Pengikut

Selasa, 7 Februari 2023

Op Iblis: Contact. Sunray Kilo…India…Alpha

Sambungan dari SINI

Ya...Sungai Siput. Satu nama di Perak yang pasti tidak asing kepada majoriti rakyat Malaysia. Bandar kecil ini dan kawasan berhampirannya mencatat sejarah apabila darurat diisytiharkan oleh penjajah British pada 18 Jun 1948 angkara pengganas komunis telah membunuh tiga rakyat British di Estet Elphil pada 16 Jun 1948. 

Jika Chong Chor beranggapan kemunculan semula mereka di Sungai Siput tidak disedari oleh pasukan keselamatan, jangkaannya jauh tersasar. Cawangan Khas (SB) begitu yakin pengganas komunis akan kembali ke kubu mereka di suatu ketika dulu. Dan sememangnya pergerakan dua kumpulan musuh telah dihidu. Hanya kekuatan mereka yang tidak diketahui.

Bersandar kepada maklumat SB, pasukan 4 Renjer yang berpangkalan di Kem Suvla Line’ (Kem Syed Putra) telah mengatur gerak satu platun daripada Kompeni Alpha yang diketuai oleh Lt M Jayandran Koren telah diarah untuk membuat tinjauan di Sungai Siput pada April 1971.[1]

Bagi tugasan ini, Lt M Jayandran dan anggotanya telah menyarung pakaian seragam berwarna hijau walaupun ketika itu pakaian seragam celoreng telah digunakan. Semasa rondaan mereka telah terserempak dengan Orang Asli yang menyangka platun itu terdiri daripada pengganas komunis kerana berpakaian hijau. Beliau memberitahu mereka bahawa beliau bertemu komrad mereka.

Sah...petualang negara sudah bertapak di Sungai Siput bak kata pepatah ‘sirih pulang ke gagang.’

*****

Setelah pasti kehadiran musuh di kawasan Sungai Siput, pada Jun 1971 Brig Jen Esa Ahmad (Allahyarham), Panglima 2 BIM telah melancar Op Iblis, iaitu operasi memburu dan memusnah musuh di kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta, Sungai Siput. Sebelum 4 Renjer diatur gerak ke lokasi, Kapt Mohana Chandran, Ketua Kompeni Charlie, 4 Renjer telah diarah untuk membuat tinjauan.

Bagi melaksana misi ini, Kapt Chandran mengambil kira faktor ‘kekeluargaan’ anggota kompeninya yang akan mengiringinya. Keutamaan ialah anggota yang masih bujang, sama seperti statusnya sendiri. Kecuali 601509 Kpl Rahman bin Jaafar yang sudah berkahwin, lain-lain anggotanya masih bujang. Mereka ialah Lt M Donald Patrick John sebagai timbalan, 929223 Rjr Bajau anak Ladi, 928939 Rjr Ali bin Jaafar, 22594 Rjr Khasan bin Awang, Rjr Zainal, Rjr Abang Bolhi bin Abang Doladi, 22594 Rjr Khasan bin Awang dan Rjr Nordin. Di samping itu, Kpl Osman bin Sharif, Ketua Seksyen, Trup Raifal No 1, Skuadron Bravo, dari pasukan 3 Peninjau, ditumpang kepada Kapt Chandran.[2] Bagi tujuan peninjauan itu, lima ‘Surrendered Enemy Personnel (SEP)’ turut menyertai kumpulan Kapt Chandran.

*****

 11 Jun 1971

Pagi itu, Kapt Chandran memecah kumpulannya kepada beberapa tim untuk meninjau kedudukan musuh. Tim Lt M Donald yang turut disertai oleh Rjr Abang Bolhi, telah ditemukan resit pembelian gergaji rantai (chainsaw) bertarikh 24 Mac 1971 dalam sebuah pondok serta sehelai baju hijau di tempat membasuh. Penemuan ini telah dimaklumkan kepada Kapt Chandran. Beliau kini yakin bahawa kem musuh berada di puncak bukit berhampiran penempatan mereka. Tetapi beliau perlu memastikan kehadiran musuh.

*****

12 Jun 1971.

Pada pagi hari itu Kapt, Chandran telah menghantar anggotanya untuk meneruskan tinjauan. Apabila anggotanya kembali ke penempatan mereka, Kapt Chandran mengarah anggotanya  memasak untuk makan tengah hari. Beliau memberitahu anggotanya bahawa beliau  akan berbincang dengan mereka tentang rancangannya pada waktu petang nanti.[3]

Seterusnya beliau menghubungi 4 Renjer untuk melapor keadaan (sitrep) dan rancangannya untuk menyerang penempatan musuh keesokan hari. Bagi tujuan itu, beliau meminta trup tambahan. Sebaliknya beliau diarah untuk melaksanakan serangan dengan kekuatan yang sedia ada. Beliau akur dengan keputusan itu.

Seperti yang diberitahu, pada petang itu anggotanya berkumpul untuk mendengar arahan selanjutnya. Walaupun kekuatan hanya satu seksyen yang terdiri daripada anggota tentera, tetapi Kapt Chandran mempunyai elemen ‘kejutan’ (surprise), salah satu Prinsip Peperangan. Dalam taklimatnya petang itu, beliau memberitahu anggota akan dipecahkan kepada dua kumpulan.[4] Kumpulan pertama diketuai oleh beliau sendiri dan empat anggota berserta dua SEP. Kumpulan ini berperanan sebagai  ‘kumpulan serang.’ Kumpulan kedua pula diketuai oleh Lt M Donald bersama empat anggota untuk memintas musuh (cut-off party).[5]  Sebelum mengakhiri arahan, Kapt Chandran menegaskan supaya “Cuci senjata kamu semua bersih-bersih, esok kita akan pergi berperang.”[6]

Sebaik sahaja mendengar mereka akan turut terlibat  dalam operasi itu, SEP menyuarakan bahawa mereka enggan ikut bersama untuk menyerang bekas komrad mereka. Mungkin mereka boleh bayangkan apa yang akan dihadapi andainya mereka berjaya ditangkap oleh pengganas komunis yang menganggap mereka adalah pengkhianat! Justeru,  Kapt Chandran mengarah mereka kembali ke pangkalan tanpa diiringi oleh anggota keselamatan.

*****

13 Jun 1971

Jam 8:00 pagi. Kapt Chandran telah bersiap sedia untuk bertempur. Kumpulan beliau terdiri daripada Kpl Rahman, Rjr Abang Bolhi, Rjr Bajau dan Rjr Ali. Manakala kumpulan Lt M Donald terdiri daripada Kpl Osman, Rjr Zainal, Rjr Nordin dan Rjr Khasim. Seperti yang dirancang, kekuatan kumpulan Kpl Musa juga lima anggota. Aturan pergerakan dimulai oleh kumpulan  Lt M Donald diikuti oleh kumpulan Kapt Chandran.

      Pada lebih kurang jam 2:00 petang dan selepas makan tengah hari, kumpulan  Kapt Chandran bergerak ke sebelah kiri permatang manakala  Lt M Donald membawa anggotanya ke arah sebelah kanan. Ketika menaiki bukit, Kapt Chandran yang mendahului pergerakan kumpulannya, memberi isyarat bahawa musuh berada di hadapan. Lantas, Rjr Abang Bolhi bergegas ke arah ketuanya yang seterusnya mengarah beliau (Rjr Abang Bolhi) untuk meninjau keadaan musuh.

      Tanpa berlengah, Rjr Abang Bolhi “...merapatkan diri ke kedudukan pengganas hinggalah jarak antara saya dan musuh ketika itu hanya lebih kurang tiga depa sahaja.”[7] Di depannya terdapat tiga petualang negara; dua orang musuh yang bersinglet dan berseluar berwarna kelabu sedang menggali lubang sementara seorang sebagai pengawal.

      Dalam keadaan begitu, kehadiran Rjr Abang Bolhi mustahil tidak disedari oleh pengkhianat negara! Beliau tergamam apabila bertentangan dengan enam biji  ke arahnya. Keadaan begitu kritikal; tiga lawan satu. Siapa cepat dia selamat. Lantas, “...bang...bang...bang.” Berlaku pertempuran antara seorang anggota Renjer dengan tiga petualang negara. Rjr Abang Bolhi  “...melepaskan tembakan dengan senjata MGK (Mesingan Kecil [LMG]) saya ke arah pengganas dan saya lihat mereka rebah ke bumi.”[8]

Namun semua sudah ditentukan-Nya. Peluru musuh telah menembusi tapak tangan kiri Rjr Abang Bolhi. Sebutir peluru lagi telah menembusi bahagian belakang ketiak kanan hingga ke dada kanannya. “Allah! Mati aku.” Hanya itu yang terkeluar dari mulutnya. Beliau terus rebah dan bergolek ke bawah bukit. Dalam keadaan begitu, satu kelopak senjata telah tercicir. Kapt Chandran yang menyaksi pertempuran, lantas melepaskan tembakan.

Golekan Rjr Abang Bolhi terhenti di kaki bukit. Rjr Bajau yang berada di situ lalu memeluk Rjr Abang Bolhi sambil bertanya: “Apa jadi Bolhi?”

“Ya Allah, Bajau mati aku. Aku kena tembak.” Jawab Rjr Abang Bolhi. Mendengar jawapan itu, Rjr Bajau melepaskan pelukan dan terus melepas tembakan bertubi-tubi sambil bergegas mendaki bukit. Namun pergerakannya terbatas kerana musuh juga tidak berdiam diri. Mereka mula melepas tembakan bertubi-tubi dari atas bukit.

Dalam keadaan yang begitu getir dan sementelah tidak dapat membantu rakannya, Rjr Abang Bolhi membuat keputusan untuk mencari perlindungan  berpandukan laluan sebelum ini.[9] Beliau diketemukan satu pokok yang besar dan seterusnya menjadikan pokok itu sebagai pelindung.

*****

Sambil mendaki dan menembak ke arah musuh, Rjr Bajau terdengar ketuanya memberi arahan: “Seksyen satu..ke sebelah kiri. Seksyen dua...ke sebelah kanan. Serang..serang..serang.”[10] Dengan lantang Kapt Chandran memerintah anak buahnya. Arahan itu seolah-olah memberi gambaran kepada petualang negara bahawa mereka berhadapan dengan satu platun yang kebiasaannya terdiri daripada lebih daripada 30 anggota.

Sebaik sahaja Rjr Bajau berada berhampiran ketuanya, Kapt Chandran mengarahnya: “Bajau, awak ambil perlindungan dan beri tembakan perlindungan, saya akan bergerak ke atas.”[11] Lantas, Rjr Bajau melepas tembakan bertubi-tubi ke arah musuh di atas bukit. Mana kala Kapt Chandran meluru menaik bukit sambil menembak ke arah musuh. Tetapi apakan daya. Kedudukan mereka tidak menyebelahinya dan beliau terdedah kepada tembakan musuh. Sebutir peluru telah menembusi dahi Kapt Chandran.[12] Beliau terus rebah ke bumi. Terkorban!

Lakaran lokasi pertempuran kumpulan mendiang Kapt Mohana Chandran dengan petualang negara pada 13 Jun 1971 yang mengakibat beliau telah terkorban. Sumber: Kol Sharin bin Hashim

Kpl Rahman, diikuti oleh Rjr Ramli, kini berada berhampiran dan di sebelah kiri Rjr Bajau. Ketiga-tiga mereka menembak ke arah musuh. Kpl Rahman percaya peluru musuh telah ‘melawat’ ketuanya kerana tiada lagi kedengaran arahan beliau. Kini Kpl Rahman mengambil alih pemerintahan kumpulan serangan. Lantas beliau   mengarah Rjr Bajau dan Rjr Ramli  untuk memberi tembakan perlindungan untuk beliau mara ke hadapan. Tetapi tidak semudah itu. Mereka mendapat tumpuan musuh sepenuhnya. Dihidang dengan tembakan bertubi-tubi sehingga ketiga-tiga mereka tidak dapat bergerak.

Rjr Bajau cuba mara bagi memudah beliau memberi tembakan. Tiba-tiba beliau merasa ada sesuatu terkena pada paha kirinya. Tanpa disedarinya, sebutir peluru musuh telah singgah di pahanya dan darah mula membasahi seluarnya. “Kaki saya sudah kena  tembak, Koperal.”[13] Jerit Rjr Bajau kepada Kpl Rahman. Lantas Kpl Rahman membantu Rjr Bajau mendapatkan perlindungan di belakang batu yang agak besar.

Bunyi bising tembakan musuh bertubi-tubi itu, tiba-tiba ditenggelami dua dentuman “boom...boom.” Letupan grenad daripada pelancar grenad M79 yang dilancar oleh Kpl Osman daripada kumpulan Lt M Donald. Namun, letupan itu tidak memberi kesan kepada musuh. Kpl Rahman dan dua anggotanya terus berhadapan dengan tembakan musuh.

Setelah hampir 30 minit bertempur, tembakan musuh semakin reda. Keadaan ini memberi peluang kepada Kpl Rahman untuk mendapatkan Kapt Chandran. Lantas, beliau seterusnya mengarah Rjr Ramli  untuk memberi tembakan perlindungan kepadanya. Beliau menemui ketuanya di mana nadinya tidak lagi berdenyut! Seterusnya  Kpl Rahman menarik mayat ketuanya ke satu lokasi berhampiran kedudukannya.

Lukisan memaparkan pertempuran antara kumpulan Kapt Mohana Chandran dengan musuh negara pada 13 Jun 1971. Pertempuran ini telah mengorbankan Kapt Chandran dan mencederakan Rjr Abang Bolhi bin Abang Doladi dan Bajau anak Ladi. Ihsan: PW II  Abang Bolhi bin Abang Doladi 

Setelah mengambil pistol, MGK, kompas, peta, jam tangan dan peluru kepunyaan Kapt Chandran, Kpl Rahman menutup mayat ketuanya dengan daun-daun bertam. Sama seperti ketuanya, kini tiba masanya beliau mencontohi taktik tipu helah Kapt Chandran. Dengan lantang, beliau menjerit: “B Company covering fire, C Company assault (Kompeni B...beri tembakan pelindungan, Kompeni C...serang.)[14] Kpl Rahman, Rjr Ali dan juga Rjr Bajau melepaskan tembakan ke arah musuh.

Tipu helah Kpl Rahman terbukti berkesan.  Tidak lama kemudian mereka terdengar: “Chau, chau, chau.”[15] Musuh berhenti tembakan dan beredar dari situ. Kpl Rahman memberitahu Rjr Bajau dan Rjr Ali mereka akan meninggalkan lokasi itu menjelang malam nanti bagi mengelak pergerakan mereka dikesan musuh. Beliau seterusnya menghubungi Platun No 1, Kompeni A yang telah diatur gerak untuk membantu kumpulan Kapt Chandran.[16] Malahan 4 Renjer telah mengatur gerak lain-lain kompeni pada 12 Jun 1971[17] untuk membantu kumpulan Kapt Chandran. Panggilan itu melapor: “Contact. Sunray Kilo…India…Alpha (killed in action).”[18]

Komunikasi radio itu turut didengar oleh Lt Azmi bin Hamid Bidin selaku Pegawai Risik, 4 Renjer. Beliau ketika itu berada dalam ‘command vehicle’ Pegawai Memerintah yang dalam perjalanan ke Markas 2 BIM. Kapt Chandran terbunuh? Lantas beliau mengaju soalan kepada operator radio tersebut bagi mendapat kepastian: “Spell sunray.”

Charlie Hotel Alpha November Delta Romeo Alpha November (C.H.A.N.D.R.A.N).” Operator radio mengeja nama Kapt Chandran mengguna huruf fonetik yang diguna pakai dalam ketenteraan. Sah...Kapt Chandran telah terkorban! Lantas, Lt Azmi memberi arahan supaya mereka menunggu di lokasi itu kerana pasukan bantuan akan bergerak ke lokasi mereka.

Komunikasi radio itu turut didengar oleh Lt Azmi bin Hamid Bidin selaku Pegawai Risik, 4 Renjer. Beliau ketika itu berada dalam ‘command vehicle’ Pegawai Memerintah yang dalam perjalanan ke Markas 2 BIM. Kapt Chandran terbunuh? Lantas beliau mengaju soalan kepada operator radio tersebut bagi mendapat kepastian: “Spell sunray.”

Charlie Hotel Alpha November Delta Romeo Alpha November (C.H.A.N.D.R.A.N).” Operator radio mengeja nama Kapt Chandran mengguna huruf fonetik yang diguna pakai dalam ketenteraan. Sah...Kapt Chandran telah terkorban! Lantas, Lt Azmi memberi arahan supaya mereka menunggu di lokasi itu kerana pasukan bantuan akan bergerak ke lokasi mereka.

Bersambung... 


[2]           Perbualan dengan Mej Dato’ Salehuddin bin Mutallib PGB (B) melalui telefon pada 27 November 2022.  Beliau ketika menjawat jawatan sebagai Pegawai Risik, 3 Peninjau, Ipoh.

[3]              Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia. Penerima S.P. dan P.G.B. – Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 166.

[4]              Ibid. hlm. 168. Buku ini mencatat tiga kumpulan. Manakala buku Neilson Ilan Mersat, Regina Garai, Mohd Melintang Abdullah. (2021). Agi Idup Agi Ngelaban. Kota Samarahan: Universiti Malaysia Sarawak, hlm. 62, menyatakan mendiang Kapt Chandran memecah anggotanya kepada dua kumpulan masing-masing dengan lima anggota. Kumpulan-kumpulan tersebut diketuai oleh beliau sendiri dan Lt M Donald. Kapt Arifin bin Yaakob, Ketua Kompeni Bravo juga menyatakan beliau hanya menemui dua kumpulan, iaitu tiga anggota daripada kumpulan mendiang Kapt Chandran dan kumpulan Lt M Donald. Perbualan dengan L/Kpl Bajau anak Ladi melalui telefon pada 2 Disember 2022, beliau menyatakan hanya ada dua kumpulan sahaja. Mej Salehuddin bin Abdul Muttalib PGB (B) memaklumkan hanya dua kumpulan.

[5]              Ibid., hlm. 168.

[6]              Ibid., hlm. 166.

[7]              Ibid., hlm. 169.

[8]              Ibid., hlm. 170.

[9]              Ibid.

[10]            Ibid.

[11]            Ibid.

[12]            Penjelasan oleh Kapt Arifin bin Yaakob melalui aplikasi WhatsApp pada 3 September 2022.

[13]            Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera, hlm. 171.

[14]            Ibid., hlm. 172.

[15]            Ibid., hlm. 173.

[16]            Ibid.

[17]            Penjelasan oleh Mej Jayandran Koren (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 2 November 2022. Beliau ketika itu menyandang jawatan Ketua No 1 Platun, Kompeni Alpha, 4 Renjer.


Tiada ulasan: