Pengikut

Khamis, 7 Julai 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 5A

Sambungan dari SINI...

Objektif Op Cahaya Bena II ialah untuk memusnah Rejimen ke-10 yang diketuai oleh Abdullah CD. Dua hari sebelum pasukan keselamatan bergerak ke lokasi yang telah dipertanggungjawabkan, pesawat Tentera Udara Diraja Thai telah mengebom kawasan yang dipercayai lokasi markas Abdullah CD. Keesokan hari giliran meriam dan mortar Tentera Darat Malaysia  TDM) pula membedil sasaran itu. Tujuan pengeboman supaya ‘melembutkan’ ancaman yang akan dihadapi oleh pasukan keselamatan nanti.

Antara unit yang terlibat dalam operasi ini ialah dua kompeni daripada 1 RAMD yang berpangkalan di Kem Mentakab. Dua kompeni tersebut, Kompeni Bravo yang diketuai oleh Kapt  Mohd Azumi bin Mohamed dan Kompeni Delta oleh Kapt Muslim bin Yusuf, ditumpang kepada 8 BIM, Pangkalan Chepa, Kelantan.[1]  TUDM pula turut menyumbang empat buah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan bagi memenuhi keperluan mobiliti udara.

Misi yang dipertanggungjawab kepada dua kompeni 1 RAMD ialah untuk mengesan dan menawan markas Abdullah CD. 1 RAMD ketika berpangkalan di Kem Mentakab. Dalam taklimat kepada kedua-dua Ketua Kompeninya, Lt Kol Abdul Malik bin Ismail, Pegawai Memerintah (CO) mengingatkan mereka supaya berhati-hati terhadap musuh halimunan – jerangkap samar. Pengalaman telah mengajar pasukan keselamatan bahawa petualang negara mengguna sepenuhnya senjata tersebut. Bagi tujuan itu, satu seksyen TPJS (Tim Pemusnah Jerangkap Samar) seramai 10 anggota ditumpangkan kepada setiap kompeni. Di samping itu, CO mengarah mereka supaya mengelak daripada mengguna denai-denai sebaliknya menggunakan lereng-lereng bukit. 

Kedua-dua kompeni bertolak dari Mentakab dengan keretapi dan turun di Kuala Krai, Kelantan. Dari situ, beberapa trak dari 8 BIM sedia menunggu untuk membawa mereka ke Dabong untuk meneruskan pergerakan ke kawasan operasi masing-masing. Laluan ke destinasi memerlukan mereka menyeberang Sungai Golok. Kompeni Bravo menyeberang Sungai Golok yang cetek berhampiran Bukit Bunga.  Seperti yang dijangka, pergerakan agak perlahan kerana mereka perlu berhati-hati daripada ditimpa kecelakaan akibat jerangkap samar. Di samping itu kompeni juga membuat rondaan dan serang hendap. Bak kata pepatah, biar lambat asalkan selamat.

Sememangnya malang tidak berbau. Dalam berhati-hati itu pun, dua orang anggota Kompeni Bravo, 16541 Kpl  Adnan bin Jefferi dan 28468 Pbt Ramli bin Salleh telah tercedera akibat  musuh halimunan.[2] Kpl Adnan telah mengalami cedera di ibu jari kaki kanannya sehingga terpaksa dipotong manakala Pbt Ramli pula cedera di paha dan kaki kanannya. Kedua-dua mangsa telah diterbangkan ke Hospital Kota Bharu untuk rawatan oleh sebuah Nuri.

Sama seperti Kompeni Bravo, setelah bergerak di waktu yang sama membuat rondaan dan serang hendap, pada hari keempat Kapt Muslim tiba di kaki sebuah bukit. Dan diketemukan dengan ‘penjaga’ bukit dalam bentuk dua lubang ranjau berkedalaman empat kaki di lereng bukit. Kedua-dua lubang itu padat dengan buluh rebung yang tajam menunggu mangsa. Berhampiran dengan jerangkap samar itu, trup telah menemui satu saluran air yang diperbuat daripada buluh yang disambung hingga ke atas bukit. Air itu berpunca daripada mata air di lereng bukit. Seharian mereka menjejak saluran air yang panjangnya lebih kurang 250 meter. Di hujung saluran itu membawa mereka satu kawasan yang dipercayai Markas Rejimen Ke-10. Dalam proses penjejakan itu, mereka ditemukan dua lagi lubang ranjau dan dahan-dahan pokok serta lubang-lubang besar kesan bedilan pesawat, meriam dan mortar.

Kapt Muslim membuat keputusan tidak terus masuk ke kem musuh. Sebaliknya mereka bermalam lebih kurang 50 meter di luar kem musuh. Keesokan pagi, dengan  berwaspada mereka mula membuat operasi penggeledahan dan pembersihan terhadap kem tersebut. Penghuni yang mereka temui hanyalah seekor kucing hutan yang jinak. Memang sukar pesawat mengesan kem boleh menempat 200-250 penghuni kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar dan tinggi.[3]

Dengan penemuan kem itu, Kompeni Bravo diarah untuk tidak meneruskan misi mereka ke kem komunis tersebut.

Antara penemuan dalam kem ialah sebuah pondok kecil yang dipercayai kediaman Abdullah CD; bangsal sebagai kediaman anggota bujang lelaki dan perempuan; dapur dan beberapa kawah dan longgokan kayu api; dewan; bengkel mini; gelanggang bola keranjang dan sepak takraw; penjana elektrik berkuasa kecil; surau tetapi tiada sejadah, tasbih atau Al-Quran/surah Yasin;  terowong. Dan bersepah dengan jerangkap samar terutama di kawasan jalan masuk ke kem itu. Ini menyukarkan pergerakan dalam kem itu. Justeru, TPJS membersihkan beberapa laluan selebar dua kaki untuk ke tengah-tengah kem. Anggota diarah untuk mengguna laluan tersebut untuk sebarang pergerakan. Apa yang menakjubkan Kapt Muslim ialah beliau mendapati tiada sebarang kerosakan terhadap infrastruktur dalam kem itu seolah-olah ‘dipayung’ daripada dihujani bom dan peluru!

Susun atur kem Abdullah CD. Sumber: Abdul Rahman Alavi


                                                                        
Terowong yang ditemui di Kem Abdullah CD semasa Op Cahaya Bena II. Sumber Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (B)
Alat mencetak di Kem Abdullah CD semasa Op Cahaya Bena II. Sumber: Lt Kol Mohd Azzam bin Hanif Ghows (B) 

Sepanjang 10 hari berada di kem komunis itu, Kompeni Delta tidak berhadapan dengan gangguan musuh. Sebaliknya mereka mengalami gangguan daripada alam mistik yang tidak kurang menakutkan. Anggota yang mandi berbogel di sungai di kaki bukit mengalami dibaling dengan ketul-ketul batu dari tangan ghaib. Kejadian aneh itu berhenti apabila mereka tidak berbogel lagi. Sementara kumpulan yang membuat rondaan melihat kelibat lembaga dalam bentuk ‘manusia’ berpakaian hitam tanpa baju melintasi laluan mereka. Tetapi ia tidak mengganggu mereka meneruskan rondaan. Bukan itu sahaja. Peronda-peronda kerap melihat seekor harimau dari jarak jauh. Yang agak peliknya ialah haiwan itu tidak mengaum dan hilang dari penglihatan begitu sahaja. Harimau jadian?

Kapt Muslim tidak terkecuali daripada mengalami kejadian mistik. Pada satu malam lebih kurang jam 10:00 malam, beliau yang sedang berbaring di ‘hammock’ tiba-tiba dilambung oleh sesuatu kuasa ghaib. Beliau bertanya kepada anggotanya sama ada mereka melihat sesuatu lembaga memasuki khemahnya. Jawapan mereka ialah tiada. Mujurlah itu sekali sahaja sepanjang berada di situ.

Klimaks gangguan berlaku pada malam terakhir mereka berada di kem itu. Pada  lebih kurang jam 10:00 malam, Pbt Jamaludin diserang histeria di khemahnya yang terletak di pinggir perimeter kawasan pertahanan kompeni. Dalam keadaan meracau-racau itu, Pbt Jamaludin dengan suara garau mahu berjumpa dengan ketua pasukan keselamatan, iaitu Kapt Muslim. Permintaan itu disampaikan kepada Kapt Muslim oleh KSM (Kompeni Sarjan Mejar). Lantas  mereka bergegas ke khemah Pbt Jamaludin.

“Assalamualaikum.” ‘Pbt Jamaludin’ dengan matanya tertutup dan duduk bersila memberi salam kepada Kapt Muslim sebaiknya Ketua Kompeni tiba.

“Waalaikumussalam.” Kapt Muslim membalas salam anak buahnya. Juga dalam keadaan duduk bersila menghadap penanya. 

“Siapa ketua di sini?” Pbt Jamaludin mengajukan soalan.

“Saya. Saya bercakap dengan siapa?” Tanya Kapt Muslim.

“Aku wakil ketua penghuni di sini.” Jawab Pbt Jamaludin. Ini bermakna Kapt Muslim sedang  berkomunikasi dengan wakil Abdullah CD. Bagi mendapatkan kepastian, beliau bertanya: “Di mana ketua itu sekarang ini?”

“Dia berdiri di luar khemah.” Jawab  Pbt Jamaludin.

“Kalau begitu, suruh dia tunjukkan dirinya.”  Kapt Muslim mencabar Pbt Jamaludin.

“Mengapa kamu suruh dia tunjukkan dirinya?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Tujuan saya supaya kita boleh berbincang supaya dia meletakkan senjata dan menyerah diri bagi menamat perjuangan sia-sia ini.” Kapt Muslim mengambil kesempatan ‘berunding’ dengan wakil Abdullah CB melalui jasad  Pbt Jamaludin yang disaksikan oleh ramai anggota kompeni.

“Kamu ikhlas? Ketua aku tidak yakin keikhlasan pelawaan kamu. Kamu dan orang-orang kamu hanya mengejar pangkat dan pingat-pingat sahaja. Tetapi percayalah. Satu hari kami akan menamatkan perjuangan kami. Menyerah diri tidak sama sekali.”

“Terpulanglah.” Jawab Kapt Muslim. Beliau seterusnya bertanya: “Mengapa kami diganggu?”

Pbt Jamaludin terdiam buat seketika sebelum menjawab dengan nada marah: “Orang kamu berkelakuan tidak senonoh. Mandi telanjang, ada yang berjudi, tidak menghormati persekitaran hutan dan tidak solat. Kami boleh tembak kamu bila-bila masa jika kami mahu.” Beliau terdiam sebelum mengucap: “Assalamualaikum.” Pbt Jamaludin terus tersungkur dan terbaring di situ. Apabila sedar, beliau terpinga-pinga melihat Ketua Kompeni dan rakan-rakan berada di khemahnya.

Setelah kawasan tertentu berjaya dibersihkan daripada jerangkap samar oleh TPJS, Kapt Muslim memaklumkan Markas Taktikal 8 BIM untuk arahan selanjutnya. Arahan yang diterima ialah untuk menyediakan satu tempat pendaratan (LP) untuk pesawat Nuri. Brig Jen Abdullah bin Samsudin, Panglima 8 BIM akan melawat kem komunis itu dengan pesawat tersebut. Bukan satu tugas yang ringan. Mereka tidak dibekal dengan gergaji bermotor, hanya sebilah parang setiap seorang. Diameter pokok bukan satu peluk orang dewasa tetapi beberapa peluk. Penyelesaian mudah sahaja. Kesepian hutan belantara dikejutkan dengan letupan: “Boom...boom...boom.” Pokok-pokok tersungkur menyembah bumi dek ‘plastic explosive’ digunakan untuk menumbangkan pokok-pokok itu.

Setelah melawat persekitaran kem yang telah dibersihkan, Brig Jen Abdullah membuat keputusan menamat operasi penggeledahan. Beliau akui agak mustahil untuk membersihkan kesemua kawasan daripada jerangkap samar. Keesokan hari, dua buah Nuri berlepas dari Pangkalan Chepa untuk membawa keluar Kompeni Delta dan diturunkan di Dabong. Dari Dabong, mereka menaiki trak ke Kuala Krai sebelum bertolak balik ke Mentakab.

Setelah Kompeni Delta diundurkan, meriam dan mortar memuntahkan peluru ke atas kem itu dalam usaha memusnahkannya. Tetapi tiada kepastian kemusnahannya. Adakah ia masih ‘dipayung’? Wallahualam.

Lt Kol Muslim bin Yusof. Sumber: Brig Jen Dato' Muslim bin Yusof (B)

Adakah ramalan ‘Pbt Jamaludin’ pada  Julai 1977 hanya satu kebetulan sahaja apabila 12 tahun kemudian, 2 Disember 1989, telah termeterainya Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM? Tanpa ayat ‘menyerah diri’? Wallahualam.

Bersambung...In syaa Allah

[1]           Penjelasan daripada Brig Jen Dato’ Muslim bin Yusof (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 29 Jun 2022.

[2]           Senarai anggota pasukan keselamatan yang mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu akibat jerangkap samar semasa Op Cahaya Bena II.

[3]          Abdul Rahman Alavi. (2022). Jejak Pertempuran: Demi Negara. Kem Sungai Besi: UPNM.

 

 












Tiada ulasan: