tidaknya. TBPP membakar gambar-gambar khemah tersebut, dokumen-dokumen, bahan makanan termasuk beras, kepala harimau dan beberapa tandan pisang. Dan mayat musuh! Hanya mereka membawa balik raifal dan peluru sahaja sebagai bahan bukti. Mungkin tindakan BPP itu tidak menyalahi prosedur operasi mereka, wallahualam.

Memang jauh beza tindakan pasukan keselamatan mengurus mayat musuh di Malaysia. Kebiasaannya usaha dibuat untuk mengeluarkan mayat musuh sama ada dengan kenderaan atau helikopter Nuri@Burung Besi. Seboleh-bolehnya mayat akan dibawa keluar dalam apa jua keadaan mayat itu. Seorang rakan seperjuangan saya telah diberi misi ‘bodevac (body evacuation)’ membabitkan mayat seorang musuh. Apabila mendarat di LP (landing point), beliau mendapati mayat tersebut sudah busuk. Sudah pasti kru pesawat dan penumpang tidak selesa. Setakat bau peluh itu sudah sebati dengan kru; mereka sendiri punca bau itu. Tetapi ini bau mayat. Namun misi perlu dilaksanakan. Bau busuk tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukan misi itu. Justeru, beliau telah mengarah supaya mayat itu diletak dalam net kargo dan diterbangkan melalui kaedah ‘underslung’.

Prosedur membabitkan mayat musuh memang tidak asing kepada Insp  Mohd Rani dan anggota pasukan keselamatan. Pada 5 Mac 1980, semasa mengetuai  beliau yang masa itu berpangkat ASP telah mengetuai 2 kumpulan PPH 69 (VAT 69) bersama ASP Mohd Anuar yang juga mengetuai 2 kumpulan telah berjaya membunuh 8 petualang negara semasa Op Indera 12/Indera Khas di kawasan Hutan Simpan Lentang, Bentong, Pahang. Seperti biasa, tugas membawa keluar kesemua mayat tersebut dipikul oleh Nuri.[ii]

Tetapi penggunaan Nuri ada batasannya. Dalam keadaan tidak dapat dielakkan, seperti cuaca buruk atau lokasi untuk mengambilnya berbahaya kepada Nuri, mayat akan ditanam di lokasi berkenaan sahaja. Itu pun setelah mendapat arahan daripada pihak atasan. Sebelum ditanam, trup dikehendaki mengambil gambar mayat untuk pengecaman kelak. Keadaan ini alami oleh DSP (B) Kamaruddin Hashim, lebih dikenali sebagai Kenny, anggota ‘Pasukan F’ PDRM semasa Op Beruang di awal 1988 di kaki gunung yang dikenali sebagai Banjaran Tiga Bukit, kawasan Gopeng Perak. Mereka telah berjaya membunuh 2 orang pengganas komunis. Mereka telah membersih kawasan untuk membolehkan Nuri mengambil mayat-mayat tersebut. Namun demikian, misi bodevac dibatalkan kerana keadaan persekitaran berbahaya kepada Nuri. Lantas Kenny diarah untuk menanam kedua-dua mayat tersebut setelah mengambil gambar mereka.[iii]

Adakah pengganas komunis mahu berdiam diri melihat kehadiran anggota PPH di selatan Negara Gajah Putih begitu sahaja? Sudah tentu tidak.

Bersambung...

[i]     SAC 1 (B) Dato’ Mohd Rani Abdul Rashid. (2022). Pertempuran Di Hutan. Kuala Lumpur: Patriots Publishing, hlm. 81-82.

[ii]         Ibid., hlm. 181-182.

[iii]    Zahriman Alias. (2011). ‘F Team’: Rahsia Dalam Rahsia Bahagian 1. Shah Alam: Rabbani Integrated, hlm. 262.


Tiada ulasan: